ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh
Bahagian 10: Makkah Ke Madinah
MASJID JIN, PERKUBURAN MAA'LA, KAWASAN ABU LAHAB & WADI QUDAID
HARI KETUJUH
Part 50: Meninggalkan Kota Makkah
Hari berganti hari, dan dah tiba masa untuk kami meninggalkan Makkah Al Mukarramah pada Hari Ketujuh perjalanan kami untuk berkunjung pula ke Madinah Al Munawwarah. Kami dijadualkan bertolak ke Madinah selepas Solat Zohor. Bagi mengelakkan kesesakan, kami diminta untuk mengeluarkan bagasi kami dari bilik sebelum keluar Solat Zohor lagi. Bagasi ini kemudiannya diangkut oleh pekerja hotel turun ke bawah dan seterusnya dibawa masuk ke perut bas.
Wajib bagi orang yang meninggalkan Makkah untuk membuat Tawaf Wada' (Tawaf Selamat Tinggal). Myself dan Husband membuat Tawaf Wada' sebelum Solat Zohor. Kemudian kami terus menunggu di Masjidil Haram sehingga masuk waktu Zohor.
Selepas Solat Zohor, kami balik ke hotel untuk makan tengahari dan seterusnya menunggu bas untuk membawa kami ke Madinah.
Bagasi Oren bersedia di lobi hotel. |
Bagasi dibawa masuk ke perut bas. |
Pemandu bas kami, Abu Samir. |
Bila semua dah bersedia, perkara terakhir yang perlu dibuat ialah menunggu Muasasah yang menguruskan perjalanan kami di Makkah memulangkan passport Mutawwif kami. Menjadi satu kebiasaan Muasasah perjalanan di Arab Saudi akan menyimpan passport Jemaah sebagai jaminan. Kadang-kala mereka akan menyimpan passport semua anggota jemaah, kadang-kala pula, hanya passport Mutawwif yang menjadi ketua kumpulan Jemaah saja yang disimpan. Dalam perjalanan kami, Muasasah hanya mengambil dan menyimpan passport Mutawwif kami.
Wakil Muasasah sedang memulangkan passport Mutawwif kami dan juga dokumen-dokumen bagi perjalanan ke Madinah. |
Hotel Burj Al Sultan |
Memang sedih meninggalkan kota Makkah Al Mukarramah (yang bermaksud: Makkah Yang Penuh Rahmat). Walaupun di kota ini sering terkejar-kejar berulang-alik ke Masjid dan melakukan ibadah Umrah sehingga tak punya cukup masa untuk shopping dan berjalan-jalan sekitar Masjidil Haram, ada satu ketenangan yang tak tergambar dengan kata-kata di sini.
Di sini kita merasa amat dekat dengan Pencipta, memang terasa yang setiap langkah untuk beribadah diberkati. Kita sentiasa bertemu dengan orang yang tak kisah berbuat bakti dan kebaikan, dari sekecil membantu menghulur plastik-plastik pembalut kasut sewaktu nak masuk ke Masjidil Haram, menghulur tisu untuk mengesat peluh kepada orang yang bertawaf di keliling Kaabah, sehinggalah kepada mereka yang bersedekah bungkusan-bungkusan makanan percuma kepada yang memerlukan setiap habis waktu solat.
Setiap hari terutama sewaktu menunggu masuk waktu Isyak selepas Solat Maghrib, ramai yang bersedekah kurma, manisan dan minuman panas kepada Jemaah yang menunggu di dalam masjid, walaupun kita tak saling mengenali dan seringkali kita tak memahami bahasa pertuturan mereka. Tak kurang juga yang bersedekah dengan cara yang tak pernah kita fikirkan sebelum ini seperti penggunaan Wifi percuma. Itulah antara keistimewaan Masjidil Haram, yang sangat sukar ditemui semangat ini di tempat-tempat lain di dunia.
Sayu meninggalkan Kota Makkah |
Berbanding perjalanan Umrah kami sebelum ini di mana kami berkunjung terlebih dahulu ke Madinah sebelum masuk ke Makkah, Myself merasa lebih puas hati dengan perjalanan kali ini di mana kami masuk ke Makkah terlebih dulu sebelum pergi ke Madinah. Hati menjadi lebih tenang sewaktu berkunjung ke Madinah kerana segala yang wajib telah diselesaikan sewaktu berada di kota Makkah.
Kalau berkunjung ke Madinah terlebih dahulu seperti beberapa kali sebelum ini, hati agak risau sewaktu di Madinah kerana memikirkan ibadah-ibadah wajib yang perlu disempurnakan di kota Makkah nanti. Hati memang tak enjoy bila memikirkan tanggungjawab besar yang perlu dihadapi, lebih-lebih lagi kalau ditakdirkan kita masuk ke Makkah dalam keadaan tubuh badan yang kurang sihat seperti yang kerap Myself alami dalam setiap perjalanan Umrah sebelum ini.
Terowong keluar dari kota Makkah |
Berlapis-lapis terowong yang perlu dilalui. |
Part 51: Masjid Jin
Sebelum meninggalkan Makkah, kami ditunjukkan sebuah lagi landmark di kota ini yang dikenali sebagai Masjid Jin.
Masjid Jin |
Dikisahkan sewaktu serombongan jin yang berasal dari persempadanan Syria dan Iran melewati Makkah, mereka terdengar lantunan ayat-ayat suci Al Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW. Mereka terus berbai'at (berjanji setia) untuk beriman kepada Allah SWT, mengikut ajaran Islam dan menyebarkan agama Allah di kalangan mereka. Oleh sebab itu, masjid ini juga dikenali dengan nama Masjid Al-Bai'ah, iaitu tempat serombongan jin melakukan bai'at.
Part 52: Perkuburan Maa'la
Tidak jauh dari Masjid Jin, kami ditunjukkan pula Perkuburan Maa'la yang menempatkan pusara isteri pertama Rasullullah SAW yang bernama Siti Khadijah.
Perkuburan Maa'la |
Selain Siti Khadijah, perkuburan ini juga menempatkan pusara Asma binti Abu Bakar, kakak kepada Ummul Muslimin Siti Aisyah yang juga sangat berjasa membantu menghantar makanan kepada Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddiq sewaktu mereka bersembunyi di Gua Tsur dalam Hijrah ke Madinah.
Asma dikatakan sering berdoa kepada Tuhan yang dia ingin menyaksikan anaknya mati syahid. Doa Asma dimakbulkan Allah SWT. Dia dikurniakan usia yang panjang sehingga hampir 97 tahun dan dapat melihat anaknya, Abdullah bin Zubair mati syahid. Jasad Abdullah yang mati lebih awal berbanding ibunya ini juga turut dikebumikan di sini.
Satu lagi pemandangan di Perkuburan Maa'la |
Keistimewaan perkuburan Maa'la telah disebut dalam sebuah hadis Rasullullah SAW yang berbunyi: "Allah membangkitkan dari tempat ini (Perkuburan Maa'la) dan dari seluruh Tanah Haram 70,000 orang yang masuk syurga tanpa dihisab atau tanpa perhitungan dosa. Setiap orang dari mereka dapat membawa 70,000 orang. Wajah mereka cerah dan bersinar bagaikan bulan purnama".
Di sinilah Siti Khadijah binti Khuwailid, Asma Binti Abu Bakar dan Abdullah Bin Zubair dikebumikan. |
Part 52: Kawasan Abu Lahab
Dalam perjalanan meninggalkan Makkah, kami telah ditunjukkan sebuah kawasan yang dikatakan pernah menjadi tempat tinggal Abu Lahab. Dia terkenal bukan kerana kebaikannya, tetapi kerana kebencian yang sangat mendalam terhadap Nabi Muhammad SAW dan ajaran yang dibawa oleh baginda.
Bapa saudara Nabi Muhammad SAW yang hidup di masa kerasulan ada empat orang.
Dua orang beriman kepada risalah Islam dan dua lainnya kufur bahkan ada yang menentang.
Dua orang yang beriman adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan Al-Abbas bin Abdul Mutalib RA. Seorang lagi pula menolong dan menjaganya, tidak menentang dakwahnya, namun dia tidak menerima agama Islam yang dibawa baginda. Dia adalah Abu Talib bin Abdul Mutalib.
Dua orang yang beriman adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan Al-Abbas bin Abdul Mutalib RA. Seorang lagi pula menolong dan menjaganya, tidak menentang dakwahnya, namun dia tidak menerima agama Islam yang dibawa baginda. Dia adalah Abu Talib bin Abdul Mutalib.
Yang keempat adalah Abdul Uzza bin
Abdul Mutalib. Dia menentang dan memusuhi anak saudaranya. Bahkan dia menjadi tokoh
orang-orang musyrik yang memerangi Nabi Muhammad SAW. Nama yang terakhir ini lebih kita kenali
sebagai Abu Lahab. Al Quran turut mengabadikan beliau dengan nama itu.
Abu Lahab mati 7 hari selepas Perang Badar. Dia
menderita bisul-bisul di seluruh tubuh. Tiga hari mayatnya terlantar. Tak seorang
pun yang mahu mendekati mayatnya. Karena malu, keluarganya menggali
lubang dan kemudian menolak tubuh Abu Lahab dengan kayu panjang hingga masuk ke
dalam lubang itu. Kemudian mereka lempari kuburnya dengan batu hingga jasadnya
tertimbun. Tak ada seorang pun yang mahu menguruskan mayatnya, karena takut
terjangkit penyakit. Dia mati dengan seburuk-buruk kematian.
Read more http://kisahmuslim.com/5398-abu-lahab-ia-punya-segalanya-tapi-tak-bermanfaat-untuknya.html
Kawasan ini dikatakan pernah menjadi tempat tinggal Abu Lahab. |
Tak tahu nama kawasan ini, tapi ada banyak bengkel kereta berada di kawasan ini sekarang. |
Isteri Abu Lahab bernama Ummu Jamil. Namun namanya tidak seindah karekter aslinya. Dia diabadikan di dalam Al Quran di dalam Surah Al Masad sebagai wanita pembawa kayu bakar. Perlakuannya amat buruk terhadap Nabi Muhammad SAW. Dia dengan sengaja meletakkan tumbuhan berduri di jalan yang biasa dilalui Nabi di malam hari, semata-mata kerana ingin menyakiti Nabi. Perangainya tak kalah buruk seperti suaminya.
Ummu Jamil adalah seorang wanita yang suka melaga-lagakan orang dan menyalut api kemarahan di tengah masyarakat. Dia memiliki kalung permata yang sangat mahal. "Demi Al Latta dan Al Uzza (kedua-dua Al Latta dan Al Uzza adalah nama berhala yang disembah oleh orang Quraisy ketika itu), akan ku infakkan kalung ini untuk memusuhi Muhammad", katanya. Kalung ini digantikan Allah SWT dengan tali dari api Jahannam untuk mengikat lehernya di neraka.
Ketika Allah SWT menurunkan Surah Al Masad yang mencela beliau dan suaminya, Ummu Jamil datang mencari Rasullullah. Sambil membawa potongan batu tajam, dia masuk ke Masjidil Haram. Rasullullah SAW ketika itu sedang berada di sana bersama Abu Bakar. Namun Ummu Jamil hanya melihat Abu Bakar, tak ada Rasullullah di sampingnya.
"Wahai Abu Bakar, aku mendengar temanmu itu mengejekku dan suamiku! Demi Allah, kalau aku menjumpainya akan aku pukul wajahnya dengan batu ini!!" cerca Ummu Jamil dengan penuh emosi. Kemudian dia berlalu pergi.
Abu Bakar bertanya kehairanan, "Wahai Rasullullah, tidakkah dia melihatmu?"
"Dia tidak melihatku. Allah telah menutupi pandangannya dariku," jawab Rasullullah SAW.
Satu lagi pemandangan di kawasan Abu Lahab. |
Meninggalkan kawasan Abu Lahab. |
Part 53: Perjalanan Ke Madinah
Kemudian, barulah kami benar-benar meninggalkan kota Makkah. Jarak Madinah dari kota Makkah adalah kira-kira 498 km dan perjalanan ke Madinah dari Makkah lazimnya memakan masa kira-kira 5 jam.
Perjalanan menuju ke Madinah. |
Masjid Siti Aisyah di Tanaim dilalui sekali lagi dalam perjalanan menuju ke Madinah. |
Sempadan Tanah Haram Makkah di Tanaim |
Lebuhraya menuju ke Madinah. |
Pengalaman istimewa yang kami tempuhi dalam perjalanan ke Madinah ini adalah sewaktu berdepan dengan ribut pasir. Angin bertiup dengan sangat kuat sehingga pasir-pasir berterbangan menutupi pandangan. Perasaan ketika itu sama seperti memandu dalam hujan lebat dan ribut kencang di Malaysia.
Ribut pasir dalam perjalanan menuju ke Madinah |
Jarak penglihatan yang terhad sewaktu menempuh ribut pasir. |
Ribut pasir sedikit reda ketika ini. |
Namun tak lama selepas itu, ribut pasir yang kuat kembali melanda. |
Pemandangan di tengah padang pasir sewaktu ribut melanda. |
Memang cemas melihat pasir-pasir berterbangan di kiri kanan kita. |
Seperti memandu dalam hujan ribut di Malaysia, ramai pemandu yang memberhentikan kenderaan di tepi jalan bila jarak penglihatan menjadi semakin buruk. |
Hampir tak nampak apa dah kat luar sana... |
Alhamdulillah, bila ribut kembali reda... |
Part 54: Wadi Qudaid
Bas kami singgah di sebuah tempat yang bernama Wadi Qudaid untuk membolehkan kami menunaikan Solat Asar di sini. Tempat ini menjadi persinggahan popular di kalangan Jemaah Haji dan Umrah yang bermusafir di antara Makkah dan Madinah disebabkan sejarahnya sewaktu Hijrah Nabi ke kota Madinah.
Wadi Qudaid |
Ketika itu, Nabi Muhammad berserta rombongan kecil baginda telah singgah di khemah seorang wanita yang bernama Ummu Ma'bad. Dia adalah seorang wanita yang baik hati dan selalu memberi makanan dan minuman kepada sesiapa sahaja musafir yang singgah di khemahnya.
Kemudahan Surau yang disediakan di Wadi Qudaid. |
Pemandangan di ruang solat wanita |
Namun demikian, sewaktu Nabi Muhammad SAW singgah di sini, kawasan ini sedang mengalami kemarau yang teruk. Ummu Ma'bad tak dapat memberikan daging dan kurma yang ingin dibeli oleh Nabi Muhammad dan Abu Bakar ketika itu.
Rasullullah telah melihat seekor kambing betina di sebelah khemah. "Mengapa kambing ini?" tanya baginda.
"Dia tertinggal dari kambing-kambing yang lain kerana lemah," jawab Ummu Ma'bad.
"Adakah dia masih mengeluarkan susu?" tanya Rasullullah.
"Tidak lagi," jawab Ummu Ma'bad.
"Apakah engkau izinkan aku memerah susunya?" tanya Rasullullah.
"Kalau kamu rasa dia masih boleh diperah susunya, maka perahlah!" izin Ummu Ma'bad.
Ribut pasir masih melanda ketika kami singgah di Wadi Qudaid |
Rasullullah mengusap kantung susu kambing betina itu sambil menyebut nama Allah dan berdoa. Seketika itu juga, kantung susu kambing betina itu menggembung dan membesar. Rasullullah meminta bekas dari Ummu Ma'bad lalu memerah susu kambing itu ke dalam bekas sehingga penuh.
Rasullullah menyerahkan bekas itu kepada Ummu Ma'bad. Ummu Ma'bad pun meminum susu itu sehingga kenyang. Setelah itu, baginda memberikan susu itu kepada yang lain-lain sehingga mereka pun kenyang. Selepas itu barulah baginda sendiri meminum susu itu.
Penjual di depan Surau di Wadi Qudaid. |
Rasullullah memerah susu kambing itu lagi sehingga memenuhi beberapa bekas. Kesemuanya ditinggalkan untuk Ummu Ma'bad sebelum baginda meneruskan perjalanan.
Tak lama kemudian, suami Ummu Ma'bad pulang sambil menggiring kambing-kambing yang kurus dan lemah. Ketika melihat bekas berisi susu, dia bertanya kehairanan, "Dari mana susu ini? Padahal kambing-kambing kita tidak beranak dan di rumah tak ada kambing yang dapat diperah!"
"Demi Allah", kata Ummu Ma'bad. "Tadi ada seseorang yang penuh berkah lalu di sini. Di antara ucapannya begini dan begini..."
"Demi Allah," sahut Abu Ma'bad, "Aku yakin, dialah salah seorang Quraisy yang sedang mereka cari-cari! Gambarkan padaku, bagaimana ciri-cirinya, wahai Ummu Ma'bad!"
Menunggu bas mengisi minyak |
Ummu Ma'bad pun menggambarkan sifat Rasullullah SAW yang dilihatnya, "Dia sungguh elok. Wajahnya berseri-seri. Bagus perawakannya, tidak gemuk, tidak kecil kepalanya, tampan rupawan. Bola matanya hitam legam, bulu matanya panjang.
Suaranya agak serak-serak, dan lehernya jinjang. Janggutnya lebat, matanya bagai bercelak. Alisnya panjang melengkung dengan kedua hujung yang bertemu, rambutnya hitam legam. Bila diam, dia tampak berwibawa, bila berbicara, dia tampak ramah. Amat bagus dan elok dilihat dari kejauhan, amat tampan dipandang dari dekat. Manis tutur katanya, tidak sedikit bicaranya, tidak pula berlebihan, ucapannya bak untaian marjan.
Perawakannya sedang, tidak dipandang remeh kerana pendek, tidak pula enggan mata memandangnya kerana terlalu tinggi. Dia bagai pertengahan antara dua dahan, dia yang paling tampan dan paling mulia dari ketiga temannya yang lain. Dia memiliki teman-teman yang mengelilinginya. Bila dia berbicara, mereka mendengarkan ucapannya baik-baik. Bila dia memerintahkan sesuatu, mereka dengan segera melayani dan mentaati perintahnya. Dia tak pernah bermuka masam dan tak berbelit-belit ucapannya".
Mendengar penuturan itu, Abu Ma'bad berkata yakin, "Demi Allah, dia pasti orang Quraisy yang sedang mereka cari-cari. Aku bertekad untuk menemaninya, dan sungguh aku akan melakukannya jika kudapatkan jalan untuk itu!"
Pada hari itu, Ummu Ma'bad masuk Islam dan dia juga kemudiannya berkunjung bertemu Nabi di Madinah untuk menyatakan keislamannya. Sungguh terperinci sifat Rasulullah yang dituturkan Ummu Ma'bad.
Kisah Ummu Ma'bad sangat masyhur, diriwayatkan dari banyak jalan yang
saling menguatkan satu dengan lainnya.
Kami pernah makan di restoran ini dalam perjalanan Umrah sebelum ini. |
Dikisahkan, kambing Ummu Ma'bad yang diusap oleh Rasullullah SAW panjang umurnya. Kambing itu tetap hidup sampai zaman pemerintahan Umar Al-Khattab pada tahun 12 Hijrah dan selalu mengeluarkan air susunya saat diperah, baik di waktu pagi mahupun petang.
Berpurdah di Wadi Qudaid untuk menahan ribut pasir. |
Part 55: Tiba di Madinah
Perjalanan diteruskan lagi ke Madinah di tengah ribut pasir yang melanda. Kami diberitahu ribut pasir memang sering berlaku sewaktu peralihan dari musim sejuk ke musim panas seperti ketika itu.
Pemandangan sewaktu meruskan perjalanan. |
Banyak papan-papan Ayat Zikir yang dipasang di tepi jalan seperti ini. |
Jarak penglihatan masih kurang baik. |
Bayangkan... beginilah laluan yang ditempuhi Nabi Muhammad SAW dengan hanya menunggang unta sewaktu berhijrah dari Makkah ke Madinah. |
Sebuah lagi R&R yang dilalui dalam perjalanan menuju ke Madinah. |
Semakin hampir ke kota Madinah. |
Kami tiba di Madinah pada awal waktu Isyak. Bas terus membawa kami ke hotel penginapan kami, Mubarak Silver Hotel yang terletak tidak begitu jauh dari Masjid Nabawi. Makan malam disediakan secara bungkus dan dihantar terus ke bilik hotel. Pada malam itu juga, kami hanya menunaikan Solat Jamak Maghrib dan Isyak di bilik hotel.
Tiba di Madinah |
Pemandangan sewaktu menuju ke hotel. |
Pintu Masuk Utama ke Masjid Nabawi |
Kawasan berdekatan hotel |
Tiba di hotel |
Kaunter Pendaftaran di Mubarak Silver Hotel |
Lobi Mubarak Silver Hotel |
Menunggu pendaftaran masuk ke bilik |
Bersambung ke Bhg. 11...
CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):
- Bhg. 1 [Hari 1] : Perjalanan Ke Tanah Suci
- Bhg. 2 [Hari 2] : Makkah Al Mukarramah (1) - Umrah Di Masjidil Haram
- Bhg. 3 : Makkah Al Mukarramah (2) - Aktiviti Seharian di Makkah Al Mukarramah
- Bhg. 4 [Hari 3] : Ziarah Makkah (1) - Masjid Siti Aisyah
- Bhg. 5 [Hari 4] : Ziarah Makkah (2) - Jabal Tsur, Arafah & Muzdalifah
- Bhg. 6 [Hari 4] : Ziarah Makkah (3) - Wadi Muhassir, Mina, Jabal Nur & Jaaranah
- Bhg. 7 [Hari 5] : Ziarah Taif (1) - Perjalanan Ke Taif & Masjid Abdullah bin Abbas
- Bhg. 8 [Hari 5] : Ziarah Taif (2) - Masjid Ku', Pasar Buah-Buahan & Miqat Qarnul Manazil
- Bhg. 9 [Hari 6] : Ziarah Makkah (4) - Ladang Unta, Hudaibiyah & Muzium Haramain
- Bhg. 10 [Hari 7] : Ziarah Makkah (5) & Perjalanan Ke Madinah - Masjid Jin, Perkuburan Ma'ala, Kawasan Abu Lahab & Wadi Qudaid
- Bhg. 11 : Madinah Al Munawwarah - Masjid Nabawi & Aktiviti Di Madinah Al Munawwarah
- Bhg. 12 [Hari 8] : Ziarah Madinah (1) - Masjid Quba', Ladang Kurma & Bukit Uhud
- Bhg. 13 [Hari 8] : Ziarah Madinah (2) - Masjid Khandaq, Pasar Kurma & Masjid Ghamamah
- Bhg. 14 [Hari 8] : Ziarah Madinah (3) - Ziarah Masjid Nabawi (Telaga Ha, Raudhah & Perkuburan Baqi')
- Bhg.15 [Hari 9] : Ziarah Madain Saleh (1) - Perjalanan Ke Madain Saleh & Hijaz Railway Museum
- Bhg. 16 [Hari 9] : Ziarah Madain Saleh (2) - Jejak Kaum Tsamud
- Bhg. 17 [Hari 9] : Ziarah Madain Saleh (3) - Pulang Ke Madinah
- Bhg. 18 [Hari 10] : Ziarah Madinah (4) - Masjid Jumaah, Bukit Tsaniyatul Wada', Kubu Kaab Bin Asyraf, Bukit Terbakar & Kubu Urwah Bin Zubair
- Bhg. 19 [Hari 11] : Ziarah Madinah (5) - Refuge of Faith Museum, Universiti Islam Madinah, Wadi Aqiq & Masjid Qiblatain
- Bhg. 20 [Hari 12] : Ziarah Madinah (6) - Sokaifat Bani Saedah & Muzium Rasullullah SAW
- Bhg. 21 [Hari 13] : Perjalanan Pulang