Monday, 23 February 2026

2026 UMRAH KE-7 BHG. 05 (Jabal Tsur, Padang Arafah & Jabal Rahmah)

Februari 2026

ARAB SAUDI
Makkah, Madinah & Badar

Bahagian 5: Makkah
MASY'ARIL HARAM (Jabal Tsur, Padang Arafah & Jabal Rahmah)

Part 16: Ziarah Masy'aril Haram

Dalam mana-mana jua pakej Umrah, satu acara wajib yang disediakan adalah melawat ke Masy'aril Haram yang merupakan tempat pelaksanaan ibadah Haji yang terletak di luar kota Makkah.

Bersedia untuk memulakan lawatan ke Masy'aril Haram
Entah di mana silapnya, bas yang akan membawa kami membuat lawatan ke Masy'aril Haram tidak dibenarkan parking dekat dengan lobi. Maka bertekaklah pemandu bas dengan pengawal sekuriti hotel. Dahsyat sungguh cara mereka bertekak sampai menjerit-jerit. Takut kita mendengarnya. Tetapi bak kata Mutawif kami, memang begitulah cara mereka. Pergaduhan cuma setakat perang di mulut dan berakhir begitu sahaja. Kalau di tempat kita, bila ada orang bergaduh menjerit-jerit begitu pasti akan disertai dengan aksi fizikal seperti bertumbuk.
 
Bas kami parking jauh sedikit kerana tidak dibenarkan parking di depan hotel
Mutawif memberi penerangan tentang program lawatan
Pemandangan di sebuah kawasan di Makkah yang dinamakan Misfalah
Sewaktu kami datang 2 tahun yang lalu, ada pembangunan pesat sedang berlangsung di sini
Walau pembangunan masih berlangsung, kawasan ini telah kelihatan lebih kemas sekarang

Part 17: Jabal Tsur

Tempat pertama yang ditunjukkan kepada kami dalam lawatan ke Masy'aril Haram ini ialah Jabal Tsur. Di puncak Jabal Tsur terdapat sebuah gua yang dinamakan Gua Tsur. Di sinilah Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA bersembunyi atas perintah Allah SWT daripada ancaman pembesar Bani Quraisy. Peristiwa ini berlaku ketika baginda Rasullullah SAW sedang dalam perjalanan Hijrah menuju ke Madinah. 

Bas-bas yang berhenti di pinggir jalan untuk membolehkan Jemaah melihat Jabal Tsur dari kejauhan
Jabal Tsur
Penghijrahan Rasulullah SAW dari kota Makkah ke kota Madinah bersama dengan Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA bermula apabila baginda diperintahkan oleh Allah SWT untuk berhijrah pada malam hari. Rasullullah telah terlebih dahulu meminta umat Islam yang lain meninggalkan Makkah dan pergi berhijrah ke Madinah lebih awal manakala baginda berserta Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA akan menyusul kemudian.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW dan sahabat baginda Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA bersembunyi di dalam Gua Tsur setelah dikejar oleh kaum Quraisy yang ingin membunuh baginda. Rasulullah SAW bersembunyi di Gua Tsur sehingga tiga hari lamanya. Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A hampir cemas kerana hanya sejengkal dari dalam gua ternampak kaki Rasulullah SAW dari luar. Namun Allah telah melindungi mereka berdua.

Kaum Quraisy berusaha sungguh-sungguh mencari baginda Rasullullah dan Saidina Abu Bakar. Mereka membawa pedang dan tongkat sambil mundar-mandir mencari ke segenap penjuru. Ketika kaum Quraisy bergerak menuju ke gua tempat persembunyian itu, mereka terdengar bunyi bising cicak yang datang dari arah dalam gua tersebut. Kaum Quraisy mula syak bahawa adanya orang yang bersembunyi di dalam gua tersebut. Dalam pada itu, Nabi Muhammad SAW telah membaling batu ke arah cicak dan langsung cicak itu mati. Kaum Quraisy tetap menaiki gua itu untuk meninjau tetapi kemudian turun kembali.

Pemandangan di kaki Jabal Tsur
Puncak Jabal Tsur
Kaum Quraisy tidak menjumpai Rasullullah SAW bersama Saidina Abu Bakar As-Siddiq kerana dengan izin Allah SWT,  Allah S.W.T memerintahkan labah-labah untuk menutupi dengan membuat sarang labah-labah yang sangat tebal di sebelah sebuah pintu Gua Tsur. Manakala di sebelah lagi pintu Gua Tsur, Allah SWT memerintahkan pula burung merpati untuk membuat sarang dan bertelur di situ. Akhirnya kaum Quraisy menyerah kerana menganggap tidak mungkin gua sebesar itu dimasuki oleh orang untuk bersembunyi.

Melihat Jabal Tsur dari atas bas
Kami cuma melihat Jabal Tsur dari atas bas sambil mendengar Mutawif memberi penerangan ringkas tentang peristiwa yang berlaku di situ. Kisah lebih terperinci perristiwa di Gua Tsur pernah Myself ceritakan dalam entry sewaktu Umrah Ke-5 kami dahulu di sini: Umrah 2017 [Hari 4] : Ziarah Makkah (2) - Jabal Tsur, Arafah & Muzdalifah

Meninggalkan Gua Tsur

Part 18: Padang Arafah & Jabal Rahmah
 
Perjalanan kami diteruskan menuju ke Padang Arafah, tempat di mana Umat Islam berkumpul untuk melaksanakan Wukuf di Musim Haji. Dalam perjalanan ke sana, banyak pemandangan dan landmark kota Makkah yang terus dapat diperhatikan.

Masjid kedua terbesar di Makkah selepas Masjidil Haram yang dibina oleh pengasas Bank Al Rajhi
Menurut cerita Mutawif kami pada Umrah Ke-5 dulu, orang-orang Arab gemar datang berpiknik di perkarangan masjid ini di sebelah malam.
Bangunan-bangunan moden di Makkah
Pemandangan di pinggir bandar Makkah
Satu lagi pemandangan di pinggir bandar Makkah
Venue yang boleh disewa untuk majlis seperti perkahwinan
Kami juga melalui sebahagian kampus Universiti Umm Al Qura dalam perjalanan menuju ke Arafah. Universiti ini bermula sebagai sebuah pusat pengajian Agama Islam pada tahun 1949 tetapi kini turut menawarkan ilmu pengajian sains, teknologi dan perubatan.
 
Sebahagian kampus Universiti Umm Al Qura yang dilalui dalam perjalanan menuju ke Arafah
Umm Al Qura University
Pintu masuk ke Umm Al Qura University
Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang paling utama di mana Jemaah Haji akan berkumpul di Padang Arafah bermula waktu Zohor 9 Zulhijjah sehingga waktu Fajar 10 Zulhijjah. Wukuf di Arafah mencerminkan suasana perhimpunan Padang Mahsyar di Akhirat. Ia mendidik Jemaah untuk bermuhasabah diri, menyesali dosa dan menumpukan sepenuh hati kepada perintah Allah SWT. 
 
Tempat permulaan Padang Arafah
Pemandangan umum di Padang Arafah. Di sinilah khemah-khemah akan didirikan untuk kegunaan Jemaah Haji sewaktu wukuf.
Destinasi kami di Arafah adalah ke Jabal Rahmah. Seronok sungguh bila bas kami mendapat tempat parking dekat Jabal Rahmah. Tak perlulah kita nak berjalan jauh sepertimana di dalam perjalanan Umrah kami yang lalu.
 
Tempat parking bas berdekatan Jabal Rahmah
Berjalan menuju ke Jabal Rahmah dari tempat parking bas
Pintu masuk ke Jabal Rahmah
Pemandnagan berhampiran pintu masuk ke Jabal Rahmah
Berkumpul untuk mendengar penerangan Mutawif tentang Jabal Rahmah
Mutawif kami menyampaikan penerangan tentang Jabal Rahmah
Jabal Rahmah ialah sebuah bukit granit setinggi kira-kira 70 meter yang terletak di Padang Arafah. Ia merupakan lokasi bersejarah penting di mana Nabi Adam dan Hawa dipercayai bertemu semula setelah dikeluarkan dari syurga dan turun ke bumi. Di sini jugalah tempat Rasulullah SAW menyampaikan khutbah baginda yang terakhir yang dikenali sebagai Hujjatul Wada'.

Bergambar kenangan di Jabal Rahmah
Husband bergambar kenangan dengan Mutawif kami, Ustaz Herman Hazwan
Sewaktu menyampaikan Hujjatul Wada', baginda Rasullullah SAW ketika itu sudah mengetahui umurnya tidak panjang dan perlu mengingatkan umat Islam kesimpulan bagi apa yang telah disampai dan diajarkan kepada ummah sepanjang hidup Baginda. Antara mesej Rasulullah SAW ialah hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang tidak patut ditumpahkan ke muka bumi dengan sia-sia. Semua insan harus bersama menjaga kesucian itu.

Rasulullah SAW turut menyebut mengenai penjagaan harta. Ini adalah mesej kedua yang terkandung di dalam khutbah. Baginda menekankan kesucian harta milik seseorang sepatutnya tidak diganggu atau diambil individu lain tanpa persetujuan pemiliknya.

Suasana di sekitar Jabal Rahmah
Tugu yang dibina di puncak Jabal Rahmah
Dalam khutbah Hujjatul Wada, Rasulullah SAW juga menyebut hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat. Wanita berhak ke atas suaminya untuk menerima nafkah zahir dan batin termasuk tempat berlindung, pakaian dan hubungan intim suami isteri. Wanita juga tidak boleh dijadikan hamba dan ditindas dalam institusi kemasyarakatan.

Seterusnya baginda Rasullullah SAW berpesan supaya manusia berpegang kepada dua sumber utama Islam iaitu kitab al-Quran dan sunnah kerana kedua-duanya tidak akan menyesatkan dan tidak hilang sehingga Hari Kiamat.

Akhir sekali Rasulullah SAW berpesan semua umat Islam itu bersaudara. Umat Islam mesti saling mengingati dengan melakukan dakwah, seruan penting bagi sentiasa mengingatkan kita supaya kekal di jalan yang lurus dan tidak terpengaruh dengan amalan hidup kekafiran.

Setelah tamat khutbah Hujjatul Wada' itu, cuma Abu Bakar yang menitiskan air mata kerana beliau memahami kesimpulan khutbah tersebut ialah Rasulullah SAW bakal meninggalkan umatnya dan terpulang kepada kita sebagai pengikutnya untuk mengingati pesanan tersebut tanpa baginda yang dikasihi berada di sisi. 

Kawasan di sekitar Jabal Rahmah kini telah dipagar oleh Kerajaan Arab Saudi. Ia masih boleh didaki tetapi pengunjung perlu berjalan jauh mengelilingi sebahagian bukit ini untuk mendakinya.

Kawasan di sekeliling Jabal Rahmah kini telah dipagar oleh Kerajaan Arab Saudi
Papan keterangan mengenai Jabal Rahmah
Informasi mengenai Jabal Rahmah
Disebabkan curious nak tahu di mana tempat permulaan pendakian Jabal Rahmah, kami berjalanlah sedikit mengelilingi bukit ini.

Berjalan mengelilingi Jabal Rahmah
Binaan saluran air lama yang dinamakan Ain Zubaidah
Kelihatan macam di sanalah tempat permulaan untuk mendaki Jabal Rahmah sekarang
Setelah menemui tempat permulaan pendakian Jabal Rahmah, kami kembali ke tempat berkumpul yang ditetapkan kerana tempoh masa lawatan telah tamat. Sambil berjalan kita melihat fasiliti-fasiliti baru yang telah dibina di kawasan ini.
 
Dataran yang luas di hadapan Jabal Rahmah
Satu masa dahulu, ada unta yang boleh ditunggang di kawasan ini. Sekarang ia hanya dipenuhi Burung Merpati
Fasiliti Tandas Awam
Kedai-kedai yang menjual makanan ringan
Sekarang juga dah terdapat Surau Awam untuk lelaki dan perempuan yang dibina di kawasan ini. Paling seronok bagi kami mendapati surau ini dibina oleh Yayasan Hadiyah.

Surau awam di kawasan Jabal Rahmah
Pintu masuk ke Surau Awam
Seronok bila mendapati surau ini dibina sebahagiannya menerusi sumbangan Yayasan Hadiyah
Berjalan kembali untuk mendapatkan bas
Sebelum betul-betul meninggalkan Arafah, kami ditunjukkan Masjid Namirah yang terletak di Wadi Urana, lokasi sebenar di mana Nabi Muhammad SAW. menyampaikan khutbah terakhirnya dan memimpin solat. Nabi Muhammad SAW telah berkhemah di tapak masjid ini selepas sampai di Arafah pada 9 Zulhijjah, Tahun 10 Hijrah semasa Haji Wada'. Selepas berehat seketika, Rasullullah SAW telah bangun pada waktu tengah hari, duduk di atas untanya dan menyampaikan khutbah terakhir di Wadi Urana. Setelah itu, baginda bersama 100,000 orang sahabat menyelesaikan haji.

Tidak lama selepas Nabi Muhammad SAW selesai berkhutbah kepada umat Islam, Allah SWT menurunkan wahyu yang bermaksud:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu.” [Quran Surah Al-Ma'idah (5): Ayat 3]

Masjid Namirah
Adalah penting untuk kita mengetahui bahawa bahagian bahagian hadapan Masjid Namirah berada di luar kawasan Arafah. Oleh itu, jika seorang Muslim tinggal di sana selepas Zohor pada waktu Wukuf, besar kemungkinan Haji mereka menjadi tidak sah. Dalam kata yang lebih mudah, seseorang mesti memasuki kawasan Arafah sekurang-kurangnya satu waktu di antara matahari terbenam dan tengah hari untuk menyempurnakan ibadah Haji.


 Bersambung ke Bahagian 6...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH KE-7) 2026 :

No comments: