Saturday, 27 December 2014

2014 JAWA BARAT & JAWA TIMUR BHG. 03 (Subang 2)

Disember 2014

JAWA BARAT & JAWA TIMUR, INDONESIA
Subang, Malang & Bromo

Bahagian 3: Subang (2)

MAJLIS PERKAHWINAN SUNDA (2)

HARI KEDUA (2)

Part 5: Majlis Perkahwinan Sunda (2/2) 

Majlis perkahwinan dimulakan dengan ucapan aluan dari pengacara majlis. Oleh kerana keluarga Pengantin Lelaki berasal dari Malaysia, tuan pengacara majlis turut memberi sedikit penjelasan tentang adat perkahwinan di sini.

Mengikut pengacara majlis, terdapat 1,128 suku kaum di Indonesia dan suku Sunda adalah salah satu di antara mereka. Majlis perkahwinan ini diadakan mengikut adat suku kaum Sunda.

Pengacara Majlis memulakan acara.
Mengikut tuan pengacara majlis, terdapat 1,128 suku kaum di Indonesia dan bahagian Jawa Barat di Subang ini didiami sebahagian besarnya oleh kaum Sunda.
Wakil dari keluarga kedua-dua belah pengantin kemudiannya dijemput untuk memberikan ucapan. Oleh kerana Pengantin Lelaki dulunya belajar di sebuah sekolah agama di Indonesia, salah seorang guru dari sekolah tersebut telah dijemput untuk mewakili keluarga kami. Maklumlah, kalau kita sendiri yang bercakap di depan sana, takut orang-orang di sana tak faham apa yang diperkatakan. Walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia nampak sama, ia sebenarnya tak sama.

Wakil keluarga Pengantin Lelaki yang memberi ucapan adalah bekas guru Pengantin Lelaki sewaktu bersekolah di Indonesia.
Wakil keluarga Pengantin Perempuan yang memberi ucapan adalah Datuk kepada Pengantin Perempuan.
Pengacara Majlis sedang mengusik Pengantin Lelaki setelah wakil keluarga dari kedua-dua belah pihak selesai memberi ucapan.
Ibu kedua-dua pengantin kemudiannya dijemput untuk bertukar cenderamata. Pihak Pengantin Lelaki menyerahkan Bunga Pahar kepada keluarga Pengantin Perempuan sebagai cenderamata dari kami.

Ibu-ibu kepada Pengantin sedang bertukar cenderamata.
Pengantin Perempuan kemudiannya dibawa keluar dari rumah untuk dipertemukan dengan bakal suaminya.

Pengantin Perempuan dibawa keluar untuk dipertemukan dengan bakal suaminya.
Pengacara Majlis sedang mengusik Pengantin Perempuan.
Acara seterusnya ialah Majlis Pernikahan. Acara ini diadakan di Masjid Al-Kautsar yang terletak tidak jauh dari rumah keluarga Pengantin Perempuan.

Pengantin Perempuan mencium tangan bakal suaminya mengikut adat orang di sana sebelum bergerak ke masjid untuk upacara pernikahan.
Berjalan menuju ke Masjid untuk upacara pernikahan.
Pengantin Lelaki dan Pengantin Perempuan tidak berjalan beriringan menuju ke Masjid. Pengantin Perempuan berjalan di hadapan diikuti oleh Pengantin Lelaki dengan diiringi ibu dan bapa masing-masing dan tetamu lain yang mengikut di belakang.

MAJLIS PERNIKAHAN 

Majlis Pernikahan diadakan di Masjid Al-Kautsar yang terletak tidak jauh dari rumah keluarga Pengantin Perempuan.

Masjid Al-Kautsar di mana upacara pernikahan dilaksanakan.
Pengantin Lelaki dan Pengantin Perempuan mengambil tempat di depan Kadi yang akan menikahkan mereka.
Upacara pernikahan dimulakan dengan bacaan kitab suci Al Quran yang dilakukan oleh Datuk kepada Pengantin Perempuan.

Datuk Pengantin Perempuan sedang membaca surah dari Al-Quran sebelum upacara pernikahan dimulakan.
Kedua-dua Pengantin dipakaikan dengan selendang panjang yang menutupi kepala mereka sewaktu upacara pernikahan berlangsung.
Nampak macam adegan dalam Sinetron dari sudut ini.
Tetamu lelaki yang menyaksikan upacara pernikahan.
Tetamu wanita yang hadir ke Majlis Pernikahan.
Pengantin Perempuan sedang membuat perakuan kesediaan untuk bernikah. Kalau kat Malaysia, pengantin perempuan tak bercakap dengan mikrofon begini.
Skrip pengakuan nikah dalam Bahasa Sunda dan Bahasa Indonesia yang diletakkan di atas meja di depan pengantin.
Pengantin Perempuan dinikahkan sendiri oleh bapanya.
Dengan sekali lafaz, Mohd. Fajar dan Siti Nurlaela Hanifah sah menjadi suami isteri.
Acara seterusnya ialah menyarung cincin. Acara ini juga agak berbeza dengan yang biasa kita lihat di Malaysia kerana ia dilaksanakan dengan kedua-dua pengantin sedang berdiri.

Bersedia untuk upacara menyarung cincin.
Pengantin lelaki sedang menyarung cincin ke jari isterinya.
Pengantin perempuan mencium tangan suaminya setelah selesai upacara menyarung cincin.
Upacara pernikahan ini berakhir apabila Kadi menyerahkan buku pengesahan nikah kepada kedua-dua pengantin.

Kadi menyerahkan buku pengesahan nikah kepada kedua-dua pengantin.
Pengantin menunjukkan buku pernikahan mereka kepada tetamu yang hadir.
Gambaran dekat buku pengesahan nikah.
Setelah upacara di Masjid selesai, kedua-dua pengantin berjalan bersama-sama balik ke rumah untuk majlis resepsi dengan diiringi tetamu yang lain.

Selesai sudah upacara pernikahan di Masjid Al-Kautsar
Berjalan balik ke rumah pengantin perempuan untuk Majlis Resepsi.
Pasukan kompang yang mengiringi pengantin balik ke rumah.
Lorong dari masjid menuju ke rumah Pengantin Perempuan.
Tiba di rumah Pengantin Perempuan.

MAJLIS RESEPSI 

Setibanya kembali ke  rumah Pengantin Perempuan, kedua-dua ibu dan bapa pengantin yang didudukkan di atas pelamin yang dibina di dalam khemah.

Pengantin tiba ke khemah resepsi.
Ibu kepada kedua-dua pengantin didudukkan di tengah-tengah pelamin untuk upacara seterusnya. Bapa kepada kedua-dua pengantin pula duduk di kedua-dua penghujung pelamin.
Kedua-dua pengantin kemudiannya bersalaman dan memohon maaf dan restu daripada kedua-kedua ibu dan bapa dari kedua-dua belah pihak. Upacara ini disertai dengan nyanyian dari seorang penyanyi gamelan wanita yang menyanyi dengan begitu mendayu-dayu sehingga ibu kedua-dua pengantin menitiskan air mata.

Kedua-dua pengantin memohon maaf dan restu dari ibu masing-masing.
Kedua-dua ibu tidak dapat menahan sebak dalam upacara ini.
Pengantin lelaki sedang dipeluk oleh ayahnya.
Pengantin Perempuan dipeluk oleh ayahnya.
Penyanyi gamelan yang menyanyi dengan mendayu-dayu sewaktu kedua-dua pengantin memohon maaf dan restu dari ibu dan bapa di atas pelamin.
Kedua-dua pengantin kemudiannya dibawa turun dari pelamin dan duduk di bawah. Sementara itu, ibu dan bapa kedua-dua pengantin kekal berdiri di atas pelamin.

Pengantin dibawa turun dari pelamin.
Ibu dan bapa kedua-dua pengantin kekal berdiri di atas pentas.
Myself dan ahli-ahli rombongan lain terus duduk di khemah selepas selesai upacara ini. Kami agak kehairanan kerana dengan tiba-tiba tetamu tempatan yang hadir bangun merapat menuju ke pentas. Rupa-rupanya, upacara seterusnya adalah ibu dan bapa kedua-dua pengantin akan menabur campuran beras, gula-gula dan duit siling 500 Rupiah kepada tetamu yang hadir.

Bersedia untuk upacara seterusnya.
Campuran beras, gula-gula dan duit syiling 500 Rupiah dibaling oleh ibu dan bapa pengantin untuk meraikan tetamu yang hadir.
Para tetamu dewasa dan kanak-kanak berebut-rebut mengutip gula-gula dan duit syiling yang ditaburkan
Inilah acara yang paling meriah dalam Majlis Perkahwinan ini.
Makcik Tua ini pun tak ketinggalan mencari duit siling yang ditaburkan.
Duit syiling 500 Rupiah yang bernilai lebih kurang 15 sen duit Malaysia.
Acara seterusnya ialah upacara seperti "Makan Beradap" di Malaysia. Kedua-dua pengantin dibawa semula untuk duduk di atas pelamin.

Majlis dimulakan dengan ibu kedua-dua pengantin menyuapkan makanan ke mulut anak masing-masing.
Kemudian kedua-dua bapa pula memberi minuman kepada anak masing-masing.
Kemudian barulah upacara "Makan Beradap" sebenar dilaksanakan. Upacara ini juga unik kepada kita yang berasal dari Malaysia.

Mula-mula cuma makanan kecil sahaja diberi kepada pengantin untuk disuapkan kepada pasangan.
Macam upacara yang selalu dibuat di Malaysia. Cuma bezanya, kalau di Malaysia, acara ini tak dibuat di atas pelamin. Sebaliknya ia dibuat di Meja Makan Pengantin.
Berkongsi makan kepingan ayam. Yang ini pun fun, sebab kedua-dua pengantin perlu berebut gigit ayam untuk tengok siapa dapat kepingan ayam yang lebih besar.
Nampaknya isteri yang menang.
Sesuatu yang kami perhatikan dalam adat Majlis Perkahwinan Sunda ini ialah ibu dan bapa tidak dipinggirkan langsung sepanjang upacara berlangsung. Bukan setakat pengantin sahaja yang duduk di pelamin, ibu dan bapa kedua-dua pengantin juga perlu duduk di pelamin sepanjang acara majlis.

Ibu dan bapa Pengantin Lelaki sentiasa duduk di sebelah kanan pelamin sepanjang majlis.
Ibu dan bapa Pengantin Perempuan pula duduk di sebelah kiri pentas di sepanjang majlis, dekat dengan kek perkahwinan.
Pasangan Pengantin dan kedua ibu bapa mereka tidak turun langsung dari pelamin sepanjang Majlis berlangsung. Semua tetamu yang hadir kemudiannya dijemput naik ke pelamin untuk bersalaman dengan pengantin dan juga kedua ibu dan bapa mereka.

Para tetamu naik ke pelamin untuk bersalaman dengan Pengantin dan ibu bapa mereka.
Bersalam dengan Pengantin.
Mengambil kesempatan bergambar dengan Pengantin sewaktu bersalam dengan mereka di atas pelamin.
Bergambar dengan ibu dan bapa Pengantin Lelaki di atas pelamin.
Selain Pengantin dan kedua ibu bapa mereka yang kekal duduk di atas pelamin sepanjang majlis, penyanyi dan penari gamelan juga tidak putus-putus membuat persembahan di satu pentas yang disediakan untuk mereka di sudut khemah sepanjang majlis. Sewaktu duduk-duduk di bawah khemah, Husband sempat berbual dengan seorang photographer yang dilantik oleh keluarga pengantin perempuan. Husband cukup terperanjat bila diberitahu Majlis yang kami hadiri ini sebenarnya sangat simple mengikut Adat Sunda. Kalau majlis yang tak simple, bagaimana pula agaknya?

Pentas persembahan gamelan di sudut khemah.
Nyanyian Gamelan
Tarian Gamelan

JAMUAN MAKAN TENGAHARI 

Selesai upacara adat, tetamu ke Majlis Perkahwinan dijemput untuk jamuan makan tengahari. Jamuan makan disediakan secara buffet. Malaysia dan Indonesia negara serumpun, jadi banyak makanan yang dihidangkan tampak sama dengan masakan Malaysia tetapi rasanya memang tak sama.

Seperti kebanyakan majlis di Malaysia, hidangan makan tengahari disediakan secara buffet.
Sekali imbas, makanan yang disediakan macam masakan yang biasa dilihat di Malaysia. Namun begitu, rasa masakannya tak sama.
Masakan Indonesia yang kami temui rata-ratanya kering dan tidak berkuah seperti kebanyakan masakan di Malaysia.
Ais kerim turut disajikan sebagai pencuci mulut.
Satay Ayam
Pemandangan khemah hidangan buffet.
Buah-buahan.
Kami tak pasti tandan pisang ini disediakan untuk dimakan atau sebagai hiasan.
Sesuatu yang dilihat di sini ialah mengikut adat Sunda, tiada meja makan disediakan untuk tetamu seperti majlis perkahwinan di Malaysia. Semua tetamu mengambil makanan dan makan di kerusi-kerusi yang disediakan.

Tiada meja makan disediakan untuk para jemputan. Semua jemputan makan di kerusi yang disediakan di bawah khemah.
Berposing sebelum makan tengahari.
Hidangan makan tengahari.
Hidangan untuk pengantin pun tak disediakan mengikut adat di sana. Pengantin juga makan hidangan buffet yang disediakan, tapi mereka hanya boleh makan selepas kebanyakan tetamu telah pulang.

Malah sewaktu kami sedang menikmati makan tengahari, kedua-dua pengantin serta ibu dan bapa mereka masih kekal di atas pelamin menerima ucapan selamat dari tetamu-tetamu yang hadir.

Pengantin beserta kedua-dua ibu dan bapa mereka masih di pelamin menerima ucapan selamat dari para tetamu yang baru tiba sewaktu kami makan tengahari.
Persembahan Gamelan juga terus berlangsung sewaktu para tetamu menjamu selera makan tengahari.