Sunday, 30 December 2018

2010 MELAKA BHG. 11 (Flor de la Mar)

November 2018

MELAKA, MALAYSIA
Banda Hilir

Bahagian 11: Jejak Penjajah (2)
KAPAL FLOR DE LA MAR (MUZIUM SAMUDERA MELAKA)

HARI KEDUA (8)

Part 35: Kapal Flor de la Mar

Kalau berkunjung ke Melaka, satu pemandangan yang sentiasa menarik perhatian ialah replika kapal Portugis Flor de la Mar yang dibina di tepi Sungai Melaka. Ia adalah sebenarnya sebahagian dari Muzium Samudera Melaka. Disebabkan tertarik melihatnya, Myself dan Husband membuat keputusan untuk melawatnya selepas membuat Melaka River Cruise.

Bangunan gudang lama yang kini dijadikan Muzium Kastam
Flor de la Mar (bermaksud: Bunga Laut) adalah kapal jenis nau milik Portugis yang boleh menjangkau berat sehingga 400 tan. Ia direkodkan telah menyertai pelayaran lebih dari 9 tahun di Lautan Hindi sehingga akhirnya dilaporkan karam pada bulan November 1511. Kapal tersebut dibina di Lisbon pada tahun 1502. 

Flor de la Mar
Pelayaran pertama Flor de la Mar adalah di bawah arahan pengemudian Estavao da Gama (abang kepada Vasco da Gama). Namun pada pelayaran kedua, kapal ini telah dibawa ke India oleh pihak Portugis pada tahun 1505. Pada pelayaran balik, ia telah belayar di sekeliling pantai Tanjung Harapan di Afrika sebelum kembali ke Mozambique untuk diperbaiki. Selepas diperbaiki, Ia menyertai ekspedisi penjajahan Ormuz pada tahun 1507. Flor de la Mar turut menyertai ekspedisi pertempuran Diu pada tahun 1509 dan berjaya menawan Goa pada tahun 1510.

Pemandangan dari sisi Flor de la Mar
Kapal ini adalah sebahagian dari Muzium Samudera Melaka
Muzium Samudera
Flor de la Mar adalah sebuah kapal jenis nau milik Portugis
Pemandangan Muzium Kastam dari tepi Flor de la Mar
Kapal Flor de la Mar turut menjadi saksi pelayaran Afonso de Albuquerque yang menawan kota Melaka pada tahun 1511. Selepas berjaya menawan Melaka, Flor de la Mar telah dipenuhi dengan pelbagai barangan berharga dan harta yang melimpah ruah termasuk emas, tembikar dan khazanah manuskrip yang dianggarkan bernilai berbillion-billion pound untuk dipersembahkan kepada Raja Portugal. Namun dalam pelayaran akhir tersebut, kapal ini telah karam dan tenggelam di Selat Melaka berhampiran Pulau Sumatera.

Tangga naik ke atas kapal
Memanjat tangga naik ke atas kapal
Pemandangan ke arah Sungai Melaka sewaktu memanjat naik kapal
Tinggi betul kapal ni!
Bahagian depan kapal Flor de la Mar
Banyak tangga kena dipanjat untuk naik ke kapal ini
Pemandangan menghala ke bawah
Aduh, tingginya!
Meriam untuk menyerang dan mempertahankan diri
Platform sebelum masuk ke dalam kapal
Pemandangan dari platform
Tali pemegang layar kapal
Jom kita naik ke sana.
Sampai kita akhirnya ke atas kapal
Pemandangan platform dari atas kapal
Ada beberapa buah pameran menarik di dalam kapal Flor de la Mar. Kita mulakan dulu dengan melawat ke Bilik Kapten yang terletak di depan kapal. Dari bilik inilah dulu Laksamana Portugis Alfonso de Albuequerque mengemudikan kapal ini mengetuai penaklukan kota Melaka.

Bilik Kapten
Tapi sebelum masuk ke Bilik Kapten, kita panjat dulu ke atas, tempat menara peninjau dipasang. Kapal-kapal zaman dahulu seperti Flor de la Mar ini memang tak mempunyai radar seperti kapal zaman sekarang. Dari semasa ke semasa ada anak kapal yang akan diperintahkan memanjat ke menara peninjau ini dengan teropong untuk melihat kedudukan daratan atau halangan kepada laluan kapal.

Menara peninjau di atas kapal Flor de la Mar
Tangga kapal naik ke atas tempat menara peninjau
Tinggi betul menara ini. Anak kapal yang memanjatnya pada zaman dulu mestilah seorang yang benar-benar berani dan tak takut gayat.
Dinding penghadang di tepi menara peninjau
Pemandangan ke bawah dari tempat menara peninjau
Tangga kapal memang curam. Cara paling selamat untuk turun dari tangga kapal adalah dengan cara membelakangkan badan.

BILIK KAPTEN

Lepas itu barulah kita melawat ke Bilik Kapten. Bilik Kapten ini kecil saja sebenarnya dan kita cuma boleh melihatnya dari luar.

Menjenguk ke dalam Bilik Kapten
Pemandangan di dalam Bilik Kapten
Kapten adalah peneraju utama yang berperanan menentukan kejayaan sesuatu misi perlayaran. Beliau ibarat seorang raja yang mempunyai kuasa mutlak menentukan arah dan destinasi yang dituju. Kapten kapal Portugis biasanya dibekalkan arahan (regimento) yang khusus. Regimento yang diberi kepada kapten Flor de la Mar dalam pelayarannya pada tahun 1511 misalnya adalah menyerang dan menakluk kota Melaka untuk kepentingan Portugal pada ketika itu.

Bilik Kapten ada banyak tingkap untuk membolehkan dia meninjau suasana di sekeliling kapal.
Kapten berkuasa menjatuhkan hukuman ke atas kelasi bawahan yang melakukan kesalahan. Kebijaksanaan dan kepakaran yang dimiliki beserta bantuan perlayaran lain akan mengemudi kapalnya mengharungi lautan luas. Di bahunya terpikul amanah dan kepercayaan raja dan pemilik kapal bagi menjayakan amanat yang dihasratkan termasuklah menakluk negara asing. Kerana itulah Kapten perlu memiliki kredibiliti dan merupakan seorang yang dihormati.

Tali untuk menaik dan menurunkan layar
Pemandangan bandar Melaka dari atas kapal Flor de la Mar

BILIK PETA

Kapal seperti Flor de la Mar juga bergantung penuh kepada arah tiupan angin untuk berlayar dan sangat bergantung kepada arah tiupan angin untuk sampai ke tempat tujuan. Kerana itulah layar sangat penting untuk mengemudikan angin bagi membantu perlayaran kapal.

Bilik Peta di seberang Bilik Kapten
Pintu masuk ke bilik peta
Bilik di seberang Bilik Kapten pula dijadikan Bilik Peta. Di bilik ini ada pameran menarik mengenai peta-peta zaman dahulu yang digunakan oleh Portugis untuk sampai ke Melaka.

Suasana di dalam Bilik Peta
Peta Bandar Melaka dan daerah sekitarnya
Peta Asia Tenggara pada tahun 1568
Lakaran kota-kota pertahanan Portugis di Melaka dan Pulau Jawa. Myself tak tahu pun sebelum ini yang Portugis pernah menjajah Jawa.
Peta Dunia 1597-1612
Peta Farnao Vaz Dourado 1570. Peta ini menunjukkan sebahagian Asia termasuk Kepulauan Melayu
Ada juga pameran kecil mengenai peralatan navigasi zaman dahulu.

Antara peralatan navigasi yang digunakan pada zaman dahulu
Lampu-lampu yang digunakan untuk perlayaran di waktu malam
Teropong peninjau

PAMERAN SEJARAH PENAKLUKAN MELAKA

Pameran yang paling menarik di dalam kapal Flor de la Mar dah pasti pameran mengenai kedatangan penjajah Portugis ke Melaka pada tahun 1511 dulu. Muara Sungai Melaka yang dalam dan kedudukannya yang terlindung daripada tiupan angin monsun telah menjadikan ia pelabuhan yang kaya dan masyhur.

Pada ketika itu Asia Tenggara yang kaya dengan rempah ratus dianggap sebagai sumber kekayaan di Eropah. Sesiapa yang dapat menguasai perdagangan rempah di Timur akan menjadi kaya-raya. Maka berlumba-lumbalah kuasa-kuasa Eropah pada masa dulu ingin menguasai laluan perdagangan ke Timur.

Portugis dengan cepat menjadi kuasa tentera laut di Lautan Hindi dan cuba untuk menguasai pasaran rempah Asia. Selepas mewujudkan pangkalan di bandar-bandar India seperti Goa dan Calicut sekitar tahun 1510, Portugis memandang ke Timur untuk mengembangkan empayar perniagaan mereka.


Suasana kesibukan Pelabuhan Melaka
Pedagang-pedagang di Pelabuhan Melaka
Pemandangan di bahagian bawah kapal Flor di la Mar
Ada satu pameran menarik di sini mengenai Panglima Awang yang juga dikenali sebagai Henry The Black atau Enrique of Malacca. Menurut sejarahnya Panglima Awang yang berketurunan Melayu telah dijadikan tawanan oleh Portugis sewaktu mereka menawan Melaka. Ketika itu dia hanya berusia 14 tahun. Beliau telah dibawa oleh Portugis kembali ke Portugal melalui jajahan-jajahan mereka di India dan Afrika. Setibanya di Portugal, Panglima Awang telah dikristiankan dan diberi nama Enrique (Henry) kerana dia dibaptiskan pada Perayaan St Henry.

Panglima Awang kemudiannya telah menyertai misi pelayaran Magellan untuk mengelilingi dunia sebagai pembantu dan juru bahasa. Walaupun Magellan berbangsa Portugis, dia berkhidmat untuk Raja Sepanyol. Disebabkan Portugis telah menguasai laluan perdagangan ke Timur melalui Lautan Hindi, Raja Sepanyol telah mengarahkan Magellan untuk mencari laluan ke Timur melalui Lautan Atlantik.

Magellan berjaya menemui laluan baru perdagangan ke Timur melalui Lautan Atlantik. Malangnya beliau dibunuh oleh seorang pemerintah Filipina yang bernama Lapu-Lapu sewaktu tiba di Cebu. Hanya krew Magellan sahaja yang dapat kembali ke Sepanyol dengan selamat. Namun demikian, Magellan tetap dinobatkan sebagai orang yang pertama berjaya mengelilingi dunia.

Adalah dikatakan Panglima Awang telah kembali ke Melaka selepas Magellan dibunuh. Kalau benar begitu, mungkin dialah sebenarnya orang yang pertama berlayar mengelilingi dunia dengan mengambilkira fakta yang dia telah dibawa ke Portugal melalui Lautan Hindi dan kembali semula ke Melaka melalui Lautan Atlantik dan Pasifik. Namun disebabkan dia adalah pekerja bawahan dan bukan seorang kapten kapal, namanya tidak tercatit sebagai seorang pengembara dunia.

Diorama Panglima Awang
Panglima Awang
Semakin kita masuk ke bahagian bawah di dalam kapal Flor de la Mar, semakin banyak pameran menarik yang kita temui.

Tangga turun ke bawah dalam kapal Flor de la Mar
Pemandangan Kota Melaka sewaktu kedatangan Portugis
Peti Besi zaman Belanda
Peti-peti besi ini digunakan untuk menyimpan peralatan dan bekalan yang dibawa para pelayar dari Eropah ke Melaka
Pemandangan lebih dekat peti-peti besi zaman Belanda
Ada juga koleksi model-model kapal yang berlayar ke Pelabuhan Melaka pada masa itu.

Kapal Perang Belanda, Kapal Dagang India dan Jong China
Kapal Perang Belanda
Kapal-kapal Portugis
Pemandangan kapal-kapal yang tiba di Muara Sungai Melaka
Meriam dari kapal-kapal Eropah
Kemudian kita berkenalan pula dengan Alfonso de Albuquerque. Dia adalah seorang Laksamana tentera laut Portugis terkenal yang telah membantu mengembangkan Empayar Portugal di Lautan Hindi. Beliau adalah juga tokoh yang menyebabkan keruntuhan Kesultanan Melaka pada 24 Ogos 1511, dan yang kemudian membina Kota A Famosa untuk menyekat penentangan orang-orang Melayu.

Alfonso de Albuquerque
Di belakang patung Alfonso de Albuequrque ini, terdapat sebuah replika Bilik Tahanan. Di sinilah tawanan perang Portugis dari berbagai bangsa, hamba dan kelasi yang melakukan kesalahan ditempatkan sewaktu menanti hukuman. Nasib mereka ditentukan apabila kapal tiba di pelabuhan. Di perut kapal seperti inilah Alfonso de Albuequerque dipercayai menghimpunkan sejumlah besar Orang Melayu yang mempunyai pelbagai kepakaran untuk dibawa pulang ke Portugal bagi berkhidmat kepada Raja Portugal dan Kerajaannya.

Menjenguk ke dalam Bilik Tahanan
Suasana di dalam Bilik Tahanan
Kita tengok bahan-bahan pameran lain di dalam kapal Flor de la Mar ini.

Senjata Portugis
Suasana di dalam perut kapal
Model Kapal Inggeris
Serangan Belanda ke atas Melaka
Laksamana Hang Tuah
Perahu Katir Kora-Kora yang digunakan dalam peperangan
Koleksi Kapal-kapal Melayu
Apabila Flor de la Mar berlayar keluar dari Melaka, sarat dengan hasil rampasan perang menuju ke Goa di India, telah berlaku ribut yang dahsyat berhampiran Pasai di Sumatera menyebabkan kapal rosak teruk. Flor de la Mar tidak dapat bertahan lalu tenggelam dan karam di lautan berdekatan persisir pantai pada malam 20 November 1511. Banyak harta rampasan musnah dan ramai yang terkorban. Walau bagaimanapun, Alfonso de Albuquerque terselamat dalam kejadian itu. Flor de la Mar masih terkubur di dasar laut sehingga ke hari ini dan tak siapa tahu kedudukan sebenarnya di mana.

Sauh Flor de la Mar
Pemandangan Sungai Melaka
Terminal Feri yang berulang-alik dari Melaka ke Dumai di Sumatera, Indonesia

Bersambung ke Bahagian 12...


CATATAN PERJALANAN MELAKA (2018):