Monday, 24 December 2018

2018 MELAKA BHG. 05 (Istana Kesultanan Melaka)

November 2018

MELAKA, MALAYSIA
Banda Hilir

Bahagian 5: Sejarah Bermula (2)
ISTANA KESULTANAN MELAKA

HARI KEDUA (2)

Part 14: Istana Kesultanan Melaka

Istana Kesultanan Melaka terletak di kaki Bukit St. Paul. Ia bukanlah istana Sultan Melaka yang sebenar, sebaliknya hanya replika yang dibina semula berdasarkan catatan Sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan seni bina Istana Melayu di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah dari tahun 1456 sehingga 1477.

Pemandangan Istana Melaka dari kota Portugis A Famosa
Pintu masuk ke Istana Kesultanan Melaka
Bergambar di depan istana
Seperti juga istana-istana Melayu lama yang lain, bangunan replika ini dibina hanya menggunakan sistem pasak dan tanggam. Tidak ada sebatang paku pun digunakan dalam pembinaannya. Keseluruhan bangunan juga dibina menggunakan kayu kayan tempatan seperti Resak, Cengal dan Nyatoh. Bumbungnya pula dibuat dari kayu Belian yang dibawa dari Sarawak.

Bangunan Istana Kesultanan Melaka ini dibina sepenuhnya dari kayu kayan tempatan menggunakan sistem pasak dan tanggam.
Istana ini dibina lengkap dengan Taman Larangan di hadapannya. Taman Larangan adalah kawasan permainan puteri-puteri diraja di zaman Kesultanan Melaka. Ia dinamakan Taman Larangan kerana ia tidak boleh dimasuki oleh sebarangan orang.

Papan keterangan mengenai Taman Larangan
Pintu masuk ke Taman Larangan
Pemandangan di Taman Larangan
Replika Tengkolok Sultan di Taman Larangan
Dah puas melihat Taman Larangan dan kawasan di luar istana, jom kita masuk ke dalam. Menjunjung adat budaya Melayu yang tidak membenarkan pemakaian kasut di dalam rumah, kita juga perlu membuka kasut untuk masuk ke dalam istana ini.

Pemandangan Istana Kesultanan Melaka dari kawasan Taman Larangan.
Tangga naik ke istana
Jom kita masuk ke dalam...
Bergambar dengan pengawal-pengawal istana.
Pemandangan di dalam istana
Bergambar di dalam istana

BALAIRONG SERI

Tempat pertama yang kita kunjungi di dalam Istana Kesultanan Melaka ialah replika Balairong Seri. Di balai inilah Sultan Melaka bersemayam dan menerima kunjungan dari rakyat jelata dan delegasi-delegasi asing yang ingin bertemu baginda. Di sinilah juga para pesalah dihadapkan kepada baginda untuk menerima hukuman.

Replika Balairong Seri di dalam Istana Kesultanan Melaka
Pemandangan sewaktu Sultan Melaka menerima mengadap delegasi dari Jawa di Balairong Seri.
Sultan Melaka
Sultan bersila di takhta dengan diiringi Laksamana, Bentara Kanan dan Hulubalang di sebelah kanan baginda beserta Bendahara, Raja Muda dan Bentara Kiri di sebelah kiri baginda.
Pegawai yang duduk di sebelah kanan terdiri dari Penghulu Bendahari, Menteri-menteri dan Shahbandar.
Pegawai yang duduk di sebelah kiri pula terdiri dari Menteri-menteri, Nakhoda, Kadi dan Sida-sida.
Penghulu Balai akan membunyikan gong untuk menandakan ketibaan delegasi yang masuk menghadap.
Di sebelah kanan ini adalah delegasi dari China yang sedang menunggu untuk menghadap Sultan.
Pesalah yang sedang menanti hukuman

MAHLIGAI HANGUS

Istana Kesultanan Melaka pernah hangus terbakar dalam tahun 1466 seperti yang tertulis di dalam Sulalatus Salatin (Hikayat Sejarah Melayu) yang merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Hikayat ini ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Hikayat Sejarah Melayu menceritakan yang api membakar sangat marak sehingga Sultan dan keluarganya terpaksa menyelamatkan diri dari istana yang sedang terbakar.

Gambaran Mahligai Hangus di Istana Kesultanan Melaka
Ada cerita menarik yang turut diabadikan dalam Hikayat Sejarah Melayu tentang beberapa orang yang cuba masuk untuk menyelamatkan harta Sultan. Antaranya ialah Tun Isap, tetapi dia hanya berani masuk ke istana sekali sahaja dalam kebakaran itu, lalu digelar orang sebagai Tun Isap Barakah. Tun Mahyuddin pula tidak berani masuk ke dalam istana kerana badannya banyak berbulu dan dia takut terbakar. Lalu Tun Mahyuddin digelar orang sebagai Tun Mai Ulatbulu. Tun Ibrahim pula hanya berkeliling istana, takut hendak masuk lalu digelar orang sebagai Tun Ibrahim Pusing Langit Berkeliling.

Ada juga pegawai istana yang bertindak berani masuk ke dalam istana yang sedang terbakar. Antaranya termasuklah Tun Muhammad. Bila dia masuk, dia membawa dua tiga orang keluar bersamanya, lalu dia digelar Tun Muhammad Unta. Tun Isa pula keluar masuk dua tiga kali ke dalam istana yang terbakar sewaktu orang lain hanya mampu masuk sekali sahaja. Disebabkan kepantasannya dia digelar Tun Isa Pantas.

PEMBUKAAN MELAKA

Kisah pembukaan Melaka oleh Parameswara turut diabadikan di Istana Kesultanan Melaka. Parameswara adalah seorang raja kerajaan Melayu dari Palembang. Dia melarikan diri ke Temasik (Singapura) sewaktu Palembang diserang oleh Kerajaan Majapahit.

Sewaktu di Temasik, Parameswara menyerang pemerintahnya yang bernama Temagi kerana ingin menjadi pemerintah di situ. Walau bagaimanapun Kerajaan Siam berasa marah dengan peristiwa tersebut lalu ingin menyerang Parameswara menyebabkan dia berundur ke Muar. 

Melihat diorama Pembukaan Melaka
Parameswara menetap di Muar. Namun begitu, dia mendapati Muar tidak begitu sesuai dijadikan kerajaan. Parameswara lalu bersama pengikutnya meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Sening Ujung. Dia meletakkan seorang menteri di situ dan meneruskan perjalanan ke arah utara sehingga tiba di Sungai Bertam. 

Parameswara terperanjat melihat pelanduk putih menendang anjing perburuannya.
Di Sungai Bertam, Parameswara berburu bersama-sama para pembesarnya. Sewaktu dia berhenti rehat dan bersandar pada sepohon pokok yang rendang, tiba-tiba muncul seekor pelanduk putih yang dikejar oleh anjing perburuannya. Parameswara amat terkejut melihat pelanduk tersebut menendang anjing perburuannya sehingga jatuh ke dalam sungai. 

Pelanduk putih menendang anjing Parameswara
Parameswara percaya bahawa tempat tersebut amat bertuah dan menjadikannya sebagai sebuah negeri. Dia lalu menamakan negeri tersebut sebagai Melaka bersempena nama pokok tempat dia bersandar tadi.

HUKUM KANUN MELAKA

Salah satu faktor yang menyumbang kepada kemajuan Melaka pada masa dahulu adalah adanya undang-undang mengawal ketenteraman umum yang dinamakan sebagai Hukum Kanun. Walaupun hukuman ini berbeza dengan hukuman pada masa sekarang, ia ternyata berkesan sehingga menjadikan Melaka sebuah pusat perdagangan yang terkenal di seluruh dunia.

Pameran tentang Hukum Kanun Melaka
Disebabkan Melaka menerima Islam sebagai agama rasmi, terdapat beberapa hukuman yang dibuat berlandaskan kepada Undang-undang Syariah.

Hukuman kepada pesalah zina yang masih bujang adalah sebatan 80 kali.
Hukuman kepada pesalah zina yang telah berkahwin adalah direjam sehingga mati.
Gambaran seorang pesalah mencuri sedang ditangkap oleh pembesar dan penduduk kampung.
Hukuman kepada orang yang ditangkap mencuri adalah dengan memotong tangannya.
Selain itu ada juga hukuman yang diputuskan sendiri oleh Kerajaan Melaka ketika itu.

Orang yang ditangkap kerana cuba mencuri akan diconteng mukanya dengan kapur, arang dan kunyit lalu dinaikkan ke atas kerbau dan diarak keliling kampung.
Peraturan dalam jual beli juga turut dijadikan sebahagian dari Hukum Kanun Melaka.

DIORAMA HANG TUAH

Masih ingatkah anda kepada sejarah Hang Tuah yang dipelajari di sekolah dulu? Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada zaman pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15. Dia terkenal dengan kesetiaannya kepada Sultan dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya. Sumpah yang terkenal daripada Hang Tuah ialah "Tak Melayu hilang di dunia" yang bererti bangsa Melayu tidak akan punah di bumi ini.

Galeri Hang Tuah
Sewaktu kecilnya, Hang Tuah bersama empat orang rakannya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bergurukan Adiputra di Gunung Ledang. Selepas selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke Kota Melaka.

Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan seorang Dato' Bendahara (Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamuk. Dato' Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka lalu menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana. Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan hinggalah Hang Tuah mendapat gelaran Laksamana.

Tak Melayu Hilang Di Dunia
Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di tanah Jawa, Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari. Dalam pertarungan itu, Taming Sari merupakan seorang pendekar yang kebal yang tidak dapat dilukakan. Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada kerisnya. Oleh itu, Hang Tuah merampas keris berkenaan dan membunuh Taming Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada Hang Tuah. Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.

Atas muslihat seorang pembesar istana bernama Tun Ali yang iri hati kepada Hang Tuah, Hang Tuah telah dihukum bunuh kerana difitnah berzina dengan seorang gundik Sultan yang bernama Melor. Namun, hukuman mati tidak dilaksanakan oleh Bendahara. Sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya di sebuah hutan di Hulu Melaka.

Hang Tuah disembunyikan oleh Bendahara di sebuah hutan di Hulu Melaka
Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada Hang Jebat. Sebagai sahabat karib Hang Tuah, Hang Jebat menyangka bahawa Hang Tuah telah teraniaya dan telah menjalani hukuman mati. Dia bertindak derhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana. Hang Jebat turut membunuh ramai rakyat Melaka yang tidak berdosa dengan mengamuk di dalam istana dan seluruh Melaka. Tidak ada pendekar atau panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat yang telah menjadi kebal kerana adanya keris Taming Sari di tangannya.

Hang Jebat
Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung di rumah Bendahara. Pada masa itu barulah baginda menyesal kerana membunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Inilah masanya Bendahara memberitahu yang Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah telah dipanggil pulang dan dititahkan membunuh Hang Jebat. Disebabkan kedua mereka sama hebat, pertarungan berlangsung tanpa henti sehingga 7 hari.

Pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat yang berlangsung selama 7 hari.
Setelah 7 hari bertarung, Hang Tuah akhirnya berjaya merampas semula Taming Sarinya daripada Hang Jebat dan membunuhnya. Tragedi ini masih menjadi perbalahan orang Melayu sehingga kini. Ada yang menyokong Hang Jebat kerana dia cuba membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun ada yang menyokong tindakan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat kerana Hang Jebat telah mengamuk dan membunuh ramai nyawa yang tidak berdosa.

ISTANA MELAYU LAMA

Lepas melawat ruang utama istana, kita melawat pula galeri-galeri pameran yang terletak di anjung-anjung istana. Pada masa Kesultanan Melaka dulu, anjung-anjung ini digunakan sebagai ruang menunggu tetamu yang ingin bertemu dengan Sultan.

Pemandangan di anjung istana
Tingkap-tingkap istana
Siling dan ukiran-ukiran penghias istana
Tangga turun ke anjung dari ruang utama istana.
Di anjung ini, ada dibina model beberapa buah istana Melayu yang terkenal.

Istana Pagaruyung di Batu Sangkar, Sumatera Barat, Indonesia
Istana Kenangan di Kuala Kangsar, Perak, Malaysia
Istana Seri Menanti di Negeri Sembilan, Malaysia

PEDAGANG ASING DI MELAKA 

Pada zaman kegemilangannya, Melaka adalah sebuah pusat perdagangan dunia yang terkenal. Seorang penulis dan pedagang Portugis yang mengembara bersama Ferdinand Magellan bernama Duarte Barbosa pernah berkata, "Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai dunia." (He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice). Di Istana Kesultanan Melaka ini juga, kita dapat melihat gambaran pedagang-pedagang asing yang datang berdagang ke Melaka pada masa dahulu.

Pedagang Jawa di Melaka
Ramai pedagang dari Melaka berlayar ke Jawa dengan bahan dagangan utamanya yang merupakan kain dari India. Perdagangan dengan Melaka inilah yang memberi sumbangan besar kepada kebangkitan dan kemajuan pelabuhan-pelabuhan di Jawa Utara pada abad ke 15 seperti Demak, Japara, Ceribon dan Gerisik.

Pedagang-pedagang Jawa
Jawa juga menjadi perantaraan perdagangan di antara Melaka dengan kepulauan lain seperti Maluku, Bima, Banda dan Gerisik. Melalui pelabuhan-pelabuhan inilah juga pedagang dari Jawa membawa barang-barang dagangan seperti beras, gula, daging, halia, madu lebah, kayu gaharu, cengkih, buah pala, hasil kayu kayan, senjata dan belerang.

Barang dagangan dari Pulau Jawa
Hubungan diplomatik Melaka dengan China bermula pada tahun 1403 apabila Maharaja Ming Cheng Zhu menghantar Menteri Dalam Negeri China Yin Ching sebagai utusannya dengan membawa bingkisan berupa sutera dewangga, kunci emas dan lain-lain barangan bertujuan untuk menjemput Sultan Melaka ke negara China.

Pedagang China
Selain hubungan diplomatik yang terjalin rapat, terdapat juga pedagang China yang datang berniaga dengan membawa barangan seperti sutera, tembikar, teh, mutiara, peluru dan besi. Seterusnya pedagang China ini akan membawa pulang barangan dari Asia Selatan dan Asia Barat yang diniagakan di pelabuhan Melaka. Antara barangan tersebut termasuklah barangan kaca, minyak, kain kapas dan pelbagai buah-buahan.

Bahan dagangan dari negara China
Ramai pedagang Arab datang berdagang ke Melaka pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1446-1456M). Ini adalah kerana pemerintahan baginda mengambil berat kebajikan mereka yang datang berniaga, khususnya pedagang Islam dari Arab. Menurut Tom Pires, pedagang Arab, Parsi, Asia Minor (Turki) dan Abisinia (Ethiopia) telah membentuk sebuah syarikat untuk berdagang ke Melaka. Adalah dianggarkan 4-5 buah kapal dari Tanah Arab berdagang ke Melaka pada setiap hujung tahun.

Pedagang Arab
Antara bahan yang diniagakan adalah barangan kaca, minyak, tasbih, jagung, bunga cengkih, kain sutera, peralatan senjata, tembaga, bijih, kapur barus dan sebagainya. Terdapat juga di kalangan mereka yang mengambil keputusan menetap di Melaka untuk menyebarkan ajaran Islam di Nusantara.

Barang dagangan dari Tanah Arab
Melaka dan Siam pernah mengalami krisis hubungan yang membimbangkan kerana  Siam pernah mahu menjadikan Melaka sebagai negeri ufti tetapi gagal kerana Melaka mendapat naungan daripada China. Walaupun begitu, atas sebab ekonomi mereka tetap menjalinkan hubungan yang baik dalam aspek perdagangan. Siam menjadi pembekal utama bahan seperti beras, gula, berbagai jenis rempah dan kayu-kayan ke Melaka.

Pedagang Siam
Antara barangan dagangan utama pedagang Siam di Melaka adalah gading gajah.
Pedagang Gujerat menjadi nadi perhubungan di antara Pelabuhan Melaka dengan Eropah. Selain dari barangan tempatan dari benua India seperti kain, kapas, candu dan kapur barus, pedagang Gujerat juga membawa barangan dari Eropah seperti logam, cermin, senjata, manik, paku dan kain. Nadi perdagangan Eropah yang bermula dari pelabuhan Venice ketika itu amat bergantung kepada kepentingan Melaka.

Pedagang dari Gujerat
Barang dagangan dari Gujerat

KEHIDUPAN DI ISTANA

Kita juga dapat melihat sedikit gambaran kehidupan seharian di Istana Kesultanan Melaka dengan melihat pameran pakaian seharian warga di dalam istana.

Pameran pakaian kebesaran
Pakaian-pakaian istana yang dipamerkan
Pakaian rasmi Putera dan Puteri Raja sewaktu Pertabalan.
Baju Kurung Teluk Belanga adalah pakaian persalinan harian Pembesar dan Isteri.
Persalinan rasmi Sultan dan Permaisuri
Turut dipamerkan adalah pakaian-pakaian tradisional dari negeri-negeri lain di seluruh Malaysia
Mengintai suasana di dalam Balairong Seri dari anjung istana.

ALAT KEBESARAN DAN SENJATA ISTANA

Terdapat juga pameran mengenai alat kebesaran istana yang mana salah sebuah di antaranya ialah Nobat. Nobat (dalam bahasa Parsi bererti sembilan) ialah sekumpulan alat bunyi-bunyian khusus untuk upacara dan majlis-majlis diraja. Alat-alat tersebut termasuklah gendang nobat, gendang peningkah, nafiri, serunai dan negara. Upacara nobat diketuai oleh Ketua Nobat yang bergelar Tok Setia Guna yang memegang tongkat Mahaguru.

Nobat
Kumpulan pemain nobat dinamakan Orang Kalor. Alat nobat ini hanya boleh dimainkan oleh Orang Kalor sahaja. Ketua nobat dipanggil Kalor Besar diikuti penghulu yang dipanggil Tok Setia Indera, diikuti Kalor Kecil dan yang lainnya digelar Orang Nobat. Nobat yang dimainkan terdiri dari pelbagai ragam termasuk Iskandar Dzulkarnain dan Ibrahim Khalil sebagai ragam asal. Ragam-ragam lain yang dimainkan di antaranya termasuk Gendang Berangkat, Puteri Mandi Mayang, Rama-Rama Terbang Tinggi dan sebagainya.

Kumpulan pemain Nobat yang dinamakan Orang Kalor
Nobat hanya dimainkan ketika menyambut sesuatu perayaan dan hari-hari kebesaran seperti pertabalan raja, istiadat menjunjung duli, nikah kahwin, berkhatan, memberi gelar, menyambut Ramadan dan peristiwa besar yang lain seperti menyambut dan menghantar utusan diraja dan memberi hormat dalam perarakan jenazah.

Nafiri (kiri) dan Serunai (kedua-dua di kanan) adalah di antara alat yang digunakan dalam permainan Nobat.
Kemudian kita tengok pula pameran peralatan-peralatan senjata tradisional pada ketika itu.

Pameran senjata istana
Tombak dan Lembing
Keris
Pelbagai jenis keris
 
PAMERAN TUN KUDU


Sekarang kita naik pula ke Tingkat Atas di Istana Kesultanan Melaka. Ada dua pameran menarik di Tingkat Atas ini: Galeri Tun Kudu dan Bilik Beradu Sultan.

Tangga naik ke Tingkat Atas
Pemandangan di Tingkat Atas
Pemandangan dari Tingkat Atas Istana Kesultanan Melaka

GALERI TUN KUDU

Tun Kudu adalah seorang wanita yang dianggap sebagai Srikandi Melaka walaupun dia tidak berjuang di medan perang. Beliau adalah anak Bendahara Seri Wak Raja, adik kepada Tun Perak dan permaisuri kepada Sultan Muzaffar Shah dalam Kesultanan Melaka.

Kejayaan Tun Perak mematahkan serangan Siam pada tahun 1446 telah membuka mata Sultan Melaka akan kewibawaannya sebagai pemimpin. Kebijaksanaan beliau mendapat perhatian Sultan semenjak beliau menjadi Penghulu di Klang. Demi kemajuan dan kestabilan Negeri Melaka, Sultan Muzaffar Syah melantik Tun Perak menjadi Bendahara Paduka Raja (Ketua Menteri) setaraf dengan Sri Nara Diraja Tun Ali.

Perlantikan Tun Perak sebagai Bendahara Paduka Raja
Perpecahan berlaku di Melaka akibat perlantikan Tun Perak sebagai Bendahara Paduka Raja.
Perlantikan Tun Perak sebagai Bendahara Paduka Raja telah membuatkan Sri Nara Diraja Tun Ali tidak senang hati. Perkara ini juga mencetuskan ketegangan dan perpecahan di kalangan orang Melayu di Melaka. Tun Ali bimbang kedudukannya akan tergugat dengan kehadiran Tun Perak. Sultan merasa gusar dan berhasrat untuk menghentikan perpecahan tersebut. Baginda berusaha mencari jalan penyelesaian agar masalah ini tidak menjejaskan keamanan dan keharmonian Melaka. 

Tun Ali memberi syarat memperisterikan Tun Kudu kepada Sultan sebagai syarat untuk berdamai. Peranan Tun Kudu amat jelas apabila Sultan memberitahu beliau akan hasrat Tun Ali walaupun pada masa yang sama beliau adalah permaisuri raja. Tun Ali tetap dengan pendiriannya walaupun diberi pilihan oleh Sultan untuk dikahwinkan dengan anak orang besar-besar seperti Tun Bulan, Tun Ratna Sendari dan Tun Kanaka. Sebagai jalan penyelesaian Sultan telah menceraikan Tun Kudu demi kestabilan Melaka.

Meskipun amat menyedihkan, Sultan dan Tun Kudu sanggup berkorban. Selepas tempoh idah, Tun Kudu dinikahkan dengan Tun Ali. Beliau begitu gembira setelah hasratnya untuk memperisterikan Tun Kudu tercapai.

Tun Kudu diserahkan kepada Tun Ali
Muslihat Sultan Muzaffar Syah dengan mengahwinkan kakak Tun Perak dengan Seri Nara Di Raja yang sudah tua, berfungsi untuk mengelakkan persengketaan dan perpecahan di kalangan penduduk di Melaka. Melaka memerlukan peranan Seri Nara Di Raja dari golongan India dan Paduka Raja Tun Perak yang mewakili golongan Melayu Melaka. Tun Perak akhirnya dilantik oleh Sultan Muzaffar Syah sebagai Bendahara Melaka untuk menggantikan Seri Nara Di Raja yang dilantik sebagai Penghulu Bendahari, lantas mengelakkan pertumpahan darah atau perang saudara berlaku di Melaka.

Perkahwinan Tun Kudu dengan Sri Nara Diraja Tun Ali

BILIK BERADU SULTAN 

Akhir sekali, kita lihat pula Bilik Beradu Sultan. Bilik peraduan ini mempunyai segala peralatan yang bermutu tinggi seperti pakaian diraja, alat perhiasan dan cenderamata daripada saudagar dan pembesar yang datang menghadap.

Bilik Beradu Sultan
Bilik Beradu merupakan hak mutlak sultan yang tidak boleh dimasuki sesuka hati. Tiada sesiapa pun yang boleh mendekatinya termasuk permaisuri tanpa kebenaran baginda sultan.

Tujuan peraturan larangan memasuki bilik peraduan ini adalah untuk mendaulat dan mengasingkan baginda sultan daripada orang kebanyakan selain bertujuan untuk menjaga keselamatan baginda.

Cuma Sultan seorang sahaja yang boleh masuk ke bilik ini. Permaisuri juga tidak boleh masuk ke bilik ini tanpa kebenaran Sultan.
Bilik beradu Sultan ada tilam dan bantal untuk keselesaan. Katilnya mempunyai tiang di setiap penjuru dengan ukiran yang cantik. Katil dan bilik turut dihias dengan cantik supaya nampak kemas.

Bilik beradu raja sentiasa dihias cantik dan kemas.
Persembahan untuk Sultan
Almari Pakaian di tepi katil
Pemandangan dekat Almari Pakaian
Seronok juga melawat ke Istana Kesultanan Melaka ini. Tapi kami tak boleh nak berlama-lama sebab ada banyak lagi tempat yang ingin kami kunjungi.

Pemandangan keluar dari istana
Meninggalkan Istana Kesultanan Melaka

 Bersambung ke Bahagian 6...


CATATAN PERJALANAN MELAKA (2018):