Wednesday, 26 August 2020

2020 ALOR SETAR BHG. 08 (Alor Setar 1)

Ogos 2020

KEDAH, MALAYSIA
Alor Setar

Bahagian 8: Alor Setar 4
RUMAH MAHATHIR, MASJID ALBUKHARY, RUMAH SERI BANAI & RUMAH TOK SU

HARI KETIGA (3)

Part 17: Rumah Mahathir

Negeri Kedah telah melahirkan 2 orang Perdana Menteri Malaysia: Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kalau dulu kita dah melawat ke rumah kelahiran Tunku Abdul Rahman, sekarang kita melawat pula ke rumah kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad
Rumah Kelahiran Mahathir terletak di sebuah lorong yang bernama Lorong Kilang Ais. Memang terdapat sebuah kilang ais yang terletak di permulaan lorong ini tapi tak pasti sama ada ia masih beroperasi.

Jalan masuk ke Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad
Kilang ais di permulaan lorong
Kawasan ini sekarang telah dibangunkan sebagai sebuah tarikan pelancongan di Alor Setar. Ada pelbagai kemudahan disediakan di kompleks sejarah ini seperti auditorium, kedai cenderamata, bilik pameran dan sebagainya.

Pemandangan di kompleks Rumah Kelahiran Mahathir Mohamad 
Auditorium
Rumah kelahiran Tun Dr Mahathir yang sebenar adalah sebuah rumah yang mempunyai sebuah bilik. Ia pada asalnya dibina dari kayu, beratap nipah, berlantai papan dan bersiling kain ombak-ombak. Rumah ini telah diperbaiki dan diubahsuai sehingga menjadi seperti yang dilihat pada hari ini. Di rumah inilah Tun Mahathir dilahirkan pada 20 Disember 1925 dan di sinilah juga dia dibesarkan.

Rumah ini boleh dimasuki untuk dilawat tetapi fotografi tidak dibenarkan di dalamnya. Oleh yang demikian, kami membuat keputusan untuk hanya melihat rumah ini dari luar sahaja.
Melawat dari luar sahaja kerana fotografi tidak dibenarkan di dalamnya
Teksi yang membawa kami melawat sekitar bandar Alor Setar

Part 18: Masjid Albukhary

Perjalanan seterusnya adalah menuju ke Masjid Albukhary. Dalam perjalanan ke sana kami dapat melihat sebuah lagi masjid cantik yang bernama Masjid Al-Ghufran.

Masjid Al Ghufran
Kemudian kami ditunjukkan pula sebahagian Terusan Wan Mat Saman yang terkenal di Kedah. Terusan sepanjang 36 km dari Gurun ke Alor Setar ini ialah sebuah terusan bersejarah yang siap dibina pada tahun 1895. Ia adalah terusan yang terpanjang di Malaysia dan dibina bagi membantu pesawah mengairi sawah padi mereka bagi meningkatkan hasil pengeluaran.

Terusan Wan Mat Saman
Terusan ini dibina oleh seorang Menteri Besar Kedah yang bernama Wan Muhammad Saman Wan Ismail untuk membantu pesawah mengairi sawah padi mereka.
Tugu peringatan ulangtahun Alor Setar yang ke-250 tahun
Kemudian barulah kami tiba di Masjid Albukhary. Masjid ini adalah sebuah masjid yang cantik dan besar di Alor Setar yang dibina oleh Yayasan Albukhary. Sesuai dengan namanya, ia diilhamkan dari masjid yang menempatkan Makam Imam Al-Bukhari di Uzbekistan. Namun menaranya diadaptasi dari Masid Nabawi di Madinah.

Masjid Albukhary
Bangunan utama Masjid Albukhary
Masjid ini tidak boleh dilawati sesuka hati dalam Musim Covid begini. Jadi kita cuma boleh menikmati keindahannya dari luar sahaja. Pemandangan di perkarangan luarnya juga menarik. Ada banyak pokok-pokok kurma yang memberi gambaran seolah-olah kita sedang berada di Timur Tengah.

Pokok-pokok kurma yang ditanam di perkarangan Masjid Albukhary
Kubah masjid ini diilhamkan dari Makam Imam Al Bukhari yang terletak di Uzbekistan
Sayang tak dapat nak melawat ke dalamnya kerana masjid hanya dibuka pada waktu solat di musim-musim Covid begini.
Meninggalkan Masjid Albukhary

Part 19: Rumah Seri Banai & Rumah Tok Su

Persinggahan kami seterusnya adalah sepatutnya Muzium Padi, tapi dalam perjalanan ke sana Najib mencadangkan supaya kami membuat persinggahan dulu di rumah tradisional yang dinamakan Rumah Seri Banai dan Rumah Tok Su. Kami okey saja dengan cadangan Najib.

Dalam perjalanan ke situ kami melalui sebuah taman yang bernama Taman Jubli Emas. Taman ini adalah salah sebuah pusat rekreasi keluarga yang popular di Alor Setar. Kata Najib, dulu dia pun selalu melepak ponteng sekolah di sini. Maklumlah masa itu dia masih muda dan belum insaf lagi dengan kehidupan, katanya.

Taman Jubli Emas
Tenang dan damai suasana di sini, macam pemandangan di Taman Botani Perdana di Kuala Lumpur.
Kedua-dua rumah tradisional Rumah Seri Banai dan Rumah Tok Su terletak di sebuah kawasan lapang bertentangan dengan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang bernama Wisma Darul Aman. Kata Najib, destinasi ini popular untuk Wedding Photography di Alor Setar.

Wisma Darul Aman
Pemandangan Rumah Tok Su (kiri) dan Rumah Seri Banai (kanan) di seberang bangunan Wisma Darul Aman

RUMAH SERI BANAI

Kita melawat dulu ke Rumah Seri Banai.

Berjalan ke Rumah Seri Banai
Keterangan tentang Rumah Seri Banai
Lokasi asal Rumah Kedah berbumbung panjang ini terletak di Kampung Banai, Mukim Pelubang, Daerah Kubang Pasu. Rumah ini dibina oleh Tok Bakar yang merupakan seorang tukang rumah tempatan. Kayu yang digunakan dalam pembinaan rumah ini adalah Meranti dan Temak.

Rumah Seri Banai
Pemandangan Rumah Seri Banai dari sisi
Bahagian bawah rumah ini pernah dijadikan bilik darjah Sekolah Rakyat. Sekolah Rakyat ini kemudiannya dipindahkan ke Kepala Batu dan dikenali sebagai Sekolah Seri Banai. 

Rumah ini telah dihadiahkan oleh pemiliknya kepada Universiti Utara Malaysia di Jitra, Kedah sebelum dipindahkan ke lokasi ini. Ia dinamakan Rumah Seri Banai sempena nama lokasi asal rumah tersebut. Rumah Seri Banai ini boleh dimasuki tetapi fotografi tidak dibenarkan di dalamnya. Jadi kita melawat dari luar sajalah.

Bahagian bawah Rumah Seri Banai pernah dijadikan bilik darjah Sekolah Rakyat pada masa dahulu

RUMAH TOK SU

Kemudian kita melawat ke Rumah Tok Su di sebelah pulak. Fotografi juga tidak dibenarkan di dalamnya. Jadi melawat dari luar juga, tak payah masuk ke dalam.

Rumah Tok Su
Ukiran kayu di Rumah Tok Su
Dapur Rumah Tok Su yang dibina lebih rendah berbanding aras rumah yang lain
Rumah Tok Su berasal dari Kampung Permatang Kerat Telunjuk di Bandar Baharu. Jauh rupanya asal dia ~ 200 km dari Alor Setar. Rumah ini yang dah berusia lebih 100 tahun pada asalnya dimiliki oleh Tuan Haji Mahmud, seorang kaya dan mempunyai banyak harta di kampung tersebut. Tok Su pula adalah cucu kepada beliau.

Keterangan tentang Rumah Tok Su
Rumah Tok Su juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua dan sebelum British kembali semula, pihak komunis telah menyiksa penduduk kampung. Di Rumah Tok Su inilah telah diadakan mesyuarat oleh penduduk kampung yang bermuafakat untuk menubuhkan Barisan Pemuda untuk menentang komunis.

Satu sudut pemandangan Rumah Tok Su
Meninggalkan Rumah Tok Su dan Rumah Seri Banai


  Bersambung ke Bahagian 9...


CATATAN PERJALANAN ALOR SETAR (2020):