Sunday, 14 May 2017

2017 UMRAH & HARAMAIN BHG. 14 (Masjid Nabawi)

April 2017

ARAB SAUDI
Makkah, Taif, Madinah & Madain Saleh 

Bahagian 14: Ziarah Madinah (3)
ZIARAH MASJID NABAWI (TELAGA HA, RAUDHAH & PERKUBURAN BAQI')

HARI KELAPAN (3)

Part 66: Telaga Ha

Program Ziarah pada Hari Kedua di Madinah (Hari Kelapan di Tanah Suci) disambung lagi selepas Solat Asar. Program Ziarah ini berkisar tempat-tempat bersejarah di sekitar Masjid Nabawi.

Masjid Nabawi
Kami diminta untuk berkumpul di luar Pintu 21 Masjidil Haram selepas Asar.

Pemandangan di depan Pintu 25 yang merupakan pintu masuk ke Ruang Solat Utama bagi wanita di Masjid Nabawi selepas waktu Asar.
Nama rasmi Pintu 25 ialah Pintu Ali Bin Abi Talib.
Lagi pemandangan di luar Pintu 25
Walaupun kedudukan Pintu 21 tak begitu jauh dari Pintu 25, perjalanan ke sana tidaklah begitu lancar. Tidak seperti di Masjidil Haram di Makkah, ada pintu-pintu tertentu yang dikhaskan untuk lelaki dan wanita di Masjid Nabawi. Jadi setiap kali selepas waktu solat, memang ramai kaum lelaki yang akan menunggu ahli keluarga wanita mereka di luar Pintu 25 ini. Kebanyakan mereka pula, khususnya yang berasal dari benua India, tak mahu berganjak langsung dari tempat mereka berdiri untuk memberi laluan kepada kita selagi mereka tak bertemu dengan ahli keluarga mereka. Jadi memang payah nak melepasi mereka ini untuk ke mana-mana...

Pemandangan sewaktu berjalan menuju ke Pintu 21.
Pintu 21 pula adalah pintu yang dikhaskan untuk Jemaah Lelaki. Selepas solat, ramai pulak Jemaah Lelaki yang masih melepak ramai-ramai kat Dataran Masjid di sini. Bila kita berjalan seorang-seorang melintasi mereka, memanglah kita akan menerima pandangan semacam saja dari mereka... Lega betul bila ternampak geng wanita kumpulan Jemaah Umrah kami di sini. Taklah kita nampak macam alien bila dah berjalan dalam group.

Ambulan di depan Pintu 21. Ada kecemasan di dalam sana agaknya...
Jemaah di depan Pintu 21.
Mutawwif memberi taklimat selepas semua ahli kumpulan berkumpul.

TELAGA HA

Mutawwif kami meminta ahli kumpulan berkumpul di Pintu 21 kerana ada satu kesan sejarah di sini. Tempat ini dinamakan sebagai Telaga Ha.

Di dalam Pintu 21 ini, ada sebuah kesan sejarah yang dinamakan sebagai Telaga Ha.
Telaga Ha adalah kepunyaan seorang Ansar Al-Khazraj yang bernama Abu Talhah. Rasullulah SAW selalu meminum air dari telaga ini. Apabila turun ayat Al-Quran yang menggalakkan supaya orang-orang kaya memberikan nafkah atau sedekah harta mereka yang mereka sayang, Abu Talhah datang menghadap Rasullulah SAW dan memberitahu bahawa telaga ini adalah di antara harta yang paling disayanginya dan ianya disedekahkan pada jalan Allah. Rasullulah SAW seterusnya menyarankan agar telaga tersebut diberikan kepada keluarganya yang terdekat. Dengan cara itu, di samping Abu Talhah mendapat pahala wakaf, dia juga dapat berbakti kepada keluarganya yang terdekat. 

Telaga ini telah terhapus dan kini termasuk dalam binaan masjid baru. Namun jika kita memasuki Masjid dari Pintu 21 ini, ia terletak tidak jauh ke dalam Masjid dan ditandakan dengan 3 bulatan.

Memanglah kita yang perempuan ni takkan punya kesempatan untuk melihat kesan telaga ini. Jemaah lelaki juga sama kerana lantai di sini ditutup dengan carpet. Tapi, pada satu malam di luar waktu solat, Husband dan beberapa ahli kumpulan berusaha menyelak carpet masjid dan berjaya menemuinya. Ini adalah gambar yang diambil dari kamera Husband...

Kesan Telaga Ha dalam Masjid Nabawi ditandakan dengan tiga bulatan ini.
Lantai lain di Masjid Nabawi menggunakan corak ini.

Part 67: Raudhah

Salah satu keunikan Masjid Nabawi adalah Kubah Hijau yang berada di tengah masjid, yang mana di dalamnya terdapat makam Nabi Muhammad SAW. Kubah ini juga dipanggil sebagai Kubah Nabi. Dua orang sahabat nabi, Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab juga dimakamkan di dalam masjid ini.

Kubah Hijau di Masjid Nabawi di mana letaknya makam Rasullullah SAW.
Kubah Hijau ini adalah juga rumah Rasullullah SAW pada masa dahulu. Ketika Rasulullah SAW memasuki pintu gerbang kota Madinah, baginda turun dari untanya, untuk bersalam dan membalas sambutan hangat dari masyarakat kota. Mereka saling berebut untuk bersalam, memeluk dan mengalu-alukan Rasulullah SAW. 

Mereka juga saling berebut mempersilakan Rasulullah SAW menginap di kediaman mereka sambil menarik-narik unta Rasulullah menuju rumah mereka, dengan harapan agar Rasulullah akan mengikutinya. Akan tetapi, Rasulullah SAW memerintahkan agar untanya dibiarkan memilih tempat istirahatnya sendiri, dan di sanalah Rasulullah SAW akan menginap.

Di antara rumah-rumah yang indah dan mewah di sepanjang jalan kota Madinah, terdapat sebuah rumah sederhana yang tidak dapat dikatakan mewah. Perabotnya sederhana dan permadani agak usang terpasang di ruang tamu. Itulah kediaman Abu Ayyub al-Anshari, sahabat yang merasa rumahnya bukanlah standard untuk disinggahi Utusan Allah Muhammad SAW.

Dalam hati kecilnya, Abu Ayyub sangat menghormati Rasulullah SAW, sehingga dia merasa rumahnya terlalu sederhana untuk dijadikan persinggahan manusia termulia di alam raya ini. Lebih-lebih lagi, Abu Ayyub bukanlah salah seorang bangsawan terkemuka di Madinah dan dia merasa menjadi manusia hina apalagi jika dibandingkan dengan Rasulullah SAW. Begitulah keadaannya sehingga dia tidak berani menawarkan rumahnya untuk menjadi tempat persinggahan Rasul yang Mulia.

Namun apa yang terjadi, unta Nabi terus berjalan melewati rumah-rumah mewah, melewati bangunan-bangunan kukuh dan akhirnya masuk ke perkarangan rumah Abu Ayyub al-Anshari sehingga tempat itulah yang dipilih Rasulullah SAW sebagai tempat singgahnya. Rumah tersebut sederhana, dengan tuan rumah yang sangat merendah diri. Betapa bersukurnya Abu Ayyub al-Anshari atas anugerah yang diberikan oleh Allah kepadanya, sebagai tuan rumah dari Utusan yang Paling Mulia, Rasulullah SAW.

Di kawasan dataran inilah letaknya rumah Abu Ayyub Al-Anshari yang menjadi tempat persinggahan Nabi sewaktu baginda mula tiba di Madinah.
Pemandangan di luar Makam Rasullullah SAW.
Kalau bersolat berjemaah di kawasan ini, perlu dipastikan kita tidak melepasi garis Imam.
Peringatan supaya Jemaah tidak bersolat mendahului Imam.
Pemandangan Kubah Hijau dengan lebih dekat.
Di dalam Masjid Nabawi terdapat satu kawasan yang digelar Raudhah. Selain menjadi lokasi Rasulullah SAW dan para sahabatnya beribadah dan tempat turunnya wahyu kepada baginda, ia juga merupakan taman syurga berdasarkan hadis Nabi: “Ruang antara rumahku dan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga. Dan mimbarku terletak di atas kolamku”. 

Kedudukan Raudhah adalah di antara rumah Rasulullah SAW dan Saidatina Aisyah RA dengan mimbarnya. Sebagai tanda, tempat ini dihampari dengan carpet berwarna putih hijau.

Raudhah adalah tempat yang makbul untuk berdoa. Tidak  hairanlah tempat ini menjadi rebutan untuk bersolat dan memanjatkan doa bagi para jamaah.

Ini adalah kawasan masjid yang asal di zaman Rasullullah.
Kawasan masjid yang asal dibina pada zaman Rasullullah SAW ditandakan dengan tiang-tiang begini.
Satu lagi pemandangan ruang asal Masjid Nabawi.
Berebut masuk ke kawasan Raudhah.
Pintu masuk asal ke Masjid Nabawi pada zaman Rasullullah SAW.
Mihrab Masjid Nabawi
Mimbar Masjid Nabawi
Pemandangan Mimbar dari belakang
Di dalam pagar hijau sanalah letaknya Makam Rasullullah SAW.
Satu lagi pemandangan kawasan makam Rasullullah SAW
Menghampiri Makam Rasullullah SAW
Rasulullah SAW dimakamkan di tempat baginda wafat, iaitu di tempat yang dahulunya adalah kamar Ummul Mukminin Aisyah RA, isteri Nabi SAW. Kemudian berturut-turut dimakamkan pula dua shahabat terdekatnya di tempat yang sama, iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar bin Al-Khattab. Disebabkan perluasan-perluasan Masjid Nabawi, ketiga-tiga makam kini berada di dalam bangunan masjid itu sendiri.

Setelah Nabi wafat, Abu Bakar ingin dikuburkan dekat dengan orang yang sangat dicintainya, Nabi Muhammad SAW. Maka dua sahabat itu dimakamkan berdekatan, di dalam rumah Siti Aisyah.

Menjelang ajalnya tiba, Umar turut meminta izin kepada Aisyah agar dibolehkan dimakamkan dekat dua sahabatnya, Nabi Muhammad dan Abu Bakar. Tempat yang pada mulanya diperuntukkan Aisyah bagi dirinya, direlakan untuk jasad Umar.

Kedudukan dari kiri ke kanan: Makam Rasullullah SAW, Makam Abu Bakar As-Siddiq RA dan Makam Umar bin Al-Khattab RA.

LAWATAN KE RAUDHAH BAGI WANITA

Jemaah Lelaki bebas masuk ke kawasan Raudhah pada bila-bila masa sahaja, tetapi ada waktu-waktu tertentu yang ditetapkan bagi wanita.

Waktu lawatan bagi wanita adalah dari pukul 9-11 pagi, 20 minit selepas Solat Zohor dan 9-11 malam setiap hari. Jemaah wanita yang ingin berkunjung ke Raudhah perlu masuk menerusi Pintu 25 Masjid Nabawi.

Jemaah Wanita akan dikumpulkan mengikut kumpulan-kumpulan tertentu. Bagi Jemaah dari Nusantara, mereka akan dikumpulkan sebagai "Kumpulan Berbahasa Melayu". Sewaktu kami berkunjung dalam tahun 2013 yang lalu, kumpulan ini dikategorikan sebagai "Malaysia" walaupun Jemaah Indonesia sebenarnya jauh lebih ramai dari Jemaah Malaysia.

Tempat berhimpun untuk Kumpulan Berbahasa Melayu
Kemudian kita akan dibawa masuk berdikit-dikit menuju ke Raudhah. Kita akan berhenti 3-4 kali dan diminta duduk di sana sehingga akhirnya dibenarkan masuk ke Raudhah. Cara ini sangat sistematik, cuma masalahnya memang sentiasa ada jemaah yang kurang sabar dan tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.

Salah sebuah perhentian sebelum masuk ke Raudhah. Bila kumpulan yang di hadapan ini bergerak masuk ke Raudhah, kita akan disuruh berpindah duduk ke tempat mereka pula.
Menunggu di perhentian terakhir sebelum masuk ke Raudhah
Laluan masuk dan keluar dari Raudhah adalah sehala bagi wanita. Kerana itulah kita diminta supaya tidak meninggalkan apa-apa barangan peribadi seperti kasut dan beg tangan di laluan menuju ke Raudhah kerana bila dah masuk tu, tak boleh nak berpatah balik keluar ke pintu asal.

Pemandangan Kubah Nabi dari perhentian terakhir sebelum masuk ke Raudhah.

TIANG-TIANG DI DALAM RAUDHAH

Walau dah berkali-kali masuk ke Raudhah, lawatan kali ini sangat bermakna bagi Myself kerana dalam lawatan inilah buat kali pertama Myself ditunjukkan tiang-tiang yang bersejarah di dalam Raudhah oleh Mutawwifah yang memandu kami masuk ke sini. Sebelum ini, setiap kali masuk ke Raudhah, kami hanya bersolat sunat dan berdoa saja di sini. Jadi di kesempatan ini Myself cuba berkongsi pengalaman melihat dan mempelajari sejarah tiang-tiang ini.

Makam Rasullullah SAW tak dapat dilihat dengan jelas dari ruang wanita kerana ditutup dengan penghadang. Demikian jugalah dengan tiang-tiang penting di Raudhah ini. Kita cuma dapat melihat bahagian atas tiang-tiang ini sahaja. Husband juga tak dapat mengambil gambar yang jelas tiang-tiang ini kerana Raudhah di bahagian lelaki juga sangat sesak dengan pengunjung. Jadi kita gunakan gambar yang Myself perolehi dari website Islamic Landmarks.

Peta kedudukan tiang-tiang utama di Raudhah

Tiang Aisyah

Tiang Aisyah ialah sebuah tiang yang memiliki keistimewaan tersendiri. Sebuah hadis dari Thabrani menyebutkan bahawa isteri Rasullullah SAW, Aisyah RA meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Ada tempat yang sangat penting di dalam Masjid Nabawi yang mulia, jika seseorang mengetahuinya, mereka akan mengadakan undian untuk mendapatkan kesempatan agar dapat bersolat di sana". 

Kemudian, pada suatu hari para sahabat bertanya kepada Aisyah RA mengenai tempat ini. Namun beliau menolak untuk memberitahu tempat tersebut secara tepat.

Tiang Aisyah
Akhirnya, para sahabat pergi, sedangkan Aisyah RA masih bersama dengan anak saudaranya, Abdullah bin Zubair RA. 

Semenjak itu para sahabat memerhatikan bahawa Abdullah bin Zubair RA sering melakukan solat dekat Tiang Aisyah. Oleh itu, para sahabat yakin bahawa Aisyah RA telah memberitahu tempat tersebut secara rahsia kepada anak saudaranya. Tempat itu dinamakan sebagai Tiang Aisyah. 

Nabi pernah mengimamkan solat dari sini selama beberapa hari setelah perubahan kiblat dari Masjidil Aqsa ke Kaabah di Makkah.

Tiang Tempat Tidur

Tiang ini dinamakan As Sarir (bermaksud: Tempat Tidur) kerana Rasulullah menggunakan tempat ini sebagai tempat tidurnya selama iktikaf.


Tiang Iktikaf
Ia dinamakan demikian karena dahulu di sini ada tempat tidur Nabi yang diperbuat dari anyaman daun kurma dan pelepahnya.

Tiang Taubah

Tiang Taubah adalah tiang yang paling terkenal di Raudhah dan dikaitkan dengan kisah taubat seorang sahabat Nabi yang bernama Abu Lubabah.

Tiang Taubah
Pada satu ketika, Nabi Muhammad SAW bercadang hendak menghukum kaum Yahudi Bani Quraidah atas pengkhianatan mereka kepada Nabi dan Abu Lubabah dilantik sebagai orang perantara. Abu Lubabah secara tidak sengaja telah membocorkan rahsia Nabi kepada suku Yahudi itu.

Beberapa saat setelah kejadian itu, Abu Lubabah menyesali apa yang berlaku. Kemudian dia berkata, “Aku tidak akan berganjak dari tempatku ini sehingga Allah menerima taubatku atas perbuatanku. Aku berjanji kepada Allah agar selama-lamanya tidak diperlihatkan kepadaku negeri yang di dalamnya aku pernah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.” 

Abu Lubabah mengikat dirinya sendiri pada tiang Masjid Nabawi selama enam hari. Pada setiap waktu solat isterinya datang untuk melepaskan ikatan agar dia dapat mengerjakan solat. Selesai solat, dia kembali mengikat dirinya.

Akhirnya, taubat Abu Lubabah diterima Allah. Kemudian Ummu Salamah bertanya kepada Rasulullah, “Bolehkah aku menyampaikan berita gembira ini kepada Abu Lubabah?” Baginda bersabda, “Silakan, jika engkau mahu”. Ummu Salamah berkata, “Hai Abu Lubabah, bergembiralah, karena Allah telah menerima taubatmu”. 

Para sahabat turut mengerumuni Abu Lubabah untuk melepaskan ikatannya, namun Abu Lubabah berkata, “Tidak, demi Allah, aku tidak mahu, sehingga Rasulullah sendiri yang melepaskanku dengan tangannya”. Ketika Rasulullah keluar untuk menunaikan solat subuh, baginda berjalan melewati Abu Lubabah, kemudian melepaskan ikatannya. Itulah sejarah tiang Abu Lubabah atau Tiang Taubat ini.

Tiang Menangis

Tiang ini pada asalnya adalah sebatang pokok kurma tempat Nabi Muhammad SAW sering bersandar sewaktu menyampaikan khutbah. Ketika menyampaikan sebuah Khutbah Jumaat, Kaum Ansar dengan hormat menawarkan kepada Nabi untuk membuat sebuah mimbar yang terdiri dari tiga anak tangga.

Tiang Menangis
Ketika Nabi duduk di atas mimbar ini untuk berkhutbah, para sahabat mendengar batang pohon kurma itu menangis seperti anak kecil. Lalu Nabi mendekati pohon yang menangis itu dan kemudian memeluknya sehingga pohon itu tenang. Pohon kurma itu menangis karena dia tidak lagi digunakan untuk mengingat Allah dan semenjak itu pohon tersebut diberi sejenis pewangi yang disebut khaluq. Tiang ini kemudian dipanggil sebagai Tiang Mukhallaqah.

Gambaran pokok kurma yang berada di dalam Masjid Nabawi pada zaman Rasullullah SAW. Gambar ini dapat dilihat di Refuge of Faith Museum di Masjid Quba'.
Ada juga beberapa tiang lain yang tak dapat dilihat dengan jelas dari ruang ziarah wanita. Antara tiang tersebut adalah Tiang Utusan dan Tiang Pengawal. 

Tiang Utusan digunakan oleh Nabi untuk menemui para utusan yang datang. Beberapa sahabat terkemuka duduk di sekitar baginda selama pertemuan berlangsung.

Tiang Pengawal pula menjadi tempat berdiri para pengawal Nabi. Pintu rumah Siti Aisyah terletak berhadapan dengan tiang ini, dan Nabi melalui pintu ini menuju ke Masjid Nabawi.

Part 68: Perkuburan Baqi'

Ziarah kami berakhir di Perkuburan Baqi' yang menempatkan makam ramai keluarga dan sahabat-sahabat Nabi. Di sini, terdapat sekitar 10 ribu orang keluarga dan sahabat Nabi, sehingga pemakaman ini sangat dimuliakan.

Pintu masuk ke Perkuburan Baqi'. Hanya Jemaah Lelaki sahaja yang dibenarkan berziarah ke dalamnya.
Panduan berziarah ke Perkuburan Baqi'
Macam di tempat-tempat lain juga, peringatan ini diberikan dalam pelbagai bahasa utama pengunjung.
Oleh kerana jemaah wanita tidak dibenarkan masuk ke Perkuburan Baqi', Mutawwif membawa kami melihat ke dalam perkuburan ini dari belakang tembok perkuburan.

Pusat Kanak-Kanak Hilang di Masjid Nabawi
Pada zaman Rasulullah SAW, Perkuburan Baqi' berada di luar wilayah Madinah. Sekarang, dengan perkembangan Kota Madinah yang sangat pesat, perkuburan ini seakan telah menjadi sebahagian dari Masjid Nabawi.

Menurut bahasa, Baqi’ bererti tempat di mana terdapat tunggul berbagai jenis pohon. Dari situlah dinamakan tanah perkuburan ini sebagai Baqi’ Al-Gharqad. Al-Gharqad pula adalah pohon berduri yang sangat besar. Berbagai sumber sejarah menunjukkan bahawa orang yang pertama dikuburkan di tempat suci itu adalah sorang sahabat yang mulia, Usman bin Mazhun. Kemudian di sampingnya dimakamkan pula Ibrahim, putera Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri sering berulang alik ke Baqi’. Baginda pergi ke Baqi’ pada malam hari, lalu berdoa dan memohonkan keampunan bagi penghuninya.

Dari Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang mampu meninggal di Madinah, hendaklah dia meninggal di Madinah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat bagi sesiapa sahaja yang meninggal di sana.” (HR. Ahmad).

Perkuburan Baqi' boleh dilihat melalui tembok dinding di sini.
Di sini juga ada diletakkan panduan untuk berziarah ke kubur.
Pada masa kini, Perkuburan Baqi' hanya terdiri dari hamparan tanah merah dan batu tanpa penanda siapa yang dikuburkan. Beberapa tokoh Islam yang dikuburkan di Jannatul Baqi adalah isteri-isteri Rasulullah SAW, yang juga dikenali sebagai Ummahatul Mu’minin (Ibu dari orang yang beriman) termasuk Aisyah, Hafsah dan Saudah. Dua isteri Nabi yang tidak dimakamkan di sini adalah Khadijah binti Khuwailid yang dimakamkan di Makkah dan Maimunah binti al-Haris yang dimakamkan di Sarif.

Anak-anak dan cucu Rasulullah SAW juga dimakamkan di sini, iaitu Fatimah az-Zahra, Ruqayyah, Zainab, Ummi Kalsum, Ibrahim (anak lelaki Rasulullah SAW yang masih bayi dari Mariatul Qibtiyah), sehingga Hasan bin Ali (cucu Rasulullah SAW). Selain itu ibu saudara Rasulullah SAW iaitu Safiyyah dan Atikah juga dikuburkan di Baqi'. Kemudian ada juga Usman bin Affan (khalifah ketiga yang juga merupakan menantu Rasulullah SAW) dan Halimatus Saadiah (ibu susuan Nabi).

Pemandangan Perkuburan Baqi' dari tepi tembok.
Ramai keluarga Rasullullah SAW dan para sahabat yang dimakamkan di sini.
Mengintai ke kawasan perkuburan.
Meninggalkan Perkuburan Baqi' untuk menunaikan Solat Maghrib.


 Bersambung ke Bhg.15 ...


CATATAN PERJALANAN (UMRAH & HARAMAIN 2017):