Tuesday, 30 December 2014

2014 JAWA BARAT & JAWA TIMUR BHG. 08 (Bromo)

Disember 2014

JAWA BARAT & JAWA TIMUR, INDONESIA
Subang, Malang & Bromo

Bahagian 8: Malang - Surabaya
CANDI SINGOSARI, BROMO & TANGGULANGIN

HARI KELIMA

Part 18: Candi Singosari

Program Hari Kelima bermula awal kerana kami akan bertolak ke Gunung Bromo pada pukul 7.30 pagi. Oleh yang demikian, seawal jam 6.30 pagi sebaik restoran hotel dibuka, kami terus bersarapan pagi.


Jumpa Lagi, Kota Malang.
Kata Husband, Malang kini dah termasuk dalam salah satu list kota favourite beliau di Indonesia.
Sarapan pagi di Ibis Styles Hotel, Malang.
Kata Pak Iskandar, sebenarnya ada beberapa jalan untuk menuju ke Gunung Bromo. Dia memilih untuk membawa kami melalui sebuah "laluan tikus" yang pemandangannya cantik. Tapi laluan ini memakan masa 3 jam dengan menurun dan mendaki gunung.

Kota Malang masih sepi sebab hari masih awal pagi.
Dalam perjalanan ke Gunung Bromo, kami singgah di Candi Singosari. Candi ini ialah sebuah candi Hindu yang dibangunkan oleh Kerajaan Singosari. Sebelum kedatangan Islam, Hindu adalah agama rasmi Nusantara. Bak kata Pak Iskandar, tak salah untuk kita melawat ke candi kerana niat kita adalah untuk melihat kesan dan sejarah amalan nenek moyang kita dulu dan bukan nak membuat apa-apa penyembahan di situ.

Candi Singosari. Candi ini kecil jika dibandingkan dengan Candi Prambanan dan Candi Borobudur di Yogyakarta yang pernah kami kunjungi.
Pintu masuk ke Candi Singosari yang terletak di tengah-tengah kawasan perumahan.
Candi Singosari sebenarnya didirikan untuk menyimpan abu mayat Kartanegara, raja terakhir kerajaan purba Singhasari. Tidak seperti candi-candi lain yang pernah kami lawati seperti Candi Prambanan dan Candi Borobudur, candi ini kini terletak di kawasan perumahan. Memang jelas akan kewujudan sebuah kerjaan purba di kawasan ini dahulu kerana selain Candi Singosari, terdapat beberapa buah candi lain yang juga ditemui di kawasan ini.

Papan tanda ke beberapa buah candi lain yang juga terdapat di kawasan ini.
Di kawasan candi ini terdapat patung-patung batu. Candi ini juga dikatakan mempunyai patung Dwarapala yang terbesar di Indonesia, tapi kami tak nampaklah pulak mana patung tu, mungkin disebabkan kami tak tengok dengan teliti patung-patung yang ada di sini. Dwarapala adalah patung penjaga candi di  Indonesia. Malah kini, kalau di Pulau Jawa ini, patung Dwarapala sering dijadikan perhiasan di kampung-kampung dan juga di hotel-hotel.

Patung-patung batu yang dikumpulkan di tepi pintu masuk ke Candi Singosari.
Kami juga memanjat naik tangga untuk melihat ke dalam candi. Candi ini tidaklah tinggi sangat. Candi ini berbentuk segiempat sama dan di dalamnya ada 4 niche yang menghadap setiap sisi. Pada masa dahulu, setiap niche mepunyai patung berhala yang ditempatkan di sana. Namun, sewaktu Belanda menjajah Indonesia dahulu, patung-patung ini telah dicuri dan dibawa ke Belanda. Kisah ini mengingatkan Myself tentang lawatan ke India dulu. Di Taj Mahal juga, batu-batu permata dan logam-logam berharga telah diambil tentera British sewaktu mereka menjajah India. Malah di Egypt juga, janggut Sphinx telah dipotong oleh tentera British dan kini disimpan di British Museum di London.

Pemandangan dekat Candi Singosari. Tangga di depan sana boleh dinaiki untuk masuk ke dalam candi.
Pemandangan dari atas candi.
Satu lagi pemandangan dari atas candi.
Ini adalah pemandangan pintu masuk dari atas candi.
Ukiran di pintu masuk ke bangunan candi ini mengingatkan kami kepada Goa Gajah yang pernah kami kunjungi di Bali.
Pemandangan di niche yang menghadap ke tangga candi.
Ada 3 niche di candi ini yang kelihatan kosong sahaja seperti di sini kerana patung yang terdapat di sini telah diambil oleh tentera Belanda dan dibawa ke negara mereka.
Inilah satu-satunya niche yang patungnya ditinggalkan oleh tentera Belanda.
Pemandangan sewaktu berjalan mengelilingi tingkat atas candi.
Pemandangan bumbung candi dari luar tingkat atas.
Candi Singosari pernah dibaikpulih. Namun batu-batu yang digunakan turut menggunakan batuan dari sumber asal candi. Batu-bata yang bertanda putih ini menandakan ia adalah batu-bata baru yang dipasang semasa kerja membaikpulih.
Batuan asal Candi Singosari berlubang dan berlumut.
Melihat patung-patung batu di Candi Singosari dengan lebih dekat.

Part 19: Perjalanan Ke Bromo 

Dari Candi Singosari, perjalanan diteruskan ke Bromo dengan melalui perkampungan-perkampungan tradisional di sepanjang laluan. Walaupun kami naik ke tanah tinggi, cuacanya tidaklah sesejuk mana, hanya sedikit dingin berbanding tanah pamah.

Pemandangan perjalanan setelah meninggalkan Candi Singosari
Sebahagian besar perjalanan menuju ke Gunung Bromo adalah melalui jalan-jalan perkampungan seperti ini.
Pemandangan tipikal perkampungan yang dilalui
Pemandangan teres sawah padi dalam perjalanan ke Bromo
Semakin tinggi kami mendaki, jalan menjadi semakin kecil.
Pemandangan indah pergunungan di Pulau Jawa.
Dalam perjalanan, kami melalui sebuah pekan yang bernama Nongko Jajar. Ada sebuah pasar yang sibuk di tengah-tengah pekan ini. Pak Iskandar meminta izin untuk singgah sebentar di sini kerana dia ingin membeli petai untuk dibawa pulang ke rumahnya nanti. Kesempatan ini diambil oleh Husband bersama Abang Ipar untuk meninjau suasana kesibukan pasar pagi di sana sambil Myself dan Kakak Ipar menunggu saja di dalam kenderaan.

Nongko Jajar
Suasana pagi yang sibuk di Pasar Nongko Jajar.
Lagi suasana kesibukan di Pasar Nongko Jajar
Kenderaan kami menunggu di sini (di depan van di dalam gambar ini) sementara Pak Iskandar, Husband dan Abang Ipar berkunjung ke Pasar Nongko Jajar.
Perjalanan kemudian diteruskan lagi ke Desa Tosari, perkampungan paling tinggi yang dapat dinaiki kenderaan biasa untuk berkunjung ke Gunung Bromo. Di kiri kanan jalan, terdapat kawasan-kawasan pertanian yang kebanyakannya terdiri dari kebun-kebun sayuran.

Menuju ke Desa Tosari
Jalan yang sempit dan mendaki
Pekerja di kebun sayur
Lagi pemandangan kebun sayur di dalam perjalanan.
Kebun sayur seluas mata memandang
1 km lagi nak sampai ke Gunung Bromo
Gunung Bromo terletak di kawasan wisata Taman Nasional Bromo-Tengger-Semeru dan Desa Tosari adalah pintu masuk ke Taman Negara ini. Ia berada pada ketinggian 1,700 meter dari paras laut.

Pemandangan indah di Desa Tosari.
Walaupun sebenarnya masih awal lagi, Pak Iskandar telah mengaturkan kami makan tengahari di sebuah warung makan kecil di Desa Tosari yang bernama Warung Ala Tengger. Makanan hanya dimasak setelah kami tiba. Oleh yang demikian, sambil menunggu makanan dihidangkan, kami menikmati dulu pemandangan pergunungan yang indah di kawasan ini.

Pemandangan di Desa Tosari sewaktu kami menuju ke Warung Ala Tengger untuk makan tengahari.
Ada ramai pelancong (dipanggil wisatawan dalam Bahasa Indonesia) di Desa Tosari kerana desa ini merupakan pintu masuk ke Taman Nasional Bromo-Tengger-Semeru di mana letaknya Gunung Bromo.
Warung makan ini terletak agak ceruk di belakang rumah pemiliknya.
Menunggu hidangan tengahari dihidangkan di Warung Ala Tengger.
Pemandangan indah dari Warung Ala Tengger di Desa Tosari. Bangunan putih di puncak bukit sana adalah sebuah hotel yang bernama Bromo Cottage.
Pemandangan menghala ke jalan masuk dari Warung Ala Tengger.
Hidangan makanan tengahari yang ringkas tetapi sangat menyelerakan. Pak Iskandar turut bermurah hati menghidangkan petai yang dibeli di Nongko Jajar kepada kami.
Selepas makan tengahari, bermulalah program yang direncanakan ~ menaiki jeep untuk melihat Gunung Bromo. Disebabkan keadaan jalan yang rugged menuju ke Gunung Bromo, jeep adalah satu-satunya kenderaan yang boleh digunakan untuk ke sana. Jeep yang diatur oleh Pak Iskandar datang menjemput kami di Warung Ala Tengger selepas kami selesai makan tengahari.

Pemandu jeep kami, Pak Budi.
Memanjat masuk ke dalam jeep.
Jeep boleh membawa 5 orang penumpang selain dari pemandu. Pak Iskandar duduk di depan dan kami berempat di belakang.
Bergambar di dalam jeep
Desa Tosari
Meninggalkan Desa Tosari menuju ke Gunung Bromo.
Jeep untuk membawa pengunjung ke Gunung Bromo
Ini adalah tempat menyewa jeep kalau datang sendiri ke Gunung Bromo.
Selalunya pengunjung ke Gunung Bromo akan berkunjung di awal pagi untuk menyaksikan pemandangan indah matahari terbit di sana. Namun kami memilih untuk tidak berbuat begitu kerana jika kami memilih Sunrise Tour ini, kami terpaksa bangun seawal jam 3.00 pagi untuk ke sana. Lagipun tak ada jaminan dapat melihat pemandangan indah matahari terbit ini jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, lebih-lebih lagi dalam musim hujan begini. Atas faktor-faktor tersebut, kami memilih untuk melawat ke Gunung Bromo pada waktu tengahari sahaja kerana peluang melihat kawah gunung berapi ini lebih cerah. Tak apalah tak dapat melihat pemandangan matahari terbit yang cantik itu.

Perjalanan naik ke Gunung Bromo.
Semakin tinggi kami mendaki, cuaca semakin berkabus.
Jarak penglihatan juga semakin kurang semakin tinggi kami mendaki. Memang kami membuat pilihan yang tepat tak memilih Sunrise Tour dalam kunjungan ke sini.
Dalam itinerari kami, sebenarnya kami sepatutnya hanya melihat pemandangan Gunung Bromo dari Penanjakan sahaja. Namun keadaan sangat berkabus di Penanjakan ketika itu. Lalu pemandu jeep kami, Pak Budi yang begitu baik hati membawa kami sehingga ke kaki kawah Bromo sendiri.

Sepatutnya, kami hanya menikmati pemandangan Gunung Bromo dari kawasan Penanjakan ini sahaja. Tetapi pemandu kami yang baik hati, Pak Budi telah membawa kami sehingga ke kaki kawah Gunung Bromo.

Part 20: Gunung Bromo 

Bromo sebenarnya adalah loghat Jawa bagi perkataan Brahma, nama sebenar gunung berapi ini sempena nama salah seorang Dewa Utama Hindu. Gunung Bromo kini merupakan gunung berapi yang masih aktif dan paling terkenal sebagai objek wisata di Jawa Timur.

Pemandangan Gunung Bromo yang menakjubkan.
Untuk sampai ke kawah Gunung Bromo,  jeep kami melintasi sebuah padang pasir. Kata Pak Iskandar, jika dalam musim panas, padang pasir ini memang panas dan berdebu. Namun keadaaan ketika itu adalah sebaliknya kerana ketika itu musim hujan.

Padang pasir yang dilalui untuk sampai ke kawah Gunung Bromo.
Gunung Batok yang dilalui sebelum sampai ke Gunung Bromo.
Pemandangan kawah Gunung Bromo dari padang pasir.
Jeep kami berhenti di tengah-tengah padang pasir dan berduyun-duyun pengusaha kuda datang menghampiri kami. Kuda-kuda ini boleh disewa untuk ditunggang sehingga ke kawah Bromo. Namun kami memilih untuk berjalan kaki saja sampai ke barisan gerai-gerai makanan yang menjadi tapak mula pendakian ke Bromo.

Jeep yang membawa pengunjung ke Gunung Bromo akan berhenti di tengah padang pasir. Mungkin ada peraturan begitu untuk memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha kuda mengambil upah membawa pengunjung sehingga ke kawah Bromo.
Pengusaha-pengusaha kuda menghampiri jeep-jeep pengunjung untuk menawarkan khidmat mereka.
Walaupun terpaksa menapak jauh, kami memilih untuk berjalan kaki saja sehingga ke tapak mula pendakian Bromo. Sambil kami berjalan, pengusaha-pengusaha kuda terus mengekori kami untuk menawarkan khidmat mereka.

Gunung Batok ini dikatakan berasal dari tempurung yang terbalik disepak oleh seorang raksasa sakti.
Sebelum sampai ke kawah Bromo, kami berjalan melintasi Gunung Batok yang sangat cantik. Gunung ini sering diabadikan dalam poster-poster promosi Bromo.  Gunung ini merupakan satu-satunya gunung mati atau tidak aktif yang terletak di kawasan ini.

Dalam bahasa Jawa, Batok berarti "tempurung kelapa". Penduduk Tengger yang tinggal di kawasan ini percaya bahawa Gunung Batok terbentuk dari tempurung kelapa yang ditendang oleh Resi Bima, seorang raksasa sakti, setelah gagal memenuhi syarat yang diajukan Rara Anteng untuk memperisterinya.

Gerai di depan sana adalah tapak mula pendakian ke Kawah Gunung Bromo. Jauh kan kami berjalan?
Kami diberitahu, penduduk di sekitar Gunung Bromo ini beragama Hindu. Kerana itulah terdapat sebuah Pura Hindu di sini. Kawasan Jawa Timur ini juga sebenarnya tak begitu jauh dari Pulau Bali. Oleh yang demikian, amalan mereka tak jauh berbeza dengan penduduk di Pulau Bali. Namun begitu, satu adat penduduk di sini yang berbeza dengan masyarakat Hindu di Pulau Bali ialah mereka menanam mayat penganut yang meninggal dunia sedangkan di Bali, mayat-mayat ini akan dibakar sehingga menjadi abu.

Pura di kaki Gunung Bromo.
Pemandangan dekat Pura.
Akhirnya tiba juga di "Base Camp" pendakian ke Bromo.
Akhirnya setelah berjalan mungkin sejauh 1 km, kami tiba di kawasan gerai makan. Di sini, pengusaha-pengusaha kuda semakin galak memujuk kami menggunakan perkhidmatan mereka. Namun mengenangkan betapa gayatnya pengalaman naik kuda sewaktu melawat ke India dulu, Myself dan Husband bertekad untuk berjalan saja naik ke puncak Bromo. Abang Ipar dan Kakak Ipar walau bagaimanapun berhenti setakat ini sahaja. Mereka tidak mengikut kami naik ke atas sana.

Ayuh, menapak lagi sehingga ke puncak sana!
Pendakian naik ke kawah Bromo tak semudah yang dijangkakan. Walaupun ada laluan disediakan untuk hiking ke atas sana, jalannya tak rata dan curam. Di samping itu, kita juga terpaksa mengelak dari terpijak tahi kuda sepanjang perjalanan. Ini mengingatkan kami kepada pengalaman berjalan masuk ke Taj Mahal di India di mana sepanjang jalan, kami terpaksa berhati-hati mengelak dari terpijak tahi unta.

Udara yang nipis pada ketinggian begini juga menyebabkan kita cepat penat. Mula-mula dapat juga berjalan 20 minit sebelum membuat Pit Stop. Lepas tu, setiap 10 minit terpaksa berhenti untuk mengambil nafas. Tercungap-cungap jugalah kami (terutamanya Myself) sehingga sampai ke atas.

Berjalan naik menuju ke kawah Gunung Bromo.
Pemandangan puncak kawah Gunung Bromo di atas sana sangat mengujakan. Tapi, tak boleh pandang ke atas selalu sebab takut terpijak tahi kuda yang banyak sekali sepanjang perjalanan.
Pengusaha kuda masih tak putus asa mengikut kami sambil memujuk menggunakan khidmat mereka. Lepas Husband mereka-reka cerita yang dia trauma naik kuda sebab pernah jatuh dari kuda yang sedang dituntun, barulah pengusaha kuda mengalah dan meninggalkan kami. Pandai betul Husband bercerita dengan penuh expression kepada pengusaha kuda tu! Cerita pun cakap Bahasa Indon lagi...

Pemandangan Gunung Batok sangat menakjubkan dari sudut ini.
Pemandangan "Base Camp" yang kami tinggalkan di bawah sana.
Membuat Pit Stop dalam pendakian ke Bromo. Masa ni, kalau ada tahi kuda sekali pun kat tempat tu, Myself tetap nak duduk juga!
Walaupun Myself membuat Pit Stop dalam pendakian ke Bromo, Husband tetap berjalan-jalan tak nak duduk diam. Dia kata dia akan lebih penat kalau dia duduk buat Pit Stop.
Masih jauh lagi nak sampai ke sana!
Seronok tengok Pakcik ni menunggang kuda dengan gaya Koboi naik ke atas.
Akhirnya, setelah berjalan hampir sejam termasuk dengan membuat beberapa Pit Stop, kami tiba di Viewing Point yang terletak betul-betul di kaki kawah gunung berapi. Bagi yang menunggang kuda, khidmat kuda juga berakhir di sini.

Pemandangan di Viewing Point di kaki kawah gunung berapi.
Tangga naik ke kawah Bromo dari Viewing Point.
Dari Viewing Point ini ada sebuah tangga yang curam untuk naik ke kawah gunung berapi. Disebabkan terlalu letih, pada mulanya Myself dah cakap kat Husband yang Myself cuma nak stop di sini saja. Tapi lepas berehat seketika, rasa rugilah pulak tak naik ke atas sana sementara dah sampai sehingga ke sini. Atas galakan dan semangat yang diberikan oleh Husband, Myself akhirnya mengikut dia naik ke atas.

Sewaktu kami mula nak naik, kami bertembung dengan seorang budak perempuan yang baru turun dari atas sana dengan ibunya. Budak ini bersama ibunya mengira dengan kuat bilangan anak tangga dari atas sampai ke bawah. Jadi, secara tak langsung kami mendapat tahu yang terdapat 242 anak tangga yang perlu didaki untuk sampai ke atas sana.


Ada 242 anak tangga yang perlu didaki untuk sampai ke kawah gunung berapi. Sepanjang tangga ini ada disediakan 3 Pit Stop untuk pengunjung melepaskan lelah.
Bergambar di pertengahan jalan naik ke kawah Gunung Bromo. Nasib baik tak nampak dalam gambar yang masa ni sebenarnya tengah tercungap-cungap menarik nafas.
Pemandangan salah sebuah Pit Stop tangga naik ke Bromo.
Tangga yang telah didaki setakat ini (pemandangan dari Pit Stop).
Pemandangan kawah Gunung Berapi Bromo sangat menakjubkan. Tidak seperti kawah gunung berapi Tangkuban Parahu yang pernah kami lihat di Bandung, kawah Bromo sangat jauh ke dalam sehingga yang dapat dilihat cuma asap lahar yang berkepul-kepul naik ke atas.

Kawah Gunung Bromo
Pengunjung-pengunjung menangkap gambar kawah gunung berapi. Yang nak berselfie dengan kawah gunung pun ramai.
Memang bangga rasanya bila berjaya sampai ke puncak kawah Gunung Bromo. Tapi kami tak boleh berlama-lama di sana kerana hujan renyai mula turun ketika itu. Memikirkan yang perjalanan kami kembali ke "Base Camp" masih jauh, kami cepat-cepat turun ke bawah. Mujur juga Husband ada baju hujan dan Myself pula ada payung, jadi dapatlah juga kami berlindung dari kebasahan.

Disebabkan Myself banyak membuat Pit Stop dalam pendakian tadi, terasa kaki ini sangat gagah sewaktu turun ke bawah. Tapi lain halnya pulak dengan Husband. Sebaik selamat turun tangga dari puncak kawah, dia komplen kata lututnya dah longgar. Dia pulak yang banyak membuat Pit Stop masa nak turun. 

Turun dari puncak Bromo. Ketika ini hujan renyai sedang turun.
Kaki Husband dah longgar selepas dah selamat sampai ke bawah dari kawah Gunung Bromo.
Sewaktu kami sedang berjalan pelan-pelan balik ke "Base Camp" di mana Abang Ipar dan Kakak Ipar sedang menunggu bersama Pak Iskandar, Myself mendapat panggilan telefon dari Indonesia Air Asia. Ada line telefon kat sini rupanya! Pegawai Indonesia Air Asia yang menghubungi memaklumkan bahawa jadual penerbangan pulang kami ke Kuala Lumpur yang sepatutnya berlepas pada pukul 12.40 tengahari telah ditukarkan ke pukul 6.20 petang. Aduh, lewatnya! 

Myself telah meminta supaya kami pulang dengan penerbangan lebih awal. Pegawai Indonesia Air Asia tersebut bersedia untuk membantu tapi disebabkan kami tak mempunyai maklumat tiket Abang Ipar dan Kakak Ipar untuk ditukarkan bersekali dengan kami, pegawai tersebut berjanji untuk menghubungi kami semula 2 jam dari masa tersebut.

Selepas berbincang lebih kurang dengan pegawai Air Asia tersebut, kami meneruskan perjalanan turun. Tak seperti perjalanan naik yang memakan masa hampir satu setengah jam, perjalanan menurun ni cuma memakan masa setengah jam saja.

Hujan pun semakin lebat ketika itu. Masa ini barulah terfikir betapa bahayanya kalau kami berada di puncak kawah sewaktu hujan lebat. Kalau ada kilat, lagilah merbahaya kerana kilat akan menyambar objek paling tinggi di sesuatu tempat dan kita adalah objek paling tinggi di kawah Gunung Bromo kalau ia berlaku. 

Mujurlah Jeep datang mengambil kami dari "Base Camp" sendiri. Tak perlulah kami berjalan lagi dalam hujan sehingga ke penghujung padang pasir seperti waktu kedatangan tadi.

Pulang ke Desa Tosari.
Disebabkan hujan lebat, cuaca menjadi sangat berkabus dalam perjalanan kami pulang ke Desa Tosari. Jalan raya juga menjadi sangat licin dan merbahaya. Myself kemudiannya bertanya kepada Pak Iskandar, adakah keadaannya juga begini bagi pengunjung-pengunjung yang memilih Sunrise Tour? Kata Pak Iskandar, jalan ini lebih bahaya bagi pengunjung Sunrise Tour kerana keadaan sekeliling yang sangat gelap di waktu subuh.

Pak Iskandar seterusnya bercerita yang 3 hari sebelum kami tiba, dia telah membawa sekumpulan pelancong dari Singapura membuat Sunrise Tour di Gunung Bromo. Mereka bertolak dari hotel seawal pukul 1.00 pagi. Namun disebabkan ketika itu hujan lebat seperti yang kami alami ketika itu, suasana sekitar sangat berkabus dan matahari "malu-malu" untuk muncul, kata Pak Iskandar. Dia berpandangan, kami lebih bertuah dari mereka ketika itu kerana dapat melihat kawah Bromo walaupun tak dapat menikmati keindahan matahari terbit.


Perjalanan balik ke Desa Tosari sangat merbahaya kerana jalan berkabus dan licin.
Tiba kembali ke Desa Tosari.

Part 21: Tanggulangin 

Selepas meninggalkan Bromo, kami kembali ke Surabaya. Ketika ini juga Pak Iskandar memberitahu yang pesawat Air Asia yang hilang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura telah disahkan terhempas di Laut Jawa dan mayat 3 penumpang telah berjaya ditemui. Begitulah takdir mereka. Mudah-mudahan perjalanan pulang kami ke Kuala Lumpur esok dipermudahkan dan diberi keselamatan oleh Allah SWT.

Dalam perjalanan ke Surabaya, kami dijadualkan singgah di Tanggulangin yang terkenal dengan produk hasil kulitnya. Seperti yang dijanjikan, pegawai Indonesia Air Asia yang begitu membantu itu telah menghubungi kami semula sewaktu kami dalam perjalanan ke Surabaya. Kami meminta untuk ditukarkan ke penerbangan pulang ke Kuala Lumpur yang berlepas dari Surabaya pada pukul 9.20 pagi. Mujurlah masih ada kekosongan 4 tempat duduk dalam pesawat itu. Namun begitu, kami diminta untuk Check-in semula kerana Boarding Pass lama telah dibatalkan bagi membolehkan kami berpindah ke penerbangan baru.

Kami melalui beberapa buah bandar dalam perjalanan dari Desa Tosari menuju ke Surabaya. Namun susah nak memastikan di bandar mana kita berada di Indonesia ini kerana tidak seperti di Malaysia, tidak ada papan tanda nama bandar dipasang di sempadan bandar. Kalau nak tahu kita kini sedang berada di bandar mana kenalah perhatikan alamat-alamat yang tertulis pada signboard kedai-kedai di bandar.

Salah sebuah pekan yang dilalui dalam perjalanan ke Surabaya.
Pemandangan tipikal di bandar-bandar di Jawa Timur.
Semakin mendekati Surabaya, semakin banyak pemandangan landasan keretapi begini.
Sebuah keretapi yang sedang lalu.
Salah sebuah lintasan keretapi yang dilalui.
Kami tiba di Tanggulangin pada lewat petang itu. Memandangkan waktu Asar dah hampir tamat, kami bersolat jamak Zohor dan Asar dulu di Musholla yang terdapat di sana.

Musholla terbuka dan Tandas Awam di Tanggulangin
Ruang Musholla yang terbuka dan sangat bersih. Myself perhatikan di Indonesia, ada banyak Musholla yang terbuka begini untuk kegunaan awam.
Kolam air di antara tandas dan Musholla untuk membersih kaki sebelum masuk ke Musholla. Ini juga satu konsep yang selalu digunakan di Indonesia.
Dah selesai bersolat, barulah kami melawat sebuah pusat barangan kulit yang cukup besar di sini. Nama pusat tersebut ialah Permata Tanggulangin. Kata Pak Iskandar, pusat ini sangat popular dengan pelancong dari Malaysia, Singapura dan Brunei. Myself bukanlah seorang peminat barangan kulit, tetapi tetap tertarik melihat rekaan-rekaan barangan kulit yang sangat menarik di sini. Harganya pula jauh lebih murah dari barangan kulit di Malaysia.

Pusat jualan barangan kulit Permata Tanggulangin.
Pintu masuk utama ke Permata Tanggulangin
Pemandangan di dalam Permata Tanggulangin
Barangan kulit yang dijual sangat menarik dan harganya sukar dipercayai.
Membeli beg tangan kulit di Permata Tanggulangin
Gerai-gerai makan di Tanggulangin.

Part 22: Surabaya 

Bila hari mula gelap (jam 6 petang ~ matahari terbenam awal di Jawa Timur), kami meneruskan perjalanan ke Surabaya. Surabaya adalah sebuah kota yang besar dan moden di Indonesia. Jadi, kemeriahan kota Surabaya jelas terserlah di waktu malam.


Kesesakan malam di Surabaya
Pusat Membeli-belah Royal Plaza di Surabaya.
Gedung Carrefour di Surabaya. Ada juga kami temui sebuah pasaraya Giant yang sangat besar, tapi tak sempat nak ambil gambar.

WARUNG JAVANA 

Tiba saja di Surabaya, kami dibawa makan malam di Warung Javana yang menghidangkan masakan seafood. Seperti juga di restoran-restoran lain yang kami kunjungi di Jawa Timur ini, makanannya memang menyelerakan walaupun masakannya nampak simple.


Restoran Javana di Surabaya
Pintu masuk ke Restoran Javana
Pemandangan di dalam Restoran Javana
Hidangan seafood untuk makan malam.
Restoran Javana ini besar dan cocok untuk Arisan (Perkumpulan Keluarga), Ultah (Ulang Tahun), Rapat (Perhimpunan), Seminar dsb. Maksud perkataan-perkataan ini diterangkan kepada kami oleh pemandu kami, Agus.

HOTEL IBIS CITY CENTRE SURABAYA 

Perjalanan kami Hari Kelima ini bermula dari Hotel Ibis di Malang dan berakhir di sebuah lagi Hotel Ibis di Surabaya. Setelah selesai semua program hari ini barulah kami dihantar ke hotel penginapan kami, Hotel Ibis City Centre Surabaya. Myself perhatikan hiasan Hotel Ibis ini di mana-mana juga memang berkonsep moden.


Hotel Ibis City Centre Surabaya
Pemandangan di depan Hotel Ibis City Centre Surabaya.
Hotel Ibis City Centre di Surabaya ini lebih besar dari Hotel Ibis yang menjadi penginapan kami di Malang. Walaupun hari itu merupakan hari terakhir bagi kami di Surabaya, kami hanya berehat saja di hotel pada malam itu kerana kami perlu keluar awal pada pagi esok untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Lobi di Hotel Ibis City Centre Surabaya.
Kaunter Pendaftaran di Hotel Ibis City Centre Surabaya
Restoran di Hotel Ibis City Centre Surabaya.
Sudut komputer di lobi Hotel Ibis City Centre Surabaya.
Lorong menuju ke bilik penginapan.
Bilik tidur yang luas dan selesa di Hotel Ibis City Centre Surabaya.


Bersambung ke Bhg. 9 ...


CATATAN PERJALANAN JAWA BARAT & JAWA TIMUR, INDONESIA (2014):