Ogos 2014
TURKEY
Istanbul & Sanliurfa
Bahagian 12: Şanlıurfa (2)
EYYÜP PEYGAMBER & ŞANLIURFA OLD CITY
Part 37: Eyyüp Peygamber
Selain dari Nabi Allah Ibrahim AS, Şanlıurfa juga menjadi tempat kediaman Nabi Allah Ayub AS. Menyedari akan tujuan kedatangan kami ke Şanlıurfa adalah untuk melawat jejak para Rasul, Abdulbaki bermurah hati membawa kami ke Eyyüp Peygamber yang merupakan tempat kediaman Nabi Ayub AS pada masa dahulu walaupun ia tiada dalam itinerari kami.
|
Eyyüp
Peygamber adalah kawasan sejarah Nabi Ayub AS. manakala Balıklı Göl
pula adalah kawasan sejarah Nabi Ibrahim AS yang terdapat di Şanlıurfa. |
Nabi Ayub AS. adalah seorang kaya yang banyak hartanya. Kekayaannya meliputi unta-unta yang sihat, hamba sahaya, binatang ternakan dan
tanah-tanah yang luas di Negeri Harran.
Iblis berusaha untuk menggoda Nabi Ayub agar beliau melupakan Tuhan namun tidak berjaya.
Dengan kecewa dan putus asa, Iblis mengatakan kepada Allah yang Nabi Ayub
boleh taatkan Allah kerana dia kaya, punyai banyak anak dan sihat
sejahtera. Maka Allah ingin buktikan kepada Iblis bahawa Nabi Ayub AS.
adalah benar-benar hamba-Nya, lalu dia diuji.
|
Pemandangan di Eyyüp Peygamber. |
|
Masjid di Eyyüp Peygamber ini didirikan di kawasan kediaman Nabi Ayub dahulu. |
|
Pintu masuk ke Masjid Eyyüp Peygamber. |
Allah memberi ujian kepada Nabi Ayub dengan kematian anak-anaknya dan
memusnahkan harta kekayaannya. Selain itu, dia terkena bermacam-macam
penyakit, sampai tidak ada anggota tubuhnya yang sihat, kecuali
jantung/hati dan lidahnya yang selalu berzikir kepada Allah Azza wa
Jalla.
Namun demikian Nabi Ayub tetap bersabar dan berzikir kepada Allah
setiap ketika. Nabi Ayub menderita sakit selama 18 tahun. Tidak ada seorangpun yang menjenguknya, kecuali isterinya,
Siti Rahmah yang setia menunggunya dengan penuh kasih sayang, membantu
memenuhi segala keperluannya.
|
Pemandangan kawasan Masjid Eyyüp Peygamber |
Isterinya tetap bersabar. Tetapi bila
keadaan sangat mengujinya dia berkata: “Hai Ayub, seandainya engkau
berdoa kepada Tuhanmu, niscaya Dia akan membebaskanmu". Ayub menjawab:
“Aku telah hidup 70 tahun dalam keadaan sihat, sedangkan sakitku ini
hanya baru beberapa tahun, aku malu dengan Tuhanku.”
Pernah, isterinya tidak mempunyai apa-apa untuk membeli
makanan, sehingga dia terpaksa bekerja dengan orang untuk mendapatkan upah,
demi menyediakan makanan kepada suaminya. Oleh kerana itu dia terlambat
datang kepada suaminya. Nabi Ayub AS. bersumpah akan memukulnya 100 kali.
Semua itu adalah ujian keyakinan kepada Siti Rahmah bahawa suaminya
adalah pesuruh Allah.
Sewaktu beliau sakit, Nabi Ayub mengasingkan diri untuk tinggal di dalam sebuah gua. Gua ini kini terletak di dalam kawasan Masjid dan tidak putus-putus dikunjungi orang ramai yang ingin mendekati sejarah beliau.
Disebabkan kami tidak mempunyai banyak masa di Eyyüp Peygamber ini, kami hanya melihat gua tempat tinggal Nabi Ayub dari luar sahaja.
|
Sewaktu beliau sakit, Nabi Ayub telah mengasingkan diri ke dalam sebuah gua di kawasan masjid ini. Bangunan ini didirikan untuk menandakan kedudukan gua tersebut. |
|
Pintu masuk ke Gua Nabi Ayub |
|
Gua kediaman Nabi Ayub ini boleh dikunjungi, tetapi ruang masuknya sangat sempit dan sesak dengan pengunjung. |
Allah SWT berfirman dalam Al-Quran surah Al-Anbiya (83-84) : “Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika dia menyeru Tuhannya:
“(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah
Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang. Maka Kami pun
memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada
padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat
gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk
menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah".
Dalam surah Shad Ayat 41-42 pula Allah berfirman:
“Ceritakan riwayat hamba Kami Ayub ketika berseru kepada
Tuhannya: “Aku ditimpa kepayahan dan penyakit yang disebabkan syaitan.”
Maka Allah berfirman kepadanya: "Hentakkanlah kakimu di bumi, niscaya
timbul air yang sejuk untuk mandi dan minum.”
Telaga Nabi Ayub ini terletak tidak jauh dari gua kediamannya. Air dari telaga ini dikatakan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Untuk keselamatan, telaga ini kini telah ditutup oleh Kerajaan Turki dan air dari telaga ini disalurkan ke paip berhampiran untuk kegunaan orang ramai.
|
Untuk keselamatan, telaga Nabi Ayub ini telah ditutup dan air dari telaga ini disalurkan ke paip yang berhampiran. |
|
Pemandangan dekat telaga yang telah ditutup. |
Disebabkan
kami agak tergesa-gesa dan tak dapat berada lama di sini, Myself dan
Husband terlupa nak ambil gambar paip air ke mana air telaga ini
disalurkan. Mujur jumpa gambar kat internet untuk ditunjukkan di blog
ini.
|
Air dari Telaga Nabi Ayub disalurkan ke paip air ini untuk kegunaan umum. Orang tempatan percaya air dari telaga ini dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. |
|
Kisah Telaga Nabi Ayub diceritakan di sini. |
Apabila sembuh, Nabi Ayub perlu menunaikan sumpahnya
terhadap isterinya yang solehah, maka Allah ringankan dengan menyuruh
Nabi Ayub mengambil seikat tali jerami yang mempunyai 100 batang dan
memukulkannya sekali pukulan sahaja lalu dikira sama dengan 100 pukulan. Maka, terlaksanalah sumpahnya. Tuhan ada jalan bagi
setiap masalah hamba-hambaNya.
|
Kisah Nabi Ayub diceritakan di sini. |
Part 38: Kota Lama Şanlıurfa
Şanlıurfa diberi gelaran "Kota Nabi-Nabi" (City of the Prophets). Nama lamanya adalah Edessa. Penduduk kota ini berjumlah kira-kira 500,000 orang yang sebahagian besarnya berketurunan Kurdish dan Arab.
Sebelum tiba ke sini, Myself bayangkan Şanlıurfa sebagai sebuah bandar kecil yang mungkin kurang maju. Tapi sangkaan ini meleset setelah sampai ke sini. Şanlıurfa sangat moden dan maju. Pemandangan dan sejarah yang terdapat di sini juga menarik. Tak tahu kenapa bandar ini hampir tidak ada dalam peta pelancongan Turki.
Walaupun kedudukannya sangat hampir dengan sempadan Syria, ia sangat tenang dan selamat. Jika di Istanbul kami dapat melihat ramai pelarian dari Syria yang melarat di sana-sini, kami tidak nampak pengemis ataupun pelarian-pelarian dari Syria seperti itu di sini. Perkara ini sedikit-sebanyak menimbulkan kehairanan kepada kami.
|
Pemandangan di Pusat Bandar Şanlıurfa |
|
Muzium Arkeologi Şanlıurfa. |
|
Tanah perkuburan yang besar di tengah bandar Şanlıurfa |
|
Tapak perkuburan ini terletak di atas bukit. |
|
Shopping Mall yang besar dan moden di Şanlıurfa. Ada sebuah hotel 4 bintang berdekatan dengan Shopping Mall ini. |
|
Pemandangan kota lama Şanlıurfa |
|
Kesan-kesan peninggalan rumah kediaman penduduk purba di Şanlıurfa. |
|
Kata
Abdulbaki, tapak kesan runtuhan ini baru saja dimiliki oleh Kerajaan
Turki kerana sebelum ini ada rumah-rumah yang didiami oleh penduduk
tempatan di sini. Usaha untuk memindahkan mereka baru berjaya
sekarang, setelah sekian lama Kerajaan Turki berusaha. |
Kami perhatikan cara hidup penduduk di Şanlıurfa juga sangat berbeza dengan penduduk di Istanbul. Jika wanita-wanita di Istanbul umumnya berpakaian seksi mengikut cara Barat, wanita di sini sangat sopan dan menutup aurat. Penduduk di sini juga jelas sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.
|
Beginilah cara penduduk di Şanlıurfa menghabiskan waktu terluang di musim panas. Cuaca musim panas di sini jauh lebih panas dari di Istanbul, hampir mencecah 40 darjah Celcius. |
|
Bersolat di bawah pokok. |
RESTORAN GULHAN
Abdulbaki membawa kami makan tengahari di Restoran Gulhan yang terletak di tengah bandar Şanlıurfa. Makanan yang disajikan adalah makanan tempatan. Kami diminta untuk memilih sendiri makanan yang akan dihidangkan. Terkedu juga kami waktu nak memilih makanan kerana kita tak biasa dengan masakan Turki di sini.
Makanan yang terdapat di sini juga agak berlainan dengan masakan yang sering kami temui di Istanbul. Kami akhirnya memilih Sup Ayam dan Masakan Daging sebagai sajian utama. Makanan yang dihidangkan memang sedap dan berperisa. Walaupun sepatutnya kami membayar sendiri minuman kami (seperti juga di Jordan, minuman tak menjadi sebahagian pakej makanan dan perlu dibayar sendiri di Turki), Abdulbaki bermurah hati menaja minuman kami.
|
Restoran Gulhan |
|
Seperti juga restoran-restoran tipikal lain di Turki, dapur restoran terletak secara terbuka dan sengaja diletakkan di bahagian hadapan. Mungkin ini strategi untuk menunjukkan kepada pengunjung kehebatan tukang masak di restoran ini. |
|
Antara makanan yang disajikan di Restoran Gulhan. Makanan di sini kelihatan lebih mirip dengan masakan Malaysia berbanding di Istanbul. |
|
Kata Abdulbaki, ini adalah makanan istimewa di Restoran Gulhan ~ Nasi dengan Kambing Biri-biri. |
|
Pemandangan Bandar Şanlıurfa dari Restoran Gulhan. |
|
Pemandangan di dalam Restoran Gulhan |
|
Bubur Yogurt sebagai pembuka selera. Tak sangka rasanya sangat sedap. |
|
Makanan tengahari yang enak di Restoran Gulhan |
Selepas makan tengahari, Abdulbaki membawa kami ke Balıklı Göl yang terletak di Kota Lama Şanlıurfa yang merupakan tempat yang menyimpan sejarah Nabi Ibrahim AS. Tapi disebabkan banyak benda yang nak diceritakan dalam lawatan ke sana, Myself akan ceritakan pengalaman ini dalam Entry yang berikutnya..
Bersambung ke Bahagian 13...
CATATAN PERJALANAN TURKEY (2014):