April 2017
ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh
Bahagian 2: Makkah Al Mukarramah (1)
UMRAH DI MASJIDIL HARAM
HARI KEDUA (2)
Part 4: Masjidil Haram
Walau dah berkali-kali tiba di sini, pemandangan Masjidil Haram pasti mengujakan sesiapa saja yang berhasrat untuk berkunjung dan beribadah di dalamnya. Inilah juga yang kami rasakan sewaktu melihat bangunan masjid yang tersergam indah ini.
|
Masjidil Haram |
Inilah masjid yang paling mulia kerana di sinilah letaknya Kaabah, yang menjadi kiblat untuk umat Islam bersolat walau di mana sekalipun di dunia mereka berada. Di sini jugalah beberapa ritual dalam ibadah Haji perlu disempurnakan seperti Tawaf dan Sa'ie. Bagi mereka yang menunaikan Umrah pula, selain dari berniat di Miqat, di sinilah seluruh ibadah Umrah dilaksanakan. Malah Umat Islam yang berkunjung ke Makkah juga pasti akan berusaha untuk bersolat 5 waktu sehari semalam di masjid ini kerana ganjaran bersolat di sini adalah 100,000 kali lebih baik dari bersolat di masjid-masjid lain.
|
Salah sebuah menara Masjdil Haram |
|
Pintu King Fahd ini adalah laluan utama untuk masuk ke Masjidil Haram dalam kunjungan kami kali ini. |
Masjid ini kini sedang mengalami pembesaran yang mana kerja-kerja ini telah dimulakan sewaktu kami selesai melaksanakan Ibadat Haji pada awal tahun 2006. Sewaktu kami berkunjung kembali ke sini pada tahun 2013, separuh bangunan masjid ditutup untuk pembesaran, meninggalkan Pintu King Abdul Aziz sebagai laluan utama untuk keluar-masuk ke dalam Masjid.
Empat tahun seterusnya kini (pada tahun 2017), Pintu King Aziz ditutup untuk kerja-kerja pembinaan di kawasan tersebut. Kren-kren gergasi yang banyak berceracak ketika itu telah berkurangan dan Pintu King Fahd pula menjadi laluan utama untuk keluar masuk ke Masjidil Haram.
|
Pintu King Fahd kini menjadi laluan utama untuk keluar-masuk ke bangunan masjid selepas Pintu King Abdul Aziz ditutup. |
|
Kren-kren gergasi yang dulu banyak berceracak di kawasan ini telah berkurangan. |
Part 5: Umrah Pertama
Walau pukul berapa sekalipun kita tiba di Makkah, kita perlu menunaikan Umrah Wajib seberapa segera. Kami juga tidak terkecuali. Selepas Check-in ke bilik hotel dan bersarapan pagi, kami dipimpin oleh Mutawwif ke Masjidil Haram untuk melaksanakan Umrah Wajib ini.
Part 6: Mataf
Mataf adalah dataran marmar putih di tengah Masjidil Haram di mana letaknya Kaabah yang menjadi tumpuan Umat Islam ketika menunaikan solat.
|
Tangga untuk turun ke Mataf (Dataran Kaabah) di dalam Masjidil Haram. |
|
Pemandangan menuju ke arah Kaabah. |
|
Alhamdulillah, nampak lapang sikit Dataran Kaabah ni pagi ini. |
Binaan Kaabah sangat simple, hanya sebuah kotak yang diselimuti dengan kain hitam yang dinamakan Kiswah. Umat Islam tidak bersolat menyembah Kaabah, ia sebaliknya hanya berfungsi sebagai arah penyatuan Umat Islam di kala sedang bersolat menyembah Allah SWT.
|
Kaabah |
Sewaktu baginda tinggal di Makkah, Nabi Muhammad SAW sering bersolat di depan Kaabah dengan menghadap ke Baitulmaqdis. Selepas berhijrah ke Madinah, Nabi masih bersolat menghadap ke Baitulmaqdis sambil mengharap menerima perintah dari Allah untuk menukar arah kiblat ke Kaabah. Permintaan Nabi hanya dimakbulkan 16 bulan kemudian sewaktu baginda sedang melakukan Solat Zohor di Masjid Bani Salamah (yang kini dikenali sebagai Masjid Qiblatain). Ketika itu turunlah wahyu yang berbunyi:
“Sungguh Kami (sering) melihat mukamu menengadah ke langit, maka
sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai.
Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu
berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang
(Yahudi dan Nasrani) yang diberi Alkitab (Taurat dan Injil) memang
mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari
Tuhannya; dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka
kerjakan". [Surah Al Baqarah Ayat 144].
Rasulullah SAW juga bersabda: “Bahawasanya Allah menurunkan 120
rahmat setiap hari, diturunkan kepada Kaabah; 60 rahmat untuk orang
tawaf, 40 untuk orang solat dan 20 untuk orang yang memandangnya.”
TAWAF DI KAABAH
Tawaf di Kaabah adalah salah satu rukun mengerjakan Haji dan Umrah.
Rasulullah SAW
bersabda: “Sesiapa yang melakukan tawaf di rumah ini (Kaabah) tujuh
pusingan genap, pahalanya adalah seperti memerdekakan seorang hamba.”
Rasulullah SAW juga bersabda: “Tidak meletakkan kaki (orang yang tawaf) dan tidak pula mengangkat yang lainnya kecuali Allah SWT menghapuskan kesalahannya serta menulis baginya satu kebajikan.”
|
Pusingan Tawaf bermula di sini ~ Rukun Hajarul Aswad |
Secara umumnya, Tawaf dimulai dari belakang garisan Hajarul Aswad dan diakhiri dengan melangkah garisan yang sama sebanyak tujuh kali pusingan dengan sempurna dan yakin. Untuk kemudahan jemaah melakukan tawaf, garisan Hajarul Aswad ini juga turut ditandakan dengan lampu hijau.
Jika bertawaf di Kaabah, kami sedaya upaya cuba menjauhkan diri dari Kaabah untuk mengelak dari tersentuh dengan binaan Kaabah. Ini adalah kerana tawaf menjadi tidak sah jika kita tersentuh mana-mana bahagian Kaabah termasuk Hijir Ismail.
|
Bertawaf di Kaabah |
Tempat yang paling mencabar sewaktu mengerjakan tawaf juga adalah di kawasan Hajarul Aswad sehingga ke Maqam Ibrahim. Ini adalah kerana laluan tawaf menjadi "bottleneck" di sini kerana orang yang hendak memulakan tawaf akan beristilam (melambai kepada Hajarul Aswad) di sini. Orang yang menamatkan tawaf di sini juga berusaha untuk keluar dari laluan tawaf di sini.
|
Kesesakan di Rukun Hajarul Aswad |
|
Sebaik-baiknya, ikut garisan saf yang ditandakan di Dataran Kaabah ini ketika bertawaf untuk memastikan yang bahu kiri kita sentiasa menghadap ke Kaabah. |
Sebahagian laluan tawaf di belakang Multazam (Pintu Kaabah) dan Maqam Ibrahim juga dikhususkan sebagai tempat solat kerana sunat bagi orang yang selesai menunaikan tawaf membuat solat sunat di sana. Di kawasan ini juga, ramai orang yang berebut hendak berdoa di Pintu Kaabah dan mengucup Hajarul Aswad.
|
Kawasan di belakang Makam Ibrahim yang dikhususkan untuk Jemaah membuat Solat Sunat selepas selesai Tawaf di Kaabah. Ketika ini sebahagian kawasan tersebut sedang ditutup untuk kerja-kerja pembersihan. |
Di laluan tawaf juga, ada yang mengambil kesempatan untuk membuat kebajikan kepada orang yang bertawaf. Di sini kita akan bertemu dengan orang-orang yang menyediakan minuman percuma kepada orang-orang yang sedang bertawaf dan tak kurang juga yang mengedarkan tisu percuma untuk orang-orang yang bertawaf mengesat peluh di dahi mereka. Ada juga orang yang secara sukarela menyembur air kepada orang-orang yang bertawaf untuk menyejukkan suasana. Semua ini mereka lakukan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan dari Allah SWT.
PENGALAMAN BERTAWAF DI TINGKAT PERTAMA
Selain dari di Dataran Kaabah, Tawaf juga boleh dilakukan di dalam bangunan Masjidil Haram. Myself pernah bertawaf sebanyak 2 kali di sini di mana sekali adalah Tawaf Sunat manakala yang sekali lagi adalah ketika melakukan Tawaf Wada'.
|
Pemandangan Laluan Tawaf di Aras Satu, Masjidil Haram |
|
Pusingan Tawaf di Tingkat Satu ini hampir 2 kali ganda jaraknya dari bertawaf di Dataran Kaabah sendiri. |
Selain itu, cabaran yang lebih besar adalah memastikan bahu kiri sentiasa menghadap ke Kaabah. Ini adalah kerana binaan masjid ini secara kasarnya berbentuk bujur. Jadi memang ada tempat-tempatnya di sini yang memerlukan kita perlu berjalan lebih mengiring untuk memastikan syarat sah tawaf ini dipatuhi.
Part 8: Air Zamzam
Selepas bertawaf dan sebelum memulakan Saie, kita disunatkan untuk meminum Air Zamzam. Zamzam adalah air yang dianggap sebagai air suci oleh umat Islam. Telaga Zamzam merupakan mata air yang terletak di kawasan Masjidil Haram, berkedalaman 42 meter. Sungguhpun berada di tengah gurun yang panasnya mencapai 50°C, air ini tidak pernah menyusut jumlahnya.
|
Minum Air Zamzam |
|
Pemandangan dekat bekas Air Zamzam yang disediakan di seluruh Masjidil Haram. |
Menurut
riwayat, mata air tersebut ditemukan pertama kali oleh Siti Hajar
setelah berlari-lari ulang-alik antara bukit Safa dengan bukit Marwah,
mencari air untuk anaknya Nabi Ismail AS yang sedang kehausan. Maka
Allah mengutus Malaikat Jibril menghentak kaki di tempat Nabi Ismail
yang masih bayi menghentak kakinya, lalu muncullah mata air Zamzam.
Dengan penuh kesyukuran, Siti Hajar mengepung air yang mengalir dengan
menggali tanah di sekitar tempat keluarnya air itu agar ia tidak hilang
ketika dia pergi mengambil bekas air minumannya.
Rasulullah
pernah bersabda: "Andai ibu Ismail tidak mengepung air itu,
tentu sekarang mata air Zamzam sudah menjadi mata air yang mengalir."
Jibril
kemudian menceritakan bahawa lokasi itu kelak adalah Baitullah yang akan
dibangun oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS. Peristiwa itu terjadi 1910
SM, 2572 tahun sebelum kelahiran Rasulullah, atau sekitar 4000 tahun
yang lalu.
|
Pekerja mengisi Air Zamzam ke dalam tong. |
|
Proses pengisian Air Zamzam ke dalam tong minuman. |
|
Tong-tong Air Zamzam yang telah sedia untuk penghantaran. |
Sewaktu
Myself menunaikan Umrah pada tahun 1998 dan 2002 dulu, kawasan telaga
di bawah Dataran Kaabah ini masih boleh dikunjungi. Tetapi kawasan
telaga ini telah ditutup kepada umum sekarang untuk meluaskan kawasan
Mataf untuk umat Islam bertawaf dan airnya disalurkan ke paip-paip air
yang dibina ke seluruh kawasan Masjid.
|
Paip Air Zamzam seperti ini juga disediakan di
seluruh kawasan Masjidil Haram untuk kegunaan semua pengunjung. |
|
Pemandangan dekat paip-paip Air Zamzam. |
Part 9: Mas'aa
Mas'aa adalah laluan khusus di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah di mana satu lagi rukun Umrah dan Haji, Saie perlu dilaksanakan.
|
Mutawwif kami memberi penerangan mengenai pelaksanaan Rukun Saie. |
Rukun Saie ini dijadikan manasik dalam Haji dan Umrah kerana mengenangkan ketakwaan seorang wanita bernama Siti Hajar yang juga merupakan isteri kepada Nabi Ibrahim AS. Siti Hajar ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Nabi Ismail AS yang masih bayi di sini atas perintah Allah SWT.
|
Arah ke Masa'a dari Dataran Kaabah |
|
Satu lagi pemandangan arah ke Tempat Saie (Masa'a) dari Dataran Kaabah. |
Ketika itu, Makkah yang dikenali sebagai Bakkah adalah sebuah lembah yang gersang. Siti Hajar telah berlari-lari di antara dua buah bukit yang bernama Safa dan Marwah untuk mencari air bagi anaknya yang kehausan. Ketika Nabi Ismail menghentak-hentak kakinya ke bumi, maka keluarlah air dari tanah yang kini dikenali sebagai Air Zamzam.
|
Arah ke Bukit Safa |
|
Laluan menuju ke Bukit Safa |
Saie adalah berjalan dan berlari-lari anak di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak 7 kali. Laluan dari Safa menuju ke Marwah dikira 1 pusingan manakala laluan balik dari Marwah ke Safa pula dikira sebagai satu pusingan yang berasingan. Oleh yang demikian, Saie perlu bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.
Laluan Saie di Masjidil Haram yang dinamakan Mas'aa ini disediakan dalam 3 tingkat. Kita boleh memilih untuk bersaie di mana-mana tingkat.
Laluan Saie di setiap tingkat kini telah dibina dengan marmar. Laluan Saie yang popular adalah di Ground Floor. Di sini kita dapat melihat sedikit batuan Bukit Safa dan Bukit Marwah yang sengaja ditinggalkan. Laluan Saie di tingkat ini juga curam bila tiba di kedua-dua kaki bukit Safa dan Marwah.
|
Tempat Permulaan Saie di Bukit Safa |
Sewaktu menunaikan Haji pada tahun 2005 dulu, kami pernah bersaie di Tingkat Atas. Tidak seperti laluan Saie di Ground Floor, laluan di sini rata. Kita tak dapat melihat batu Bukit Safa dan juga batu Bukit Marwah di sini. Kedudukan Bukit Safa dan Bukit Marwah pada aras ini ditanda dengan sebuah roundabout kecil.
|
Pemandangan Roundabout Laluan Saie di Tingkat Atas dari Ground Floor. |
|
Traffic Jam sementara di Bukit Safa kerana sebahagian laluan Saie ditutup untuk pembersihan. |
|
Kerja-kerja pembersihan di Laluan Saie yang dilaksanakan dengan sangat sistematik. |
|
Pemandangan Bukit Safa di Aras Basement. |
|
Batu Bukit Safa lebih besar di Aras Basement ini. |
|
Laluan Saei yang flat di Aras Basement |
|
Bukit Marwah |
Part 10: Bercukur Di Safwa Tower
Selepas selesai menyelesaikan Umrah, kita perlu menggunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut sebagai tanda kita telah selesai menyelesaikan Umrah dan bebas dari segala pantang larang yang ditetapkan. Proses pengguntingan rambut inilah yang dinamakan sebagai Tahallul. Lazimya, Tahallul dibuat di Bukit Marwah di mana Saie berakhir. Tak perlu risau jika tak membawa gunting ke sini kerana ada banyak gunting wakaf yang boleh digunakan.
|
Menggunting rambut (Tahallul) di Bukit Marwah, menandakan pelaksanaan Umrah telah sempurna. |
Bagi lelaki pula, mereka digalakkan untuk mencukur seluruh rambut sebagai tanda bertahallul. Daripada Ibnu Umar r.a: "Bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah merahmati orang-orang yang bercukur. Para sahabat berkata: Bagaimana dengan orang-orang yang bergunting, wahai Rasullullah? Baginda bersabda lagi: Allah merahmati orang-orang yang bercukur. Para sahabat berkata lagi: Bagaimana dengan orang-orang yang bergunting, wahai Rasullullah? Baginda tetap bersabda: Allah merahmati orang-orang yang bercukur. Para sahabat berkata lagi: Bagaimana dengan orang-orang yang bergunting, wahai Rasullullah? Kemudian barulah baginda bersabda: Dan juga orang-orang yang bergunting".
Ulama berpendapat dari hadis di atas, ia jelas menunjukkan bahawa orang yang bertahallul dengan bercukur mendapat tiga kali kelebihan dari orang yang bergunting. Disebabkan fadilat inilah, kaum lelaki di dalam Kumpulan Umrah kami memutuskan untuk bertahallul dengan bercukur. Makanya selepas selesai membuat Saie, kami beramai-ramai bergerak menuju ke sebuah kedai cukur rambut yang terletak di Safwa Tower di sebelah Masjidil Haram.
|
Safwa Tower |
|
Salah sebuah kedai cukur rambut di dalam Safwa Tower |
|
Husband bercukur untuk bertahallul. |
|
Wajah baru selepas bercukur. |
Selain kedai mencukur rambut, Safwa Tower juga mempunyai berbagai kedai lain di dalamnya. Disebabkan kedudukannya yang bersambung dengan Dataran Kaabah, ia turut menjadi tempat tumpuan Jemaah yang kehilangan kasut di Masjid untuk membeli kasut baru.
|
Pemandangan di dalam Safwa Tower |
|
Ada banyak kedai cukur rambut di sini. |
Bersambung ke Bhg. 3...
CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):
- Bhg. 1 [Hari 1] : Perjalanan Ke Tanah Suci
- Bhg. 2 [Hari 2] : Makkah Al Mukarramah (1) - Umrah Di Masjidil Haram
- Bhg. 3 : Makkah Al Mukarramah (2) - Aktiviti Seharian di Makkah Al Mukarramah
- Bhg. 4 [Hari 3] : Ziarah Makkah (1) - Masjid Siti Aisyah
- Bhg. 5 [Hari 4] : Ziarah Makkah (2) - Jabal Tsur, Arafah & Muzdalifah
- Bhg. 6 [Hari 4] : Ziarah Makkah (3) - Wadi Muhassir, Mina, Jabal Nur & Jaaranah
- Bhg. 7 [Hari 5] : Ziarah Taif (1) - Perjalanan Ke Taif & Masjid Abdullah bin Abbas
- Bhg. 8 [Hari 5] : Ziarah Taif (2) - Masjid Ku', Pasar Buah-Buahan & Miqat Qarnul Manazil
- Bhg. 9 [Hari 6] : Ziarah Makkah (4) - Ladang Unta, Hudaibiyah & Muzium Haramain
- Bhg. 10 [Hari 7] : Ziarah Makkah (5) & Perjalanan Ke Madinah - Masjid Jin, Perkuburan Ma'ala, Kawasan Abu Lahab & Wadi Qudaid
- Bhg. 11 : Madinah Al Munawwarah - Masjid Nabawi & Aktiviti Di Madinah Al Munawwarah
- Bhg. 12 [Hari 8] : Ziarah Madinah (1) - Masjid Quba', Ladang Kurma & Bukit Uhud
- Bhg. 13 [Hari 8] : Ziarah Madinah (2) - Masjid Khandaq, Pasar Kurma & Masjid Ghamamah
- Bhg. 14 [Hari 8] : Ziarah Madinah (3) - Ziarah Masjid Nabawi (Telaga Ha, Raudhah & Perkuburan Baqi')
- Bhg.15 [Hari 9] : Ziarah Madain Saleh (1) - Perjalanan Ke Madain Saleh & Hijaz Railway Museum
- Bhg. 16 [Hari 9] : Ziarah Madain Saleh (2) - Jejak Kaum Tsamud
- Bhg. 17 [Hari 9] : Ziarah Madain Saleh (3) - Pulang Ke Madinah
- Bhg. 18 [Hari 10] : Ziarah Madinah (4) - Masjid Jumaah, Bukit Tsaniyatul Wada', Kubu Kaab Bin Asyraf, Bukit Terbakar & Kubu Urwah Bin Zubair
- Bhg. 19 [Hari 11] : Ziarah Madinah (5) - Refuge of Faith Museum, Universiti Islam Madinah, Wadi Aqiq & Masjid Qiblatain
- Bhg. 20 [Hari 12] : Ziarah Madinah (6) - Sokaifat Bani Saedah & Muzium Rasullullah SAW
- Bhg. 21 [Hari 13] : Perjalanan Pulang