Tuesday, 25 December 2018

2018 MELAKA BHG. 06 (Bukit St Paul)

November 2018

MELAKA, MALAYSIA
Banda Hilir

Bahagian 6: Jejak Penjajah (1)
BUKIT ST PAUL & STADTHUYS

HARI KEDUA (3)

Part 15: Bukit St Paul

Bukit St Paul pada asalnya terletak di kawasan yang bersempadankan sungai dan pantai Selat Melaka. Sebelum diterokai, kawasan sekitarnya didiami oleh orang-orang Selat (Orang Laut) yang bekerja sebagai nelayan.

Bukit Melaka mendapat namanya apabila Parameswara (Sultan Iskandar Shah) menjadikan kawasan persekitaran bukit ini sebagai pusat pemerintahan Melaka. Pada masa itu, nama 'Melaka' merangkumi seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan Selat Melaka. 

Papan-papan keterangan di Bukit St Paul (Bukit Melaka) yang menceritakan sejarah keseluruhan Melaka secara ringkas.
Tangga naik ke Bukit St Paul
Pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka, istana menjadi pusat pentadbiran dan dibina di atas Bukit Melaka. Kedudukan masjid pula dibina agak ke bawah sedikit dari istana manakala rumah kediaman pembesar dibina mengelilingi kaki bukit. Bazar sebagai tempat orang berniaga turut dibina di seberang Sungai Melaka.

Sewaktu kegemilangan Melaka juga, Sungai Melaka merupakan pelabuhan terkenal yang dikunjungi oleh pedagang dari negara Arab dan Eropah sehinggalah akhirnya Portugis datang ke Melaka pada tahun 1510 dan menakluknya pada tahun 1511.

Boleh tahan juga kecuraman sewaktu mendaki ke bukit ini.
Kedudukan kota pertahanan yang mengelilingi pusat pemerintahan Portugis di Bukit Melaka telah menjadi faktor utama yang menyumbang kepada bertahannya pemerintahan Portugis selama 130 tahun di Melaka sebelum tewas di tangan Belanda pada tahun 1641.

Setelah sekian lama berkuasa dan berusaha mengukuhkan pemerintahan di Melaka, Portugis akhirnya terpaksa tunduk kepada Belanda. Belanda telah mula menyerang Portugis sejak tahun 1600, namun sering gagal disebabkan kekukuhan kota Melaka. Mereka akhirnya berjaya mengalahkan Portugis pada tahun 1641 dengan bantuan orang-orang Johor.

Berehat sebentar sewaktu mendaki Bukit St Paul

Part 16: Kubur Belanda

Ada sebuah kawasan perkuburan Belanda di Bukit St Paul. Walaupun namanya Kubur Belanda, sebenarnya hanya terdapat 5 buah kubur milik orang Belanda di sini yang bertarikh 1670-1682. Kubur yang selebihnya adalah milik 33 orang pegawai tentera British dan keluarga mereka yang bertarikh 1818-1838.

Pintu masuk ke Perkuburan Belanda
Sewaktu di zaman Belanda, tanah perkuburan ini dikenali sebagai St Anthony's Kerkhof. Ia kemudiannya diambilalih untuk kegunaan British pada tahun 1818. Jasad British yang pertama dikebumikan di sini adalah seorang kapten Tentera Laut bernama Captain John Kidd pada tahun 1818 dan jasad terakhir pula adalah isteri kepada seorang pegawai tentera British pada tahun 1838.

Pemandangan di kawasan Kubur Belanda
Sebahagian besar kubur di sini adalah milik pegawai tentera British dan keluarga mereka.
Sesetengah penanda nama pada kuburan di sini masih boleh dibaca.
Hugh Scott, son of Robert Scott of Penang. Died 16 May 1843 aged 32.
Hubert Van Bragt. Died 21 April 1861 aged 49.
Lagi pemandangan di Perkuburan Belanda.
 Kubur besar ini mengandungi jasad 6 orang sekeluarga yang mati dalam tempoh yang singkat di antara satu sama lain.
Pemandangan Dataran Pahlawan dari Kubur Belanda
Tertidur dengan aman.

Part 17: Gereja St Paul

Portugis telah membina sebuah chapel di atas tapak istana yang telah musnah di puncak Bukit Melaka. Chapel ini dibina oleh seorang kapten Portugis yang bernama Duarte Coelho sebagai tanda kesyukuran kerana terselamat dari serangan musuh sewaktu berada di Laut China Selatan dan didedikasikan kepada Virgin Mary. Ia dinamakan Nossa Senhorado Monte (Our Lady of the Hill).

Nossa Senhorado Monte (Our Lady of the HIll)
Pemandangan runtuhan gereja dari tangga naik ke Bukit St Paul
Ayuh, terus melangkah ke atas...!
Lega bila akhirnya tiba di puncak bukit.
Inilah gereja lama Portugis yang kini hanya tinggal runtuhan
Busker di Gereja St Paul
Chapel yang dibina Portugis ini kemudiannya diperbesarkan dan diberi nama Gereja St Paul. Gereja St Paul di Bukit Melaka ini adalah gereja Kristian tertua di Asia Tenggara.

Gereja St Paul
Di perkarangan gereja ini, pemerintah British telah membina sebuah rumah api bagi menggantikan rumah api yang dibina oleh Portugis sebagai panduan kepada kapal-kapal yang melalui Selat Melaka.

Rumah Api yang dibina oleh British di perkarangan Gereja St Paul
Tangga naik ke rumah api
Sejarah Gereja St Paul
Paderi St Francis Xavier menginap di gereja ini setiap kali beliau berkunjung ke Melaka di antara tahun 1545-1552. Dia juga dikebumikan secara sementara di gereja ini sebelum jasadnya dipindahkan ke Goa, India. Patung beliau turut dibina oleh Portugis di hadapan gereja ini.

Patung St Francis Xavier
Sebelum jasad St Francis Xavier disemadikan di Gereja St Paul pada tahun 1552, tangan kanannya dipotong untuk dihantar kepada Pope di Rome. Secara kebetulan, dua tahun kemudian pada tahun 1954, patung tangan kanan St Francis Xavier turut terputus apabila dihempap pokok.

Tangan kanan St Francis Xavier telah dipotong untuk dihantar kepada Pope di Rome pada tahun 1552. Secara kebetulan tangan kanan patung ini turut terputus dihempap pokok pada tahun 1554.
Pemandangan lebih dekat tangan kanan patung St Francis Xavier yang putus dihempap pokok.
Pemandangan Patung St Francis Xavier dari belakang.
Apabila Belanda menakluk Melaka pada tahun 1641, mereka telah menukar peraturan ibadat di gereja ini dari Kaholik kepada fahaman Protestant Gereja Reformasi Belanda dan gereja ini ditukar namanya kepada Gereja St Paul. Gereja ini tidak lagi digunakan selepas Belanda membina sebuah gereja baru yang dinamakan Christ Church Melaka pada tahun 1753. Ia kemudiannya digunakan sebagai tanah perkuburan pembesar-pembesar Belanda setelah Christ Church dibina. 

Jom kita masuk ke dalam gereja.
Pintu masuk ke gereja
Bumbung gereja telah tercabut. Yang tinggal hanya dinding yang masih kukuh berdiri.
Pembinaan gereja serta kota pertahanan (A Famosa) di Bukit Melaka telah dibuat daripada runtuhan istana dan dan bangunan-bangunan sekitarnya selain batu laterit yang diperolehi daripada Pulau Upeh. Kesan pahatan batu tersebut masih kekal sehingga sekarang.

Gereja St Paul juga telah diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan Malaysia
Bergambar di dalam gereja
Pemandangan bumbung gereja yang telah tercabut.
Batu-batu peringatan yang tersandar pada dinding ini sebenarnya diambil dari perkuburan di lantai gereja.
Selepas perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 di mana British menyerahkan Pulau Bangkahulu kepada Belanda dan Belanda menyerahkan Melaka kepada British, British lebih menumpukan perhatian kepada pentadbiran Pulau Pinang dan Singapura tanpa mengenepikan Melaka. Gereja St Paul tidak lagi berperanan sebagai sebuah gereja. Namun perkuburan pembesar-pembesar Belanda masih dikekalkan di ruang utama. 

Suasana di dalam Gereja St Paul
Pengunjung-pengunjung ke Gereja St Paul
Batu-batu peringatan dari perkuburan Belanda di gereja
Pemandangan dekat sebuah batu peringatan perkuburan di gereja. Pemilik batu peringatan ini telah disemadikan di gereja ini pada tahun 1659.
Pada tahun 1548, chapel ini telah diserahkan oleh Portugis kepada Society of Jesus. Ia diperbesarkan pada tahun 1556 menjadi dua tingkat dan dikenali sebagai Gereja Annunciation. Pada tahun 1590 sebuah menara telah didirikan di belakangnya untuk meninjau musuh. Menara ini telah dimusnahkan pada tahun 1745 tetapi temboknya diperkuatkan dan dijadikan sebagai kubu pertahanan.

Ada sebuah menara pernah didirikan Portugis di gereja ini pada tahun 1590 tetapi ia telah dirobohkan oleh Belanda pada tahun 1745.
Mata Angin di bumbung Gereja St Paul
Batu peringatan untuk Frau Van Riebeck yang disemadikan di sini pada tahun 1615.
Frau Van Riebeck (nama sebenarnya Maria de la Quellerie) yang disemadikan di sini adalah isteri kepada John Van Riebeck (Jan van Riebeeck), orang Belanda yang telah membuka Cape Colony di Afrika Selatan pada tahun 1652.
Apabila St Francis Xavier meninggal dunia di Pulau Sancian, Macau jasadnya telah disemadikan di chapel ini selama 9 bulan sebelum dipindahkan ke Goa, India.

 Tempat persemadian sementara St Francis Xavier ada di belakang sana.
Pemandangan tempat persemadian St Francis Xavier
Jasad St Francis Xavier telah disemadikan selama 9 bulan di sini sementera menunggu perubahan Angin Monsun untuk membolehkan jasad tersebut dibawa ke Goa, India.
Bekas tempat persemadian ini telah ditutup untuk keselamatan.
Ada sajalah pun orang yang membaling duit syiling dan wang kertas RM1 ke dalam tempat persemadian ini.
Pemandangan ke arah hadapan gereja dari tempat persemadian St Francis Xavier.
Berdasarkan bilangan batu peringatan yang terdapat di sini, memang ramai orang Belanda yang dikebumikan di gereja ini. Semua batu peringatan ini ditulis dalam Bahasa Belanda. Ada beberapa buah batu ini telah diterjemahkan kandungannya kepada Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Batu-batu peringatan Belanda yang diletakkan berdekatan dengan tempat persemadian St Francis Xavier.
Pemandangan lebih dekat batu-batu peringatan
Tulisan pada batu-batu peringatan ini ditulis dalam Bahasa Belanda
Ada beberapa kandungan batu peringatan yang telah diterjemahkan kepada Bahasa Melayu dan Inggeris.
Batu peringatan untuk seorang Belanda yang bernama Nicolaus Basly. Dia telah meninggal dunia pada 9 April 1678.
Tengkorak yang diukir pada batu peringatan ini menandakan pemiliknya meninggal dunia kerana penyakit.
Sebagai menandakan Melaka adalah jajahan takluknya, British telah membina tiang tinggi untuk meletakkan bendera Union Jack dan sejak itu Bukit Melaka telah bertukar nama menjadi Bukit Bendera. Namun akhirnya bukit ini dikenali sebagai Bukit St Paul sempena nama Gereja St Paul yang masih kekal di atasnya.  Gereja ini juga pernah dijadikan oleh British sebagai gudang menyimpan peluru untuk menyerang Pulau Jawa dari tahun 1810-1811.

Tangga turun ke arah Stadthuys
Pemandangan gereja dari bawah bukit

Part 18: Stadthuys

Di samping menambah baik kota pertahanan, Belanda turut membina bangunan sebagai pusat pentadbiran mereka yang dikenali sebagai Stadthuys, kediaman Gabenor dan pembesar-pembesar mereka di dalam Kota Melaka. Jadi selepas kita melawat ke Gereja St Paul, kita melawat pula ke Bangunan Stadthuys yang didirikan oleh Belanda ini.

Turun dari Bukit St Paul
Pemandangan replika Kapal Flor de la Mar dari Bukit St Paul
Menikmati pemandangan Melaka dari Bukit St Paul
Warisan peninggalan Belanda di Melaka masih hidup dan terasa bila kita melihat peninggalan bangunan Stadthuys. Walaupun Stadthuys digunakan sebagai bangunan pentadbiran Belanda pada masa dahulu, ia kini menempatkan beberapa buah muzium di dalamnya mengenai Sejarah Melaka.

Pemandangan bangunan Stadthuys dari Bukit St Paul
Bangunan Stadthuys yang di sebelah sini digunakan sebagai Galeri Cheng Ho
Sebahagian bangunan Stadthuys kini digunakan sebagai Galeri Laksamana Cheng Ho yang diilhamkan daripada kisah tokoh pelayar agung China iaitu Laksamana Cheng Ho (Zheng He) yang telah dilahirkan pada 1371 di Hodai, sebuah kampung di Daerah Bao San di Yunnan. Galeri ini memaparkan kisah pelayaran beliau ke lautan selatan di samping kejayaan beliau memupuk perhubungan persaudaraan di antara China dengan Negara-negara Afrika dan Asia serta membuka pintu untuk menjalankan perdagangan yang adil.

Sejarah Bangunan Stadthuys
Turut dipamerkan di Bangunan Stadthuys adalah sebuah kereta bomba lama yang pernah berkhidmat di bawah Ketua Polis Melaka pada tahun 1939. Ia pernah dibawa oleh British untuk berkhidmat di Singapura pada tahun 1942, namun kemudian dipindahkan semula ke Melaka sewaktu pendudukan Jepun.

Kereta Bomba Lama
Sejarah Kereta Bomba
Kereta bomba ini pernah berkhidmat untuk Perkhidmatan Bomba Perbandaran Melaka
Kepala kereta bomba
Peralatan yang turut digunakan oleh Perkhidmatan Bomba Perbandaran Melaka pada masa dahulu
Pemandangan Bastion Middelburg dari Stadthuys
Pelancong-pelancong dari China berambar di Bastion Middelburg
Bahagian hadapan Bangunan Stadthuys pula menempatkan Muzium Sejarah, Ethnografi dan Sastera. Muzium Ethnografi memberikan penekanan khusus kepada corak hidup masyarakat tempatan yang terdiri dari pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, India, Baba Nyonya, Chetti dan Portugis. Muzium Sejarah Malaysia pula menceritakan sejarah Malaysia hari ini bermula dari pembukaan Melaka ke era penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun sehingga negara mencapai kemerdekaan.

Muzium Sejarah, Ethnografi dan Sastera di bangunan Stadthuys
Stadthuys
Pintu masuk ke Muzium Sastera
Menyusuri tangga di tepi bangunan Stadthuys menuju ke Dataran Belanda
Pokok Melaka di tepi bangunan Stadthuys
Pemandangan lebih dekat Pokok Melaka

Part 19: Dataran Belanda

Dataran Belanda di hadapan Stadthuys adalah pusat tumpuan pelancong ke Melaka. Di sini kita dapat melihat dengan jelas Bangunan Stadthuys dan Gereja Christ Melaka yang didirikan oleh orang Belanda.

Semasa pemerintahan Belanda di Melaka, Stadthuys seperti semua bangunan pentadbiran Belanda yang lain di Asia Tenggara juga dicat putih. Melalui perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824, Melaka telah diserahkan oleh Belanda menjadi tanah jajahan British. Pada tahun 1911, British menukar cat bangunan Stadthuys dan Gereja Christ dengan warna merah yang masih dikekalkan warnanya sehingga ke hari ini.

Dataran Belanda
Pemandangan Bangunan Stadthuys dari Dataran Belanda
Di hadapan Dataran Belanda terdapat Pancutan Air Victoria dan Menara Jam Tan Beng Seng yang dibina pada tahun 1886.

Menara Jam Tan Beng Seng
Queen Victoria Fountain
Pancutan Air Victoria dibina oleh British pada tahun 1901 dan masih berfungsi sehingga ke hari ini. Ia dibina bagi meraikan Jubli Intan pemerintahan Queen Victoria yang juga diraikan di seluruh Empayar British pada ketika itu.

Plak penghormatan kepada pemerintahan Queen Victoria yang diletakkan pada Queen Victoria Fountain di Dataran Belanda
Sebuah lagi bangunan bersejarah yang terdapat di Dataran Belanda adalah Christ Church yang siap dibina oleh Belanda pada tahun 1753. Jika Gereja St Paul merupakan gereja Katholik tertua di Asia Tenggara, Christ Church Melaka pula adalah salah sebuah gereja Protestant yang tertua di luar Eropah.

Christ Church Melaka
Pemandangan Christ Church dari tepi
Sejarah Christ Church Melaka
Gereja ini tidak boleh dimasuki ketika itu kerana ada upacara ibadat yang sedang berlangsung
Jadual ibadat di Christ Church Melaka. Gereja ini menyambut ulang tahunnya yang ke-250 pada 13 Disember 2003.
Christ Church Melaka juga adalah Warisan Kebangsaan Malaysia
Pemandangan Dataran Belanda dari hadapan Christ Church
Cadangan pembinaan Christ Church bermula sewaktu Belanda meraikan ulang tahun ke-100 penaklukan Melaka dari Portugis pada tahun 1741. Bagi meraikan kejayaan ini, sekumpulan bangsawan Belanda bercadang membina sebuah gereja baru untuk menggantikan Gereja St Paul (dipanggil Bovenkerk oleh orang Belanda) yang telah usang. Batu asas pembinaan gereja ini telah diletakkan oleh seorang kapten Belanda yang bernama Abraham de Wind mewakili ayahnya Claas de Wind yang berkhidmat sebagai Timbalan Gabenor Melaka. Bangunan gereja ini siap dibina 12 tahun kemudian pada tahun 1753 dan diletakkan di bawah pentadbiran Dutch Reformed Church.

Bila Melaka dijadikan jajahan British di bawah Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, pentadbiran gereja ini diletakkan di bawah Kerajaan Negeri-negeri Selat. Aturan ibadat Dutch Reformed Church juga ditukar mengikut aturan Anglican (Church of England) oleh Bishop of Calcutta yang bernama Daniel Wilson. Gereja ini masih kekal digunakan sebagai sebuah gereja Anglican sehingga ke hari ini. Nama gereja juga telah ditukar dari Dutch Reformed Church kepada Christ Church oleh pentadbir British. 

British juga telah meletakkan sebuah mata angin berbentuk ayam jantan pada bumbung gereja ini yang menghala ke beberapa baris kedai perniagaan milik masyarakat Baba Melaka. Perkara ini sangat tidak disenangi Baba Melaka ketika itu kerana dianggap melanggar aturan Feng Shui yang boleh membawa kerugian di dalam perniagaan.

Sebuah mata angin berbentuk Ayam Jantan telah dipasang oleh British sebagai perhiasan di bumbung gereja.
Mata Angin berbentuk Ayam Jantan ini tidak disenangi oleh masyarakat Baba Melaka ketika itu kerana dikatakan melanggar Aturan Feng Shui yang boleh membawa kerugian di dalam perniagaan.
Kedai-kedai cendermata di tepi Christ Church
Pelbagai cenderamata menarik dijual di sini.

 Bersambung ke Bahagian 7...


CATATAN PERJALANAN MELAKA (2018):