Sunday, 10 April 2022

2022 PERLIS & PENANG BHG. 04 (Gua Kelam 1)

Mac 2022

PERLIS & PENANG, MALAYSIA
Kangar & George Town

Bahagian 4: Perlis 3
GUA KELAM (1)

HARI KEDUA (1)

Part 10: Breakfast di D' Danish Corner

Hotel penginapan kami, Hotel Sri Garden tidak menyediakan breakfast untuk para penginapnya. Maklumlah, hotel 2 bintang begini memang hanya menyediakan bilik penginapan dan tiada kemudahan lain. Makanya, terpaksalah kami menapak keluar mencari breakfast.

Jalan-jalan cari breakfast
Atas cadangan petugas di hotel, kami berjalan menuju ke sebuah gerai bernama D' Danish Corner yang terletak bertentangan dengan Masjid Alwi, kira-kira 10 minit walking distance dari Hotel Sri Garden.

Masjid Alwi
Masjid Alwi yang cantik ini mula dibina pada tahun 1931 dan siap pembinaan setahun kemudian. Pembiayaan pembinaan masjid yang dinamakan sempena Raja Perlis ketika itu, Raja Syed Alwi Ibni Almarhum Tuan Syed Saffi Jamalullail ini adalah usaha dari kutipan zakat fitrah dan derma Kerajaan Negeri Perlis semenjak tahun 1920-an lagi semasa pemerintahan Pegawai Penasihat British yang bernama M.C. Hay. Senibinanya yang berkonsepkan Mughal klasik ini mempunyai persamaan dengan Masjid Zahir yang pernah kami lihat di Alor Setar. Ia juga telah diisytiharkan sebagai Warisan Negara pada tahun 1988.

Senibina berkonsep Mughal pada Masjid Alwi mempunyai persamaan dengan senibina Masjid Zahir di Kedah
Seperti Masjid Zahir di Alor Setar, Masjid Alwi di Kangar ini juga sangat cantik.
Di sebelah Masjid Alwi, ada sebuah kawasan awam yang dinamakan Dataran Jubli Emas. Ada sebuah khemah besar didirikan di sana kerana kawasan ini menjadi Pusat Vaksinasi Kanak-Kanak Covid-19 (PICKids) anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dataran Jubli Emas di sebelah Masjid Alwi
Khemah untuk kegunaan Pusat Vaksinasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) di Dataran Jubli Emas
Seperti yang diberitahu kepada kami, memang banyak sungguh pilihan sarapan pagi disediakan di Gerai D' Danish Corner. Walaupun ada ruang makan disediakan, konsep breakfast di sini adalah Take-away. Hanya makanan bungkus yang disediakan. Makanannya sedap dan harganya juga jauh lebih murah dari harga makanan yang serupa di Kuala Lumpur. 

D'Danish Corner
Gerai ini juga menyediakan perkhidmatan Food Panda
Banyak pilihan makanan untuk sarapan pagi yang disediakan
Pilihan kuih-muih
Sandwich Sardin
Pilihan makanan sarapan favourite rakyat Malaysia
Roti Jala
Walaupun gerai ini berkonsepkan take-away, ada ruang makan terhad yang disediakan. Kami memilih untuk makan di sini. Minuman panas boleh dipesan dari Gerai D'Danish untuk pelanggan yang memilih untuk dine-in.

Ruang makan yang terhad di D'Danish Corner
Ada VIP duduk di sana ~ Vape in Paradise
Kita pilih makan Nasi Lemak Sambal Udang yang sedap pagi ini. Husband pulak pilih Sandwich Sardin sebab dia memang peminat Ikan Sardin.
Gerai pilihan Western Breakfast di D'Danish Corner
Berjalan balik ke Hotel Sri Garden selepas breakfast

Part 11: Perjalanan Ke Gua Kelam

Sepanjang hari ini, kami akan membuat Full Day Tour melawat ke tempat-tempat menarik di sekitar negeri Perlis. Tepat pukul 9.30 pagi seperti yang dijanjikan semalam, pemandu teksi Encik Saadon datang menjemput kami di Hotel Sri Garden untuk memulakan tour.

Encik Saadon datang menjemput tepat pada pukul 9.30 pagi
Perjalanan kami pada pagi ini bertumpu ke kawasan utara negeri Perlis yang bersempadan dengan Thailand. Tempat pertama yang akan kami lawati adalah Gua Kelam.

Perjalanan ke utara
Arah ke Gua Kelam
Pemandangan yang indah di dalam perjalanan
Pemandangan sawah padi yang menguning
Kata En Saadon, sekarang adalah musim membajak sawah
Perlis terkenal dengan Magga Harumanis. Malangnya sekarang bukan musim Mangga Harumanis berbuah. Musim buah Mangga Harumanis adalah sekitar bulan Mei. Pada masa sekarang, buah mangga baru nak berputik dan kami dapat melihat buah-buah ini dibalut pada pokok di serata tempat di seluruh negeri.

Putik Mangga Harumanis sedang dibalut pada pokok untuk perlindungan
Musim menuai buah Mangga Harumanis adalah di sekitar bulan Mei setiap tahun.
Encik Saadon juga bercerita kepada kami tentang penanaman padi di Perlis. Dengan adanya teknik pertanian moden sekarang, padi boleh dituai sehingga 5 musim setahun. Penggunaan jentera moden seperti traktor untuk membajak dan drone untuk meracun serangga banyak membantu menjadikan penanaman padi lebih produktif.

Kata Encik Saadon lagi, ramai penduduk Perlis yang mempunyai pertalian persaudaraan rapat dengan penduduk Islam di selatan negara Thailand. Wilayah Thailand yang bersempadan dengan negeri Perlis adalah Satun. Sebelum sempadan ditutup disebabkan wabak Covid-19, memang menjadi kelaziman bagi penduduk dari kedua-dua Perlis dan Satun saling menyeberang sempadan untuk berniaga dan berziarah di antara satu sama lain. Malah Satun sebenarnya terletak di sebalik bukit-bukit yang sedang kami lihat.

Negara Thailand terletak di sebalik bukit di sebelah sana
Kami juga dapat melihat dari kejauhan Bukit Cabang yang sangat iconic di negeri Perlis. Walaupun setinggi gunung, ia tetap digelar 'Bukit' oleh penduduk tempatan sejak dari dulu lagi.

Bukit Cabang
Negeri Perlis mempunyai 2 buah pos sempadan dengan Thailand: Padang Besar dan Wang Kelian. Sebelum wabak Covid, Wang Kelian menjadi tarikan pelancong yang popular kerana Kerajaan Thailand membenarkan warga Malaysia masuk ke pasar di sempadan sebelah negara mereka tanpa passport. Banyak barangan unik dari Thailand dapat dilihat dan dibeli di sana.

Wang Kelian dan Padang Besar adalah 2 buah pos sempadan Malaysia-Thailand yang terletak di negeri Perlis
Memang terasa betapa dekatnya kita dengan Thailand di sini kerana di sebalik bukit-bukit di depan sana adalah Wilayah Satun.
Simpang ke Gua Kelam
Pemandangan di negeri Perlis sangat tenang dan damai. Memang ralit melihat pemandangan sawah padi yang terbentang luas dan barisan bukit yang memisahkan Malaysia dengan negara Thailand sehingga tak sedar yang kita dah pun sampai di pekan Kaki Bukit di mana letaknya Gua Kelam.

Pekan Kaki Bukit

Part 12: Gua Kelam (1)

Gua Kelam terletak di Taman Negeri Perlis yang termasuk Banjaran Nakawan beserta Hutan Simpan Wang Mu dan Mata Ayer. Taman ini juga terletak bersempadan dengan negara Thailand dan menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan alam semulajadinya yang memukau.

Selamat datang ke Gua Kelam
Gua Kelam membentuk sebahagian dari Taman Negeri Perlis
Ada tiket sebanyak RM2 seorang dikenakan kepada semua pengunjung ke Gua Kelam. Ada 2 buah Gua Kelam di sini sebenarnya. Pelawat biasa hanya dibenarkan masuk melawat ke Gua Kelam 1. Kalau nak melawat ke Gua Kelam 2 pula, tempahan awal perlu dibuat dan mesti diiring seorang jurupandu yang disediakan oleh pihak taman. Kami cuma melawat ke Gua Kelam 1 sahaja pada hari itu.

Membeli tiket masuk
Peta kawasan Gua Kelam
Tiket masuk ke Gua Kelam
Gua Kelam yang sebenar terletak agak jauh dari kaunter tiket. Sebelum sampai ke sana kita akan melalui sebuah kawasan rekreasi di tepi sungai yang mendamaikan. Terpikat dengan bunyi deruan jeram pada sungai ini, kami membuat keputusan untuk melawat kawasan rekreasi ini dahulu sebelum masuk ke Gua Kelam.
 
Laluan dari Kaunter Tiket menuju ke Gua Kelam
Tandas Awam
Lukisan yang cantik pada Tandas Awam
Jom kita nikmati pemandangan di sekitar kawasan rekreasi di tepi sungai ini dulu...

Inilah jeram yang deruannya airnya memikat kita tadi...

Di belakang jeram ini, ada rupanya sebuah kolam mandian semulajadi yang menarik... Eyy, tak sangkalah Perlis ada tempat yang menarik macam ini.

Selepas dah puas melihat jeram dan kolam pemandian di tempat rekreasi barulah kami bergerak menuju ke Gua Kelam yang sebenar.

Menyusuri sungai menuju ke Gua Kelam
Gunung batu yang tinggi di tepi sungai
Ada ramai pengunjung ke Gua Kelam ketika itu
Anak sungai yang tenang dan damai
Masih berjalan menuju ke Gua Kelam
Jambatan yang berwarna-warni
Water Slide
Shrek yang menanti di depan pintu masuk ke Gua Kelam
Bergambar dengan Shrek
Bersuka-ria dengan Shrek


   Bersambung ke Bahagian 5...


No comments: