Monday, 10 February 2020

2020 SUMATERA BARAT (3rd VISIT) BHG. 06 (Lubang Mbah Soero)

Januari 2020

SUMATERA BARAT, INDONESIA (3rd VISIT)
Padang, Sawahlunto, Lembah Harau & Bukittinggi

Bahagian 6: Sawahlunto 4
OMBILIN MINJNEN & LUBANG MBAH SOERO

HARI KEDUA (2)

Part 16: Ombilin Minjnen

Perlombongan arang batu di Sawahlunto bermula pada tahun 1867. Ketika itu, seorang pengembara Belanda yang bernama Willem Hendrik de Greve berjaya menemui deposit arang batu di dalam perut bumi berhampiran Sungai Ombilin. Penemuan deposit yang dianggarkan 205 juta ton ini sangat mengkagumkan, lebih-lebih lagi kerana arang batu sangat diperlukan dalam industri dan pengangkutan pada waktu itu. Perusahaan perlombongan arang batu kemudiannya dimulakan oleh Belanda di Sawahlunto pada tahun 1876. Nilai pelaburan Belanda ketika itu sangat besar ~ kira-kira 20 juta Gulden.

Kota Sawahlunto
Perjalanan menuju ke kawasan perlombongan arang batu
Setelah Indonesia mencapai kemerdekaan, perusahaan lombong arang batu diambilalih oleh sebuah syarikat Indonesia yang bernama PT Bukit Asam Tambang Batu Bara Ombilin. Walaupun PT Bukit Asam tidak lagi mengusahakan perlombongan arang batu sekarang atas faktor ekonomi, syarikat inilah yang sebenarnya mengangkat Sawahlunto sehingga menjadi sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO melalui pemuliharaan sejarah perlombongannya.

Bangunan yang diduduki oleh PT Bukit Asam Tambang Batu Bara Ombilin ini kini adalah juga bangunan pentadbiran aktiviti perlombongan di zaman Belanda. Pada ketika itu, ia dikenali sebagai Ombilin Minjnen.

Ombilin Minjnen
Tugu Pelombong Arang Batu
Pemandangan dekat tugu
Pengiktirafan dari UNESCO
Pemandangan ke arah Kota Sawahlunto dari Ombilin Minjnen
Keterangan tentang Ombilin Minjnen

Part 17: Lubang Mbah Soero

Dari Ombilin Minjnen, kami dibawa berjalan kaki sejauh kira-kira 100 meter menuju ke Lubang Mbah Soero, sebuah lubang lombong arang batu yang kini dibuka untuk pelancong. Dalam perjalanan ke sana kami dapat melihat sebuah dinding yang dihiasi dengan lukisan-lukisan menarik tentang sejarah dan kebudayaan Sawahlunto.

Berjalan menuju ke Lubang Mbah Soero
Sungai yang dilintasi dalam perjalanan ke Lubang Mbah Soero
Peta Ombilin Coal Mining Heritage of Sawahlunto
Lukisan-lukisan menarik pada dinding
Orang Rantai yang dipaksa bekerja di lombong arang batu
Pakaian dan adat tradisional Minangkabau
Kuda Kepang yang melambangkan kebudayaan Jawa. Ada ramai Orang Jawa yang berasal dari keturunan Orang Rantai memilih menetap di Sawahlunto.
Orkes Keroncong Setia Abadi Sawahlunto
Lubang Mbah Soero hanya boleh dimasuki menerusi sebuah bangunan yang dinamakan Museum Situ yang juga merupakan sebuah galeri perlombongan arang batu di Sawahlunto. Bangunan ini dahulu adalah tempat di mana buruh-buruh paksa dibawa berkumpul sebelum dibawa ke tempat bekerja.

Museum Situ Lubang Tambang Mbah Soero
Penunjuk Arah
Bangunan ini dulu adalah tempat di mana buruh-buruh paksa dikumpulkan sebelum dibawa ke tempat kerja
Sebaik masuk ke dalam muzium, kita akan disambut oleh petugas-petugas muzium yang akan memberi penerangan tentang tempat yang akan kita lawati.

Pemandangan sebaik masuk ke dalam muzium
Pemandangan pertama di dalam muzium yang pasti menarik perhatian kita adalah pameran rantai yang digunakan oleh Belanda untuk mengikat kaki buruh-buruh paksa dulu. Rantai inilah yang memberikan gelaran Orang Rantai kepada buruh-buruh paksa ini. Sebahagian besar Orang Rantai berasal dari Pulau Jawa dan keturunan mereka masih ramai yang menetap di Sawahlunto.

Rantai yang digunakan untuk mengikat kaki buruh-buruh paksa Belanda
Petugas Muzium memberi penerangan tentang siksaan terhadap Orang Rantai. Untuk memastikan mereka supaya kononnya tidak malas bekerja oleh Belanda, dinding kediaman Orang Rantai dipasang dengan kaca-kaca tajam supaya mereka tidak boleh berehat bersandar pada dinding.
Gambar lama pegawai-pegawai Belanda sedang mengawasi Orang Rantai bekerja
Rantai yang dipasang kepada kaki Orang Rantai
Memang terasa kekejaman Belanda sewaktu mereka menjajah Indonesia dulu ketika mendengar cerita Orang Rantai. Mungkin kita lebih bertuah kerana Malaysia dijajah British dan bukan Belanda. British lebih bertimbang rasa sewaktu menjajah Malaysia dulu. Mereka tidak memaksa rakyat tempatan membuat kerja-kerja berat demi kepentingan Britain. Malah British mengimport buruh-buruh kasar dari India dan China untuk membuat kerja-kerja berat seperti menjadi buruh pembinaan landasan keretapi dan kuli-kuli pelabuhan.

Husband bergambar dengan Petugas Muzium yang juga berasal dari keturunan Orang Rantai dari Pulau Jawa
Selepas mendengar penerangan dari Petugas Muzium barulah kita dibawa masuk ke Lubang Mbah Soero. Semua pengunjung yang ingin masuk ke lubang arang batu ini diwajibkan untuk memakai pakaian keselamatan termasuk topi keras, vest dan safety boot. Kita yang bekerja sebagai Engineer memang selalu memakai pakaian begini, tetapi bagi ahli-ahli keluarga yang lain ini adalah satu pengalaman baru yang sangat mengujakan.

Bersiap-sedia nak masuk ke Lubang Mbah Soero
Ada bilik persalinan berasingan yang disediakan untuk lelaki dan wanita. Kita juga diminta meninggalkan beg di dalam loker-loker berkunci di bilik ini. Memandangkan lubang arang batu yang akan kita kunjungi masih aktif mengeluarkan gas methane, kita dilarang sama sekali membawa bahan-bahan yang mudah memercikkan api seperti lighter.

Seronok dapat merasa pakai kasut Phua Chu Kang
Sebiji macam Engineer Lombong
Semua pengunjung ke Lubang Mbah Soero akan ditemani oleh dua orang petugas muzium yang berjalan paling depan dan di belakang sekali untuk tujuan keselamatan.

Pemandangan pintu masuk ke Lubang Mbah Soero dari Museum Situ
Bangunan-bangunan zaman Belanda yang masih dapat dilihat di tepi muzium
Di luar pintu masuk ke Lubang Mbah Soero dapat dilihat sebuah tugu peringatan untuk Orang Rantai. Walaupun cuma patung batu, memang sedih kita melihat gambaran penderitaan mereka bekerja di bawah Belanda. Ramai di antara mereka yang maut kerana sakit, kebuluran dan tak kurang ditembak kerana melawan. Pada waktu bekerja, kedua-dua kaki mereka diikat dengan seutas rantai. Di luar waktu bekerja pula, rantai ini diikat dengan rantai-rantai yang dipakai oleh pekerja lain sambung-menyambung untuk menyukarkan mereka melarikan diri.

Tugu Orang Rantai
Dipaksa bekerja keras di bawah pengawasan Belanda
Kawasan Situs Lubang Tambang Mbah Soero
Sebelum masuk ke dalam, kita diperkenalkan dengan arang batu yang juga digelar "Emas Hitam" pada masa itu.

Arang batu yang dilonggok di depan Lubang Mbah Soero
Emas Hitam
Ada juga sebuah pusat kerajinan kraftangan dari arang batu di sini. Memang menarik kraftangan yang dihasilkan, tapi kita tak dapat nak membeli sebab duit dah ditinggalkan dalam loker di bilik persalinan tadi.

Pusat Kerajinan Kraftangan dari Arang Batu
Ketulan Arang Batu yang sedang diusahakan untuk menjadi kraftangan
Keychain dari Arang Batu
Tentu anda bertanya siapa Mbah Soero yang namanya diabadikan pada lubang lombong arang batu ini, bukan? Dia adalah Orang Rantai dari Pulau Jawa yang dilantik oleh Belanda sebagai mandur pekerja di lubang ini. Dalam keadaan yang gawat dan tertekan, Orang-orang Rantai kerap bergaduh sesama sendiri. Kebolehan Mbah Soero menenang dan mendamaikan keadaan menjadikan beliau seorang yang sangat dihormati oleh Orang-orang Rantai sehingga namanya diabadikan pada lubang ini.

Lubang Mbah Soero
Tangga masuk ke Lubang Mbah Soero
Husband posing di tangga masuk ke Lubang Mbah Soero
Family Photo dalam Lubang Mbah Soero
Berbagai ciri keselamatan telah dipasang kepada Lubang Mbah Soero setelah ia dijadikan sebuah tarikan wisata. Laluan di dalam lubang ini telah dibina tangga konkrit dengan tempat pemegang untuk kemudahan dan keselamatan pengunjung. Lampu-lampu turut dipasang pada kedudukan yang strategik dan terdapat juga CCTV di dalam lubang ini untuk mengesan pergerakan pengunjung dan memberi bantuan kecemasan sekiranya diperlukan.

Mendengar Petugas Muzium bercerita tentang Mbah Soero
Pemandangan di dalam Lubang Mbah Soero
Ada beberapa tingkat terowong di dalam Lubang Mbah Soero. Pengunjung biasa seperti kami hanya dibawa melawat ke tingkat pertama yang sedalam 30 meter dari permukaan bumi. Dari sini ada sebuah lagi tangga menuju ke tingkat yang lebih dalam. Kata Petugas Muzium, hanya pengunjung-pengunjung tertentu seperti pengkaji dan pelajar Geologi sahaja yang akan dibawa ke dalam sana.

Di tingkat pertama ini juga ada terowong yang bercabang ke kiri dan ke kanan. Pengunjung hanya akan dibawa melawat ke terowong yang di sebelah kanan. Terowong yang di sebelah kiri ditutup atas permintaan paranormal dan masyarakat setempat sewaktu Lubang ini dibuka kepada orang awam kerana banyak tulang-belulang yang ditemui di sana sewaktu kerja-kerja renovasi  terowong. Malah dikatakan ada orang-orang dengan kelebihan tertentu yang dapat melihat roh-roh Orang Rantai yang masih berkeliaran di dalam terowong ini. Seram kita dengar.

30 meter di dalam perut bumi
Arang batu di Sawahlunto terdiri dari arang batu anthracite yang bermutu tinggi dengan kandungan 7000 kalori. Sewaktu perlombongan arang batu ini diberhentikan atas faktor ekonomi, hanya 50 juta ton sahaja yang telah dikeluarkan. Masih terdapat simpanan 150 juta ton lagi di dalam perut bumi di sini. 

Kita masih dapat memegang arang batu pada dinding sewaktu berjalan di dalam terowong. Kerana itulah terdapat larangan keras supaya tidak membawa apa-apa bahan yang mudah memercikkan api ke sini. Malah terowong ini juga diperiksa setiap hari sebelum dibuka untuk kunjungan umum bagi memastikan kadar gas methane di dalamnya tidak merbahaya kepada pengunjung.

Memegang arang batu pada dinding terowong
Kedalaman 32 meter dari permukaan bumi
Di kebanyakan tempat di dalam terowong, suasananya memang gelap begini
Lubang Mbah Soero juga sebenarnya terletak tidak jauh dari sebatang sungai. Kerana itulah dinding dan lantainya sentiasa basah dengan resapan air. Kita juga dinasihatkan supaya berjalan dengan berhati-hati, takut tergelincir disebabkan lantainya agak licin walaupun ada saluran-saluran air yang dibina di tepi untuk mengalirkan air ini keluar.

Lantai yang basah di dalam terowong
Banyak air yang meresap keluar dari dinding di dalam terowong
Wayar elektrik lampu di dalam terowong
Ada sebuah lubang di dalam terowong ini di mana pengunjung boleh berposing seperti pelombong arang batu. Berbagai props perlombongan turut disediakan untuk melengkapkan aksi. Yang tak ada cuma rantai kaki seperti yang dipakai oleh Orang Rantai dulu.

Gigih mengorek hasil bumi arang batu
Betul-betul macam pelombong arang batu dulu dengan muka yang gelap begini
Penat berposing sebab ramai yang nak menangkap gambar.
Pelombong-pelombong wanita
Dia ni memang suka berposing.
Perjalanan menyusuri terowong ini tidak lama. Hanya kira-kira 10-15 minit. Pengunjung kini bertuah dan tak perlu takut kelemasan di dalam terowong kerana ada blower yang disediakan untuk meniup udara segar ke dalam. Pada zaman Orang Rantai bekerja di sini dulu, ramai yang mati kelemasan kerana ketiadaan ventilasi. Namun disebabkan faktor kedalaman di dalam perut bumi, tetap juga kita  berpeluh menahan kepanasan di dalam terowong ini.

Paip ventilasi dalam terowong
Lagi pemandangan paip ventilasi di dalam terowong
Keluar dari Lubang Mbah Soero
Museum Situs Lubang Tambang Mbah Soero
Pintu keluar dari Lubang Mbah Soero terletak di seberang jalan dari muzium.

Berjalan kembali ke muzium
Bangunan muzium
Setibanya kembali ke muzium, kita melawat pula ke Galeri yang terletak di tingkat atas. Pelbagai gambar dan bahan sejarah perlombongan arang batu dapat dilihat di sini.

Galeri Tambang Batubara
Tangga naik ke Galeri
Nama sebenar Lubang Mbah Soero adalah Lobang Soegar kerana ia terletak di Daerah Segar
Sampel batuan
Rantai Lori yang digunakan pada gerabak-gerabak arang batu yang dipaksa ditarik keluar secara manual oleh Orang Rantai
Peralatan-peralatan yang digunakan untuk melombong arang batu
Lagi peralatan-peralatan yang digunakan bagi tujuan perlombongan
Pakaian pegawai-pegawai perlombongan Belanda
Pemandangan ke arah bawah dari Galeri
Sebelum pergi, semua pengunjung yang masuk ke Lubang Mbah Soero diberikan sijil untuk meraikan kejayaan mereka meneroka lombong arang batu Sawahlunto.

Meraikan kejayaan meneroka lombong arang batu di Sawahlunto
Pelombong-pelombong wanita
Meninggalkan Lubang Mbah Soero


 Bersambung ke Bahagian 7...


CATATAN PERJALANAN SUMATERA BARAT (3rd VISIT) (2020):