Friday, 8 April 2022

2022 PERLIS & PENANG BHG. 03 (Kuala Perlis)

Mac 2022

PERLIS & PENANG, MALAYSIA
Kangar & George Town 

Bahagian 3: Perlis 2
KUALA PERLIS

HARI PERTAMA (3)

Part 7: Kuala Perlis

Selepas melawat Pasar Terapung di Kangar, perjalanan kami diteruskan menuju ke Kuala Perlis.

Sawah padi yang menguning dalam perjalanan ke Kuala Perlis
Pemandangan indah sawah dan pergunungan
Dalam perjalanan ke Kuala Perlis, kami dapat melihat bangunan Muzium Kota Kayang. Sayangnya kami tak berkesempatan nak melawat ke muzium ini dalam kunjungan ke Perlis ini.
 
Muzium Kota Kayang
Pintu masuk ke Muzium Kota Kayang
Kuala Perlis terletak 16 km dari kota Kangar dan perjalanan ke sana dari Kangar memakan masa tak sampai setengah jam.

Sungai Perlis
Pekan Kuala Perlis
Seperti di Kangar, pekan Kuala Perlis juga senyap sunyi di hujung minggu
Mercu tanda Kuala Perlis
Putra Brasmana Hotel
Encik Saadon menurunkan kami di persisiran pantai di Kuala Perlis, tidak jauh dari Terminal Feri menuju ke Pulau Langkawi.

Persisiran pantai dekat Jeti Kuala Perlis
Tempat untuk bersiar-siar
Tidak jauh dari situ kami dapat melihat sebuah Feri RORO yang sedang berlabuh. Feri RORO (Roll On / Roll Off) adalah feri yang boleh membawa kenderaan. Kalau berhasrat nak membawa kenderaan sendiri ke Pulau Langkawi, kita boleh menggunakan perkhidmatan feri ini. Walau bagaimanapun disebabkan kapasitinya yang terhad, kita perlu menempah awal untuk menggunakan perkhidmatan ini. Jika perjalanan feri penumpang biasa dari Kuala Perlis ke Langkawi memakan masa kira-kira sejam, perjalanan dengan Feri RORO dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi pula memakan masa 2 jam 30 minit.

Feri RORO untuk membawa kenderaan ke Pulau Langkawi
Close-up
Dekat sini juga ada 2 buah kincir angin seperti yang pernah kita lihat di Europe dulu. Tak seperti kincir angin di Europe yang sentiasa berputar, kincir angin di Kuala Perlis ini langsung tak bergerak. Tapi memang tak ada angin kuat yang bertiup pun ketika itu walaupun kita sedang berada di tepi laut.

Kincir angin
Tak bergerak langsung bilah kipas kincir angin ini pada ketika itu

Part 8: Masjid Terapung Kuala Perlis

Satu tarikan istimewa di Kuala Perlis ialah Masjid Terapungnya yang dibina di tepi pantai. Nama sebenar masjid ini ialah Masjid Al Hussain yang diambil sempena nama cucu Rasulullah SAW dan ia memang mempunyai senibina moden yang menarik.

Masjid Al Hussain di Kuala Perlis
Masjid ini mula dibina pada 2006 dan beroperasi pada tahun 2011. Bagi mewujudkan sentuhan alami yang diadaptasikan oleh faktor persekitarannya yang berlatar-belakangkan pantai dan lautan, dinding masjid tidak dicat. Ia sebaliknya menggunakan batu-batuan jenis koral, kuartz, granit, marmar dan pebbles.

Bahan yang digunakan untuk membina masjid ini adalah bahan-bahan semulajadi yang tidak memerlukan cat untuk mencantikkannya.
Menara masjid ini yang dibina bercabang pada puncaknya mengingatkan kami kepada menara di Masjid Al Azhar di Mesir dulu. Satu keunikan pada masjid ini ialah ia dipasang dengan lampu indikator sebagai petunjuk masuknya waktu solat Maghrib, Isyak dan Subuh. Lampu biru akan dinyalakan bila masuk waktu Maghrib dan lampu hijau pula dinyalakan untuk menandakan masuk waktu solat Isyak. Kedua-dua lampu biru dan hijau ini akan dinyalakan bersama bila masuk waktu Solat Subuh. Dengan cara ini, ia memudahkan mereka yang sedang berada di laut seperti nelayan untuk mengetahui telah masuk waktu masuk solat.

Menara Masjid Al Hussain akan dinyalakan dengan lampu dengan warna tertentu untuk menandakan telah masuk waktu solat Maghrib, Isyak dan Subuh.
Menara bercabang pada kemuncak menara masjid seperti di Masjid Al Azhar di Mesir.
Balkoni di depan masjid ini juga boleh dikunjungi untuk menikmati pemandangan indah Laut Andaman.

Laluan menuju ke balkoni masjid
Balkoni masjid
Pemandangan dari balkoni masjid
Tandas dan bilik persalinan untuk wanita
Bukan sekadar senibina di luar masjid saja yang menarik, pemandangan di ruang solatnya juga cantik.

Di tepi masjid pula dibina sebuah dataran kecil untuk pengunjung berehat dan melepaskan lelah di sana.

Pintu masuk ke Masjid Al Hussain dari arah Dataran Masjid
Pemandangan menghala ke taman dari dalam masjid
Kerusi untuk berehat
Kiosk di Dataran Masjid
Pengunjung juga boleh menikmati keindahan senibina masjid ini dari sebuah Anjung Tinjau yang dibina di atas laut di tepi masjid.

Anjung Tinjau di sebelah masjid
Di Anjung Tinjau inilah kami menghabiskan masa seketika untuk menikmati pemandangan matahari terbenam di Laut Andaman.


Part 9: Dinner di Kuala Perlis

Kuala Perlis terkenal sebagai tempat untuk menikmati keenakan Laksa Perlis yang terkenal itu. Namun kalau nak menikmati laksa, perlu datang ke sini pada sebelah petang kerana pada waktu seperti di senja-senja begini, selalunya laksa telah habis dijual. Di sebelah malam begini, makanan istimewa di Kuala Perlis adalah seafood dan kami membuat keputusan untuk dinner seafood sahaja di Food Court yang terletak bersebelahan dengan Masjid Al Hussain.

Sambil berjalan menuju ke Food Court, kita terus menikmati pemandangan yang indah di tepi pantai.

Berjalan menuju ke Food Court
Sewaktu kami tiba, Food Court dah mula ramai pengunjung. Kami dapat melihat makanan laut segar yang diletakkan di depan setiap gerai untuk dipilih sendiri oleh pengunjung. Aroma seafood bakar juga cukup menggamit selera.

Food Court
Suasana di dalam Food Court
Seafood dipamerkan di depan setiap gerai untuk dipilih sendiri oleh pengunjung
Disebabkan tak mahu bersesak, kami memilih duduk di gerai yang paling hujung. Maklumlah, walaupun jangkitan Covid-19 dah semakin terkawal sekarang, tak mahulah terkena jangkitan dan terpaksa dikuarantin nanti. Kalau kena kuarantin di rumah sendiri okeylah juga, cuma takut kalau terpaksa dikuarantin sewaktu di perantauan seperti di Perlis ini.

Sambil menunggu makanan yang dipesan tiba, kita nikmati lagi keindahan pemandangan matahari yang semakin tenggelam.

Terus menikmati keindahan pemandangan matahari yang semakin terbenam
Mentari terbenam di ufuk barat
Makan malam kami
Makan malam kami di Food Court Kuala Perlis memang sedap. Cukup terperanjat bila bayaran yang dikenakan cuma RM35 bagi makanan yang pada firasat kami berharga lebih RM70 di Kuala Lumpur.
 
Lepas dah kenyang kami berjalan balik ke arah Masjid Al Hussain kerana di sanalah En Saadon akan mengambil kami untuk pulang kembali ke Kangar. Sebelum itu, kita ambil gambar pemandangan malam Masjid Al Hussain yang cantik itu dulu...

Pemandangan malam Masjid Al Hussain


 Bersambung ke Bahagian 4...


No comments: