Mac 2022
PERLIS & PENANG
Kangar & George Town
Bahagian 12: Penang 3
TAMAN BOTANI PULAU PINANG (2)
HARI KEEMPAT (2)
Part 30: Taman Botani Pulau Pinang (2)
Taman Botani Pulau Pinang yang dapat kita lihat hari ini adalah legasi peninggalan Pengarah Botani Pulau Pinang yang pertama bernama Charles Curtis. Dia adalah seorang rakyat British yang sangat berminat tentang hal ehwal botani. Taman ini diasaskan pada tahun 1884. Selain menjadi tempat untuk mempelajari ilmu tentang tumbuh-tumbuhan, taman ini juga kini menjadi pusat rekreasi yang popular di kalangan penduduk George Town. Disebabkan jasanya, nama Charles Curtis juga banyak diabadikan di laman-laman botani di sekitar Pulau Pinang seperti di Curtis Walk yang pernah kami lawati di The Habitat, Bukit Bendera.
Di tengah-tengah Taman Botani ini ada sebuah kawasan lapang. Di tengah-tengahnya pula ada sebatang sungai dengan sebuah Air Terjun.
Di sana sini ada papan amaran yang dipasang mengingatkan pengunjung supaya berhati-hati dengan monyet. Pengunjung juga dilarang untuk memberi makanan kepada monyet di taman ini untuk mengelakkan mereka dari menganggap semua manusia yang datang berkunjung akan memberi mereka makanan. Kalau mereka dah beranggapan begitu, mungkin mereka akan menjadi ganas dan menyerang kalau ada manusia yang tidak memberi mereka makanan.
Sewaktu kami berkunjung ke sini, tak banyak monyet yang kelihatan berkeliaran kecuali di Taman Jepun tadi. Eloklah juga begitu sebab kita pun bukan berani sangat dengan monyet-monyet ini.
Suasana di taman ini memang mendamaikan. Walaupun tak begitu jauh dari pusat bandar George Town, tak ada langsung kesibukan dan hiruk-pikuk di sini.
Di tengah-tengah kawasan lapang ini ada sebuah Bandstand. Bandstand begini adalah satu ciri tipikal di taman-taman awam yang dibina oleh British. Pada zaman dulu-dulu sekitar tahun 1970-an, persembahan muzik kugiran macam yang selalu dilihat dalam filem-filem P. Ramlee memang sering diadakan di Bandstand pada setiap hujung minggu. Bandstand seperti ini juga ada di Taman Botani Singapura. Ia juga pernah kami lihat di Government Garden di Rotorua, New Zealand dulu.
Bandstand |
Amaran supaya tidak memberi makanan kepada monyet |
Berjalan-jalan di Taman Botani |
Jom turun ke bawah sana... |
Taman Botani Pulau Pinang juga dikenali sebagai Kebun Bunga di kalangan orang tempatan. Selain dari itu, ia turut dikenali sebagai Waterfall Garden kerana terdapat sebuah air terjun di sini. Sewaktu kecil dulu, Myself dan adik-beradik yang lain cukup suka bermandi-manda di air terjun ini bila berkunjung ke Pulau Pinang. Malah satu misi bagi Myself sewaktu berkunjung ke Taman Botani Pulau Pinang ini ialah nak melihat semula air terjun tempat kami bermandi-manda dulu.
Air terjun tempat kami bermandi-manda semasa kecil dulu |
Pengunjung tak lagi dibenarkan bermandi-manda di Air Terjun ini sekarang. Aliran airnya pun tak sebanyak seperti yang Myself ingat dulu. Ini mungkin disebabkan dah ada sebuah takungan air minum yang dibina di atas sana.
Seronok dapat melihat air terjun ini |
Jom jalan lagi ke depan... |
Selepas melawat air terjun ini, kami berkunjung pula ke rumah orkid yang dinamakan Orchidarium. Tapi tak ada orkid yang berkembang di sana sekarang. Orchidarium juga sebenarnya menjadi mangsa penangan Covid-19. Disebabkan PKP dulu, ia ditutup dan terbiar. Usaha-usaha sedang dibuat kini untuk memulihkan kembali tumbuhan di dalam Orchidarium. Mudah-mudahan kalau kita datang lagi ke sini pada masa hadapan, bolehlah kita melihat bunga-bunga orkid yang cantik.
Atas saranan dari petugas di Rumah Orkid, kami berjalan pula menuju ke Kolam Lily. Kata petugas tersebut, ada sebuah Kolam Lily yang cantik di belakang Rumah Orkid, tetapi kedudukannya agak tersorok dari laluan utama.
Menuju ke Kolam Lily di belakang Rumah Orkid |
Orkid hutan yang dapat dilihat di laluan menuju ke Kolam Lily |
Posing sekejap kat tengah hutan |
Seperti yang diberitahu oleh petugas tadi, Kolam Lily di Taman Botani ini memang cantik dan mendamaikan. Seperti namanya, kolam ini dipenuhi dengan bunga-bunga Lily yang sedang mekar berkembang.
Kolam Lily |
Bukan sekadar cantik dan mendamaikan, Kolam Lily juga bersejarah. Di bukit belakang Kolam Lily ini ada terowong Jepun. Ia digunakan oleh Tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua sebagai tempat simpanan senjata, peluru, bom dan peluru berpandu. Senjata ini tidak pernah dialihkan dan masih disimpan di dalam terowong ini sehingga sekarang. Walau bagaimanapun atas faktor-faktor keselamatan, terowong ini telah ditimbus dengan tanah pada tahun 1967.
Misi kami yang seterusnya ialah nak melihat Air Terjun Besar di taman ini. Air Terjun Besar inilah yang sebenarnya memberi nama Warterfall Garden kepada Taman Botani ini pada masa dahulu. Untuk ke sana, kita melintas Rumah Pokok Hiasan, Taman Herba dan Arboretum Buah-Buahan. Tapi disebabkan kami mengejar waktu sebab Myself kena sampai balik ke hotel sebelum pukul 12 tengahari, kami sekadar lalu saja di situ.
Rumah Pokok Hiasan |
Mengikut sejarahnya, Taman Botani Pulau Pinang hampir ditenggelamkan untuk memberi laluan bagi pembinaan sebuah empangan pada tahun 1910. Namun bersyukurlah kerana perancangan ini tidak diteruskan oleh British pada ketika itu. Sungguhpun demikian, disebabkan kedudukan taman ini yang terletak di dalam kawasan tadahan air Pulau Pinang, sebuah takungan air yang berskala lebih kecil berbanding empangan telah dibina berhampiran puncak Air Terjun Besar. Kerana itulah Air Terjun Besar ini tidak lagi bersaiz besar sekarang.
Inilah lukisan Air Terjun Besar sewaktu di zaman British dulu |
Pemandangan ke bawah di hilir Air Terjun Besar |
Selepas dah melihat Air Terjun ini, kami memulakan langkah untuk keluar dari Taman Botani. Dalam perjalanan kembali menuju ke pintu masuk, ada beberapa pokok menarik yang dapat kita lihat.
Betul-betul berhampiran pintu masuk ke Taman Botani, ada pokok-pokok unik yang dinamakan Canon Ball Tree. Ia mendapat nama sedemikian kerana buah pokok ini kelihatan betul-betul seperti peluru meriam.
Canon Ball Tree |
Mengambil gambar Canon Ball Tree |
Pokok-pokok Canon Ball |
Meninggalkan Taman Botani Pulau Pinang |
Naik Grab balik ke hotel |
Bersambung ke Bahagian 13...
CATATAN PERJALANAN PERLIS & PENANG (2022):
- Bhg. 01 [Hari 1] - Departure (Kuala Lumpur - Alor Setar - Kangar)
- Bhg. 02 [Hari 1] - Perlis 1 (Pasar Terapung)
- Bhg. 03 [Hari 1] - Perlis 2 (Kuala Perlis)
- Bhg. 04 [Hari 2] - Perlis 3 (Gua Kelam 1)
- Bhg. 05 [Hari 2] - Perlis 4 (Gua Kelam 2)
- Bhg. 06 [Hari 2] - Perlis 5 (Taman Agrovet Perlis 1)
- Bhg. 07 [Hari 2] - Perlis 6 (Taman Agrovet Perlis 2)
- Bhg. 08 [Hari 2] - Perlis 7 (Padang Besar)
- Bhg. 09 [Hari 2] - Perlis 8 (Dataran Empangan Timah Tasoh & Bandar Kangar)
- Bhg. 10 [Hari 3] - Penang 1 (Perjalanan Ke Pulau Pinang & Makan-makan George Town)
- Bhg. 11 [Hari 4] - Penang 2 (Taman Botani Pulau Pinang 1)
- Bhg. 12 [Hari 4] - Penang 3 (Taman Botani Pulau Pinang 2)
- Bhg. 13 [Hari 4] - Pulang (Butterworth - KL Sentral)
No comments:
New comments are not allowed.