Monday, 16 February 2026

2026 UMRAH KE-7 BHG. 01 (KL - Jeddah)

Februari 2026

ARAB SAUDI
Makkah, Madinah & Badar

Bahagian 1: Ketibaan
KUALA LUMPUR - JEDDAH

Part 1: Persediaan Umrah Ke-7

Selepas berjaya melalui rawatan kanser hampir sepanjang tahun 2025, Myself dan Husband memang berniat nak pergi menunaikan Umrah untuk menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas kemudahan dan ketabahan yang diberikan sewaktu kami melalui dugaan ini. Memandangkan ada banyak peraturan baru yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk membuat Umrah sekarang, kami memilih bagi melaksanakan Umrah Ke-7 ini menggunakan khidmat agensi yang berpengalaman luas dalam menguruskan perjalanan Umrah dan Haji. Ada juga kami terfikir nak menggunakan kembali khidmat Syarikat Azzuha yang kami gunakan sewaktu menunaikan Umrah pada tahun 2024 dulu kerana kami sangat berpuas hati dengan khidmat mereka. Walau bagaimanapun lokasi pejabat Azzuha yang sangat jauh dari rumah kediaman kami membantutkan hasrat ini.

Kami akhirnya memilih menggunakan khidmat dari Syarikat Andalusia. Kami pernah menggunakan khidmat Andalusia sebelum ini dan agak mudah bagi kami untuk berurusan dengan mereka kerana HQ Andalusia terletak tidak begitu jauh dari rumah kami. Lagi menguatkan hasrat kami adalah apabila terjumpa booth Andalusia sewaktu kami berkunjung ke Matta Travel Fair pada bulan September 2025.

Booth Andalusia di MATTA Travel Fair September 2025
Selepas kembali dari membuat cruise dengan Star Voyager pada bulan Disember 2025, kami terus berkunjung ke HQ Andalusia di Desa Pandan untuk menyelesaikan bayaran dan urusan-urusan lain berkait dengan Umrah. Ketika itulah kami diberitahu yang suntikan Meningococcal diwajibkan bagi mereka yang ingin membuat Umrah sekarang. Syukurlah kerana HQ Andalusia memang lengkap bagaikan one stop centre dengan segala keperluan bagi mereka yang ingin menunaikan Umrah. Di bangunan yang sama, ada 2 buah klinik yang menawarkan suntikan ini. Kami terus mengambil suntikan Meningococcal di Klinik Kita yang bersebelahan. Pengalaman jatuh sakit sebaik sampai di Tanah Suci pada Umrah yang lepas juga menyebabkan kami turut mengambil suntikan tambahan Influenza dan Pneumococcal bersekali. Biarlah harganya mahal, asal ada usaha dari kami untuk kekal sihat sepanjang masa sewaktu berada di Tanah Suci nanti, Insyaallah.

Ibu Pejabat Andalusia Travel di Desa Pandan, Kuala Lumpur
[Gambar dari internet]
Selain dari kemudahan klinik berhampiran, bangunan HQ Andalusia juga mempunyai kemudahan lain seperti kedai untuk menangkap gambar bagi keperluan Visa Umrah dan juga Money Changer. Yang lebih menarik bagi kami adalah Farmasi Andalusia yang menjual pack ubatan bagi kegunaan Jemaah Umrah. Dalam pack ini dah tersedia ubat ringan bagi batuk, demam, selsema, tahan sakit dan juga sakit perut. Very convenient. Teringat betapa mahalnya ubat selsema yang kami beli sewaktu di Madinah dulu. Sudahlah mahal, ubatnya juga tidak berapa berkesan dengan kami.
 
Pack ubat ringan untuk kegunaan Umrah yang dibeli dari Farmasi Andalusia
Sesuatu yang menyeronokkan juga bagi kami ialah kita boleh menyelesaikan urusan pengambilan cap jari biometrik untuk Visa Umrah di ofis Andalusia sendiri. Sewaktu membuat Umrah lepas pada tahun 2024 dulu, kami perlu membuat urusan ini dengan handphone sendiri. Punyalah payah dan rasa macam nak buat kenduri bila berjaya menyelesaikannya. 😅

Berurusan di kaunter HQ Andalusia
[Gambar dari internet]
Pengalaman Umrah lepas juga menyebabkan Myself dan Husband bertekad nak mengambil insurans perubatan swasta untuk kegunaan di Makkah dan Madinah kali ini. Dengan adanya insuran ini, bolehlah kita mendapatkan rawatan di klinik swasta di Makkah dan Madinah kelak tanpa mengeluarkan sebarang bayaran jika diperlukan nanti. Walaupun Visa Umrah membolehkan jemaah mendapat rawatan percuma di fasiliti perubatan Kerajaan di Arab Saudi, tidak mudah untuk menggunakan kemudahan ini kalau setakat kita nak merawat batuk dan selsema di Tanah Suci. Kami memilih untuk mendaftar dengan insuran Al Khairi Care. Disebabkan Al Khairi Care adalah syarikat insuran yang berpusat di United Arab Emirates (UAE), bayaran yang dikenakan adalah dalam matawang Dirham UAE. 

Kami mengambil insuran yang paling basic bernilai AED 150 (RM 167) seorang. Memang agak mahal kerana kami berdua dah masuk usia emas. Kelebihan menggunakan insuran ini ialah kita boleh mendapatkan rawatan pesakit luar meliputi ubat (termasuk darah tinggi dan diabetik) tanpa mengeluarkan bayaran di klinik-klinik swasta terpilih di Makkah, Jeddah dan Madinah. Kalau menggunakan insuran biasa dari Malaysia, kita perlu membayar dulu perkhidmatan ini sendiri dan membuat claim kemudian bila dah balik ke Malaysia. Bayaran rawatan batuk dan selsema ini senang-senang boleh mencapai sehingga RM 300 sekali rawatan. Kita pulak memang tidak bercadang nak membawa berguni-guni duit cash ke Tanah Suci. Alhamdulillah kerana kami tidak perlu menggunakan insuran ini sewaktu kami ke Tanah Suci kali ini, tetapi ia pasti akan sangat membantu sekiranya kita memerlukan rawatan perubatan di sana.

Sijil Insuran Al Khairi Care
HQ Andalusia juga menawarkan kursus umrah percuma pada setiap hari Sabtu dan Ahad yang dibimbing oleh Ustaz Daud Che Ngah. Selain hadir secara fizikal, kita juga boleh menyertai kursus ini secara online menerusi Facebook rasmi Syarikat Andalusia. Taklimat perjalanan secara online juga turut diberikan oleh pihak Andalusia beberapa hari sebelum memulakan perjalanan.
  
Part 2: Kuala Lumpur International Airport (KLIA 1)

Jadual penerbangan kami dari Kuala Lumpur ke Jeddah dengan pesawat Saudi Arabian Airlines SV 835 adalah pada 1 Februari 2026 @ 5.35 petang. Semua Jemaah diminta berkumpul di KLIA pada pukul 1.30 petang bagi urusan check-in. Untuk keselesaan selepas mengambil kira semua faktor, kami bergerak dari rumah seawal pukul 11.30 pagi dengan menggunakan khidmat Grab yang ditempah awal.

Tiba di KLIA 1 pada pukul 12.30 tengahari
Suasana di Drop-off Area KLIA 1 dah lengang sekarang sejak KLIA mengenakan caj bagi kenderaan yang menunggu lebih dari 10 minit.
Pintu masuk ke bangunan terminal
Tidak seperti kebiasaan, kami tidak menggunakan khidmat wifi Roamingman pada kali ini. Ini adalah kerana tidak seperti perjalanan percutian biasa, Myself dan Husband tidak sentiasa dapat bergerak bersama sewaktu dalam perjalanan Umrah, lebih-lebih lagi sewaktu di dalam Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah. Kami hanya mendaftar menggunakan khidmat roaming dari Maxis sahaja pada kali ini untuk kemudahan berhubung antara satu sama lain.

Disebabkan kami tiba di KLIA 1 sewaktu lunch hour, kami pasti food court di KLIA 1 ini yang bernama Food Garden itu sesak. Oleh yang demikian, kami memutuskan untuk lunch di sebuah restoran makanan Turki di Arrival Level yang bernama Loka Loka.

Kafe Loka Loka di Aras Ketibaan KLIA 1
Di samping makanan Turki, ada juga sedikit makanan tempatan yang turut dijual di kafe ini
Antara pilihan makanan yang disediakan
Terasa bagaikan kita sedang berada di Istanbul sewaktu masuk ke kafe ini.
Suasana di dalam Cafe Loka Loka
Lunch di Loka Loka
Dekat-dekat waktu yang ditetapkan, kami terus bergerak menuju ke tempat untuk berkumpul bersama-sama Jemaah Andalusia yang lain. Andalusia adalah antara syarikat pengendali Umrah yang terbesar di Malaysia. Oleh itu, bilangan Jemaah yang menggunakan perkhidmatannya memang ramai. Jemaah yang berlepas bersama kami misalnya pada hari itu, hampir 150 orang yang dibahagikan kepada 5 kumpulan Bas. Myself dan Husband ditempatkan dalam kumpulan Bas 3 yang mempunyai 38 orang ahli. Mutawif kami adalah Ustaz Herman Hazwan. Kami semua berpakaian ihram kerana perjalanan kami adalah terus menuju ke Makkah sebelum masuk ke Madinah.
 
Tempat berkumpul yang ditetapkan adalah berhampiran Kaunter K
Jemaah-jemaah yang menunggu di tempat berkumpul
Posing dulu untuk kenangan
Petugas-petugas Andalusia yang menguruskan perjalanan jemaah mereka di KLIA
Selepas mendaftar dan mendapat tag nama, ada taklimat perjalanan yang diberi oleh kakitangan Andalusia. Ada juga goodies bag yang diberi kepada setiap peserta mengandungi makanan ringan seperti roti, kurma dan biskut serta kit ubat ringan yang terdiri dari panadol, minyak urat dan ubat batuk dalam bungkusan-bungkusan kecil. Bagi Myself, memang jelas yang Andalusia sangat mengambil berat tentang kesihatan jemaah mereka. 

Taklimat perjalanan dari wakil Andalusia
Kakitangan Andalusia sedang memberi taklimat.
Bila kaunter Saudia dibuka, kami terus beratur untuk check-in. Syukurlah kerana Myself dan Husband dapat duduk bersama dalam penerbangan ke Jeddah ini. Ada juga beberapa Jemaah yang bermasalah sewaktu check-in kerana berat beg mereka melebihi had 23 kg yang ditetapkan. Saudia membenarkan setiap penumpang membawa bagasi sehingga 46 kg, tetapi berat setiap beg tidak boleh melebihi 23 kg. Perkara ini juga telah dimaklumkan sejak awal lagi tetapi mungkin jemaah yang berkenaan tidak memberi perhatian.

Check-in di kaunter Saudia
Beratur panjang nak check-in di kaunter Saudia. Sebahagian besar penumpang adalah terdiri dari jemaah Andalusia
Pintu perlepasan pesawat kami adalah C2 yang terletak di bangunan satelit KLIA. Oleh yang demikian, kita perlu menaiki aerotrain ke sana.
 
Naik aerotrain ke bangunan satelit
Tiba di bangunan satelit KLIA
Husband masih belum berpakaian lengkap ihram ketika ini
Penumpang Saudia Airlines SV 835 diminta pergi ke pintu perlepasan.
Sebelum pergi ke pintu perlepasan, Myself dan Husband sempat membuat lawatan ke sebuah tarikan di tengah-tengah bangunan satelit ini. Pada masa dahulu, ia dikenali sebagai KLIA Jungle Boardwalk, tetapi kini ia telah diberi nafas baru dan dinamakan sebagai Rimba.

Rimba yang terletak di tengah-tengah bangunan satelit KLIA
Pintu masuk ke Rimba
Rimba menggambarkan suasana hutan hujan tropika di Malaysia. Kita lihat suasana di dalam Rimba yang sempat kami capture...

Suasana di dalam Rimba
Hutan di Rimba ini kini dah tidak serimbun dahulu
Posing dengan air terjun di tengah Rimba
Husband pun nak bergambar dengan air terjun
Koleksi bunga-bungaan di dalam Rimba
Replika bunga Rafflesia
Hiasan model sarang burung
Keterangan tentang Rimba
Boardwalk di dalam Rimba
Selepas melawat Rimba barulah kami bergerak menuju ke pintu perlepasan kami ~ Gate C2.

Krew Saudia yang bertugas dalam pesawat kami menuju ke Jeddah
Pesawat Saudia SV 835 yang sedang bersedia untuk membawa kami ke Jeddah
Pintu perlepasan C2
Suasana di pintu perlepasan
Menunggu di pintu perlepasan
Pada pukul 4.40 petang, semua penumpang pesawat Saudia SV 835 dipanggil masuk ke dalam pesawat.

Panggilan masuk ke dalam pesawat
Berjalan menuju ke dalam pesawat
Perjalanan Umrah kini bermula...
Tiba di pintu pesawat

Part 3 : Saudia Airlines (KL - Jeddah)
  
Pesawat Boeing 787-10 Saudia Airlines SV 835 berlepas dari KLIA menuju ke Jeddah mengikut jadual pada pukul 5.35 petang. Penerbangan ke Jeddah yang membawa jemaah Umrah seperti ini memanglah selalu full house. Selain jemaah dari Malaysia, ada juga jemaah dari Indonesia khususnya yang berasal dari Sumatera dan Kepulauan Riau yang turut terbang bersama kami.

Penumpang masuk ke dalam pesawat
Suasana di dalam pesawat
Husband dah bersedia dengan pakaian ihram penuh kerana kami akan melalui miqat sebelum mendarat di Jeddah
Pemandangan sewaktu pesawat mula bergerak untuk meninggalkan KLIA
Xiamen Air
Oleh kerana cuaca baik dan pesawat berlepas pada waktu siang, banyaklah pemandangan cantik yang dapat dilihat, lebih-lebih lagi sebab kita mendapat tempat duduk di tepi tingkap.

Berlepas ke udara
Kawasan perumahan berhampiran KLIA
Putrajaya
Pemandangan tasik di Putrajaya
Pemandangan di celah awan
Satu pemandangan menarik lain yang dapat kami lihat dalam penerbangan ini adalah kota Medan di Sumatera, Indonesia.
 
Kepulan awan di Selat Melaka
Menghampiri Pulau Sumatera
Tiba di Sumatera
Tiba di kota Medan
Pemandangan Medan dari udara
Merentas Pulau Sumatera
Pemandangan selepas meninggalkan Pulau Sumatera
Sajian penerbangan pertama diberi kepada penumpang selepas kami meninggalkan Pulau Sumatera. Hidangan yang disediakan adalah Nasi dengan pilihan Chicken or Lamb.

Sajian penerbangan diberi kepada penumpang
Sajian penerbangan
Terbang di Laut Hindi
Kedudukan pesawat ketika ini
Alhamdulillah, penerbangan ini secara keseluruhannya agak lancar. Hanya sedikit turbulence yang dirasai sewaktu kami terbang di Sri Lanka dan penghujung selatan benua India.

Tiba di Sri Lanka
Terbang merentas Sri Lanka
Pemandangan sewaktu pesawat terbang merentas Sri Lanka
Banyak sungai dilihat di seluruh Sri Lanka
Menuju ke benua India
Suatu yang bagus dalam penerbangan Saudia ini ialah ada penunjuk masuk waktu solat. Ada juga ruang solat disediakan di belakang pesawat ini. Tetapi ruang solat ini sangat terhad untuk digunakan beramai-ramai.

Penunjuk waktu solat dalam penerbangan Saudia
Waktu Maghrib masuk sewaktu kami terbang di Laut Arab selepas meninggalkan India
Ruang solat dalam penerbangan Saudia
Terbang di Laut Arab selepas meninggalkan benua India
Pemandangan dari tingkap pesawat
Terbang menuju ke Semenanjung Arab
Suasana di dalam pesawat
Sajian penerbangan kedua disediakan sewaktu kami terbang di bumi Oman, kira-kira 2 jam sebelum mendarat. Sajian penerbangan kedua ini lebih ringan dan merupakan sandwich.

Tiba di Semenanjung Arab menerusi negara Oman
Pemandangan Oman dari dalam pesawat
Sajian penerbangan kedua sewaktu terbang di bumi Oman
Hidangan sajian kedua
Sandwich
Selepas selesai sajian penerbangan kedua kira-kira sejam sebelum mendarat, kapten pesawat memaklumkan yang kami akan melalui miqat Qarnul Manazil dalam sedikit masa lagi. Para jemaah yang ingin terus masuk ke Makkah seperti kami diingatkan untuk memasang niat pada masa sekarang.

Kedudukan pesawat sewaktu menghampiri miqat Qarnul Manazil. Miqat ini terletak di kawasan Al-taif di dalam peta.
 
Memasang niat sewaktu menghampiri miqat Qarnul Manazil.
Tidak lama kemudian, setelah kami terbang kira-kira 8 jam dari Kuala Lumpur, pemandangan kota Jeddah muncul di tingkap pesawat.
 
Tiba di kota Jeddah
Pemandangan Jeddah dari udara
Pesawat kami seterusnya mendarat di King Abdulaziz International Airport di Jeddah, Arab Saudi pada pukul 9.40 malam waktu tempatan (3.40 pagi waktu Malaysia). Maka bermulalah perjalanan Umrah Ke-7 bagi Myself dan Husband.
 
Selamat mendarat di Jeddah
Bersiap-sedia untuk turun dari pesawat


Bersambung ke Bahagian 2...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH KE-7) 2026 :
  • Bahagian 01 : Ketibaan (KL - Jeddah)
  • Bahagian 02 : Makkah (Makkah Hotel & Towers)
  • Bahagian 03 : Makkah (Masjidil Haram)
  • Bahagian 04 : Makkah (Ziarah Masy'aril Haram)
  • Bahagian 05 : Makkah - Madinah (Haramain High Speed Rail)
  • Bahagian 06 : Madinah (Al Ritz Al Madinah Hotel & Kota Madinah)
  • Bahagian 07 : Madinah (Masjid Nabawi)
  • Bahagian 08 : Madinah (Masjid Quba', Jabal Uhud & Ladang Kurma)
  • Bahagian 09 : Ziarah Badar (Telaga Al Rawha & Telaga Syifa)
  • Bahagian 10 : Ziarah Badar (Tapak Perang Badar, Makam Syuhada Badar & Jabal Malaikat)
  • Bahagian 11 : Madinah (Hop On Hop Off Bus)
  • Bahagian 12 : Madinah (Meninggalkan Madinah)
  • Bahagian 13 : Pulang (Madinah - KL)

No comments: