Sunday, 3 August 2014

2014 TURKEY BHG. 01 (KL - Istanbul)

Ogos 2014

TURKEY
Istanbul & Sanliurfa

Bahagian 1: Istanbul (1)
ISTANBUL, AKU DATANG ...

Part 1: Perjalanan Ke Istanbul

Peluang berkunjung ke Turki sebenarnya datang secara tak terduga bila Myself terpilih untuk berkursus di Istanbul selama 2 minggu. Nasib baiklah Husband dapat menemani sepanjang 2 minggu di sana, kalau tidak mungkin Myself tak sampai ke sini. Teringat kata seorang rakan sekerja dulu yang dia tak mahu pergi kursus bersendirian di luar negara lama-lama kerana boleh jadi gila kalau tak cakap Melayu lebih dari beberapa hari. Bila difikirkan kembali, mungkin ada kebenarannya kata-kata rakan tadi..

Memandangkan kami belum pernah berkunjung ke Turki dan merasakan negara ini memang sukar untuk kami kunjungi lagi, kami merancang sebaik mungkin perjalanan kami di negara ini sambil Myself berkursus di sana, bak kata pepatah "Sambil Menyelam Minum Air".


Tam Tam sedih kena tinggal lagi.
Penerbangan kami ke Istanbul adalah penerbangan perkongsian kod Malaysia Airlines MH5881 dengan Turkish Airlines TK61. Inilah juga pengalaman pertama kami menaiki pesawat code-share seperti ini. Memandangkan kami membeli tiket penerbangan dari Malaysia Airlines dan penerbangan ini dioperasi oleh Turkish Airlines, kami tak dapat membuat On-line Check-in dari website Malaysia Airlines seperti biasa. Kami juga tidak mempunyai access untuk membuat On-line Check-in dari website Turkish Airlines kerana tiket kami dikeluarkan oleh Malaysia Airlines. Oleh kerana tak mempunyai pilihan, terpaksalah kami membuat check-in di kaunter Turkish Airlines di KLIA.

Kaunter daftar-masuk Turkish Airlines di KLIA
Kami juga cukup bimbang mendapat tempat duduk yang berasingan dalam pesawat kerana tiket kami dibeli secara berasingan. Oleh kerana pemergian Myself ke Istanbul adalah untuk berkursus, tiket Myself dibeli oleh pejabat manakala tiket Husband pula kami beli sendiri. Jadi untuk memastikan kami dapat duduk bersama, awal-awal lagi kami menunggu di depan kaunter Turkish Airlines untuk mendaftar masuk lebih awal berbanding orang lain.

Menunggu di Boarding Gate sebelum berlepas ke Istanbul.
Turkish Airline TK61 dari Kuala Lumpur ke Istanbul.
Pesawat kami berlepas mengikut jadual pada pukul 11.15 malam walaupun sebelum itu Kapten pesawat membuat pengumuman terdapat kerosakan pada lampu mendarat pesawat dan penggantian perlu dibuat sebelum kami berlepas. Penerbangan ke Istanbul juga sangat panjang - 10 jam 28 minit.

Sebahagian peta penerbangan dari Kuala Lumpur ke Istanbul. Disebabkan jarak penerbangannya yang jauh, keseluruhan flight path tak dapat ditunjukkan dalam peta pada skala ini.
Manisan Turkish Delight diberikan kepada semua penumpang sebaik selepas pesawat berlepas dari Kuala Lumpur.
Menu sajian penerbangan
Semua penumpang diberi set Toiletries dan penutup mata oleh pihak Turkish Airlines walaupun mereka duduk di dalam Kelas Ekonomi. Selain itu juga, penumpang turut diberikan selipar rumah percuma.
Peramugari Turkish Airlines
Sajian penerbangan - makanan Turki yang pertama bagi kami dalam perjalanan ini.
Peramugara Turkish Airlines
Keistimewaan Turkish Airlines - ada Chef yang turut bertugas dalam penerbangan ini.
Walaupun kami mendapat tempat duduk di sebelah tingkap, tak ada pemandangan menarik yang dapat kami lihat dalam penerbangan ini kerana hari malam sepanjang penerbangan. Namun begitu, satu pemandangan yang tidak dilupakan adalah sewaktu pesawat kami terbang melintasi ibukota negara Iran, Tehran. Bandaraya Tehran kelihatan bercahaya dengan begitu terang di bawah sana.

Terbang melintasi bandaraya Tehran di Iran dalam perjalanan ke Istanbul
Pemandangan dari udara Bandaraya Tehran waktu malam
Alhamdulillah, penerbangan kami ke Istanbul sangat lancar. Hanya sedikit sahaja gegaran yang dialami dalam penerbangan ini sewaktu pesawat terbang melintasi Teluk Bengal dan India.   

Kami tiba di Istanbul pada pukul 5.00 pagi. Suasana di luar sana masih gelap lagi. Istanbul sedang mengalami musim panas pada ketika ini. Dalam bulan Ogos ketika itu, matahari terbit pada pukul 6.00 pagi dan terbenam sekitar pukul 8.30 malam.


Sarapan pagi dihidangkan sebaik pesawat kami memasuki ruang udara Turki, kira-kira 2 jam sebelum mendarat.
Selamat tiba di ruang udara Istanbul
Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul
Pesawat kami tidak berhenti rapat ke bangunan terminal Airport. Ia sebaliknya berhenti di parking bay di tengah-tengah airport. Para penumpang kemudiannya diangkut dengan bas untuk masuk ke bangunan Airport.

Bersiap-sedia untuk turun dari pesawat
Pesawat Turkish Airlines kami tidak berhenti rapat ke bangunan Airport. Semua penumpang diangkut ke bangunan terminal dengan bas.
Pemandangan dari dalam bas menuju ke bangunan terminal.
Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk masuk ke negara Turki bagi lawatan kurang dari 90 hari. Oleh itu, proses imigresen sangat mudah sekali. Myself juga rasa agak pelik bila melihat pelawat-pelawat dari USA dan UK perlu mendapatkan visa untuk masuk ke negara ini. Pengurusan Airport Ataturk juga sangat cekap. Kami tak perlu menunggu lama untuk mendapatkan bagasi kami.

Perjalanan ke Turki ini juga berbeza dengan perjalanan-perjalanan kami yang lain kerana banyak perkara terpaksa kami uruskan sendiri. Ini termasuklah transfer dari Airport ke Hotel. Untuk memudahkan perjalanan, awal-awal lagi kami dah menempah khidmat private transfer dari airport ke hotel penginapan kami melalui internet. Bayaran yang dikenakan ialah 30 Euro dan dibayar kepada driver sendiri. Memang lega bila melihat wakil private transfer kami yang bernama Erdoğan (disebut Erduan) telah menanti di Airport. Namun disebabkan pesawat kami sebenarnya tiba awal 30 minit dari jadual, terpaksalah kami menunggu sebentar di Airport sampai transport tiba.


Pemandangan di Ataturk Airport, Istanbul menuju ke pemeriksaan imigresen.
Lega melihat nama kita terpampang dengan begitu jelas di Ataturk Airport.
Oleh kerana flight kami mendarat awal 30 minit dari jadual, terpaksa menunggu sebentar untuk private transfer kami.
Dari Ataturk Airport, kami dibawa menaiki van ke hotel penginapan kami, Hilton Istanbul Bosphorus yang terletak di pusat bandar. Perjalanan ke sana memakan masa kira-kira 45 minit kerana tiada kesesakan lalulintas memandangkan ketika itu awal pagi Ahad.

Pemanduan di Turki adalah di sebelah kanan dan impression pertama kami terhadap bandaraya Istanbul ialah bandaraya ini cukup berbukit-bukau. Digelar Rome Timur, dan juga seperti bandaraya Rome di Itali, Istanbul dibina di atas 7 buah bukit. Suasana di Istanbul juga macam sebuah bandaraya tua di Eropah, cuma bezanya jika bandaraya tua di Eropah yang lain dipenuhi dengan gereja-gereja, Istanbul pula dipenuhi dengan masjid-masjid yang pelbagai bentuk dan saiz.


Pemanduan di Turki adalah di sebelah kanan.
Pemandangan awal pagi Ahad dalam perjalanan dari Ataturk Airport ke Istanbul.
Pengangkutan awam sangat maju di Istanbul. Lorong bas yang cukup besar disediakan di tengah-tengah jalan dari Ataturk Airport ke bandaraya Istanbul.
Pemandangan bandaraya Istanbul yang dibina di atas beberapa buah bukit yang tinggi.
Masjid terdapat di mana-mana sahaja di Istanbul.
Pemandangan sewaktu mendekati kawasan hotel
Hotel penginapan kami di Istanbul ialah Hilton Istanbul Bosphorus. Customer Service di Hilton Istanbul Bosphorus memang hebat. Walaupun kami tiba terlalu awal sebelum waktu Check-in, mereka tetap berusaha menyediakan bilik supaya kami dapat masuk awal ke bilik.

Kaunter pendaftaran di Hilton Istanbul Bosphorus.
Bilik penginapan kami di Hilton Istanbul Bosphorus. Sangat terang dan selesa.
Sebaik masuk ke bilik, kami merasa letih dan lapar. Mujurlah kami ada membawa bekalan mee segera. Jadi dapatlah juga mengalas perut sehingga waktu makan tengahari..


Bersambung ke Bahagian 2..

CATATAN PERJALANAN TURKEY (2014):