Tuesday, 9 May 2017

2017 UMRAH & HARAMAIN BHG. 09 (Hudaibiyah)

April 2017

ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh 

Bahagian 9: Ziarah Makkah (4)
LADANG UNTA, HUDAIBIYAH & MUZIUM HARAMAIN

HARI KEENAM

Part 46: Ladang Unta

Program Ziarah Makkah pada Hari Keenam ini adalah di sekitar kawasan Hudaibiyah yang terkenal dengan ladang penternakan unta.

Oleh kerana Hudaibiyah adalah bersempadan dengan Tanah Haram, ada checkpoint polis di sini untuk memastikan kawasan ini tidak dimasuki oleh orang bukan Islam.
Unta adalah sejenis haiwan gurun yang banyak terdapat di Timur Tengah. Ia diberi gelaran "Bahtera Padang Pasir" kerana sebelum wujudnya kenderaan moden, ia adalah kenderaan yang paling banyak digunakan di padang pasir. Jika dibandingkan dengan kuda ataupun keldai yang juga banyak diternak oleh Orang Arab, unta mempunyai ketahanan yang luar biasa untuk bergerak di padang pasir.

Jemaah Haji dan Umrah pada masa dahulu juga menggunakan unta untuk berkunjung ke Makkah dan Madinah. Berbanding dengan zaman sekarang, sudah pasti perjalanan tersebut memakan masa berhari-hari, bahkan juga mungkin berminggu-minggu.

Ladang unta di padang pasir.
Unta melintas di depan bas.
Ladang-ladang penternakan unta berhampiran Makkah dan Madinah sering dimanfaatkan oleh orang-orang Badwi sebagai daya tarikan kepada Jemaah Haji untuk berkunjung ke kawasan penternakan mereka. Lazimnya, orang-orang Arab Badwi sering mengupah pekerja berbangsa Sudan untuk bekerja di ladang mereka.

Kalau diperhatikan, Jemaah Umrah yang paling ramai berkunjung ke ladang-ladang unta ini adalah Jemaah dari Malaysia dan Indonesia. Maklum sajalah, mana ada ladang unta begini di tempat kita.

Pengunjung ke ladang unta paling ramai datang dari Malaysia dan Indonesia.
Walau bagaimanapun, disebabkan ancaman penyakit MERS-CoV yang sedang menular ketika ini, kami tetap diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga sewaktu berkunjung ke ladang unta. Antara perkara yang ditekankan ialah supaya tidak meminum susu unta fresh kerana kita tak tahu tahap kesihatan sebenar unta-unta ini.

Pengunjung-pengunjung ke ladang unta.
Unta yang seronok dibelai manja.
Ada ahli kumpulan kami yang membandingkan mata unta ini dengan pelakon Rozita Che Wan. Boleh begitu?
Anak unta yang diindungi oleh ibunya.
Sedang seronok bermesra dengan unta, tiba-tiba semua unta ini dibawa berlari jauh oleh tuan mereka masing-masing. Pemandu-pemandu bas juga menjerit-jerit memanggil penumpang masing-masing naik balik ke bas... Rupa-rupanya ada polis sedang datang ke arah kami. Illegal rupanya aktiviti membawa Jemaah Umrah ke ladang-ladang unta kat sini! Tak tahu apa yang illegalnya, tapi di Arab Saudi ni memang ada banyak peraturan yang pelik-pelik pada pandangan kita. Nak tengok unta pun tak boleh!

Unta dibawa berlari meninggalkan kami.
Unta bergerak di padang pasir.
Bila unta dah tak ada, semua bas pun bergerak membawa haluan masing-masing.

Meninggalkan kawasan ladang unta

Part 47: Perjanjian Hudaibiyah

Pada suatu hari Rasullullah SAW telah bermimpi memasuki Masjidil Haram dengan aman tanpa gangguan daripada kaum Quraisy. Melalui mimpi tersebut, turun wahyu Allah SWT dalam Ayat 27, Surah Al Fath yang bermaksud:

"Sungguh, Allah akan membuktikan kepada RasulNya tentang kebenaran mimpinya bahawa kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, jika Allah menghendaki dalam keaadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan memendekkannya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui, dan selain itu Dia telah memberi kemenangan yang dekat".

Baginda pun mengarahkan kaum Muhajirin dan Ansar supaya bersiap-sedia menuju ke Makkah. Tujuan mereka bukanlah untuk berperang tetapi untuk menunaikan umrah. Disebabkan itu, mereka pergi tanpa membawa kelengkapan perang kecuali untuk mempertahankan diri dari serangan penyamun.

Sewaktu menghampiri kawasan Hudaibiyah, rombongan Nabi telah dihalang dan Usman bin Affan telah dihantar menemui kaum Quraisy bagi menerangkan tujuan kedatangan mereka ke situ. Semasa menunggu kepulangan Usman, tersebar khabar angin yang mengatakan Usman telah dibunuh dan berita itu menimbulkan kemarahan para sahabat dan kaum muslimin yang lain. Akhirnya satu perjanjian taat setia oleh para sahabat kepada Rasullullah SAW yang dinamakan "Bai'ah Ridhwan" telah dibuat di bawah sebatang pokok di tepi sebuah telaga untuk menuntut balas atas kematian Usman.

Cadangan Bai'ah  tersebut telah sampai ke pengetahuan Orang Quraisy dan mereka berasa gentar lalu memulangkan semula Usman kepada orang Islam. Menurut ceritanya, Usman sampai semula ke khemah Orang Islam sewaktu mereka sedang membuat "Bai'ah Ridhwan". Melihat Orang Islam sedang berbai'ah, Usman turut melakukan Bai'ah bersama mereka kerana tidak mahu ketinggalan dalam perkara berkaitan bai'ah tersebut, tanpa menyedari yang sebenarnya bai'ah tersebut dibuat untuk menuntut balas atas kematian dirinya sendiri!

Orang Quraisy seterusnya telah menghantar wakil mereka yang bernama Suhail Bin Amry untuk berunding dengan Rasullullah SAW. Maka terhasillah satu perjanjian yang dinamakan Perjanjian Hudaibiyah. Memandangkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Quraisy tidak memihak kepada Orang Islam, ia dipertikai oleh Saidina Umar bin Al-Khattab. Tetapi disebabkan Nabi SAW telah lebih dahulu melihat kebaikannya melalui wahyu yang diturunkan di dalam mimpi, perjanjian ini telah dipersetujui.

Antara 5 perkara yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Hudaibiyah adalah seperti berikut:

(1) Gencatan senjata selama 10 tahun;
(2) Kabilah Arab boleh memilih untuk memihak kepada Orang Islam di Madinah ataupun Orang Quraisy di Makkah;
(3) Orang Madinah yang pergi ke Makkah tanpa kebenaran penjaganya tidak perlu dipulangkan;
(4) Orang Makkah yang pergi ke Madinah tanpa kebenaran penjaganya perlu dipulangkan semula; dan
(5) Umat Islam hanya boleh mengerjakan umrah pada tahun berikutnya.

Walau bagaimanapun, perdamaian yang dipersetujui di antara kedua-dua pihak ini hanya bertahan selama 2 tahun sahaja. Orang Quraisy dengan sengaja telah melanggar isi perjanjian yang pertama mengenai gencatan senjata selama 10 tahun dengan memberi sokongan kepada Bani Bakar yang berperang dengan Bani Khuza'ah. Nabi Muhammad SAW telah bertindak tegas dalam menangani hal tersebut dan menghantar pasukan tentera Islam ke Makkah.

Walaupun perjanjian ini banyak menguntungkan kaum Quraisy, tetapi dalam tempoh jangka panjang ia juga menguntungkan Orang Islam. Ini boleh dilihat apabila umat Islam bebas memasuki kota Makkah tanpa sebarang sekatan dan boleh melakukan Umrah pada bila-bila masa. Selain itu, dakwah Islam dapat berkembang ke seluruh pelusuk Tanah Arab tanpa sebarang halangan. Ini dapat disaksikan dengan pengislaman tokoh panglima Quraisy yang berpengaruh seperti Khalid bin Al-Walid, Amru bin Al-As dan Uthman bin Talhah. Bahkan melalui gencatan senjata selama 10 tahun tersebut, Rasullullah SAW telah dapat berdakwah sehingga kepada pembesar Rom, Raja Habsyah, Raja Mesir dan Raja Parsi.

Laluan masuk ke Makkah dari Hudaibiyah

Part 48: Masjid Hudaibiyah

Masjid Hudaibiyah terletak di luar batas Tanah Haram dan sering dijadikan miqat umat Islam yang melaksanakan ibadah haji atau umrah. Masjid ini didirikan di tempat di mana Nabi Muhammad SAW menandatangani perjanjian damai dengan orang kafir Makkah pada tahun 6 Hijrah atau tahun 628M yang dikenali dengan Perjanjian Hudaibiyah.

Masjid Hudaibiyah
Nama lain bagi masjid ini ialah Masjid Syumaisi kerana ia terletak di daerah Syumaisi.
Bangunan masjid ini didirikan selepas Zaman Rasullullah SAW.
Pemandangan di ruang solat wanita Masjid Hudaibiyah
Di tepi bangunan masjid Hudaibiyah ini, dapat dilihat kesan runtuhan masjid lamanya. Ia dibina dari susunan batu-batu gunung dengan diikat pasir dan kapur gunung. Di sinilah sebenarnya Perjanjian Hudaibiyah dibuat pada zaman Rasullullah SAW. Tapi masa Rasullullah dulu, belum ada sebarang binaan masjid di sini.

Runtuhan masjid lama ini adalah tempat di mana Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani.
Kesan mihrab masjid lama yang masih dapat dilihat.
Di dalam tapak masjid lama inilah para sahabat membuat sumpah setia kepada Rasullullah SAW yang dinamakan "Bai'ah Ridhwan". Setelah meninggalnya Rasullullah SAW, pohon ini sering disalah gunakan oleh kaum Muslimin yang masih lemah imannya sebagai tempat mengambil berkah. Maka, pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab, pohon ini ditebang sendiri oleh tangan beliau.

Sempadan Tanah Haram dan Tanah Halal di Hudaibiyah
Checkpoint polis di sempadan Tanah Haram dan Tanah Halal.
Batu penanda sempadan Tanah Haram dan Tanah Halal di Hudaibiyah.

Part 49: Muzium Haramain

Lawatan terakhir kami pada Hari Keenam ini adalah ke Muzium Haramain yang terletak tidak jauh dari Masjid Hudaibiyah. Muzium ini didirikan oleh King Fahd bin Abdul Aziz Al-Saud dan turut dikenali sebagai The Exhibition of Two Holy Mosques Architecture.

Muzium ini sebenarnya tidak bebas untuk dikunjungi. Pengunjung perlu mendapat surat kebenaran untuk masuk ke muzium ini. Bagi kami, segalanya telah diuruskan oleh agensi umrah kami, Mursyid Alharamain Travel & Tours. Setiap kumpulan juga hanya dibenarkan berada di dalam muzium selama 25 minit saja.

Semua pengunjung perlu menunjukkan surat kebenaran lawatan kepada pengawal di pintu pagar ini sebelum masuk ke muzium.
Cuaca sangat kering hari ini. Humidity hanya 12% berbanding 80% yang biasa terdapat di Malaysia.
Muzium Haramain
Sebaik masuk ke dalam muzium, kita dapat melihat model bangunan baru pembesaran Masjidil Haram yang dinamakan sebagai King Abdullah Expansion. Ia dinamakan sempena King Abdullah bin Abdul Aziz yang memacu projek pembesaran masjid ini. Projek pembesaran ini dijangka siap pada tahun 2020.

Pameran Projek Pembesaran Masjdil Haram
Beginilah rupa Masjidil Haram bila siap sepenuhnya nanti pada tahun 2020.
Pemandangan dari sudut sini pulak
Di muzium ini ada dipamerkan artifak-artifak yang berkaitan dengan perkembangan dan pembangunan Masjidil Haram.

Seksyen Pameran Masjidil Haram
Pancuran emas yang dibuat dari emas 24 karat
Pintu Kaabah yang dibuat dari emas tulen seberat 280 kg.
Bingkai Makam Ibrahim yang dibuat dari campuran tembaga dan besi kuning.
Mimbar yang dibuat pada zaman pertengahan.
Alat tenunan Kelambu Kaabah pada masa dulu.
Bingkai Hajarul Aswad.
Kayu penyangga bumbung Kaabah yang sudah berusia ribuan tahun.
Pemandangan keseluruhan kayu penyangga Kaabah
Penutup dan timba Perigi Zamzam pada masa dulu.
Di samping itu juga terdapat artifak-artifak yang berkaitan dengan Masjid Nabawi. Walau bagaimanapun, bilangannya tidaklah sebanyak artifak yang berkaitan dengan Masjidil Haram.

Seksyen pameran Masjid Nabawi
Dalam perjalanan pulang juga, kami turut ditunjukkan kilang di mana Kiswah (Kelambu Kaabah) dibuat. Kelambu Kaabah ini diganti setahun sekali pada Hari Arafah kerana pada masa itu sahajalah Kaabah berada dalam keadaan lengang kerana semua jemaah sedang berwukuf di Padang Arafah. Kami tak masuk ke dalam sana, hanya melihat dari luar sahaja.

Kilang Kiswah


 Bersambung ke Bhg. 10 ...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):