Thursday, 27 December 2018

2018 MELAKA BHG. 08 (Jonker Walk 1)

November 2018

MELAKA, MALAYSIA
Banda Hilir

Bahagian 8: Jonker Walk (1)
MAKAM HANG JEBAT, MASJID KAMPUNG KLING & MAKAM SYAMSUDDIN AL SUMATRANI

HARI KEDUA (5)

Part 26: Makam Hang Jebat

Selepas makan tengahari di RC Hotel, kami berjalan menghala ke Jonker Walk. Dalam perjalanan, kami singgah melawat ke Makam Hang Jebat.

Jalan Hang Kasturi
Lorong berhampiran Jalan Hang Kasturi
Makam Hang Jebat terletak dekat Jalan Tukang Besi yang dahulunya dikenali sebagai Jalan Kuli. Jalan Kuli dinamakan sedemikian kerana di sinilah tempatnya kuli-kuli datang mencari pekerjaan di zaman dulu.

Jalan Kampung Hulu
Pintu masuk ke Makam Hang Jebat
Hang Jebat adalah sahabat yang paling rapat dan setia dengan Hang Tuah di samping tiga orang sahabatnya yang lain Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Pemandangan di Makam Hang Jebat
Sewaktu Hang Tuah difitnah oleh Pateh Kerma Wijaya, Sultan yang memerintah pada ketika itu tanpa usul periksa telah menitahkan kepada Bendahara Paduka Raja agar Hang Tuah dihukum bunuh. Sebagai seorang sahabat yang setia, Hang Jebat berasa marah atas tindakan Sultan yang membuat keputusan tanpa menyiasat terlebih dahulu. Hang Jebat telah mengamuk dan sekaligus menderhaka kepada Sultan sehingga menyebabkan keadaan istana menjadi kacau bilau demi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Masuk ke kawasan pusara
Walau bagaimanapun, Bendahara Paduka Raja tidak membunuh Hang Tuah. Dia sebaliknya menyembunyikan Hang Tuah di suatu tempat yang tidak diketahui oleh orang lain. Setelah menyaksikan sikap Hang Jebat, maka Hang Tuah telah dijemput semula bagi membunuh Hang Jebat. Hang Tuah tidak dapat menerima sebarang alasan dan menganggap Hang Jebat telah menderhaka kepada Sultan. Maka berlakulah pertikaman sengit serta penuh tragis antara dua hulubalang Melaka yang gagah berani ini dan akhirnya Hang Jebat tewas di tangan Hang Tuah.

Makam Hang Jebat

Part 27: Harmony Street

Seperti George Town di Pulau Pinang, di Melaka juga ada banyak bangunan yang dihiasi dengan lukisan-lukisan mural yang menarik. Memang ini ciri bandaraya Warisan UNESCO agaknya.

Jalan Tokong juga dinamakan Harmony Street kerana di sini terdapat rumah-rumah ibadat bagi 3 agama utama di Malaysia yang terdiri dari Masjid Kampung Kling, Kuil Hindu Sri Poyatha Vinaygara Moorthy dan dua buah tokong Cina: San Duo Temple dan Cheng Hoon Teng Temple.

Jalan Tukang Emas yang juga dinamakan Harmony Street
Sewaktu melalui Jalan Tokong, kami singgah di sebuah kedai cenderamata yang bernama Raz Kashmir. Seperti namanya, kedai ini menjual barangan cenderamata dari Kashmir, India.

Raz Kashmir
Pintu masuk ke kedai Raz Kashmir
Pemilik kedai ini adalah seorang lelaki dari Kashmir yang Myself dah lupa namanya. Selain menjual barangan cenderamata dari Kashmir, pemilik ini juga mempunyai sebuah travel agent yang menguruskan percutian mana-mana rakyat Malaysia yang ingin melawat Kashmir. Beriya dia promote kepada kami supaya datang bercuti ke Kashmir dengan travel agentnya.

Bangga juga kita bila pemilik Raz Kashmir ni cakap kat kita, "You really look like an explorer, Madam!" Hahaha... mesti dia refer kat gaya kita berjalan pakai topi begitu!


Barangan yang dijual di kedai Raz Kashmir berasal dari Kashmir sendiri
Husband bergambar dengan pemilik Raz Kashmir yang peramah
Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi Temple adalah kuil Hindu yang tertua di Malaysia. Ia dibina oleh komuniti Hindu di Melaka pada tahun 1780-an untuk menghormati dewa berkepala gajah yang bernama Vinayagar ataupun Ganesh. Tanah pembinaan kuil ini didermakan oleh seorang Kapitan Melaka yang bernama Thaivanayagam Chitty.

Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi
Pintu masuk ke kuil
Kuil ini dibina untuk menghormati dewa berkepala gajah yang bernama Vinayaga ataupun Ganesh.
Jalan Tukang Emas
Kuil Cina Cheng Hoon Teng pula dibina mengikut ciri senibina China Selatan menggunakan tukang bina yang dibawa dari  Fujian dan Guangdong.

Kuil Cheng Hoon Teng
Cheng Hoon Teng yang bermaksud Temple of Clear Clouds dibina oleh Kapitan Cina yang bernama Tay Hong Yong. Selain kuil, bangunan ini juga pernah dijadikan mahkamah oleh kapitan-kapitan Cina ketika itu.

Pintu masuk ke Cheng Hoon Teng
Pemandangan di dalam kuil Cheng Hoon Teng
San Duo Temple yang terletak setentang dengan Cheng Hoon Teng pula dibina pada tahun 1795. Banyak peralatan di dalam kuil ini termasuk pembakar coloknya diperbuat di zaman pemerintahan Dinasti Manchu di China.

San Duo Temple

Part 28: Masjid Kampung Kling

Masjid Kampung Kling yang terletak di antara Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi dan Cheng Hoon Teng di Harmony Street (Jalan Tokong) adalah salah sebuah masjid yang tertua di Malaysia. Ia dibina pada tahun 1748. Walaupun kawasan ini kini dihuni majoriti penduduk yang berketurunan Cina, kawasan ini pada asalnya dihuni oleh penduduk India Muslim (Kling) yang berasal dari India Selatan yang memberikan kepadanya nama Kampung Kling. 

Masjid Kampung Kling
Pintu masuk ke Masjid Kampung Kling
Masjid Kampung Kling masih memainkan peranan penting dalam kehidupan orang-orang Melayu. Ia dibina menyerupai masjid-masjid di Sumatera dengan pengaruh Hindu yang kuat. Ini jelas kelihatan pada menara masjid ini yang seakan-akan berbentuk pagoda. Jika diamati dari dekat, kelihatan satu campuran yang agak luar biasa dalam senibina dan bahan binaan yang digunakan.

Signboard di pintu masuk ke masjid
Menara masjid dibina berilhamkan dari senibina pagoda China
Jubin yang dipasang pada masjid mengambil ciri-ciri Inggeris dan Portugis.
Lega juga bila terjumpa masjid ini sewaktu berjalan ke Jonker Street. Boleh jugalah kita bersolat jamak Zohor dan Asar di sini. Bila dah selesai tanggungjawab kepada Allah SWT, mudahlah kita membuat urusan yang selanjutnya.

Sejarah pembinaan Masjid Kampung Kling
Ruang Solat di dalam masjid
Lampu gantung masjid adalah dari zaman Ratu Victoria di England.
Ukiran kayu pada siling
Mihrab dan Mimbar Masjid
Mimbarnya yang diperbuat dari kayu diukir dalam bentuk ukiran orang-orang Hindu dan Cina
Senibina Melayu Klasik pada tingkap masjid
Suasana di dalam masjid
Pemandangan ke Ruang Solat dari luar.
Anjung Masjid
Ada sebuah kolah besar yang dibina sebagai tempat wuduk masjid. Kolah ini dibina dengan berilhamkan bangunan Arab dan dihiasi dengan jubin-jubin seperti yang banyak dilihat di kediaman Cina Peranakan di Melaka.

Kolah tempat wuduk
Pancutan air di tengah kolah
Masjid Kampung Kling juga telah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah Warisan Kebangsaan Malaysia

Part 28: Makam Syamsuddin Al Sumatrani

Di penghujung jalan ini terdapat sebuah kampung Melayu yang dinamakan Kampung Ketek.

Kampung Ketek
Rumah Tradisional Melaka dengan tangganya yang unik
Ada Makam Syamsuddin Al-Sumatrani di sini
Kampung Ketek
Lagi tangga tradisional Melaka
Senibina tradisional Melaka
Makam Syamsuddin Al Sumatrani terletak agak tersorok di belakang rumah-rumah di Kampung Ketek.

Arah ke Makam Syamsuddin Al-Sumatrani
Pintu masuk ke kawasan makam
Syamsuddin Al Sumatrani adalah seorang ulama, sasterawan dan pahlawan terbilang di negeri Aceh pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda. Apabila Melaka ditakluk Portugis pada tahun 1511, Aceh sering menyerang Portugis di Melaka untuk mengembalikan Melaka kepada keadaan asal dan bebas dari jajahan takluk orang-orang Barat dan juga menegakkan syiar Islam.

Syamsuddin telah turut serta dalam satu serangan yang dilakukan oleh Aceh. Malangnya dia terbunuh dalam serangan tersebut dan dikebumikan di sini. 

Makam Syamsuddin Al Sumatrani
Makam ini sangat panjang berbanding makam-makam lain di sekitarnya
Makam Syamsuddin sangat panjang: sekitar 14 meter. Sekeliling makam dilapisi seramik yang berwarna oren. Bahagian tengahnya yang dibiarkan terbuka ditaburi batu kerikil putih. Inilah satu-satunya makam di kompleks ini yang dipagari konkrit dan dipasang atap.

Pemandangan pusara di sekitar Makam Syamsuddin Al Sumatrani
Pokok Melaka di kawasan Makam Syamsuddin Al Sumatrani


 Bersambung ke Bahagian 9...

CATATAN PERJALANAN MELAKA (2018):