Wednesday, 3 May 2017

2017 UMRAH & HARAMAIN BHG. 03 (Makkah)

April 2017

ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh

Bahagian 3:  Makkah Al Mukarramah (2)
AKTIVITI SEHARIAN DI MAKKAH AL MUKARRAMAH

Part 11: Hotel Burj Al Sultan

Hotel penginapan kami di Makkah Al Mukarramah adalah sebuah hotel 3 bintang yang bernama Hotel Burj Al Sultan. Ia terletak di Jalan Ibrahim Al Khalil di kawasan Al Misfalah yang terletak tidak jauh dari Masjidil Haram.

Hotel Burj Al Sultan
Pintu masuk ke Hotel Burj Al Sultan
Kaunter Pendaftaran di Hotel Burj Al Sultan
Waktu GMT, Arab Saudi dan Malaysia yang dipamerkan di Kaunter Pendaftaran hotel.
Untuk kemudahan Jemaah, ada live feed suasana Tawaf di Kaabah disediakan di pintu masuk hotel.
Suasana di Kaabah agak lapang ketika ini.
Ruang menunggu di belakang lobi hotel. Ada Wifi percuma disediakan di sini.
Kiosk kecil menjual makanan ringan di lobi lif.
Oleh kerana bangunan hotel ini kecil, lif di hotel juga kecil. Yang lebih mengharukan, call button pada lif ini juga hanya menghala ke bawah. Kalau dari Dewan Makan yang terletak di Level Mezzanine nak balik ke bilik kami di Tingkat 12, kena turun ke bawah dulu sebab call buttonnya cuma ke bawah. Bila tiba kat Ground Floor pulak, memanglah kita takkan keluar dah dari lif tu... bengkak je orang yang kat Ground Floor yang dah menunggu lama nak naik ke atas tu tengok kita tak mahu keluar! Especially pada waktu puncak seperti waktu balik dari Masjid!

Call Button di lif ini di tingkat selain dari di lobi bawah ini, semuanya hanya menuju ke bawah saja.
Bagasi kami menunggu untuk dibawa naik ke bilik.
Disebabkan lif ini kecil, beg-beg kami terpaksa diuruskan oleh pekerja hotel untuk dibawa ke bilik kami masing-masing.
Berkongsi lif dengan bagasi untuk naik ke bilik.
Saja ambil gambar ini untuk menunjukkan betapa kecilnya lif ini.
Hotel Burj Al Sultan ini adalah sebuah hotel ekonomi yang tipikal di Makkah. Jadi bilik penginapan di hotel ini juga kecil dan sempit. 

Pintu bilik penginapan kami di Tingkat 12.
Selain kumpulan kami, Hotel kami juga turut diduduki oleh kumpulan Jemaah Umrah dari Indonesia, Pakistan dan Singapura.  

Sebahagian Jemaah dari Pakistan dan Indonesia yang berkongsi hotel dengan kami.
Kenangan bersama Pak Imam dan Ibu Wiwiek dari Jawa Tengah yang kami temui di Hotel Burj Al Sultan. Kami sering berkongsi meja makan dengan mereka di Dewan Makan hotel.
Pekerja sedang membaiki lif yang rosak.
Makanan disediakan 3 kali sehari di sini. Sarapan pagi bermula selepas selesai Solat Subuh di Masjid. Makan Tengahari bermula selepas Solat Zohor manakala Makan Malam pula bermula selepas Solat Isyak. Makanan yang disediakan adalah makanan Melayu yang disediakan oleh pihak katering luar dan dihidangkan kepada kami di sini.

Suasana di Dewan Makan Hotel Burj Al Sultan.
Makanan Melayu tipikal yang disediakan di dewan makan hotel untuk kumpulan kami.
Buah-buahan
Air Oren dan Air Kosong sentiasa tersedia untuk minuman
Minuman panas juga turut disediakan
Contoh sajian makanan tipikal.
Lontong
Sekali-sekala, Mee Rebus pun ada

Part 12: Berulang Alik Ke Masjidil Haram

Aktiviti seharian utama ketika berada di Makkah adalah bersolat 5 waktu sehari semalam di Masjidil Haram. Disebabkan kedudukan hotel yang walking distance dari Masjidil Haram, kami hanya berjalan kaki ke sana. Umumnya terdapat tiga laluan ke Masjid yang selalu kami gunakan, yang Myself namakan sebagai Laluan A, B dan C.

Jadual Waktu Solat di Makkah sewaktu kami berada di sana.
Peta laluan seharian kami ke Masjidil Haram: Laluan A yang paling dekat (Hijau), Laluan B yang sederhana jauh (Biru) dan Laluan C yang paling jauh (Merah).

LALUAN A

Jika dibandingkan dengan Hotel Afwaj At-Toubah yang menjadi penginapan kami sewaktu menunaikan Umrah pada tahun 2013 yang lalu, hotel ini yang terletak di belakang bangunan Hotel Makkah Hilton adalah jauh lebih dekat dengan Masjidil Haram. Tapi ia tidaklah bermakna kami boleh sampai ke Masjidil Haram dengan cepat.

Pemandangan Bangunan Hotel Makkah Hilton (kiri) dan Makkah Clock Tower (kanan) dilihat dari pintu masuk ke hotel kami.
Laluan paling dekat ke Masjidil Haram dari Hotel kami adalah menerusi sebuah laluan yang Myself namakan sebagai "Laluan A". Laluan ini terletak di antara Hotel Makkah Hilton dengan Bangunan Menara Jam. Sekiranya menggunakan laluan ini, kami boleh sampai ke Masjid dalam lingkungan 10 minit berjalan kaki.

Perjalanan ke Masjidil Haram menggunakan Laluan A.
Burung-burung Merpati yang banyak berkumpul dekat jambatan.
Hotel mewah, Elaf Kinda yang dilalui dalam Laluan A.
Swissotel Alharam
Pemandangan pulang ke hotel dari Masjidil Haram menggunakan Laluan A.
Restoran ini akan bersedekah 40 bungkusan makanan percuma setiap kali habis waktu solat.
Beratur untuk mendapatkan makanan percuma

LALUAN B

Ada ketikanya, Laluan A ke Masjidil Haram menjadi sangat sesak sehingga memaksa polis yang berkawal menutup laluan ini. Sekiranya ini berlaku, terpaksalah kami menggunakan laluan alternatif yang Myself namakan sebagai "Laluan B". Laluan ini melalui bahagian kiri bangunan Hotel Makkah Hilton.

Laluan B menyusuri bahagian kiri Hotel Makkah Hilton menuju ke Masjidil Haram.
Kalau Laluan A ditutup, pintu masuk ke Makkah Hilton di Laluan B ini juga ditutup dan dikawal oleh polis untuk mengelakkan orang ramai masuk ke dalam bangunan ini sebagai jalan pintas menuju ke masjid.
Pemandangan di Laluan B dalam perjalanan pulang ke hotel dari Masjidil Haram
Penjaja jalanan di Laluan B.
Peminta sedekah dari Afrika
Jemaah Indonesia berkumpul di Laluan B. Mereka lazimnya bergerak dalam kumpulan yang besar. Bilangan peserta dalam setiap kumpulan Jemaah Indonesia lazimnya melebihi 100 orang, berbanding dengan kumpulan Malaysia yang lazimnya berjumlah sekitar 40 orang.
Laluan B membawa kita ke tengah-tengah Dataran Masjidil Haram. Perjalanan ke masjid menggunakan laluan ini lazimnya memakan masa 20 minit.

LALUAN C

Laluan C adalah laluan yang paling menyiksakan bagi kami kerana ia sangat jauh. Ada juga ketikanya, kami terpaksa menggunakan laluan ini untuk ke Masjidil Haram kerana kedua-dua Laluan A dan Laluan B ditutup, terutama pada hari Jumaat yang juga merupakan cuti kelepasan hujung minggu di Arab Saudi. Kesempatan ini diambil oleh ramai warga Makkah dan dari tempat-tempat lain yang berdekatan untuk beribadat di Masjidil Haram. Makanya Laluan A dan B ditutup sangat awal pada masa-masa ini dan terpaksalah kami menggunakan Laluan C.

Laluan C ke Masjidil Haram
Laluan C membawa kita ke pinggir sebelah kiri Masjidil Haram.
Pusat Membeli-belah Bin Dawood yang terletak di Laluan C menuju ke Masjidil Haram. Seperti Mydin di Malaysia, segala-galanya dijual di sini.
Peminta sedekah di Laluan C
Seorang lagi peminta sedekah.
Laluan C memaksa kita menyusur Jalan Ibrahim Al Khalil. Tapi tak perlu bimbang kerana jalan ini akan ditutup kepada kenderaan dan dikhususkan untuk kegunaan pejalan kaki pada masa sibuk.

Jalan Ibrahim Al Khalil yang dinamakan sempena seorang junjungan kita, Nabi Ibrahim AS.
Laluan C membawa kita ke pintu paling hujung Masjidil Haram yang dibuka (pintu-pintu lain ditutup kerana pembinaan berlangsung di sana ketika ini). Yang paling merengsakan kami bila menggunakan laluan ini adalah bila mendapati pintu masuk ke masjid yang terhampir ditutup pulak kerana telah sesak. Bila ini berlaku, kita akan diarahkan oleh polis untuk masuk melalui pintu lain yang memaksa kita berjalan lebih jauh. Tak apalah begitu, lebih banyak cabaran dilalui, lebih banyak pula pahala yang diberi.

Memang terasa jauh sangat kalau terpaksa ke Masjid menggunakan Laluan C ini.
Bangunan extension Masjidil Haram yang dinamakan King Abdullah Extension di penghujung Laluan C menuju ke Masjid.

Part 12: Hilton Shopping Arcade

Kesemua laluan A, B dan C akan dibuka kepada pejalan kaki selepas habis waktu solat. Tapi kami jarang menggunakan laluan-laluan ini untuk balik ke hotel. Kami sebaliknya akan masuk ke bangunan Hotel Hilton yang terletak bertentangan dengan Masjidil Haram sebagai jalan pintas untuk pulang ke hotel.

Pemandangan bangunan Hotel Makkah Hilton dari Dataran Masjidil Haram.
Pancutan air di puncak tangga bangunan ini adalah tapak rumah kediaman Saidina Abu Bakar As-Siddiq pada masa dahulu.
Kami memang suka masuk ke bangunan ini. Sambil menjamu mata melihat barangan-barangan mewah yang dijual, dapat juga kita menumpang air-cond di bangunan ini untuk menyejukkan badan, terutama sewaktu lepas solat Zohor dan Asar.

Pemandangan di dalam Hilton Shopping Arcade
Kedai Kurma yang kelihatan sangat eksklusif.
Lif di dalam bangunan Hotel Makkah Hilton.
Lif ini berdinding kaca.
Kedai Oud (Perfume Arab).

Part 13: Bersolat Di Masjidil Haram

Bersolat di Masjidil Haram juga pasti memberi pengalaman dan kenangan yang tersendiri kepada pengunjungnya. Masjid ini dikunjungi oleh Umat Islam yang datang dari seluruh dunia dan mereka menganut pelbagai mazhab yang berbeza. Jadi pasti ada amalan mereka yang tampak pelik pada kita yang menganut mazhab Syafie.

Plastik kasut disediakan di pintu masuk utama Masjid.
Sewaktu kami di sana juga, sebahagian besar ruang solat di tingkat bawah Masjidil Haram ditutup untuk kerja-kerja pembinaan bagi pembesaran masjid. Jadi untuk kemudahan, kami selalu bersolat di Tingkat Satu.

Escalator naik ke tingkat atas di dalam Masjidil Haram.
Pemandangan Dataran Masjidil Haram dari Tingkat Satu
Ruang solat bagi lelaki dan wanita tidak dipisahkan secara fizikal di dalam Masjidil Haram. Ruang Solat bagi wanita selalunya hanya dikepung oleh rak-rak Al Quran yang lebih tinggi dari yang terdapat di ruang solat lelaki.

Pemandangan Ruang Solat Lelaki di Tingkat 1 yang dilihat dari tangga naik ke bumbung masjid.
Pemandangan dari atas ruang solat wanita di Tingkat Satu di Masjidil Haram. Ruang Solat Wanita hanya dikepung dengan rak-rak Al Quran yang lebih tinggi.
Pemandangan di ruang solat lelaki.
Pemandangan ruang solat lelaki dari belakang.
Ini pula pemandangan dari ruang solat wanita.
Pemandangan selepas azan di ruang solat wanita.
Pemandangan di Ruang Solat Wanita di antara waktu Maghrib dan Isyak.
Pemandangan di Ruang Solat Lelaki di antara waktu Maghrib dan Isyak.
Rak Al Quran pada tiang di Masjdil Haram
Disebabkan Masjidil Haram sangat besar dan mempunyai banyak pintu, ramai Jemaah yang membawa kasut mereka bersama ke tempat mereka bersolat. Ini adalah satu pemandangan unik di sini (dan juga di Masjid Nabawi di Madinah). Teringat kata-kata Ustaz yang memberi bimbingan kepada kami sewaktu menunaikan Haji dulu ~ hanya di sini sajalah kita tak akan tersinggung bila terpaksa bersujud di depan kasut. Kalau di masjid lain, tak mungkin akan ada perasaan begitu. Itu adalah satu kelebihan yang diberikan Allah SWT kepada mereka yang berkunjung ke RumahNya di sini.

Beg dan plastik yang berisi kasut selalunya akan diletakkan di depan karpet solat.
Ada juga yang meletakkan kasut mereka di tepi-tepi tiang masjid.
Rak-rak kasut juga disediakan di tempat-tempat tertentu di dalam masjid. Kalau meletakkan kasut di sini, pastikan ia disusun dengan teratur. Kalau bersepah di atas lantai, besar kemungkinan, ia akan disapu keluar dan dibuang oleh petugas-petugas kebersihan masjid.
Berbanding dengan kunjungan-kunjungan terdahulu, Myself perhatikan Masjidil Haram kini semakin moden. Kalau dulu handphone yang mempunyai kamera dilarang untuk dibawa masuk ke dalam masjid. Tapi kini, tiada lagi larangan begitu.

Sesuatu yang baru diperhatikan di sini ialah adanya perkhidmatan Wifi percuma di dalam masjid. Tapi Myself rasa, Wifi percuma ini bukanlah disediakan oleh pihak masjid. Ia sebaliknya disediakan oleh syarikat-syarikat telefon Arab Saudi dan juga orang-orang persendirian yang ingin membuat amal jariah.

Klinik Kecemasan di dalam Masjidil Haram
Memandangkan Handphone juga telah menjadi satu keperluan di masa kini, pengurusan Masjidil Haram juga turut menyediakan tempat untuk mengecas handphone di tempat-tempat yang tertentu.

Kemudahan untuk mengecas handphone di dalam Masjidil Haram.
Pemandangan dekat kemudahan mengecas handphone yang disediakan. Walau bagaimanapun, penggunanya diminta menggunakan kemudahan ini tidak melebihi 5 minit setiap kali.

Part 14: Solat Jumaat Di Masjidil Haram

Kami juga berkesempatan menunaikan Solat Jumaat di Masjidil Haram ketika di sana. Memandangkan kami dah punya beberapa kali pengalaman bersolat Jumaat di Masjidil Haram sebelum ini, kami tahu yang kami terpaksa keluar extra awal ke Masjid pada hari ini.

Walau kami keluar seawal hampir 2 jam sebelum masuk waktu Zohor pada hari itu, kami tetap silap perhitungan. Laluan A dan Laluan B telah ditutup kerana ramai yang dah sampai ke Masjid lebih awal dari kami, maka terpaksalah kami menapak menggunakan Laluan C yang agak jauh di tengah terik matahari.

Tiba di Masjidil Haram menggunakan Laluan C. Nampak tak sebahagian Dataran Masjid dah ditutup kat depan tu?
Mentari terik yang memancar di Makkah Al Mukarramah pada Hari Jumaat. Suhu di dinding Masjidil Haram menunjukkan bacaan 41'C ketika itu.
Bagai nak gugur jantung bila melihat laluan biasa kami masuk ke bangunan Masjidil Haram dah ditutup ketika kami sampai di Dataran Masjid. Takkanlah pulak kami terpaksa bersolat di Dataran Masjid saja di tengah panas terik hari ini? Lagi pun kami datang extra awal ke Masjid dan lambat lagi nak masuk waktu Solat Zohor ketika itu...

Rupa-rupanya ada kemudahan yang Allah berikan kepada kami untuk bersolat Jumaat pada hari itu. Disebabkan terlalu ramai pengunjung yang datang untuk bersolat Jumaat pada hari itu, pengurusan Masjidil Haram telah membuka bangunan tambahan baru yang sebenarnya masih belum siap sepenuhnya untuk kegunaan Jemaah. Kebetulan, bangunan baru yang dinamakan King Abdullah Extension ini terletak di penghujung Laluan C kami ke Masjid.

Mungkin pintu masuk ke bangunan ini baru saja dibuka oleh pihak berkuasa ketika kami tiba, jadi terus saja kami mengikut orang ramai yang berpusu-pusu masuk ke bangunan baru ini.

Bangunan baru Masjidil Haram yang dinamakan King Abdullah Extension yang dibuka hanya untuk kegunaan Solat Jumaat.
Hanya Pintu No. 121 dan 122 ini saja yang dibuka kepada pengunjung untuk Solat Jumaat pada hari ini.
Pemandangan korridoor di dalam bangunan.
Pemandangan dari Ruang Solat Wanita di Bangunan King Abdullah Extension di Masjidil Haram.
Menunggu Solat Jumaat dimulakan.
Seperti yang pernah Myself ceritakan tadi, Masjidil Haram kini semakin hi-tech. Walaupun Khutbah Jumaat disampaikan dalam Bahasa Arab, ada terjemahan selari dalam Bahasa Indonesia, Inggeris, Perancis, Urdu, Turki dan Xhosa (Bahasa Afrika) yang boleh didengar menerusi Audio. Kalau berkunjung ke Masjidil Haram di sebelah pagi Jumaat, kita akan bertemu dengan petugas-petugas yang akan mengedarkan earphone percuma dan memberi penerangan tentang terjemahan selari ini.

Banner penerangan tentang penterjemahan selari Khutbah Jumaat di Masjidil Haram.
Earphone percuma yang diberi kepada Jemaah untuk mendengar Khutbah Jumaat dalam bahasa pilihan masing-masing.
Myself ada mencuba menggunakan audio terjemahan selari ini untuk mendengar Khutbah Jumaat yang disampaikan. Smartphone diperlukan untuk tujuan ini. Mula-mula kita kenalah set function radio di dalam smartphone ke frekuensi yang tertentu mengikut bahasa pilihan kita. Pada mulanya, Myself menggunakan frekuensi 90.5 untuk mendengar khutbah ini dalam Bahasa Indonesia. Tapi, audionya tidak jelas. Jadi, Myself beralih pula ke frekuensi 100 untuk mendengar khutbah dalam Bahasa Inggeris. Ternyata audionya lebih bagus dan jelas. Tapi rasa tak best pulak mendengar khutbah ni dalam Bahasa Inggeris, jadi kita tutup sajalah Audio ini dan dengar saja khutbah yang disampaikan live dalam Bahasa Arab.

Satu cabaran lagi yang dihadapi adalah bila nak keluar dari Masjid selepas Solat Jumaat. Memandangkan bangunan ini sebenarnya belum siap lagi, hanya beberapa pintu saja yang boleh digunakan untuk keluar dari masjid. Bayangkanlah keadaannya bila beribu-ribu orang bertumpu keluar dari 2-3 pintu ini saja!

Kesesakan sewaktu nak keluar dari Masjid selepas selesai Solat Jumaat.
Oleh kerana Myself bersolat lebih dekat dengan pintu masuk, kita dapat keluar lebih awal dari Husband. Husband pulak bersolat jauh ke dalam sana. Kami dah berjanji untuk bertemu dekat Pintu No 122 untuk pulang bersama ke hotel. Jenuh Myself menunggu, Husband tak muncul-muncul juga. Mujurlah ada teknologi Whatsapp kat handphone tu. Dapat jugaklah kita berkomunikasi tentang keadaan kat dalam sana. Selepas Myself menunggu hampir sejam, barulah Husband muncul kat Pintu No. 122.

Sempat Husband berselfie dan Whatsapp kat kita tentang keadaan di dalam sana sewaktu terperangkap hampir sejam sewaktu nak keluar dari Masjidil Haram selepas Solat Jumaat.
Kesesakan di Pintu No. 122 sewaktu nak keluar dari Masjid.
Lega bila kesesakan dah berkurangan. Tapi terpaksalah berjalan dalam panas terik balik ke hotel pulak...

Part 15: Kuliah Subuh Di Masjdil Haram

Setiap pagi selepas Solat Subuh di Makkah, kumpulan kami akan berkumpul di bumbung Masjidil Haram untuk mendengar Kuliah Subuh yang disampaikan oleh Mutawwif kami.

Pemandangan ke ruang solat di Aras Bumbung dari escalator.
Pemandangan Ruang Solat Lelaki di Aras Bumbung
Pemandangan Makkah Clock Tower dari Aras Bumbung Masjidil Haram pada waktu Subuh.
Pemandangan Menara Masjid.
Kami pernah juga bersolat Subuh di bumbung ini. Tak seperti tempat-tempat lain, ruang solat di atas ini sangat lapang. Mungkin disebabkan tak ramai orang yang tahu tentang kewujudan tempat ini.

Tong Air Zamzam di Aras Bumbung ini dibalut dengan plastik untuk mengelakkan dari terkena habuk.
Kerusi wakaf untuk yang memerlukan.
Bukan kumpulan kami saja yang membuat Kuliah Subuh di sini. Ada juga beberapa kumpulan lain dari Indonesia dan Pakistan yang juga berbuat begitu.

Kumpulan kami sedang berkuliah subuh di Bumbung Masjidil Haram.
Satu lagi pemandangan sewaktu kumpulan kami sedang berkuliah Subuh di Bumbung Masjidil Haram. Bangunan di belakang sana adalah King Abdullah Extension di mana kami bersolat Jumaat sebelum ini.
Pemandangan Makkah Clock Tower bila pagi menjelang.
Kucing yang nak menumpang mendengar Kuliah Subuh kami.
Comel kucing ni. Teringat kat kucing kami, Tam Tam yang ditinggalkan di Malaysia.
Kuliah Subuh kami selalunya berakhir bila masuk waktu Duha. Selepas Solat Duha, barulah kami pulang ke hotel untuk bersarapan.

Pengawal-pengawal Masjidil Haram sedang mendengar taklimat di bumbung Masjidil Haram.
Pemandangan Ruang Solat Wanita di Bumbung Masjidil Haram
Bersolat di Bumbung Masjid.

Part 16: Kuliah Petang Di Hotel Burj Al Sultan

Selain Kuliah Subuh, ada juga Kuliah Petang bagi kumpulan kami. Tidak seperti Kuliah Subuh yang diadakan di Masjidil Haram, Kuliah Petang pula diadakan di Dewan Makan di Hotel Burj Al Sultan. Kuliah Petang ini lazimnya akan diikuti dengan Taklimat Perjalanan untuk hari yang berikutnya.

Kuliah Petang di Hotel Burj Al Sultan.

Part 17: Waqaf Jamiyyah Khairiyyah

Dalam kunjungan-kunjungan ke Tanah Suci terdahulu, antara perkara yang pasti kami lakukan adalah mewaqafkan Al Quran di kedua-dua Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Kota Madinah. Namun begitu, dari pengalaman kami juga, tak mudah untuk berbuat begitu pada masa sekarang. Di akhir zaman ini, memang ramai orang yang tidak amanah kini, walaupun dalam urusan keagamaan.

Bila kami menyuarakan hasrat kami kepada Mutawwif kami, dia menawarkan diri untuk membantu. Bersusah-payah Ustaz Husni keluar awal ke Masjid sebelum Asar bersama kami untuk mencari saluran yang betul untuk berwaqaf. Kata Ustaz, dia sering melihat orang yang mengambil kesempatan ke atas orang-orang yang ingin berwaqaf. Kerana itulah dia ingin membantu kami berwaqaf menggunakan saluran yang betul.

Ustaz Husni membawa kami ke sebuah pertubuhan kebajikan yang bernama Haji & Mu'tamer's Gift Charity Association yang berdaftar dengan Kerajaan Arab Saudi. Pertubuhan ini membantu Kerajaan Arab Saudi membekalkan keperluan-keperluan untuk kegunaan Jemaah Haji pada setiap tahun dan pejabatnya terletak di Tingkat 4, Bangunan Hilton Tower. Lupa nak ambil gambar ofis pertubuhan ni, jadi kita pakai gambar dari internet untuk kenangan...

Pejabat Haji & Mu'tamer's Gift Charity Association di Tingkat 4, Hilton Tower di Makkah.
Kata Ustaz, selalunya dia akan menyerahkan kepada pertubuhan ini sesiapa yang berkirim sedekah melalui beliau ke Tanah Suci. Walau bagaimanapun, wang tunai tidak diterima di sini. Derma hanya diterima menggunakan Kad Kredit.

Brosur Haji & Mu'tamer's Gift Charity Association
Pertubuhan ini walau bagaimanapun, tidak menguruskan waqaf Al Quran ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Kami diberitahu, waqaf Al Quran ke kedua-dua Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tidak lagi digalakkan. Ini adalah kerana hanya Al Quran rasmi yang dicetak oleh Kompleks Percetakan Al Quran King Fahd sahaja yang dibenarkan masuk ke kedua-dua masjid suci ini bagi menjamin kandungan Al Quran yang diwaqaf. Syarikat Percetakan Al Quran ini juga membekalkan berjuta-juta naskhah Al Quran setiap tahun yang cukup untuk kegunaan semua Jemaah Haji dan Umrah dan kesemua Al Quran yang disimpan di kedua-dua masjid ini sentiasa diperiksa dari semasa ke semasa untuk dipastikan ketulenannya.

Walaupun petugas di Pertubuhan ini sangat membantu, mereka kurang fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris. Maka Ustaz Husnilah yang membantu menjadi penterjemah kami. Disebabkan Ustaz Husni sangat fasih berbahasa Arab, banyaklah maklumat yang diberi kepada kami. Petugas di sana sebaliknya mencadangkan supaya kami menderma waqaf bagi pembinaan sebuah Sekolah Tahfiz Al Quran yang sedang dalam pembinaan di Makkah.

Atas saranan dari petugas di Pertubuhan Kebajikan tadi, kami berkunjung ke booth Yayasan Jamiyyah Khairiyyah pula yang terletak di Safwa Tower yang bertentangan dengan bangunan Hilton Tower tadi. Memang benar seperti yang diberitahu, Yayasan ini sedang membina bangunan Sekolah Tahfiz Al Quran yang baru dan menerima derma waqaf dari orang awam bagi tujuan tersebut. Selain dari di Makkah, Yayasan ini juga menaja pelajar-pelajar tahfiz di beberapa negara di seluruh dunia. Bagi tujuan ini, kita boleh memilih untuk menaja pelajar-pelajar ini selama sebulan atau setahun menerusi pakej waqaf yang disediakan.

Booth Yayasan Jamiyyah Khairiyyah di Safwa Tower di Makkah
Kami memilih untuk menderma waqaf bagi pembinaan bangunan baru Sekolah Tahfiz Al Quran di Makkah. Derma juga tidak diterima dalam bentuk wang tunai, hanya pembayaran menerusi kad kredit sahaja yang diterima. Selepas berderma, panjang pulak Ustaz Husni bercerita dengan petugas tersebut. Kita yang tak faham Bahasa Arab ni, hanya mendengar tanpa memahami biji butir perkara yang dibincangkan.

Petugas di booth Yayasan Jamiyyah Khairiyyah. Derma waqaf di sini hanya diterima menggunakan kad kredit.
Rupa-rupanya petugas tersebut bercerita dengan Ustaz Husni tentang Yayasan Jamiyyah Khairiyyah. Yayasan ini dan sekolah tahfiznya telah berusia 42 tahun sekarang. Kerana itulah mereka memerlukan bangunan baru. Meremang bulu roma kami bila diberitahu yang Sekolah Tahfiz Al Quran di bawah Yayasan ini telahpun melahirkan 5 orang Imam Besar Masjidil Haram sehingga kini. Antara mereka adalah Idris Abkar, Abdullah Basfer, Maher Muaiqaly dan 2 orang lagi yang tak ingat namanya. Tak sangka yang derma sekecil ini, boleh memberikan manfaat yang besar. Mudah-mudahan sumbangan kecil dari kami ini akan juga melahirkan Ulama yang besar pada masa akan datang.

Over pulak petugas dalam booth ni posing bila Husband mintak nak ambil gambar dia!


 Bersambung ke Bhg. 4...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):