Saturday, 27 December 2014

2014 JAWA BARAT & JAWA TIMUR BHG. 02 (Subang 1)

Disember 2014

JAWA BARAT & JAWA TIMUR, INDONESIA
Subang, Malang & Bromo

Bahagian 2: Subang (1)
MAJLIS PERKAHWINAN SUNDA (1)

HARI KEDUA (1)

Part 4: Kota Subang

Kota Subang terletak di utara kota Bandung. Di kawasan Subanglah sebenarnya terletak tarikan-tarikan yang sering dilawati para pelancong yang berkunjung ke Bandung seperti Air Panas Ciater dan Gunung Tangkuban Parahu.

Peta Jawa Barat yang menunjukkan kedudukan kota Subang dan Bandung.
Penduduk Subang pada umumnya adalah suku Sunda, yang menggunakan bahasa Sunda sebagai bahasa sehari-hari.

Pemandangan kota Subang dari bilik hotel.
Taman awam di depan Hotel Dafam Betha, Subang
Pemandangan Hotel Dafam Betha dari pintu masuk ke taman awam.
Bersiar-siar di Kota Subang
Peringatan yang menginsafkan diri.
Perkhidmatan mainan ride kanak-kanak begini tidak terdapat di Malaysia.
Perkhidmatan kutipan sampah menggunakan motosikal ini sangat sesuai untuk lorong-lorong yang sempit seperti yang banyak terdapat di Indonesia.
Pemandangan umum di Kota Subang
Gerai-gerai makan di hadapan Hotel Dafam Betha.
Subang juga terkenal dengan tarian tradisional yang dinamakan Singa Depok di mana sekumpulan lelaki akan menari-nari sambil menjunjung patung singa yang diletakkan di atas tandu. Selalunya orang yang diraikan (seperti kanak-kanak lelaki dalam upacara berkhatan) diusung di atas Singa Depok ini sambil tarian ditarikan.

Bergambar di depan lukisan Tarian Singa Depok yang menghiasi lobi Hotel Dafam Betha.
Ukiran Tarian Singa Depok di luar bangunan Hotel Dafam Betha.
Pandangan dari depan ukiran Tarian Singa Depok.
Myself pernah menonton Tarian Singa Depok di dalam Youtube dan tarian ini memang sangat menarik. Sayang sekali kami tak berkesempatan menonton secara live tarian ini sewaktu berada di sana.

Part 5: Majlis Perkahwinan Sunda (1/2) 

Majlis Perkahwinan Mohd. Fajar dan Siti Nurlaela diadakan pada hari kedua kami berada di Indonesia. Oleh kerana majlis akan bermula pada jam 8 pagi, awal-awal lagi kami turun bersarapan di Hotel Dafam Betha.


Sarapan pagi di Dafam Betha Hotel, Subang.
Pemandangan di Restoran Sisingaan di Hotel Dafam Betha.
Atas permintaan keluarga pengantin perempuan, semua ahli rombongan keluarga pengantin lelaki yang datang dari Malaysia memakai persalinan lengkap baju Melayu ke majlis ini.

Berkumpul untuk bertolak ke Majlis
Bergambar Ramai sebelum berlepas ke Majlis
Pengantin Lelaki
Ibu dan Bapa Pengantin Lelaki turut disolek oleh juruandam yang disediakan oleh pihak Pengantin Perempuan
Bergambar dengan Singa Depok sebelum pergi ke Majlis Perkahwinan
Pembawa Barang Hantaran.
Kami bertolak ke rumah Pengantin Perempuan pada pukul 8.00 pagi. Agak mengejutkan kerana rombongan kami diiringi oleh polis trafik bermotosikal sehingga sampai ke rumah Pengantin Perempuan. 

Rombongan kami diiringi polis trafik sampai ke rumah Pengantin Perempuan.
Polis trafik yang mengawal lalu-lintas untuk melancarkan perjalanan kami sehingga ke rumah Pengantin Perempuan.
Rombongan kami tiba di rumah Pengantin Perempuan.
Berkumpul untuk bergerak bersama-sama menuju ke Rumah Pengantin Perempuan.
Satu kejutan menanti kami di Rumah Pengantin Perempuan. Kami disambut dengan penari-penari tradisional Sunda yang mengalu-alukan kedatangan kami.


Ini diikuti dengan persembahan tarian yang kedua:


Belum habis lagi... Masih ada persembahan tarian yang ketiga:


Kemudian datang seorang Pakcik Tua menghampiri rombongan kami..


Separuh jalan, Pakcik Tua tadi dipanggil oleh seorang Makcik Tua..

Pakcik Tua dan Makcik Tua ini kemudiannya bergaduh sampai tercabut rambut palsu Makcik Tua. Banyak dialog antara mereka sebenarnya, tapi kami tak faham sebab mereka bertutur dalam Bahasa Sunda..

Bila rambut palsunya tercabut, jelas sekali yang Makcik Tua ini sebenarnya adalah seorang pelakon lelaki.
Selepas berdamai, Pakcik Tua dan Makcik Tua berjalan bergandingan tangan ke arah rombongan kami.
Rombongan Pengantin Lelaki kemudiannya diiringi oleh semua penari serta Pakcik dan Makcik Tua tadi menuju ke khemah di mana keluarga Pengantin Perempuan sedang sedia menanti.

Rombongan Pengantin Lelaki diiringi oleh penari-penari serta Pakcik Tua dan Makcik Tua menuju ke keluarga Pengantin Perempuan yang sedia menanti.
Pakcik Tua sibuk menyiapkan Pengantin Lelaki sebelum bertemu keluarga Pengantin Perempuan.
Kemudian, seorang penari wanita mempersembahkan kalungan bunga melur kepada ibu Pengantin Perempuan.

Penari wanita ini mempersembahkan kalungan bunga melur kepada ibu Pengantin Perempuan.
Kalungan bunga melur ini kemudiannya dipakaikan oleh ibu Pengantin Perempuan ke leher Pengantin Lelaki.

Ibu Pengantin Perempuan mengalungkan rantai bunga melur ke leher Pengantin Lelaki. Beliau juga memberi salam hormat kepada ibu dan ayah Pengantin Lelaki.
Seterusnya, ayah Pengantin Perempuan turut menyerahkan sebuah lagi kalungan bunga melur yang mengandungi keris kepada Pengantin Lelaki dan memberi salam hormat kepada ibu dan bapa Pengantin Lelaki.

Ayah Pengantin Perempuan pula memberikan kalungan bunga melur yang berisi keris kepada Pengantin Lelaki dan seterusnya memberikan salam hormat kepada ibu dan bapa Pengantin Lelaki.
Rombongan Pengantin Lelaki kemudiannya dibawa masuk ke dalam khemah perkahwinan.

Penyambut Tetamu di pihak keluarga Pengantin Perempuan
Pengantin Lelaki diiringi masuk ke khemah perkahwinan oleh ibu dan bapa dari kedua-dua belah pihak.
Hantaran untuk pengantin perempuan.
Seperti kebiasaan adat di Malaysia, rombongan kami membawa beberapa dulang barang hantaran untuk diserahkan kepada Pengantin Perempuan. Namun adat ini tidak diamalkan oleh masyarakat di sana. Jadi mereka agak terpinga-pinga bila kami menyerahkan barang-barang hantaran ini kepada mereka.

Berkumpul dalam khemah perkahwinan menanti upacara dimulakan.
Sebaik kami duduk, semua tetamu diberikan sebuah kotak cenderamata yang berisi makanan ringan.

Semua tetamu diberikan kotak cenderamata.