Tuesday, 24 September 2019

2019 LANGKAWI BHG. 12 (Taman Lagenda 1)

September 2019

LANGKAWI, MALAYSIA

Bahagian 12: Santai-santai Langkawi 2
TAMAN LAGENDA 1

HARI KETIGA (5)

Part 27: Minum Petang di Bayview Hotel

Minum petang percuma disediakan setiap hari untuk penginap Bayview Hotel. Jadi Husband insist kita kena pergi minum petang setiap hari sebab kita dah bayar mahal untuk menginap di hotel ini.

Executive Lounge di Bayview Hotel, Langkawi
Ada hidangan Cucur Udang disediakan untuk Minum Petang hari ini
Hidangan Minum Petang kami
Afternoon Tea, kata Orang Putih

Part 28: Taman Lagenda (Part 1)

Langkawi terkenal dengan gelaran Pulau Lagenda. Lagenda yang ada di Langkawi pula bukan sekadar Sumpahan Mahsuri. Hampir semua tempat di Pulau Langkawi seperti Gunung Raya, Gunung Machincang, Pekan Kuah, Air Hangat, Kisap, Belanga Pechah, Gua Cerita, Pulau Dayang Bunting, Pulau Kentut Besar dan berbagai-bagai lagi itu juga mempunyai kisah masing-masing. Jadi untuk mendekati kisah-kisah lagenda Langkawi, kita berkunjunglah pula ke Taman Lagenda.

Pulau Langkawi yang penuh lagenda
Selepas Minum Petang dan berehat sebentar di bilik, kami keluar lagi menuju ke Taman Lagenda dengan menaiki Grab. Taman ini sebenarnya taklah begitu jauh dari Hotel Bayview Langkawi. Kalau Orang Putih, mungkin akan berjalan kaki saja ke sana. Tapi disebabkan kami bukan Orang Putih, kita pilih sajalah naik Grab ke sana.

Ala... dah cabut-cabut pulak tulisan Taman Lagenda Langkawi ini.
Pintu masuk ke Taman Lagenda Langkawi
Pokok-pokok plastik sebagai perhiasan di depan pintu masuk
Peta Taman Lagenda
Keterangan tentang Taman Lagenda
Pintu masuk utama ke Taman Lagenda adalah menerusi sebuah ukiran batu yang terpecah di tengahnya. Ukiran ini dinamakan sebagai Banjaran Gondwana. Kita baca dulu keterangan tentang Banjaran Gondwana yang tertulis di sini...

Kisah tentang Banjaran Gondwana
Sepanjang sejarah geologi, benua-benua di bumi ini telah bergerak dan berpecah-pecah apabila lautan baru membentuk dan lautan lama tertutup. Pada zaman Cambrian, lebih dari 500 juta tahun dahulu, sebuah benua besar yang dinamakan Gondwana terletak di kawasan kutub selatan sementara tanah-tanah yang lebih kecil terletak berdekatan Khatulistiwa dan Kutub Utara. 

Peta Dunia di zaman Gondwana dulu
Benua Gondwana beransur-ansur berpecah menjadi cebisan tanah yang lebih kecil yang kini boleh ditemui di empat tempat di bumi: Afrika, Australia, India dan Langkawi. Oh, begitu kisahnya! Langkawi rupanya adalah pecahan asal dari benua Gondwana. Patutlah rupa bumi di pulau ini sangat unik berbanding di tempat lain.

Ukiran Banjaran Gondwana
Kita baca lagi... Terletak di bahagian barat daya Pulau Langkawi, di kawasan gunung-ganang di belakang Teluk Burau yang merentasi Teluk Datai sehingga Tanjung Buta, pembentukan batu Gondwana cukup mengkagumkan dan jauh berbeza dari muka bumi yang lain di Langkawi. Memuncak tinggi dengan megahnya berdekatan dengan Tanjung Buta, pembentukan gunung-gunung Machincang merupakan sebahagian dari benua Gondwana yang mengandungi berbagai batu-batan. Kecuraman tebing lapisan batu itu yang seolah-olah memanjat timbul dari aras laut membayangkan betapa hebatnya gerakan tekanan bumi. Di antara 23,000 buah pulau yang terdapat di Asia Tenggara, sukar menandingi keindahan geologi semulajadi yang terdapat di kepulauan Langkawi ini.

Langkawi adalah sebenarnya salah sebuah dari 4 pecahan asal benua Gondwana
Peta Langkawi
Laksamana Cheng Ho dari China, sewaktu dalam pelayaran ke Melaka dalam tahun 1406 mencatatkan Langkawi dalam peta pelayarannya sebagai Lung-Ya-Kian-Yi manakala dalam peta yang dihasilkan dalam abad ke-16 pula Langkawi dinamakan dengan menggunakan banyak nama seperti Langka, Langu, Langura, Langa dan Langapura. Cerita dongeng mengisahkan Langkawi sebagai tempat tinggal para roh manakala kesusasteraan klasik Hikayat Merong Mahawangsa pula  menceritakan Langkawi sebagai tempat rehat burung Garuda.

Taman Lagenda terletak di tepi laut. Jadi kita naik dulu ke Bukit Tinjau untuk menikmati keindahan matahari terbenam dari sana.


GERGASI BERTARUNG

Dekat Bukit Tinjau ada sebuah ukiran yang dinamakan sebagai Gergasi Bertarung. Ia menggambarkan kisah pertarungan di antara dua orang gergasi yang bernama Mat Raya dan Mat Chinchang.

Gergasi Bertarung
Lagenda mereka bermula pada majlis perkahwinan di antara anak Mat Raya dengan anak Mat Chinchang. Pada hari majlis itu berlangsung, Mat Raya mendapati anak lelaki Mat Chinchang telah berlaku sumbang dengan seorang dara dan ini telah mencetuskan kemarahannya. Akibatnya timbul pergaduhan di antara Mat Raya dan Mat Chinchang.

Pertarungan di antara dua gergasi yang bernama Mat Raya dan Mat Chinchang
Pergaduhan di antara Mat Chinchang dan Mat Raya yang berlanjutan menyebabkan kilat dan petir sambar menyambar. Akhirnya datang pula gergasi yang ketiga bernama Mat Sawar sebagai orang tengah bagi menyelesaikan masalah pertelingkahan di antara mereka berdua. 

Disebabkan hebatnya pergaduhan yang berlaku dan bagi mengelakkan kerosakan yang lebih besar, kedua-duanya bersetuju untuk bertukar menjadi gunung. Mat Raya bertukar menjadi Gunung Raya manakala Mat Chinchang pula bertukar menjadi Gunung Machinchang. Mat Sawar yang menjadi orang tengah dalam pergaduhan itu pula bertukar menjadi Bukit Sawar yang terletak di antara kedua-dua buah gunung itu. Ia kekal berada di antara Gunung Raya dan Gunung Machinchang bagi memastikan mereka berdua tak lagi bergaduh.

LALUAN HUJAN HUJAN

Taman Lagenda yang dibina di atas tanah tebus guna mempunyai lagun air tawar buatan manusia. Lagun ini membahagikan kawasan berbukit di sebelah kiri (Bukit Tinjau) dengan ukiran patung-patung lagenda di sebelah kanan. Ada sebuah laluan yang dibina di sepanjang lagun ini. Ia dinamakan Laluan Hujan Hujan. Arca-arca lagenda Langkawi yang lain dibina di tepi Laluan Hujan Hujan ini.

Laluan Hujan Hujan
Pemandangan Laluan Hujan Hujan yang bagaikan secebis pemandangan Pulau Nami yang terkenal di Korea.
Lagun Buatan
Satu lagi pemandangan lagun yang damai
Pemandangan petang di tepi Lagun

LAGENDA NAMA TEMPAT DI LANGKAWI

Pergaduhan di antara gergasi Mat Chinchang dengan Mat Raya telah mengubah kawasan utama di Pulau Langkawi.

Lagenda Nama Tempat di Langkawi
Lagenda Nama Tempat di Langkawi ada perkaitan dengan kisah Gergasi Bertarung
Dalam pergaduhan Mat Raya dan Mat Chinchang, cincin perkahwinan anak mereka telah tercampak dan jatuh di tempat yang kini dinamakan sebagai Tanjong Chinchin.

Cincin perkahwinan anak Mat Raya dan Mat Chinchang tercampak jauh dalam pergaduhan.
Tempat di mana cincin ini jatuh kini dinamakan sebagai Tanjong Chinchin
Peralatan-peralatan yang digunakan untuk memasak ketika majlis perkahwinan juga habis berterbangan akibat dibaling kepada satu sama lain. Dikatakan sebuah belanga  besar yang dibaling telah pecah dan tempat jatuhnya belanga itu kini dinamakan sebagai Belanga Pechah.

Belanga yang pecah dibaling Mat Raya dan Mat Chinchang dalam pergaduhan
Tempat di mana belanga ini jatuh pecah kini dinamakan sebagai Belanga Pechah
Tempat kuah mengalir dari belanga yang jatuh dinamakan Pekan Kuah dan tempat di mana kuah itu meresap ke tanah dinamakan Kisap. Kawasan Air Hangat yang mempunyai perigi air panas berasal dari bekas memasak air yang telah pecah bagi majlis tersebut. 

Air Hangat berasal dari berasal dari bekas memasak air yang pecah dalam pertarungan di antara Mat Raya dan Mat Chinchang
Nama Kuah berasal dari tempat kuah tumpah dan Kisap pula dari tempat di mana kuah meresap ke tanah.

 Bersambung ke Bahagian 13...


CATATAN PERJALANAN LANGKAWI (2019):