Sunday, 5 August 2018

2018 MANADO BHG. 05 (Vihara Buddhayana & Desa Woloan)

Julai 2018

SULAWESI UTARA, INDONESIA
Manado & Minahasa

Bahagian 5: Minahasa (2)
VIHARA BUDDHAYANA & DESA WOLOAN

HARI KEDUA (2)

Part 17: Vihara Buddhayana

Oleh kerana agama selain Kristian dan Islam mempunyai pengikut yang sangat kecil di Manado, pusat ibadat Buddha yang bernama Vihara Buddhayana di Tomohon menjadi satu tarikan kepada pelancong yang berkunjung di sini.

Jalan masuk ke Vihara Buddhayana
Vihara Buddhayana
Sebaik masuk ke perkarangan Vihara Buddhayana, kita akan disambut dengan 18 buah patung Lohan yang berbaris di tepi jalan. Mereka adalah murid-murid Buddha yang asalnya pendosa dan telah mencapai tingkat kesucian tertinggi.

Patung-patung Lohan yang menyambut kedatangan pengunjung ke Vihara Buddhayana
Setiap patung Lohan mempunyai nama dan karekter masing-masing.
Vihara Buddhayana ini mula dibangunkan pada tahun 1982 tetapi pembangunannya tidaklah dibuat serentak. Bangunan-bangunan yang terdapat di sini dibina satu demi satu dan tidak sekaligus. Bangunan utamanya yang dinamakan Buddha Hall adalah tempat ibadat utama di mana upacara sembahyang diadakan di sana setiap minggu.

Bangunan Utama Vihara Buddhayana yang dinamakan Buddha Hall
Pemandangan lebih dekat Buddha Hall
Pintu masuk ke Buddha Hall
Pemandangan ke dalam Buddha Hall
Ada larangan fotografi dalam bangunan ibadat. Gambar ini diambil dari luar pintu, kira okeylah, kan?
Berdekatan dengan patung-patung Lohan ada Stupa dan Patung Lilin yang sedang menyala. Stupa melambangkan kebebasan dari hawa nafsu. Lilin pula menggambarkan ajaran Buddha supaya seseorang membakar diri untuk memberi manfaat kepada orang lain.

Stupa dekat patung Lohan
Pemandangan Stupa dengan lebih dekat
Bangunan di belakang sana adalah pusat pengajian agama Buddha
Buddhist Sunday School
Pemandangan Gunung Lokon dari Vihara Buddhayana
Patung Lilin ini mengingatkan para penganut Buddha untuk sentiasa menerangi orang lain.
Satu bangunan yang menarik di Vihara Buddhayana ialah bangunan pagodanya yang dinamakan Pagoda Ekayana. Pagoda ini dibina setinggi 9 tingkat dan di depannya dibina sebuah kolam yang dihias dengan patung naga.

Pagoda Ekayana yang dibina setinggi 9 tingkat.
Pintu masuk ke Pagoda Ekayana
Kolam di depan Pagoda Ekayana
Kasut perlu dibuka untuk masuk ke bangunan Pagoda
"Aumm !! Terkam dia dari belakang !!"
Sebuah lagi bangunan kuil yang berwarna pink didedikasikan kepada Dewi Kwan Yin. Orang yang bermasalah akan bersembahyang di dalam kuil ini dan  mencabut segulung kertas yang diletakkan di dalam sebuah bekas yang disediakan. Di dalam gulungan kertas itu adalah kata-kata bijak dari Buddha yang dipercayai boleh memecahkan permasalahan yang dihadapi.

Kuil Kwan Yin
Pemandangan Kuil Kwan Yin dari depan.
Pemandangan ke dalam Kuil Kwan Yin
Pemandangan Pagoda Ekayana dari tepi Kuil Kwan Yin
Di belakang Kuil Kwan Yin pula ada sebuah kolam kura-kura yang cantik. Di sekelilingnya ada plak-plak yang tertulis dengan tulisan Cina dan terjemahannya dalam Bahasa Indonesia dan Bahasa Inggeris yang terdiri dari pengharapan seperti panjang umur, keberuntungan, kebahagiaan dan pangkat kedudukan.

Laluan ke taman di belakang Kuil Kwan Yin
Pokok Lidah Jin yang menghiasi taman
Kolam di tengah taman
Menikmati keindahan taman
Plak-plak pengharapan yang diletakkan di sekeliling kolam
Penyu Gergasi ini adalah kuil ibadat Tao dan Confucius
Patung kura-kura di tepi kolam
Kura-kura di tepi kolam yang menyembur air kepada syiling logam
Syiling logam yang sentiasa berputar dan mengeluarkan bunyi seperti orang meratib.
Di tengah-tengah kolam terdapat sebuah logam berbentuk duit syiling yang sentiasa berputar bila terkena air yang "disembur" oleh dua patung kura-kura bertentangan di seberang kolam. Bunyi air mengena logam ini bagaikan bunyi penganut Buddha meratib bersembahyang. Penganut Buddha percaya kalau kita melempar duit syiling ke dalam kolam ini sambil berdoa, doa kita pasti dimakbulkan.

Tulisan Cina di dalam kolam
Kura-kura hidup di dalam kolam
Lidah Jin yang bercabang-cabang.
Selain untuk penganut Buddha, Vihara Buddhayana juga menyediakan tempat ibadat untuk penganut Tao dan Confucius. Tempat ibadat ini disediakan dalam kuil berbentuk penyu besar di tepi kolam ini. Di dalam kuil ini ada patung Dewi Niang Niang yang diyakini sebagai Dewi Kelahiran.

Bergambar dengan penyu gergasi
Lepas melawat kolam ini, kami kembali ke kereta di mana Pak Tommy menanti. Dalam perjalanan mendapatkan kereta, terlihat pula sebuah pameran kecil yang menarik mengenai kehidupan Gautama Buddha.

Berjalan kembali ke tempat letak kereta
Stupa, Lohan dan Lilin
Papan yang menceritakan tentang sejarah hidup Gautama Buddha
Riwayat hidup Gautama Buddha
Semoga semua makhluk hidup berbahagia.
Namo Buddhaya
Patung Buddha sedang bertapa di bawah Pohon Bodhi
Meninggalkan Vihara Buddhayana

Part 18: Desa Woloan

Perjalanan diteruskan menuju ke Desa Woloan yang terkenal dengan kerajinan pembuatan rumah tradisional yang dinamakan Rumah Panggung Minahasa.

Pemandangan di Tomohon
Taman Pekuburan Tua Tomohon
Pemandangan Taman Pekuburan Tua Tomohon dari hadapan
Bunga-bunga cantik di Desa Woloan
Tiba di Desa Woloan, pemandangan kita akan disajikan dengan barisan rumah-rumah tradisional yang dipanggil Rumah Panggung Minahasa yang berdiri di kiri-kanan jalan. Rumah-rumah ini tidak dihuni, sebaliknya adalah show house untuk jualan.

Rumah-rumah adat (Rumah Panggung) Minahasa yang berdiri di sepanjang jalan di Desa Woloan
Rumah-rumah adat ini tidak dihuni. Ia sebaliknya dibina untuk dijual.
Rumah kayu adat Minahasa ini memang unik kerana setelah dibeli, ia boleh dibongkar dan dipasang semula oleh pemiliknya di mana-mana sahaja. Desa Woloan pula terkenal sebagai pusat kerajinan pembuatan rumah-rumah kayu ini. Secara kebetulan ketika kami sampai di sini ada sebuah rumah sedang dibongkar untuk dipasang di  lokasi pembeli.

Rumah yang sedang dibongkar untuk dipasang semula di tempat pembelinya
Bahagian rumah yang telah dibongkar sedang disusun untuk dimuatkan ke dalam lori.
Hanya asas batu saja yang tinggal selepas rumah dibongkar dan sebuah rumah baru akan dibina di sini untuk jualan seterusnya.
Mengikut kata pekerja ini, rumah ini akan dipasang semula di kawasan pergunungan Sulawesi Utara.
Pemandangan dekat bahagian rumah yang telah dibongkar.
Lepas itu, kita masuk melawat ke sebuah Rumah Panggung Minahasa yang sedang disiapkan untuk jualan. Rumah ini ada 2 bilik tidur dan dijual pada harga Rp 100 juta (RM 28,000). Kalau yang 3 bilik tidur pula dijual pada harga Rp 150 juta (RM 42,000). Tapi harga ini tidak termasuk penghantaran dan pemasangan semula.

Jom kita masuk melawat ke rumah yang ini...
Rumah-rumah tradisional Minahasa memang selalu ada tangga pada 2 arah seperti ini.
Mengambil gambar senibina tangga
Rumah yang kat sebelah ini juga akan dibongkar dan dipasang semula bila ada pembeli.
Siling rumah Minahasa
Balkoni di depan rumah
Perhiasan di atas pintu masuk
Perhiasan kaca akan dipasang di sini nanti untuk menambah seri kepada rumah.
Pemandangan ke dalam rumah
Lantai rumah sedang disiapkan
Lagi pemandangan lantai rumah yang sedang disiapkan.
Pemasangan seluruh rumah hanya memakai sistem tanggam. Tak ada paku ataupun skru yang digunakan di seluruh rumah ini.
Mengambil gambar interior Rumah Minahasa
Tangga di belakang rumah belum dipasang. Seperti tangga di depan, tangga di belakang juga dibina dalam dua arah.
Bangunan induk ini berfungsi sebagai kediaman keluarga. Selalunya dapur dibina berasingan dari rumah induk untuk menghindar bahaya kebakaran. Tandas juga dibina secara berasingan. Ruang di bawah rumah digunakan sebagai ruang simpanan dan tempat haiwan peliharaan.

Kemudian kami pergi melawat ke sebuah rumah di sebelah pula. Rumah ini juga sedang dibina seperti rumah yang kami lawati tadi.

Melawat ke rumah sebelah pulak
Menariknya, di rumah sebelah ini kami bertemu dengan boss pembinanya yang bernama Pak Feber Sindim. Kata Pak Feber, rumah yang sedang dibina ini telah ditempah oleh seorang pembeli di Pulau Jawa. Bila dah siap nanti, rumah ini akan dibongkar dan diangkut dengan kapal ke Jawa sebelum dipasang semula di sana.

Rumah rekaan Pak Feber Sindim
Kata Pak Feber, rumah binaannya yang sebelum ini dijual dan dipasang di Jerman dan Papua New Guinea. Dia juga menunjukkan kepada kami gambar dalam telefon bimbitnya sebuah rumahnya yang dijual dan dipasang di Malaysia beberapa tahun dulu, tapi Pak Feber tak ingat lokasi sebenar rumah yang dipasang di Malaysia ini. Tapi dekat-dekat Kuala Lumpur, katanya.

Lazimnya, rumah-rumah Minahasa dibina menggunakan Kayu Besi yang dibawa dari Palu yang terletak di Sulawesi Tengah. Satu fakta yang menarik mengenai Palu ialah Timbalan Datuk Bandarnya sekarang adalah penyanyi utama band popular Indonesia Ungu yang bernama Pasha. Terkejut Pak Tommy yang tak menyangka kita kenal Pasha. Mestilah kenal... penyanyi favourite kita tu. Kayu Besi ini memang keras dan berat. Kata Pak Feber, anai-anai (dipanggil rayap di sini) tak suka memakan kayu ini sebab ia sangat keras. Boleh patah gigi anai-anai memakannya, agaknya. Namun sebagai jaminan kualiti, kayu ini tetap dirawat sebelum digunakan untuk membina rumah.

Pak Feber yang baik hati turut menerangkan kepada kami proses membongkar rumah untuk dipasang semula ke tempat baru. Setiap kayu yang dibongkar akan diberi kod-kod tertentu yang hanya difahami oleh pembinanya sewaktu pemasangan semula. Semua kayu akan dikumpul dan ditandakan dengan berhati-hati, walaupun bahagian yang kecil untuk memastikan pemasangannya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Pekerja-pekerja Pak Feber
Berat tau Kayu Besi yang diguna untuk membina rumah-rumah ni.
 Tanggam juga perlu dibuat dengan teliti untuk memastikan pemasangan dapat dibuat dengan kemas nanti.
Komponen-komponen dalam pembinaan rumah Minahasa
Selalunya pembina dan pekerjanya seramai 4-5 orang akan turut naik kapal bersama-sama kayu rumah yang dibongkar ini ke destinasi barunya. Bergantung kepada saiz dan proses yang terlibat, proses pemasangan semula rumah akan mengambil 2-5 minggu untuk disiapkan. Selepas siap, mereka akan kembali semula ke Sulawesi dengan menaiki kapalterbang. Kerana itulah Pak Feber dan pekerjanya pernah pergi ke Jerman, Papua New Guinea dan Malaysia untuk memasang Rumah Panggung Minahasa.

Memahat kayu yang keras ini juga memerlukan kemahiran
Semua komponen rumah diberi kod yang tertentu untuk kemudahan pemasangan semula.
Pemandangan lebih dekat kod-kod yang ditandakan pada komponen rumah
Bengkel pembuatan komponen-komponen rumah kayu Minahasa
Husband bergambar bersama Pak Feber
Kata Pak Feber lagi, rekabentuk perusahaan membina rumah di Desa Woloan ini tidak semestinya mengikut ciri-ciri Minahasa sahaja. Misalnya, rumah yang dibina dan dipasang oleh Pak Feber untuk pelanggannya di Malaysia dulu, tidaklah berciri Minahasa sangat. Rekabentuk rumah itu dibuat bersama oleh Pak Feber dengan pelanggannya.


 Bersambung ke Bahagian 6...


CATATAN PERJALANAN MANADO (2018):