April 2017
ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh
Bahagian 12: Ziarah Madinah (1)
MASJID QUBA', LADANG KURMA & JABAL UHUD
HARI KELAPAN (1)
Part 60: Masjid Quba'
Masjid Quba' adalah masjid kedua terbesar di Madinah selepas Masjid Nabawi. Ia mempunyai nilai penting dalam sejarah Islam kerana ia adalah masjid pertama yang didirikan oleh Rasullullah SAW selepas baginda berhijrah ke Madinah.
Masjid Quba' sering dijadikan destinasi lawatan ziarah Madinah yang pertama kerana sesiapa yang berwuduk dari rumahnya dan melaksanakan solat dua rakaat di Masjid Quba' akan mendapat ganjaran pahala yang setara dengan ibadah Umrah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud:
"Barangsiapa yang bersuci di rumahnya kemudian pergi
ke Masjid Quba', lalu dia solat di dalam Masjid Quba, maka baginya pahala
seperti pahala umrah."
|
Masjid Quba' |
|
Pemandangan Masjid Quba' dari belakang |
|
Pemandangan Masjid Quba' dari sisi. |
Allah SWT juga berfirman:
"Sesungguhnya
masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama
adalah lebih patut kamu solat di dalamnya, di dalamnya ada orang-orang yang
ingin membersihkan diri, dan Allah menyukai orang-orang yang bersih."
|
Pintu masuk ke ruang solat wanita di Masjid Quba' |
|
Pemandangan ruang solat wanita di tingkat atas masjid. |
|
Pemandangan ke arah mihrab dari ruang solat wanita |
|
Pintu ke ruang solat wanita |
Rasulullah SAW juga diriwayatkan pergi ke masjid ini setiap hari Sabtu dengan berjalan kaki atau menunggang unta, dan kemudian mendirikan dua
rakaat solat sunat.
|
Batu peringatan di Masjid Quba'. |
|
Perkarangan Masjid Quba' |
Ada satu rahsia di Masjid Quba' yang tidak diketahui ramai. Ketika masjid ini didirikan, ia dibina ke menghadap ke Baitulmaqdis kerana belum ada perintah dari Allah SWT untuk mengubah arah kiblat ke Masjidil Haram pada ketika itu.
Tempat Solat Rasullullah pula bukanlah di Mihrab yang ada sekarang. Tempat ini ditanda pada siling sebuah kubah di dalam Masjid Quba' di ruang solat lelaki. Kita yang perempuan ni memanglah tak berpeluang nak melihat tempat solat Nabi ni, jadi kita gunakan gambar yang diambil oleh Husband dengan kameranya.
|
Pintu masuk ke ruang solat lelaki. |
|
Jom masuk ke dalam... |
|
Jaring yang dipasang di ruang terbuka di tempat solat untuk lelaki. |
|
Satu lagi pemandangan di tempat solat lelaki.
|
|
Mihrab di Masjid Quba'. Tempat solat Nabi Muhammad SAW terletak di bawah kubah di sebelah kanan sedikit dari mihrab ini. |
|
Inilah kubah yang dimaksudkan. Perhatikan betul-betul... ada dua lubang yang sengaja dibuat pada sebelah kanan kubah ini. |
|
Pemandangan dekat lubang yang dimaksudkan. Di bawah lubang inilah sebenarnya tempat Rasullullah SAW bersolat pada masa dulu. |
|
Di sinilah tempatnya. |
|
Husband kata dia berpeluang bersolat di tempat ini. |
Di luar Masjid Quba' juga ada ramai penjual pelbagai barangan. Antara barangan yang dijual termasuklah tasbih, key chain dan sebagainya. Tetapi barangan istimewa yang dijual di sini ialah kurma segar yang dibekukan dalam freezer.
|
Membeli kurma segar beku. |
|
Kurma segar beku ini memang unik rasanya. |
|
Penjual-penjual di luar Masjid Quba' |
|
Pelbagai barangan dijual di sini. |
|
Penjual tasbih. |
TELAGA ARIS
Sebuah lagi sejarah yang terdapat di Masjid Quba' ini ialah di sinilah letaknya sebuah telaga yang dinamakan Telaga Aris pada zaman Rasullullah SAW. Aris ialah nama seorang Yahudi yang bererti 'peladang'.
Pada suatu hari, Abu Musa Al-Asy'ari berazam untuk mengikut pergerakan baginda Rasullullah SAW. Lantas beliau pergi mencari baginda di Masjid Nabawi, tetapi tidak menjumpainya di situ. Beliau terus mencari sehingga bertemu Rasullullah SAW yang sedang berada di sebuah kebun sambil duduk di pinggir telaga dengan kakinya terjuntai ke dalam telaga itu. Beliau pun memberi salam kepada Rasullullah SAW dan memohon untuk menjadi pengawal baginda pada hari itu. Setelah mendapat keizinan, Abu Musa kembali semula ke pintu telaga untuk menjalankan tugas sebagai pengawal.
Tiba-tiba, pintu telaga ditolak dari luar dan Abu Musa mendapati Saidina Abu Bakar As-Siddiq berada di pintu. Abu Musa pergi memberitahu Rasullullah SAW tentang kedatangan Abu Bakar. Rasullullah SAW menyuruh Abu Musa membenarkannya masuk dan mengkhabarkan berita gembira bahawa dia (Abu Bakar As-Siddiq) adalah ahli syurga. Abu Musa pun mempersilakan Abu Bakar As-Siddiq masuk.
|
Telaga Aris tidak dapat dilihat lagi sekarang kerana sebuah jalanraya telah dibina di atasnya. |
|
Jemaah Indonesia di Masjid Quba' |
Kemudian, Abu Musa terus menunggu di
pintu itu sambil mengharap agar ada saudaranya yang datang. Tiba-tiba
pintu diketuk lagi. Saidina Umar bin Al-Khattab pula muncul di muka
pintu. Abu Musa pergi memberitahu Rasullulah SAW dan Baginda memberi
arahan seperti sebelumnya. Umar bin Al-Khattab pun masuk dan duduk di
sebelah kanan Rasullulah SAW dengan kaki mereka terjulur ke dalam telaga
itu.
Abu Musa kembali lagi ke pintu
dengan perasaan tertunggu, siapakah lagi orang yang bertuah pada hari
itu? Pintu telaga diketuk lagi dan kali ini Saidina Usman bin Affan
pula yang muncul. Abu Musa pergi meminta keizinan Rasullulah SAW dan
Usman juga dibenarkan masuk. Rasullulah SAW juga menjaminkan syurga
untuknya (Saidina Usman)
dengan sebab musibah dan fitnah yang bakal menimpa dirinya.
Kemudian
apabila Usman RA hendak duduk di telaga itu, dia mendapati tempat di sebelah
Rasullulah SAW telah penuh, lalu beliau duduk berhadapan dengan
mereka bertiga. Para ulama berpendapat, peristiwa ini adalah satu petanda yang mana Usman tidak dapat dikebumikan bersama Rasullullah SAW setelah dia meninggal dunia. Memang benar kerana jenazah Abu Bakar dan Umar dikebumikan berdekatan Nabi Muhammad SAW setelah mereka meninggal dunia, sedangkan jenazah Usman pula dikebumikan di Perkuburan Baqi' di Madinah.
|
Satu lagi pemandangan di perkarangan Masjid Quba'. Mungkin ini adalah kawasan kebun kurma yang menempatkan Telaga Aris pada masa dahulu. |
|
Masjid Quba' dikatakan masjid keempat utama di dalam Islam selepas Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. |
|
Satu lagi pemandangan di Masjid Quba'. |
Mengikut riwayat Bukhari
daripada Anas bin Malik, Rasullulah SAW mempunyai sebentuk cincin yang
kemudiannya diwarisi oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Selepas itu ia diwarisi pula oleh Umar Al-Khattab dan akhirnya oleh Saidina Usman bin
Affan. Pada suatu hari, dalam tahun keenam zaman pemerintahannya,
Usman bin Affan sedang duduk di pinggir telaga itu. Dengan tiba-tiba
cincin yang dipakainya tertanggal dari jarinya dan terjatuh ke dalam
telaga. Saidina Usman mencari cincin tersebut selama tiga hari tiga malam
tetapi hampa. Semenjak hari itu, telaga ini dikenali sebagai Telaga Khatam
(cincin).
Saidina Usman bin Affan teringat akan kata-kata Rasullulah SAW. Benarlah sabda Baginda kerana
semenjak hari itu bermulalah huru-hara dan fitnah ke atas beliau
sehingga berakhir dengan syahidnya beliau di tangan seorang pembunuh.
Part 61: Ladang Kurma
Lawatan kami selanjutnya adalah ke sebuah Ladang Kurma. Jika kita perhatikan di kiri kanan jalan di Madinah, kita akan mendapati ada banyak pokok kurma ditanam di Madinah. Ini adalah kerana tanah Madinah ini memiliki berkat, khusus kerana Rasulullah SAW pernah
memohon kepada Allah: 'Ya Allah, berilah Madinah ini dua kali ganda keberkatan yang Engkau berikan kepada Makkah'.
Oleh yang demikian, semua yang ada dan tumbuh di Madinah memiliki
nilai keberkatan dua kali ganda dari yang terdapat di Makkah. Padahal, Makkah sendiri
sudah demikian besar berkatnya karena Allah mengabulkan permintaan Nabi Ibrahim AS
agar Makkah tidak kekurangan dari segala keperluan hidup termasuk buah-buahan.
Kurma di Madinah memiliki nilai istimewa
karena mutu gizinya yang sangat tinggi. Bahkan ia dapat digunakan sebagai ubat. Kurma kini menjadi komoditi yang
laris karena semua penziarah pasti membelinya untuk dibawa pulang ke tanah air masing-masing.
|
Lawatan ke Ladang Kurma. |
Di Ladang Kurma yang kami kunjungi ini, terdapat beberapa jenis
kurma yang dijual. Kurma yang paling istimewa ialah Kurma Ajwa (Kurma
Nabi) yang mempunyai nilai istimewa tersendiri kerana disabdakan oleh Nabi SAW: "Barang
siapa yang pada pagi hari makan tujuh biji kurma ajwa, maka baginya akan
terhindar dari racun dan sihir pada hari itu juga".
|
Ruang jualan di Ladang Kurma |
|
Banyak sampel kurma percuma diberi di sini. |
|
Penjual kurma |
|
Pelbagai jenis kurma dijual di sini. |
|
Suasana kesibukan di ruang jualan di Ladang Kurma |
|
Pelbagai barangan jualan di Ladang Kurma. Bukan hanya kurma yang dijual semata-mata. |
Kami tak membeli kurma di Ladang ini. Sebaliknya, sewaktu orang lain membeli kurma, kami menghabiskan masa di kawasan rehat di dalam ladang. Boleh tahan juga bau busuk baja yang digunakan di ladang ini di sini!
|
Keluar ke kawasan ladang. |
|
Pemandangan di kawasan rehat di ladang. |
Kurma biasanya berbuah sekali dalam setahun. Ia memerlukan waktu enam
bulan dari mula pohon kurma berbunga sampai boleh dituai hasilnya. Tak sukar sebenarnya memelihara pohon kurma, hanya cukup sekadar membaja dan menyiram air
agar pokoknya dapat tumbuh dengan baik.
Bila
kurma sudah mula masak, biasanya buah-buahnya yang masih berada di
pokok akan ditutup dengan jaring supaya tidak jatuh ke tanah atau dimakan oleh burung.
|
Pokok-pokok kurma. Bau bajanya menusuk ke hidung. |
|
Husband bergambar di ladang kurma |
|
Mutawwif bercerita tentang pokok kurma. |
TELAGA YASEERAH
Di Ladang Kurma ini terdapat sebuah kesan sejarah yang bernama Telaga Yaseerah. Telaga
Yaseerah terletak di kediaman Banu Umayyah bin Zaid dari suku Al-Aws.
Pada mulanya, telaga ini dikenali sebagai Al-'Aseerah yang bermaksud
'Perkara Yang Sukar'. Pada
suatu hari, bila Nabi Muhammad SAW telah melawat Banu Umayyah dan
berwuduk menggunakan air dari telaga ini, baginda menukarkan namanya
kepada "Al-Yaseerah" yang bermaksud 'Perkara Yang Mudah'. Semenjak itu,
telaga ini dikenali sebagai Telaga Al-Yaseerah.
|
Papan Tanda Telaga Al-Yaseerah |
|
Keterangan tentang Telaga Al-Yaseerah |
Menurut sejarahnya, air dari telaga ini juga digunakan untuk memandikan jenazah seorang sahabat, Abu Salamah bin 'Abdul-Asad Al-Makhzumi RA yang juga meninggal dunia selepas mengalami cedera parah dalam Perang Uhud.
|
Kawasan ini dulu adalah perkampungan Banu Umayyah |
Telaga sebenarnya tidak lagi wujud di sini. Hanya terdapat papan tanda yang diletakkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menyatakan kewujudannya di sini.
|
Telaga Al-Yaseerah yang pernah wujud di kawasan ini telah tiada lagi. |
|
Melihat kesan perkampungan Banu Umayyah. |
Part 62: Jabal Uhud
Jabal Uhud adalah destinasi ziarah yang wajib dilawati bagi pengunjung ke kota Madinah. Bukit ini menjadi saksi bisu Perang Uhud yang berlaku pada tahun 625 Masehi.
Sebanyak 70 orang syuhada gugur dan dimakamkan di sana.
|
Jabal Uhud |
Jabal Uhud adalah bukit yang dijanjikan di syurga. Tidak seperti umumnya gunung-gunung lain di Madinah,
Jabal Uhud adalah gunung tunggal yang tidak bersambungan dengan
mana-mana gunung yang lain. Karena itulah penduduk Madinah memanggilnya dengan
sebutan Jabal Uhud yang ertinya 'Bukit Menyendiri'.
|
Arah ke Bukit Uhud |
Jika kita
ingin melihat bukit yang ada di syurga, maka ziarahlah ke Bukit Uhud.
Nabi SAW bersabda: 'Bukit Uhud adalah salah sebuah dari bukit-bukit yang
ada di syurga.'
|
Pemandangan menuju ke Bukit Uhud |
|
Masjid di Bukit Uhud. Sewaktu kami melawat ke sini dalam tahun 2013 dulu, ia masih dalam pembinaan. |
|
Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang mendirikan solat jenazah, maka dia mendapatkan satu
qirat.
Jika dia menghadiri pengebumiannya maka dia mendapat dua qirat. Satu
qirat adalah sebesar bukit Uhud." |
Pernah satu ketika, Rasulullah SAW bersama Saidina Abu Bakar RA, Saidina Umar
Al-Faruq RA dan Saidina Usman bin Affan RA berkunjung ke Jabal Uhud. Setelah keempat mereka berada
di puncak, terasa Jabal Uhud bergetar.
|
Penjual di Jabal Uhud |
|
Pelbagai cenderamata boleh dibeli di sini. |
Rasulullah
menghentakkan kakinya dan bersabda, "Tenanglah kamu Uhud.
Di atasmu sekarang adalah Rasulullah dan orang yang selalu membenarkannya". Tak lama selepas itu Uhud berhenti bergetar.
Demikianlah tanda kecintaan dan kegembiraan Uhud menyambut Rasulullah.
BUKIT RUMAT
|
Berjalan ke Bukit Rumat |
Dalam Perang Uhud, Rasulullah SAW menempatkan satu pasukan
yang terdiri 50 pemanah ulung yang diketuai oleh Abdullah bin
Jubair, di Jabal Rumat yang juga dikenali sebagai Jabal Ain'ain, sekitar
150 meter dari pasukan kaum Muslimin. Karena pentingnya posisi pemanah
ini, Rasulullah SAW bersabda kepada
mereka: "Lindungilah kami dengan anak panah, agar musuh tidak menyerang
kami dari arah belakang. Tetaplah di tempatmu, walau kita di atas angin
atau pun terdesak, agar kita tidak diserang dari arahmu."
|
Memanjat ke Bukit Rumat |
|
Kami hanya memanjat sebahagian Bukit Rumat sahaja kerana bukit ini sangat curam. Ada ahli kumpulan yang tak mampu memanjat lebih tinggi lagi. |
Rasullullah juga bersabda: "Lindungilah belakang kami. Jika kalian melihat
kami sedang bertempur, maka kalian tidak perlu membantu kami. Jika
kalian melihat kami telah mengumpulkan harta rampasan, maka janganlah
kalian turun bergabung bersama kami."
Al-Bukhari turut meriwayatkan: Rasullullah SAW bersabda: "Jika kalian melihat kami
disambar burung sekalipun, maka janganlan kalian meninggalkan tempat
itu, kecuali ada utusan yang datang kepada kalian. Jika kalian melihat
kami dapat mengalahkan mereka, maka janganlah kalian meninggalkan
tempat, hingga ada utusan yang datang kepada kalian."
|
Kawasan kebun kurma di kejauhan sana adalah tempat perkhemahan tentera musyrikin dalam Perang Uhud. |
|
Perkhemahan Tentera Islam terletak di celah bukit di belakang masjid sana. |
Akan tetapi tatkala pasukan Kaum Muslimin hampir meraih kemenangan dan
pasukan pemanah melihat orang-orang Muslim sudah mengumpulkan harta
rampasan dari pihak musuh, mereka dikuasai kecintaan
terhadap duniawi. 40 pemanah melanggar perintah Rasulullah SAW dan turun ke Lembah Uhud untuk turut mengumpulkan harta ghanimah (harta rampasan perang) walaupun dilarang oleh ketua mereka, Abdullah bin Jubair. Hanya 10 pemanah sahaja yang kekal tinggal di Jabal Rumat.
|
Di puncak bukit inilah Rasullullah SAW menempatkan pasukan pemanah. |
Melihat keadaan ini, tentera Musyrikin yang diketuai Khalid bin Al-Walid yang ketika itu masih belum memeluk Islam, berpatah balik dan melancarkan serangan sehingga kaum Muslimin tersepit dan kucar-kacir dan hampir-hampir Rasulullah SAW terbunuh.
Akan tetapi dalam pertempuran selanjutnya, kaum Muslimin yang dipimpin Rasulullah SAW mampu
membalikkan keadaan hingga menguasai kembali pertempuran, meskipun ramai para sahabat yang gugur demi menyelamatkan baginda.
PEMAKAMAN SYUHADA
Di
lembah bukit ini pernah terjadi perang dahsyat di antara kaum Muslimin
seramai 700 orang melawan kelompok Musyrikin Mekah yang berjumlah sekitar 3,000 orang.
Dalam pertempuran tersebut 70 orang
kaum Muslimin gugur sebagai syuhada. Di antara mereka adalah bapa saudara Nabi, Hamzah bin Abdul Mutalib yang
digelar Asadullah wa Asadur Rasul (Singa Allah dan Rasul-Nya), Mush'ab
bin Umair dan Abdullah bin Jahsyin.
|
Pemandangan Perkuburan Syuhada dari Jabal Rumat |
|
Di sanalah pertempuran hebat berlaku di antara Tentera Islam dan Tentera Musyrikin dalam Perang Uhud. |
Setelah
perang tamat dan kaum Musyrikin mengundurkan diri kembali ke Makkah, Nabi Muhammad SAW memerintahkan agar mereka yang gugur dimakamkan di
tempat mereka terbunuh, sehingga ada satu liang kubur yang terdiri dari beberapa
syuhada.
|
Menuju ke Perkuburan Syuhada |
Nabi Muhammad SAW bersabda, "Mereka yang dimakamkan di Uhud
tidak memperoleh tempat lain kecuali rohnya berada di dalam burung hijau
yang melintasi sungai di syurga. Burung itu memakan makanan dari taman
syurga, dan tak pernah kehabisan makanan. Para syuhada itu berkata: Siapa
yang akan menceritakan keadaan kami kepada saudara kami bahawa kami sudah
berada di syurga?" Maka Allah berkata, "Aku yang akan memberi
khabar kepada mereka."
Maka dari situ, turunlah ayat Al Quran (Surah Ali 'Imran Ayat 169) yang
berbunyi: "Dan jangan sekali-kali kamu mengira bahawa orang yang
gugur di jalan Allah itu mati; sebenarnya mereka itu hidup, di sisi
Tuhannya mendapat rezeki."
|
Pengunjung di Pemakaman Syuhada |
|
Peraturan berziarah ke Permakaman Syuhada dalam pelbagai bahasa. |
|
Pemandangan ke dalam Pemakaman Syuhada |
|
Berziarah sambil mengambil iktibar dari kisah Peperangan Uhud |
Kecintaan Rasulullah kepada para syuhada Uhud, terutama Hamzah
mendorong baginda melakukan ziarah ke Jabal Uhud hampir setiap tahun.
Jejak ini diikuti pula oleh beberapa khalifah setelah Rasul wafat.
46 tahun kemudian, iaitu pada zaman Khalifah
Marwan bin Hakam, terjadi banjir besar sehingga makam Hamzah dan
Abdullah bin Jahsyin rosak teruk. Ternyata, meski sudah lebih dari 40
tahun di dalam kubur, jasad kedua sahabat itu masih segar, seperti baru
saja meninggal. Maka jasadnya dikubur di tempat lain, tetapi masih di
kawasan Gunung Uhud.
|
Makam yang ditandakan dengan batu di dalam sana adalah milik Hamzah bin Abdul Mutalib dan Abdullah bin Jahsyin. |
|
Pemandangan lebih dekat makam Hamzah bin Abdul Mutalib dan Abdullah bin Jahsyin |
Pada tahun 1383H, dibangun tembok tinggi
yang mengelilingi makam Hamzah dan Abdullah dengan jeriji, agar penziarah
dapat menyaksikan makam tersebut. Di dalam kawasan pemakaman selainnya tidak ada
tanda-tanda khusus seperti batu nisan, yang menandakan ada makam di
sana.
|
Meninggalkan Jabal Uhud |
|
Melalui semula kawasan penjual untuk kembali ke bas. |
Bersambung ke Bhg. 13...
CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):
- Bhg. 1 [Hari 1] : Perjalanan Ke Tanah Suci
- Bhg. 2 [Hari 2] : Makkah Al Mukarramah (1) - Umrah Di Masjidil Haram
- Bhg. 3 : Makkah Al Mukarramah (2) - Aktiviti Seharian di Makkah Al Mukarramah
- Bhg. 4 [Hari 3] : Ziarah Makkah (1) - Masjid Siti Aisyah
- Bhg. 5 [Hari 4] : Ziarah Makkah (2) - Jabal Tsur, Arafah & Muzdalifah
- Bhg. 6 [Hari 4] : Ziarah Makkah (3) - Wadi Muhassir, Mina, Jabal Nur & Jaaranah
- Bhg. 7 [Hari 5] : Ziarah Taif (1) - Perjalanan Ke Taif & Masjid Abdullah bin Abbas
- Bhg. 8 [Hari 5] : Ziarah Taif (2) - Masjid Ku', Pasar Buah-Buahan & Miqat Qarnul Manazil
- Bhg. 9 [Hari 6] : Ziarah Makkah (4) - Ladang Unta, Hudaibiyah & Muzium Haramain
- Bhg. 10 [Hari 7] : Ziarah Makkah (5) & Perjalanan Ke Madinah - Masjid Jin, Perkuburan Ma'ala, Kawasan Abu Lahab & Wadi Qudaid
- Bhg. 11 : Madinah Al Munawwarah - Masjid Nabawi & Aktiviti Di Madinah Al Munawwarah
- Bhg. 12 [Hari 8] : Ziarah Madinah (1) - Masjid Quba', Ladang Kurma & Bukit Uhud
- Bhg. 13 [Hari 8] : Ziarah Madinah (2) - Masjid Khandaq, Pasar Kurma & Masjid Ghamamah
- Bhg. 14 [Hari 8] : Ziarah Madinah (3) - Ziarah Masjid Nabawi (Telaga Ha, Raudhah & Perkuburan Baqi')
- Bhg.15 [Hari 9] : Ziarah Madain Saleh (1) - Perjalanan Ke Madain Saleh & Hijaz Railway Museum
- Bhg. 16 [Hari 9] : Ziarah Madain Saleh (2) - Jejak Kaum Tsamud
- Bhg. 17 [Hari 9] : Ziarah Madain Saleh (3) - Pulang Ke Madinah
- Bhg. 18 [Hari 10] : Ziarah Madinah (4) - Masjid Jumaah, Bukit Tsaniyatul Wada', Kubu Kaab Bin Asyraf, Bukit Terbakar & Kubu Urwah Bin Zubair
- Bhg. 19 [Hari 11] : Ziarah Madinah (5) - Refuge of Faith Museum, Universiti Islam Madinah, Wadi Aqiq & Masjid Qiblatain
- Bhg. 20 [Hari 12] : Ziarah Madinah (6) - Sokaifat Bani Saedah & Muzium Rasullullah SAW
- Bhg. 21 [Hari 13] : Perjalanan Pulang