Friday, 5 May 2017

2017 UMRAH & HARAMAIN BHG. 05 (Arafah)

April 2017

ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh

Bahagian 5: Ziarah Makkah (2)
JABAL TSUR, ARAFAH & MUZDALIFAH

HARI KEEMPAT (1)

Part 23: Al Misfalah

Program Ziarah Hari Keempat sebenarnya berkisar kepada lawatan Masya'ir Haram yang merupakan tempat-tempat yang berkaitan dengan Ibadah Haji di Makkah. Dalam perjalanan ke sana, kami diperkenalkan dengan sejarah kawasan Al Misfalah, kawasan di mana letaknya hotel penginapan kami, Burj Al Sultan.

Al Misfalah adalah laluan yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah. Baginda ditemani sahabatnya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq pada ketika itu.

Kawasan Al Misfalah di Makkah
Inilah laluan yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu baginda berhijrah ke Madinah bersama Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA.
Laluan Al Misfalah bukanlah laluan yang biasa digunakan oleh orang-orang Quraisy untuk menuju ke Madinah ketika itu. Menurut riwayat, laluan ini telah ditunjukkan kepada Rasullullah SAW oleh Malaikat Jibril, atas perintah Allah SWT. Malah, waktu untuk Nabi mula bergerak menuju ke Madinah juga telah disampaikan kepada baginda oleh Malaikat Jibril.

Beginilah rupabumi Al Misfalah pada ketika itu.
Kedai-kedai di Al Misfalah
Sebuah hotel mewah di Al Misfalah
Mutawwif bercerita tentang sejarah Al Misfalah.

Part 24: Loji Memproses Air Zamzam

Sewaktu melintasi daerah Kudai di Makkah, kami ditunjukkan Loji Memproses Air Zamzam. Di loji inilah Air Zamzam yang dibawa balik ke negara masing-masing oleh Jemaah Haji dan Umrah sebagai cenderamata dari Tanah Suci dibotolkan.

Loji Memproses Air Zamzam
Pemandangan dekat pintu masuk ke Loji Memproses Air Zamzam
Loji ini yang nama rasminya Projek Air Zamzam King Abdullah bin Abdulaziz diasaskan pada tahun 2010 oleh Kerajaan Arab Saudi. Ia dibangunkan tidak bermotif keuntungan bagi memberi kemudahan kepada jemaah mendapatkan Air Zamzam tulen, selain untuk dibawa pulang ke tanah air.

Air Zamzam disalurkan ke loji ini dari Perigi Zamzam di Masjidil Haram melalui paip sepanjang 4 km. Di sini, Air Zamzam akan ditapis sebanyak tiga kali sebelum dibotolkan.

Part 25: Jabal Tsur


Dalam perjalanan ke Arafah, kami dibawa melihat Jabal Tsur. Di puncak bukit yang tinggi inilah, Nabi Muhammad dan sahabat baiknya, Abu Bakar As-Siddiq bersembunyi sewaktu meninggalkan kota Makkah menuju ke Madinah.

Jabal Tsur
Kami walau bagaimanapun, hanya melihat Jabal Tsur dari atas bas kerana kaki Jabal Tsur ketika itu sangat sesak dengan pengunjung. Di sini juga, kami mendengar kisah penghijrahan Nabi yang sangat menginsafkan. Di samping itu juga, kami turut diceritakan kisah janji Nabi kepada orang yang cuba membunuh baginda ketika itu. Kisah ini Myself ceritakan semula di bawah sebagai renungan untuk kita bersama.

Kami tak berhenti di sini kerana keadaan yang terlalu sesak dengan pengunjung.

KISAH HIJRAH RASULLULLAH SAW

Pada tahun 622 Masehi, Rasullullah SAW dan Abu Bakar As-Siddiq telah melakukan Hijrah dari Makkah ke Madinah. Hijrah ini dilakukan kerana Rasullullah mendapat banyak ancaman dari kaum kafir Quraisy.

Dalam mesyuarah yang panjang di Darun Nadwah, para pemimpin Quraisy membuat keputusan untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. Dengan ilham yang diberi oleh Syaitan yang menyamar sebagai seorang lelaki tua di kalangan mereka, kaum Quraisy memutuskan untuk mengirim para pemuda perkasa yang berasal dari setiap kabilah Quraisy untuk membunuh Nabi. Setiap seorang dari mereka dilengkapi dengan pedang untuk tujuan tersebut. Alasan bagi setiap kabilah untuk menyertai misi ini adalah supaya Bani Hasyim dan Bani Mutalib yang merupakan kabilah asal Rasullullah tidak menuntut balas atas kematian baginda kelak.

Pada malam yang ditetapkan, para pemuda ini mengepung rumah Nabi dari segala penjuru. Lewat tengah malam, Nabi Muhammad SAW menyuruh Ali bin Ali Talib untuk tidur di tempat pembaringan baginda dan memakai selimut yang biasa dipakai oleh Rasullullah. Atas kekuasaan Allah SWT, tak seorang pun di antara para pemuda ini yang melihat pemergian Nabi Muhammad SAW. Baginda lalu menuju ke rumah sahabatnya Abu Bakar untuk melarikan diri ke arah Jabal Tsur.

Setelah tersedar, para pemuda Quraisy ini masuk ke rumah Nabi. Mereka sebaliknya menemui Ali bin Abi Talib yang berpura-pura menggantikan Nabi tidur.

Rasullullah terus diburu oleh kaum kafir Quraisy di Makkah. Mereka mengejar dan berusaha untuk membunuh baginda. Rasullullah dan sahabat yang menemaninya, Abu Bakar RA terus berlari dan menyelamatkan diri.

Meski berat dalam memperjuangkan tegaknya Islam, Rasullullah tetap teguh berjuang dan tidak pernah putus berdoa. Ketika dikejar oleh kaum Quraisy di sekitar Jabal Tsur, baginda menemui Gua Tsur. Gua ini tidak terlalu besar, hanya cukup dimasuki orang tanpa berdiri tegak. Selama tiga hari tiga malam Rasullullah bersembunyi di sana.

Keajaiban pun terjadi. Pertolongan Allah SWT kepada Rasullullah muncul pada saat yang sangat diperlukan. Saat kaum Quraisy tiba di depan pintu gua, secara ajaib terdapat sarang labah-labah yang menutup pintu gua, dan burung merpati turut membuat sarang di situ.

Pengorbanan juga dilakukan oleh Abu Bakar RA. Saat berada di dalam gua yang sempit itu, dengan keadaan tubuh yang lelah kerana berlari dikejar kaum kafir, dia tidak memperlihatkan rasa letih di depan Rasullullah. Malah Abu Bakar mempersilakan Rasullullah SAW untuk tidur di pangkuannya.

Tiba-tiba, keluar seekor ular berbisa dari lubang di dalam gua. Abu Bakar berusaha menghalaunya agar tidak mendekati Rasullullah. Malang sebaliknya kerana Abu Bakar telah digigit ular tersebut. Meski peluh dingin menitik dari wajah dan tubuhnya, Abu Bakar tetap bertahan kerana tak ingin mengganggu tidur Rasullullah.

Ada riwayat yang mengatakan bahawa ular ini telah meminta kepada Allah SWT untuk menatap wajah Rasullullah, lalu dia disuruh menunggu di Gua Tsur. Bila ular ini keluar dari lubangnya, dia tidak dapat menatap wajah Rasullullah kerana dilindungi oleh Abu Bakar. Disebabkan marah kerana tak dapat menatap wajah Rasullullah, ular ini telah menggigit Abu Bakar.

Rasullullah terjaga dari tidur bila air mata Abu Bakar yang menahan kesakitan mengenai wajah baginda. Bila mengetahui yang kaki Abu Bakar digigit ular, baginda terus mengubatinya dengan air liur baginda.

Sejarah turut mencatat, tak ada yang mengetahui tempat persembunyian Rasullullah dan Abu Bakar, kecuali tiga orang anak Abu Bakar: Abdullah, Asma dan Aisyah, serta pembantu mereka yang bernama Amir bin Fuhaira. Merekalah yang sangat berjasa membantu Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar RA.

Abdullah bertugas mencari maklumat tentang pergerakan kaum kafir Quraisy. Setiap hari dia akan berada di tengah-tengah kaum kafir Quraisy untuk mendengar sikap dan rencana yang akan mereka laksanakan. Sementara itu, Amir bertugas menggembala kambing milik Abu Bakar di sekitar Gua Tsur, memerah susu dan menyiapkan daging untuk makanan Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar, dengan dibantu Asma dan Aisyah.

Amir bukan ditugaskan oleh Abu Bakar untuk menggembala kambing di sekitar Gua Tsur tanpa alasan. Dengan kambing-kambing itu, Amir sekaligus dapat menghapus jejak Abdullah yang keluar masuk ke tempat persembunyian.

Pengorbanan lain juga dilakukan oleh anak perempuan Abu Bakar yang bernama Asma binti Abu Bakar. Walaupun dia sedang hamil ketika itu, perempuan solehah ini berusaha memanjat Gua Tsur untuk menghantar makanan kepada Rasullullah dan ayahnya yang sedang bersembunyi di dalam gua.

Pernah satu ketika, tali yang digunakan untuk mengikat bekalan makanan ini terputus ketika dia sedang memanjat Bukit Tsur. Asma lalu membelah dua kain talipinggangnya yang mana sehelai dari kain belahan ini digunakan bagi mengganti tali pengikat makanan yang telah putus. Peristiwa inilah yang menyebabkan Rasullullah menggelar Asma sebagai "Wanita Yang Mempunyai Dua Talipinggang".

Pada satu ketika pula, kaum Quraisy dengan pedang terhunus tiba di Jabal Tsur dan bertemu dengan Amir. Lalu mereka bertanya, "Apakah Muhammad dan Abu Bakar di dalam gua itu?" Amir menjawab, "Mungkin agaknya mereka di dalam gua itu, tapi saya tak melihat ada orang yang menuju ke sana."

Tersentak ketika mendengar percakapan itu, Abu Bakar berpeluh dingin. Dia khuatir mereka akan menyerbu ke dalam gua. Abu Bakar menahan nafas, tidak bergerak dan hanya menyerahkan nasibnya kepada Allah SWT. Melihat hal tersebut, Nabi Muhammad berdoa dan merapatkan tubuhnya kepada Abu Bakar seraya berbisik ke telinganya, "Jangan bersedih. Tuhan bersama kita," seperti yang dikisahkan di dalam Al Quran Surah At-Taubah Ayat 40.

Akhirnya, Rasullullah dan Abu Bakar melanjutkan perjalanan menuju ke Madinah dengan menggunakan laluan yang jarang dilalui dengan khidmat dari penunjuk jalan yang bernama Abdullah bin Uraiqith yang dilantik oleh Abu Bakar.

Setelah menempuh perjalanan yang disertai dengan pengalaman yang menegangkan serta pelbagai penderitaan, sampailah Rasullullah di Madinah. Rasullullah disambut dengan perasaan yang sangat gembira dan diberi penghormatan yang sangat tinggi. Hal ini sangat berbeza dengan keadaan ketika baginda berada di Makkah di mana baginda sentiasa diburu untuk dibunuh.

JANJI RASUL YANG DITUNAIKAN

Setelah meninggalkan Gua Tsur sewaktu berhijrah ke Madinah, Rasullullah SAW dan Abu Bakar As-Siddiq beserta penunjuk jalan mereka, Abdullah bin Uraiqith berjaya dikesan oleh seorang pembunuh upahan Quraisy yang bernama Suraqah bin Malik.

Suraqah meluru ke arah Nabi, namun 3 kali percubaannya gagal kerana kaki kudanya terperosok setiap kali, menyebabkan dia terjatuh dari kudanya. Rasullullah SAW datang ke arahnya lalu memberikan pertolongan kepada beliau sehingga Suraqah merasa teruja dengan sifat Nabi SAW ketika itu sedangkan baginda tahu kedatangannya adalah bertujuan untuk menangkap atau membunuh baginda.

Melihat situasi itu maka berkatalah Suraqah, "Ya Muhammad! Aku pasti agama engkau akan menang. Berjanjilah kepadaku, jika suatu hari nanti aku datang ke kerajaan engkau, maka engkau akan bermurah hati kepada aku. Tuliskanlah itu untukku," pinta Suraqah.

Rasullullah SAW mengarahkan Abdullah bin Uraiqith menulis jaminan yang diminta oleh Suraqah di atas sepotong kulit, dan diberikan kepada Suraqah. Tidak sekadar itu, Rasullullah SAW turut menawarkan kepada Suraqah akan mahkota dan gelang kebesaran milik Raja Parsi yang bernama Kisra bin Hurmus.

Tawaran yang sukar dipercayai menambahkan kebingungan Suraqah. Namun Suraqh berjanji untuk melepaskan Nabi SAW dengan jaminan dari dirinya.

Suraqah kembali ke Makkah dan memberitahu sekumpulan orang yang mencari Nabi SAW bahawa baginda tidak ditemui di jalan-jalan yang dilaluinya. Memandangkan Suraqah adalah seorang assasin yang terkenal hebat di kalangan orang Quraisy, mereka mempercayainya. Suraqah menghebahkan bahawa jika dia tidak dapat menemui Nabi, sudah pasti tak ada orang lain yang boleh menemui baginda.

Selepas 10 tahun berlalu, Suraqah datang bertemu dengan Rasullullah di Madinah setelah Madinah berada di bawah pemerintahan baginda untuk menyatakan keislamannya. Semenjak itu, Suraqah menjadi pendukung setia gerakan dakwah walaupun dia hanya berkesempatan bersama dengan baginda selama 9 bulan.

Suraqah sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyebarkan Islam. Sehinggalah di zaman pemerintahan Umar bin Khattab, Kerajaan Parsi telah tewas dan telah ditakluk oleh kerajaan yang dipimpin oleh Khalifah Islam yang kedua itu.

Longgokan harta rampasan perang terlalu banyak melimpah ruah. Di saat itu juga, Khalifah Umar menemui mahkota dan gelang kebesaran Raja Kisra bin Hurmus lalu memanggil Suraqah bin Malik. Umar mengenakan pakaian kebesaran Kisra di tubuh Suraqah, lengkap dengan seluar dan kasutnya. Kemudian dia menyisipkan pedang dan talipinggang kebesaran Kisra. Mahkota diletakkan di kepala Suraqah dan tangannya dipakaikan dengan gelang-gelang kebesaran Kisra dengan diiringi laungan takbir. Suraqah hanya mampu terpaku, mengenangkan ucapan Rasullullah SAW kepadanya yang dibuat berbelas tahun yang lalu.

Mungkin di bukit-bukit inilah Suraqah menemui Rasullullah sewaktu dia memburu baginda.

Part 26: Perjalanan Ke Arafah

Perjalanan kami diteruskan ke Arafah, yang terletak kira-kira 20 km dari Masjidil Haram. Dalam perjalanan ke sana, kami melalui Masjid Al Rajhi yang didirikan oleh pengasas Bank Al Rajhi, Suleiman Al Rajhi. Masjid ini mempunyai kapasiti 48,000 jemaah dan merupakan masjid yang kedua terbesar di Makkah selepas Masjidil Haram.

Masjid Al Rajhi
Kami diberitahu orang-orang Arab gemar berpiknik di perkarangan masjid ini di sebelah malam.
Supermarket Hyper Panda tidak jauh dari Masjid Al Rajhi
Kemudian kami dapat pula melihat sebuah bangunan yang besar bak istana. Rupa-rupanya ia adalah sebuah dewan yang selalunya disewa untuk majlis perkahwinan. Tak seperti di Malaysia, orang-orang Arab tidak mengadakan majlis-majlis perkahwinan mereka di hotel. Sebaliknya mereka akan menyewa dewan-dewan mewah sebegini untuk majlis-majlis mereka.

Dewan Perkahwinan
Besar sungguh dewan ini, macam istana.
Kami juga melihat kampus Universiti Umm Qura dalam perjalanan ke Arafah. Universiti ini adalah sebuah pusat pengajian tinggi yang terkenal di Makkah. Tapi tidak seperti Universiti Islam Madinah yang hanya menawarkan kursus-kursus agama Islam, Universiti Umm Qura juga menawarkan kursus-kursus lain seperti Pergigian, Sains dan Matematik.

Pintu Gerbang Universiti Umm Qura
Kampus Universiti Umm Qura
Satu lagi pemandangan dari luar kampus Universiti Umm Qura
Memang jauh terpencil kampus ini di tengah jalan menuju ke Arafah.
Kemudian kami melalui pula sebuah kawasan yang dinamakan Syara'ik. Kami diberitahu di sinilah jenazah rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Makkah dikebumikan. Tapak perkuburan sebenarnya walau bagaimanapun tak dapat dilihat dalam perjalanan menuju ke Arafah.

Daerah Syara'ik di mana letaknya tanah perkuburan bagi rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Makkah.

Part 27: Arafah

Arafah adalah sebuah daerah terbuka dan luas di sebelah timur luar kota suci umat Islam di Makkah. Di padang yang luas ini, pada satu siang hari tanggal 9 Zulhijjah mengikut perkiraan tahun Hijrah, berkumpullah lebih dari dua juta umat Islam dari seluruh pelusuk dunia untuk melaksanakan Wukuf, yang merupakan rukun utama dalam ibadah haji.

Unta gembalaan sewaktu tiba di Arafah
Kumpulan unta yang sama
Jamal (Unta dalam Bahasa Arab).
Meninggalkan kawanan unta di belakang.
Permulaan kawasan Arafah.

JABAL RAHMAH

Perhentian ziarah kami di Arafah adalah di Jabal Rahmah yang diyakini sebagai tempat pertemuan Nabi Adam AS dengan Siti Hawa setelah mereka diturunkan dari syurga oleh Allah SWT. Mereka terpisah selama bertahun-tahun akibat kesalahan melanggar larangan Allah SWT agar tidak mendekati sebuah pohon ketika mereka berdua berada di dalam syurga.

Jabal Rahmah
Signboard Jabal Rahmah
Nama Jabal Rahmah dalam pelbagai bahasa
Hospital di Arafah yang hanya berfungsi di Musim Haji
Kesesakan di Jabal Rahmah
Mendengar Mutawwif memberi penerangan tentang sejarah Jabal Rahmah
Jemaah dari India
Jemaah dari Iran. Tak ramai Jemaah Iran ditemui dalam kunjungan ke Tanah Suci kali ini.
Jabal Rahmah boleh didaki tetapi kami tidak berbuat begitu dalam kunjungan ke sana. Disebabkan bukit ini menjadi tempat pertemuan Nabi Adam AS dengan Siti Hawa, ramai yang berdoa meminta dipermudahkan jodoh di atas bukit ini walaupun perkara ini tidak pernah dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Tak ada tangga yang proper untuk naik ke Jabal Rahmah.
Macam ada papan iklan pulak kat atas sana...
Close-up sikit... Larangan untuk berbuat perkara khurafat di Jabal Rahmah rupanya.
Pengumuman juga dibuat menerusi speaker yang dipasang di sini hampir tak berhenti dalam pelbagai bahasa (termasuk Bahasa Indonesia) untuk melarang pengunjung membuat perkara khurafat di sini.
Pengunjung di puncak Jabal Rahmah
Jabal Rahmah juga adalah tempat wahyu terakhir diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sewaktu melakukan Wukuf. Wahyu tersebut terkandung di dalam Surah Al-Maidah Ayat 3 di dalam Al Quran. Turunnya ayat ini membuat para sahabat merasa sedih, kerana mereka merasa akan kehilangan Rasulullah. Ternyata tak berapa lama kemudian, Rasulullah SAW dipanggil menghadap Allah SWT.

Sebuah masjid kecil pernah didirikan di sini satu masa dahulu untuk menandakan tempat Nabi Muhammad SAW berwukuf sewaktu baginda mengerjakan Haji.
Tembok ini adalah sebahagian dari saluran air Ain Zubaidah yang dibina oleh isteri Khalifah Harun Al Rashid untuk kemudahan Jemaah Haji.
Penjaja di kaki Jabal Rahmah

PADANG ARAFAH

Wukuf di padang Arafah adalah ritual haji yang dilakukan dengan cara berdiam diri di padang Arafah mulai dari tergelincirnya matahari tanggal 9 Dzulhijjah sampai terbenamnya matahari pada tanggal 10 Dzulhijjah.


Pemandangan Padang Arafah tempat Jemaah Haji berwukuf
Dalam rangkaian rukun ibadah haji, wukuf di padang Arafah adalah ritual terpenting yang wajib dilakukan oleh setiap Jemaah Haji sebagai kemuncak dari Ibadah Haji. Ibadah haji tidak sah apabila rukun haji ini tidak dilakukan. Dalam keadaan apa pun ia mesti dilakukan, sehingga apabila dalam keadaan sakit sekalipun seorang Jemaah Haji harus dibawa ke Arafah untuk diwukufkan. Bahkan, jika dia meninggal dunia sebelum sempat melaksanakan Wukuf di Padang Arafah, dia harus dibadal-hajikan.

Kawasan ini sunyi sepi di luar Musim Haji.
Wukuf di Padang Arafah merupakan gambaran dari sebuah kejadian besar yang akan dialami oleh seluruh umat manusia setelah dibangkitkan dari kematian pada Hari Kiamat nanti, di mana kita akan dikumpulkan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar untuk dipertanggungjawabkan segala amal perbuatan yang pernah dilakukan selama hidup di dunia.

Pemandangan khemah di Padang Arafah sewaktu kami menunaikan Haji pada Disember 2005 - Januari 2006 dulu.

MASJID NAMIRAH

Masjid Namirah juga terletak di kawasan ini. Pada Hari Arafah, Rasullullah SAW berkhemah di sini. Setelah matahari tergelincir, baginda berpindah ke bahagian tengah di Lembah Uranah. Seterusnya baginda berkhutbah dan bersolat Zohor dan Asar secara Jamak Takdim di situ. Setelah itu, Nabi SAW berpindah ke tempat wukuf semula di pinggir Jabal Rahmah di Arafah.

Masjid Namirah dari kejauhan
Masjid ini mempunyai struktur binaan yang sangat unik. Bahagian hadapannya terkeluar dari kawasan Arafah manakala bahagian belakangnya termasuk di dalam kawasan Arafah. Kerana itu jugalah Jemaah Haji Malaysia dinasihatkan tidak berkunjung ke Masjid ini sewaktu di musim Haji kerana bimbang kemungkinan kita terkeluar dari Arafah ketika berwukuf.

Part 28: Ain Zubaidah

Dari Arafah, kami bergerak ke Muzdalifah yang jaraknya kira-kira 8 km dari Arafah. Dalam perjalanan ke sana ada bukit yang dipagari benteng-benteng kuno yang berusia sekitar 800 tahun yang lalu. Ia dibina oleh Siti Zubaidah, yang merupakan isteri kepada Khalifah Harun Al-Rashid. Ada juga cerita yang mengatakan Khalifah Harun Al-Rashid membina saluran air ini sebagai maskahwin yang disyaratkan oleh Siti Zubaidah. Saluran air ini membekalkan air untuk kegunaan Jemaah Haji pada masa dahulu.

Benteng Saluran Air Ain Zubaidah
Pemandangan dekat benteng Ain Zubaidah
Saluran air ini membekalkan air untuk kegunaan Jemaah Haji pada masa dahulu.

Part 29: Muzdalifah

Muzdalifah merupakan sebahagian dari Tanah Haram (Masya'ir Haram). Setelah selesai wukuf di Arafah, Jemaah Haji berangkat menuju ke Muzdalifah. Amalan yang dilakukan di Muzdalifah adalah Solat Jamak Maghrib dan Isyak serta berzikir. Di sini juga, Jemaah Haji akan mengambil kesempatan untuk mengutip batu bagi kegunaan Melontar Jumrah di Mina. Waktu bermalam (Mabit) di Muzdalifah bermula setelah Maghrib sampai terbit fajar 10 Zulhijjah. Jemaah juga diperbolehkan hanya melalui Muzdalifah sesaat sahaja asal selepas lewat tengah malam.

Muzdalifah
Masjid Masya'ir Haram di Muzdalifah. Masjid ini hanya dibuka setahun sekali pada malam Aidil Adha.
Pintu masuk ke Masjid Masya'ir Haram
Perkara yang menarik perhatian di Muzdalifah ini adalah stesen LRTnya. Sebagai rakyat Malaysia, kita pasti berbangga melihatnya kerana LRT ini telah dibina dan dikendalikan oleh Syarikat Prasarana dari Malaysia yang juga mengendalikan perkhidmatan LRT di Lembah Klang.

Stesen LRT di Muzdalifah
Perkhidmatan LRT di Muzdalifah ini dibina oleh Syarikat Prasarana dari Malaysia.


 Bersambung ke Bhg. 6....


CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):