Wednesday, 25 September 2019

2019 LANGKAWI BHG. 13 (Taman Lagenda 2)

September 2019

LANGKAWI, MALAYSIA

Bahagian 13: Santai-santai Langkawi 3
TAMAN LAGENDA 2

HARI KETIGA (6)

Part 29: Taman Lagenda (Part 2)

Kita teruskan lagi melawat ke Taman Lagenda Langkawi. Tapi disebabkan malam dah mula berlabuh, terpaksalah kita rushing-rushing sikit. Seram juga melihat arca lagenda-lagenda Langkawi pada senja-senja begini, lebih-lebih lagi bila teringatkan kisah-kisah mistik yang diceritakan oleh Uncle Kent sewaktu melawat ke Gunung Raya pagi tadi...

Senja yang semakin berlabuh.

LAGENDA PULAU DAYANG BUNTING

Kita lawat dulu ke Lagenda Dayang Bunting yang terkandung di dalamnya pelbagai lagenda tentang Pulau Dayang Bunting. Menurut cerita yang tertulis di sini, Dayang Bunting adalah gergasi sakti yang menjaga kepulauan di bahagian Barat Laut Pulau Langkawi. Dayang Bunting dikatakan mempunyai singa kesayangan serta Pokok Tuba beracun sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Maka dua pulau yang berhampiran dengan Pulau Dayang Bunting yang seimbas lalu mirip seperti gergasi hamil yang terlena itu dinamakan Pulau Singa Besar dan Pulau Tuba.

Lagenda Dayang Bunting
Alkisah maka tersebutlah kisah sekumpulan pedagang yang tidak memberi penghormatan sebagaimana yang sepatutnya kepada Dayang Bunting semasa melewati kawasan itu. Maka terbangkitlah Dayang Bunting disebabkan kelakuan biadap itu dan dengan segera Dayang Bunting mengerahkan singanya untuk menghalau penceroboh tersebut. Dayang Bunting juga membangunkan ribut taufan demi melepaskan kemarahannya ke atas pelayar yang tidak mengikut adab itu.

Pelbagai representasi tentang Lagenda Dayang Bunting ada di sini.
Menurut sahibul hikayat, di pantai Pulau Jong terdamparlah serpihan-serpihan kapal yang terhempas.

Kapal yang terhempas di Pulau Jong
Kerbau-kerbau muatan dari kapal-kapal itu berenang ke Pulau Gubang Darat dan Pulau Gubang Laut lalu berkubanglah sekeliannya di situ.

Kerbau-kerbau yang terlepas dari kapal yang karam
Maka berenanglah kerbau-kerbau ke Pulau Gubang Darat dan Pulau Gubang Laut
Tetapi sekumpulan kerbau balau terkandas di Pulau Balar.

Kerbau yang terkandas di Pulau Balar. Dah tercabut kepala kerbau ni.
Perahu yang membawa beras pula terdampar di Pulau Beras Basah. Sekali peristiwa, tersebutlah kisah beras basah itu ditanak semasa suatu kenduri perkahwinan lalu dijamu kepada seorang putera. Maka putera itu pun menderita sakit perut kerana memakan nasi mentah. Justeru itu dalam perjalanan pulang lalu terkentutlah dia di dua buah tempat yang kini dikenali sebagai Pulau Kentut Besar dan Pulau Kentut Kecil.

Beras yang terdampar di Pulau Beras Basah
Tasik Dayang Bunting pula dikatakan sebagai tempat bermain dan mandi seorang puteri duyung bernama Puteri Dayang Sari. Pada satu hari, seorang putera raja bernama Putera Teja telah terserempak dengan Puteri Dayang Sari yang ketika itu sedang bermain dan mandi di tasik tersebut. Putera Teja yang terpegun dan jatuh cinta dengan kecantikan yang dimiliki oleh puteri dari laut kayangan itu cuba memikat Putri Dayang Sari tetapi tidak berjaya.

Oleh kerana usahanya tidak berjaya, Putera Teja telah berjumpa dengan cerdik pandai untuk mendapat nasihat bagi memenangi hati puteri tersebut. Beliau telah disuruh membasuh mukanya dengan airmata puteri duyung.

Bila Putera Teja bertemu kembali dengan Puteri Dayang Sari, dia menghadiahkan puteri dengan sebuah bola emas. Sang Puteri menjadi leka bermain dengan bola emas sehingga tidak sedar air telah surut menyebabkan dia tak dapat kembali ke kayangan. Sang Puteri menangis sehingga air matanya menitis pada bola emas. Air mata puteri duyung telah diambil dan disapu kepada mukanya oleh Putera Teja. Dengan serta merta, Puteri Dayang Sari jatuh cinta kepada Putera Teja.

Selepas berkahwin, Puteri Dayang Sari telah mengandung. Bayi yang dikandungnya itu telah mati ketika dilahirkan dan beliau menyedari tentang perkahwinannya yang merupakan satu tipu helah. Selepas mengebumikan bayi tersebut di dalam tasik ini, Puteri Dayang Sari yang mempunyai penawar kemandulan telah kembali ke laut kayangan dan tidak kembali lagi.


Pemandangan dari belakang Puteri Duyung sedang bermain dengan bola emas
Sebuah lagenda lain di Pulau Dayang Bunting juga menceritakan kisah mitos percintaan di antara seorang dayang istana bernama Telani dengan kekasihnya, seorang pahlawan yang bernama Telanai. Selepas mengalami malapetaka berturut-turut, Sultan yang mendapat tahu mengenai hubungan tersebut telah menyalahkan hubungan dayang istananya itu sebagai punca malapetaka tersebut. Sultan kemudiannya telah memerintahkan Telani dibuang daerah ke sebuah pulau yang sunyi di Pulau Dayang Bunting.

Di situ Telani telah melahirkan seorang anak lelaki. Tidak lama kemudian, Telanai pun belayar menuju ke pulau tersebut bagi mengubati rindunya terhadap Telani dan anaknya. Semasa pelayarannya, secara tiba-tiba, kilat sambar-menyambar berserta guruh-gemuruh. Anak Telani yang sedang nyenyak tidur di pinggir tasik terjaga ketakutan, lalu terjatuh ke dalam tasik. Setelah kabus hilang, Telanai telah bertukar rupa menjadi sebuah pulau yang kini dikenali sebagai Pulau Tajai, sementara Telani pula menjelma sebagai batu besar di tempat dia menangis. Menurut cerita, seekor buaya putih kerap muncul berenang di antara Pulau Tajai dan batu besar itu. Dikatakan bahawa buaya itu adalah jelmaan anak pasangan kekasih tersebut.

Buaya jelmaan anak Telanai dan Telani

LAGENDA GARUDA DAN JENTAYU

Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, Maharaja Rom dan Maharaja China merancang untuk mengahwinkan anak-anak mereka. Rancangan ini telah ditentang oleh Garuda yang melihat penyatuan dua kuasa besar sebagai satu ancaman kepada kerajaan-kerajaan kecil yang lain.

Lagenda Garuda dan Jentayu
Garuda berhasrat untuk membatalkan rancangan ini dengan menculik puteri China dan menyembunyikannya di dalam Gua Cherita di Pulau Langkawi. Dia kemudiannya bertekad untuk menyerang dan memusnahkan armada Kerajaan Rom yang diketuai oleh Merong Mahawangsa yang membawa Putera Rom di atasnya.

Pertarungan Garuda dengan Jentayu
Merong Mahawangsa dikatakan berasal dari keturunan Indera dan Gergasi. Ketika di dalam pertempuran, Merong Mahawangsa telah dibantu oleh Burung Jentayu yang merupakan burung mitos air. Malangnya dalam pertempuran tersebut, Garuda telah menang.

Walaupun Garuda menang dalam pertempuran, dia gagal menghalang perkahwinan Putera Rom dengan Puteri China
Ketika di dalam pertempuran, Putera Rom jatuh ke dalam laut dan dihanyutkan ke pantai di pulau tempat puteri China disembunyikan. Putera Rom kemudiannya dijumpai oleh dayang puteri. Putera Rom dan Puteri Cina akhirnya bersatu dalam perkahwinan. Garuda merasa malu kerana gagal menghalang perkahwinan tersebut walaupun menang dalam pertempuran. Dalam kehinaan, Garuda menghilangkan diri dari dunia.

PASIR TENGKORAK, TANJUNG TULANG & PANTAI PASIR HITAM

Sisa-sisa ngeri daripada pertempuran sengit di antara Garuda dan Jentayu dikatakan terlihat di Pasir Tengkorak, Tanjung Tulang dan Pantai Pasir Hitam di mana serpihan tengkorak, tulang dan kapal bertaburan di sepanjang pantai.

Lagenda tempat-tempat yang mempunyai perkaitan dengan pertempuran Garuda dan Jentayu
Sesetengah orang pula menganggap sisa-sisa itu datang daripada para saudagar dan kapal mereka yang karam disebabkan pusaran laut di bahagian utara Langkawi. 

Kapal karam sisa pertempuran Garuda dan Jentayu
Pantai Pasir Hitam juga mempunyai lagendanya yang tersendiri. Alkisah maka tersebutlah cerita  seekor ikan duyung menghadiahkan cincin sakti yang boleh mendapatkan ikan yang banyak kepada seorang nelayan sebagai ganjaran jika dia boleh mendapatkan penawar untuk mengubahnya kembali kepada seorang putera seperti sedia kala. Sekiranya gagal, nelayan hendaklah memulangkan cincin tersebut pada masa yang ditetapkan. Sayugia malangnya nasib duyung kerana nelayan gagal mencari penawar dan enggan pula dia memulangkan cincin sakti itu. Maka sebab kemungkiran itulah ikan duyung menukarkan pantai yang putih menjadi hitam.

TELAGA TUJOH

Telaga Tujoh adalah satu rangkaian tujuh telaga semulajadi yang airnya mengalir dari tujuh mata air. Dipercayai terdapat tujuh orang puteri dari kayangan yang sering mandi dan amat suka akan kesejukan air perigi ini. 


Telaga Tujoh
Terdapat seorang putera raja yang tinggal berhampiran perigi ini dan cuba untuk memikat serta mengahwini salah seorang puteri-puteri ini tetapi masih belum berjaya. Air ini juga dipercayai mempunyai kuasa yang boleh menyembuhkan beberapa penyakit.

Pintu masuk ke Lagenda Telaga Tujoh, tapi Myself tak explore ke situ.

BUKIT HANTU DAN PADANG GAONG

Lagenda yang seterusnya pula berkait dengan muzik. Begini kisahnya... Di pinggiran lautan yang kebiruan bagaikan sinar permata gemerlap berkilauan, Pantai Cenang dilamun ombak yang memukul pantai. Angin gemalai melambai dan meniup irama di Bukit Hantu dan bergema di Padang Gaong. Geseran ombak menghasilkan irama, Pantai Cenang diberi nama. Kelunakan irama berkumandang di udara bagaikan nyanyian kumpulan seiring biduan dan alat bunyi-bunyian bersepadu mengalunkan rentak harmoni dan menenangkan. Ini adalah anugerah semulajadi Langkawi.

Bukit Hantu dan Padang Gaong
Gubahan Canang yang berlapisari nada dentuman genggang yang mempesonakan beserta alunan rebab nescaya membawa ke satu zaman silam yang penuh gemilang. 

Genggang. Gegar pulak gambar ini
Alkisah maka tersebutlah hikayat asal-usulnya Pulau Rebak. Adalah dipercayai kononnya pada satu ketika dahulu, dewa-dewa menyanyi dan bermain alat-alat bunyian di dataran angin. Maka sepasang rebab terjatuh ke laut lalu menjelma menjadi dua pulau yang kini dikenali sebagai Pulau Rebak Besar dan Pulau Rebak Kecil yang berhadapan dengan Pantai Cenang.

Canang di sebelah sana

BERAKHIRNYA SUMPAHAN MAHSURI

Bercerita tentang Langkawi, pasti kita tak dapat mengelak dari kisah Sumpahan Mahsuri. Mahsuri adalah seorang wanita yang dituduh melakukan perbuatan sumbang oleh ibu mertuanya sendiri yang iri hati kepada kecantikan dan penghormatan yang dimiliki beliau. Akibatnya, Mahsuri dijatuhi dengan hukuman mati.

Dinding Warita Mahsuri
Pada hari hukuman, lembing keramat kepunyaan keluarganya sendiri digunakan untuk membunuhnya. Namun begitu, satu perkara aneh telah berlaku di mana darah yang keluar dari badan Mahsuri berwarna putih yang membuktikan tuduhan yang dilemparkan kepadanya adalah fitnah semata-mata.

Kisah Mahsuri sepintas lalu diceritakan pada Dinding Warita Mahsuri ini
Sumpahan Mahsuri
Di saat-saat akhir kematiannya, Mahsuri telah bersumpah bahawa Langkawi akan menjadi kawasan yang mundur selama tujuh keturunan. Kebenaran sumpah itu telah terbukti apabila Langkawi telah diserang tentera Siam dan semua bekalan makanan dan tanaman telah dimusnahkan.

Lembing yang diguna untuk membunuh Mahsuri
Lembing Sakti
Antara kebenaran lagenda atau terbuktinya sumpahan itu, Langkawi hanya mula berkembang maju sekali lagi setelah tujuh keturunan dalam kepayahan.

Galeri Perayaan
Berjalan menuju ke Galeri Perayaan
Seronok sebenarnya melawat ke Taman Lagenda walaupun penyelenggaraannya agak menyedihkan. Kalau nak datang melawat, eloklah datang di sebelah pagi. Taklah seram sangat melihat lagenda-lagenda yang penuh mistik ini seperti di senja hari begini.

Pantai di penghujung taman
Kami keluar dari Taman Lagenda di penghujung sebelah sana pula. Di sini ada sebuah pantai kecil dengan pemandangan mentari terbenam yang indah.

Pemandangan mentari terbenam yang indah
Bot-bot yang sedang berlabuh
Pemandangan menghala ke Jetty Point
Masjid Al Hana
Datang ke Taman Lagenda tadi, kami naik Grab. Pulang ke hotel pun, khidmat Grab digunakan.


 Bersambung ke Bahagian 14...


CATATAN PERJALANAN LANGKAWI (2019):