Wednesday, 25 February 2026

2026 UMRAH KE-7 BHG. 06 (Wadi Muhassir, Mina, Masjid Ji'ranah & Jabal Nur)

Februari 2026

ARAB SAUDI
Makkah, Madinah & Badar

Bahagian 6: Makkah
MASY'ARIL HARAM (Wadi Muhassir, Mina,  Masjid Ji'ranah & Jabal Nur)

Part 19: Wadi Muhassir

Wadi Muhassir merupakan sebuah lembah yang terletak di antara Mina dan Muzdalifah. Semasa jemaah haji atau umrah hendak melaksanakan ibadah melempar jumrah dan bermalam di Mina, mereka akan melewati lembah ini. 

Sejarah dari Lembah Muhassir sangat popular di kalangan umat Islam kerana tempat ini merupakan lokasi terjadinya penyerangan terhadap Makkah oleh pasukan bergajah yang dipimpin Raja Abrahah dari Yaman. Namun sebelum sempat sampai ke Makkah untuk meruntuhkan Kaabah, Raja Abrahah telah diturunkan  azab dari Allah SWT yang berupa burung-burung Ababil yang menyerang bagaikan jet-jet pejuang, melempari pasukan bergajah dengan batu-batu dari Neraka Sijjil.

Pasukan gajah yang melewati lembah itu menjadi 'lemah' tidak berdaya dan tidak dapat melanjutkan perjalanan menuju keMekah. Maka lembah itu pun diberi nama Muhassir yang berarti 'lemah'. Kisah ini diabadikan di dalam Al Quran [Surah Al-Fil (105): Ayat 1-5]:

"[1] Tidakkah engkau (Muhammad) perhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap pasukan bergajah?

[2] Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia?

[3] Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.

[4] Yang melempari mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar.

[5] Sehingga mereka dijadikan-Nya seperti daun-daun yang dimakan (ulat)."

Wadi Muhassir
Pemandangan di Wadi Muhassir
Sunah untuk mempercepatkan perjalanan atau kendaraan ketika melewati Lembah Muhassir. Perkara ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Qayyim. Dalam hadis tersebut diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW menarik unta betinanya dengan kuat dan mempercepat kelajuannya semasa melewati Lembah Muhassir.

Tidak hanya di Lembah Muhassir, Rasullullah juga selalu melakukan hal yang sama ketika melewati tempat yang dulunya merupakan lokasi turunnya azab atau murka Allah SWT.

Wadi Muhassir
Kini, di Wadi Muhassir telah dibangun sebuah jambatan yang menghubungkan secara langsung ke Mina. Selain disunnahkan untuk berjalan cepat, jemaah juga perlu perbanyak tahlil dan doa seperti yang diajarkan oleh Rasulullah SAW semasa melewati jambatan tersebut.
 
Jambatan menuju ke Mina
Pemandangan di Wadi Muhassir

Part 20: Muzdalifah

Perjalanan seterusnya adalah menuju ke Mina. Ia adalah tempat di mana ibadah Wajib Haji iaitu Melontar Jamrah dilaksanakan.

Perjalanan menuju ke Mina
Sewaktu pelaksanaan Ibadah Haji, jemaah selalunya akan dibawa dengan bas meninggalkan Padang Arafah untuk menuju ke Mina. Ada juga sebahagian Jemaah yang akan berjalan kaki ke Mina. Walau apa pun cara yang digunakan, mereka pasti akan melalui sebuah kawasan yang dinamakan sebagai Muzdalifah. Laluan dari Arafah menuju ke Mina ditandakan dengan warna untuk membantu pergerakan Jemaah, terutama bagi mereka yang berjalan kaki.

Laluan pejalan kaki dari Arafah ke Mina di Muzdalifah
Laluan ini dibuat berwarna untuk membantu menunjukkan arah bagi pejalan kaki
Kita juga dapat melihat sambungan binaan struktur saluran air Ain Zubaidah yang dilihat di Jabal Rahmah tadi di kawasan Muzdalifah. Struktur ini sebenarnya telah dibangunkan oleh isteri Khalifah Harun Al-Rasyid dari Dinasti Abbasiyah yang bernama Zubaidah. 

Di kala itu, Zubaidah melakukan perjalanan haji dari Baghdad menuju Makkah. Setibanya di Makkah, dia mendapati kota itu sedang mengalami krisis kekurangan air minum untuk kegunaan jemaah haji. Air sangat sulit dicari dan harganya juga mahal sehingga tidak mampu dibeli oleh para jemaah haji yang sangat memerlukannya.

Melihat keadaan itu, muncul inisiatif dari Zubaidah untuk membangunkan saluran air yang sumbernya diambil dari Wadi Nu’man  yang kemudian dialirkan ke tempat-tempat jemaah haji di Makkah, Arafah, Mina dan Muzdalifah. Pada masa itu belum ada elektrik ataupun peralatan yang boleh digunakan untuk mengangkut air. Namun Zubaidah tidak kehabisan akal. Dia memanfaatkan tenaga kuda untuk menarik air dari Wadi Nu’man lalu dialirkan ke saluran di mana jemaah haji berada.

Ain Zubaidah
Saluran air Ain Zubaidah sangat berjasa untuk membekalkan air minum kepada Jemaah Haji pada satu masa dahulu
Kecemerlangan idea Zubaidah membuat saluran air ini dianggap sebagai salah satu ‘keajaiban’ yang pernah wujud di dalam sejarah Islam. Karena jasanya yang besar dalam membantu para jemaah haji, nama Zubaidah diabadikan sebagai nama pada saluran air tersebut.

Saluran air ini tidak lagi digunakan sekarang dengan kemunculan teknologi moden yang boleh mengalirkan air secara langsung sehingga ke sini. Namun demikian, legasi Ain Zubaidah terus dipertahankan oleh pemerintah Arab Saudi sehingga sekarang.

Satu lagi pemandangan tinggalan Ain Zubaidah
Masjid yang terletak di Muzdalifah ialah Masjid Masy'aril Haram. Ia menandakan tempat Rasulullah SAW bermabit di Muzdalifah. Rasulullah melakukan solat Jamak Takhir Maghrib dan Isyak di Muzdalifah semasa Haji Wada'.

Pemandangan di Muzdalifah
Masjid Masy'aril Haram
Masjid Masy'aril Haram yang menandakan tempat di mana Rasullullah SAW bermabit sewaktu Haji Wada'
Mengikut amalan biasa, Jemaah Haji juga akan mengutip batu di Muzdalifah sebagai persediaan untuk Melontar Jamrah di Mina. Kami diberitahu pada masa sekarang, batu-batu ini telah disediakan oleh pengendali-pengendali Haji kepada Jemaah mereka.
 
Tandas awam moden banyak terdapat di sekitar Muzdalifah
Sebuah lagi bangunan Tandas Awam di kawasan Muzdalifah

Part 21: Mina

Kita tahu yang kita telah sampai di Mina bila khemah-khemah yang banyak muncul dalam pandangan. Di sinilah Jemaah Haji akan tinggal selama 3 hari pada 11, 12 & 13 Zulhijjah setiap tahun untuk melaksanakan amalan Melontar Jamrah.

Tiba di Mina
Khemah-khemah haji di Mina
Khemah haji di Mina kini berhawa dingin, lebih moden, dan tersusun. Ia memuatkan kira-kira 30 hingga 40 jemaah di dalam setiap khemah. Suasana di dalamnya padat namun selesa untuk berehat dan beribadat, dengan kemudahan tandas berkongsi. Jemaah Haji sekarang bertuah kerana telah ada tandas-tandas moden yang disediakan. Sewaktu Myself dan Husband menunaikan Ibadah Haji 20 tahun dahulu (2006), hanya tandas portable yang disediakan.

Lagi pemandangan khemah Haji di Mina
Pemandangan khemah dengan lebih dekat
Melihat khemah-khemah di Mina dari atas bas
Sewaktu di Mina, kami juga ditunjukkan Jabal Qurban yang merupakan sebuah bukit yang terletak di atas khemah-khemah di Mina. Tempat ini dipercayai sebagai tempat di mana Nabi Ibrahim AS melaksanakan korban ke atas anaknya Nabi Ismail AS atas perintah Allah SWT. Namun, atas kepatuhan keduanya menjalankan perintah Allah, penyembelihan Ismail digantikan dengan seekor  qibas. Bukit tersebut pula diberi nama Jabal Qurban. Bukit ini kini ditanda dengan sebuah binaan.

Jabal Qurban di Mina
Di sinilah Nabi Ibrahim AS melaksanakan perintah Allah SWT untuk mengorbankan puteranya Nabi Ismail AS
Pada tahun ke-12 kenabian, seramai 12 orang daripada Bani Aus dan Bani Khazraj datang ke Makkah pada musim haji untuk bertemu dengan Nabi Muhammad SAW. Pertemuan ini amat penting kerana ia membawa kepada termeterainya Perjanjian Aqabah Pertama di Mina. Dalam perjanjian ini, mereka berikrar untuk beriman kepada Allah dan berjanji untuk menyokong Nabi Muhammad SAW dalam usaha dakwahnya.

Sebagai langkah seterusnya, Nabi Muhammad SAW mengutuskan sahabat baginda, Mus'ab bin Umair sebagai duta Islam pertama ke Madinah. Mus'ab diiringi oleh seorang sahabat, Amr bin Ummi Maktum, dengan misi untuk mengembangkan dakwah Islam di kalangan penduduk Madinah. 

Mus'ab memainkan peranan yang sangat besar dalam memperkenalkan ajaran Islam kepada masyarakat Madinah. Pada peringkat awal, dakwah beliau berjaya menarik tiga tokoh penting Madinah untuk memeluk Islam iaitu Usaid bin Khudair, Sa’ad bin Mu’adz dan Saad bin Ubadah. Hasil dari usaha dakwah Mus'ab yang berterusan, sebahagian besar penduduk Madinah mula menerima Islam. 

Pada tahun berikutnya, Mus'ab kembali ke Makkah untuk melaporkan perkembangan dakwah di Madinah kepada Nabi Muhammad SAW. Berita gembira ini menunjukkan bahawa Islam telah mula mendapat sokongan kuat di Madinah dan komuniti Muslim yang semakin kukuh di sana menjadi asas penting bagi dakwah baginda. Perkembangan ini turut membawa penghijrahan umat Islam ke Madinah, yang seterusnya membawa kepada pembentukan sebuah kerajaan Islam yang pertama di sana.

Melontar jamrah di Mina adalah salah satu wajib haji yang melambangkan penolakan godaan syaitan dengan melempar 7 biji batu ke dinding (tiang) jamrah. Ia dilakukan di Jamratul Aqabah pada 10 Zulhijjah, diikuti ketiga-tiga jamrah (Sughra, Wusta, Kubra) pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah (Hari Tasyrik), dengan jumlah keseluruhan 49-70 biji batu. 

Bangunan Jamrah di Mina
Pemandangan lebih dekat bangunan Jamrah
Khemah-khemah berhampiran Jamrah
Hotel untuk VIP dan tetamu-tetamu negara yang datang untuk menunaikan Ibadah Haji

Part 22: Masjid Ji'ranah

Persinggahan terakhir hari dalam Program Lawatan Ke Masy'aril Haram adalah Masjid Ji'ranah. Masjid ini adalah juga salah sebuah miqat bagi penduduk Makkah yang ingin menunaikan Umrah. Ahli-ahli kumpulan kami yang ingin membuat Umrah seterusnya selepas kembali ke Makkah turut berihram di sini.

Masjid Ji'ranah
Ada banyak gerai jualan di sekitar Masjid Ji'ranah
Papan keterangan mengenai Masjid Ji'ranah
Masjid Al-Ji'ranah terletak di tapak di mana Nabi Muhammad SAW memasuki Ihram dari Perang Hunayn dekat Makkah. Ia dinamakan sempena seorang wanita Quraisy yang berasal dari suku Bani Tameem, bernama Reeta, yang bergelar Ji'irranah.

Kehidupannya ditandakan dengan ketidakstabilan mental kerana dia menumpukan seluruh harinya untuk mengait kain hanya untuk mengoyakkannya menjadi hancur. Menurut Abdullah bin Abbas RA, wanita inilah yang dirujuk dalam Al-Quran [Surah Nahl (16): Ayat 92] di mana ia menceritakan:

“[92] Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali."

Ramp untuk menuju ke Ruang Solat Wanita
Pemandangan di luar Ruang Solat Wanita
Suasana di dalam Ruang Solat Wanita
Jemaah yang telah sedia berihram untuk menunaikan Umrah
Jemaah yang datang dari India
Pemandangan sewaktu meninggalkan Masjid Ji'ranah

Part 23: Jabal Nur

Kami kembali ke Makkah selepas meninggalkan Masjid Ji'ranah. Dalam perjalanan pulang, kami dapat melihat Jabal Nur. Di atas bukit ini letaknya Gua Hira', tempat di mana Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama.

Tangki-tangki yang membekalkan air kepada kota Makkah
Sebuah masjid di pinggir kota Makkah
Pemandangan di pinggir kota Makkah
Lori yang membawa rasuk binaan
Lebuhraya menuju ke Taif
Lori yang membawa ternakan biri-biri
Ternakan biri-biri
Gua Hira' di Jabal Nur merupakan tempat yang menjadi saksi Rasulullah SAW dilantik sebagai Nabi dan Rasul serta turunnya wahyu pertama Al-Quran yang diperintahkan oleh Allah SWT melalui malaikat Jibrail. Wahyu pertama ini diturunkan semasa baginda Rasullullah SAW menyendiri di Gua Hira' bagi menghindari masyarakat Arab Jahiliyah yang pada saat itu masih belum beriman kepada Allah dan sering melakukan maksiat dan dosa-dosa besar. Adalah dikatakan baginda Rasullullah SAW sangat menyukai Gua Hira' kerana baginda boleh melihat Kaabah dari sana.

Jabal Nur
Gua Hira' di mana Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama terletak di puncak Jabal Nur
Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasullullah SAW adalah ayat Al Quran [Surah Al Alaq (96): Ayat 1-5] yang berbunyi:

"[1] Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan,

[2] Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.

[3] Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia

[4] Yang mengajar (manusia) dengan pena.

[5] Dia mengajarkan manusi apa yang tidak diketahuinya."

Wahyu pertama ini diterima oleh Nabi Muhammad SAW pada 17 Ramadan (sekitar tahun 610 Masihi) ketika baginda berusia 40 tahun.

Jabal Nur boleh didaki jika kita ingin melawat ke Gua Hira'
Andalusia ada menganjurkan lawatan tambahan kepada Jemaah yang ingin melawat ke Gua Hira' tetapi kami tidak menyertai lawatan ini. Kami juga tidak menyertai satu lagi lawatan ke Taif kerana ia diadakan pada Hari Khamis di mana kami bercadang ingin berpuasa pada hari tersebut.
 
Pemandangan Jabal Nur dari kejauhan
 
Part 22: Kembali Ke Makkah
 
Kami melalui kawasan Perkuburan Al Ma'la bila kembali ke Makkah. Perkuburan Al-Ma'la adalah sebuah tempat yang sangat istimewa. Dalam hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda: "Allah membangkitkan dari tempat ini (Perkuburan Ma'la) dan seluruh Tanah Haram 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab atau tanpa perhitungan dosa. Setiap orang dapat membawa 70,000 orang, wajah mereka cerah dan bersinar bagaikan bulan purnama"

Tiba kembali ke Makkah
Pemandangan Jabal Nur dari kota Makkah
Perkuburan Ma'la di Makkah
Di sinilah bersemadi isteri, keturunan serta para sahabat Rasulullah SAW
Perkuburan Ma’la adalah kompleks pemakaman tertua di Makkah yang usianya sudah melebihi 1,700 tahun.


Kami juga turut melalui sebuah kawasan di Makkah yang bernama Aziziyah. Di sinilah Jemaah akan menetap pada Hari-hari Tasyrik sekiranya mereka tidak tinggal di khemah di Mina.
 
Aziziyah
Hotel-hotel di Aziziyah
Aziziyah turut menjadi pilihan Jemaah kerana jaraknya yang lebih dekat ke kompleks Jamrah berbanding khemah Mina. Jemaah boleh bergerak terus dari Aziziyah, melontar ketiga-tiga jamrah (Sugra, Wusta, Aqabah) dan memenuhi syarat mabit (bermalam) di kawasan yang dibenarkan. Walaupun  tinggal di Aziziyah, Jemaah masih dikira bermalam di Mina (mabit) jika berada di kawasan yang ditetapkan selama tempoh yang disyaratkan (sekurang-kurangnya 4 jam 38 minit).

Pemandangan Jamrah dari Aziziyah
Walaupun  tinggal di Aziziyah, Jemaah masih dikira bermalam di Mina (mabit) jika berada di kawasan yang ditetapkan selama tempoh yang disyaratkan (sekurang-kurangnya 4 jam 38 minit)
Bin Dawood Supermerket di Aziziyah
Al Fajr Al Badie Hotel
Bangunan hotel di Makkah
Kembali ke kawasan Masjidil Haram
Pemandangan menghala ke Masjidil Haram
Hotel Fairmont di Makkah Clock Royal Tower 


   Bersambung ke Bahagian 7...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH KE-7) 2026 :

No comments: