Tuesday, 8 April 2014

2014 TOKYO & OSAKA BHG. 06 (Mount Fuji)

Mac 2014

JAPAN (5th Visit)
Tokyo, Mount Fuji, Kyoto & Osaka 

Bahagian 6 : Mount Fuji (1) 
FUJI VISITOR CENTER, LAKE KAWAGUCHI & PEACE PARK


HARI KEEMPAT (1)

Part 11: Fujinoboukaen Hotel

Sewaktu kami tiba di Hotel Fujinoboukaen semalam, hari telahpun malam dan kami tak nampak suasana di sekitar hotel. Cuma yang kami tahu, hotel ini terletak berdekatan dengan Gunung Fuji yang menjadi kebanggaan orang Jepun.

Oleh yang demikian, sebaik matahari terbit pagi ini kami terus menjenguk ke luar tingkap bilik hotel, mengharapkan dapat melihat pemandangan Gunung Fuji. Malangnya Gunung Fuji tidak kelihatan dari tingkap bilik kami.

Pemandangan dari bilik hotel kami cuma tempat parking bas di hotel. Tertib sungguh cara orang Jepun ni parking bas mereka.
Awal-awal lagi kami dah pergi ke restoran di hotel untuk bersarapan. Restoran hotel ini terletak di Tingkat 9. Pemandangan Gunung Fuji sangat jelas dari restoran ini. Kagumnya kami melihat akan keindahan gunung ciptaan Allah ini.

Inilah pemandangan yang kelihatan sebaik keluar dari lif di Tingkat 9, Hotel Fujinoboukaen.
Restoran di Hotel Fujinoboukaen
Bersarapan pagi dengan berlatarbelakangkan keindahan Gunung Fuji.
Sarapan pagi di Hotel Fujinoboukaen
Untuk memanfaatkan keindahan Gunung Fuji dari lokasi ini, Hotel Fujinoboukaen turut menyediakan sebuah balkoni di luar restoran. Balkoni ini menjadi tumpuan semua penghuni hotel selepas bersarapan untuk bergambar dengan gunung yang agung ini.

Balkoni yang disediakan oleh Hotel Fujinoboukaen di luar restoran dengan pemandangan Gunung Fuji yang indah.
Semua pengunjung berebut-rebut nak menangkap gambar berlatarbelakangkan Gunung Fuji di balkoni ini. Yang paling berebut dan sukar mengalah sudah pasti pelancong-pelancong dari Negara China.
Satu lagi pemandangan dari balkoni di luar restoran hotel.
Untuk mengelakkan kesesakan, semua travel agent menasihatkan ahli rombongan masing-masing supaya mengumpulkan bagasi masing-masing lebih awal di lobi hotel untuk melancarkan perjalanan seterusnya.
Hotel Fujinoboukaen juga mempunyai sebuah taman tradisional Jepun yang indah di hadapannya. Di sinilah kami menghabiskan masa sebelum memulakan perjalanan kami untuk hari keempat.

Pintu masuk ke Hotel Fujinoboukaen
Satu lagi pemandangan Hotel Fujinoboukaen
Cuaca di kawasan Pergunungan Fuji sangat sejuk sehingga kami terpaksa memakai pakaian tebal. Masa di Malaysia dulu, kami teragak-agak nak membawa pakaian winter kerana musim winter telahpun berakhir di Jepun. Nasib baiklah kami pack juga pakaian winter untuk dibawa ke sini. Kalau tidak mahu beku kami dibuatnya sebab orang-orang yang datang dari negara tropika ni manalah tahan cuaca sejuk-sejuk begini.

Taman Jepun yang indah di depan hotel.
Ikan koi berenang-renang di dalam kolam.
Taman Jepun di depan hotel ini kecil sahaja tetapi sangat cantik dan dijaga dengan rapi.
Di sekitar kawasan hotel, ada banyak pokok sakura tapi satupun tak berbunga lagi. Kami diberitahu bahawa sepatutnya sakura sedang berkembang mekar sekarang, tetapi kawasan Tokyo dan sekitarnya mengalami musim sejuk yang sangat luar biasa pada tahun lepas. 

Salji telah turun dengan lebatnya di kawasan ini pada musim dingin yang lalu sehingga perkhidmatan pengangkutan awam di Tokyo terpaksa dihentikan. Ini sangat luar biasa kerana salji jarang-jarang sekali turun di Tokyo walaupun di dalam musim dingin. Cuaca yang sejuk luar biasa ini menyebabkan bunga sakura masih belum kembang lagi pada masa-masa ini seperti biasa.

Bergambar dengan pokok-pokok sakura yang masih belum berbunga di perkarangan Hotel Fujinoboukaen. Bayangkan kalau semua pokok ini dah berbunga, pasti pemandangannya cantik sekali.
Disebabkan cuaca yang sangat sejuk di luar, kami kembali ke dalam bangunan hotel untuk menunggu saja di lobi sampai bas kami tiba. Di lobi hotel juga, banyak perhiasan tradisional Jepun yang dapat dilihat.

Ruang menunggu di lobi Hotel Fujinoboukaen
Kaunter pendaftaran di Hotel Fujinoboukaen
Mengikut adat tradisi Jepun, patung ini akan dihadiahkan oleh Datuk dan Nenek kepada anak yang melahirkan cucu lelaki pertama dalam keluarga.

Part 12: Fuji Visitor Center

Hotel Fujinoboukaen terletak di kawasan Gotenba di kaki Gunung Fuji. Kawasan Gotenba ini juga terkenal kerana mempunyai sebuah Premium Outlet (seperti JPO di Johor Bahru). Namun kami tidak dibawa ke sana kerana pada masa ini Premium Outlet tersebut sedang mengadakan jualan penghabisan stok musim dingin yang pasti barang-barang yang ditawarkan tidak begitu berguna untuk kami di Malaysia.

Meninggalkan Hotel Fujinoboukaen, kami dibawa ke Fuji Visitor Center. Sepanjang perjalanan, kami dapat melihat Gunung Fuji dengan begitu jelas sekali.


Pemandangan Gunung Fuji dalam perjalanan ke Fuji Visitor Center.
Gunung Fuji unik kerana tidak seperti kebanyakan gunung-gunung lain yang terletak dalam banjaran gunung, ia adalah sebuah gunung tunggal.
Gunung Fuji boleh didaki dalam musim panas. Memandangkan ia dianggap suci kepada orang Jepun, kuil-kuil di sekitar gunung akan mengadakan upacara-upacara tertentu setiap kali tiba musim permulaan mendaki. Upacara-upacara khusus juga akan diadakan oleh kuil-kuil ini untuk menandakan musim mendaki tamat.

Dalam perjalanan ke Fuji Visitor Center juga, kami dapat melihat timbunan salji yang masih belum cair di tepi-tepi jalan. Menurut kata Wan, ia pemandangan luar biasa kerana sebenarnya kawasan ini hampir tidak pernah dituruni salji.

Pemandangan timbunan salji yang masih belum cair di tepi jalan.

FUJI VISITOR CENTER 

Kami kemudiannya tiba di Fuji Visitor Center. Di sini terdapat timbunan salji yang belum cair. Pemandangan ini sangat mengujakan kami, lebih-lebih lagi bagi ahli rombongan yang tidak pernah melihat salji sebelum ini.

Fuji Visitor Center
Seronok mengambil gambar salji di tempat parking bas Fuji Visitor Center.
Kenangan di Fuji Visitor Center
Pemandangan bangunan Fuji Visitor Center dari tempat parking bas.
Walau ramai yang mengambil gambar dalam salji, Myself tak berbuat begitu kerana bimbang kasut kebasahan bila memijak salji. Tak selesa berjalan nanti kalau kasut kebasahan.
Di Fuji Visitor Center, kami menonton video penerangan dalam Bahasa Inggeris mengenai Gunung Fuji. Banyak yang dipelajari tentang gunung ini. Antaranya ialah ketinggian Gunung Fuji melebihi 3,000 meter, lebih rendah dari Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian lebih 4,000 meter.

Menonton filem dokumentari mengenai Gunung Fuji di Fuji Visitor Center. Dokumentari ini ditayangkan dalam pelbagai bahasa utama dunia, mengikut giliran.
Gunung Fuji juga baru mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia (World Heritage Site) dari UNESCO pada tahun 2013. Ini sangat membanggakan rakyat Jepun yang telah bertahun-tahun "berjuang" untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.

Gunung Fuji baru menerima pengiktirafan sebagai World Heritage Site pada tahun 2013.
Pameran mengenai Gunung Fuji
Fuji Visitor Center turut mempunyai sebuah kedai menjual cenderamata. Di kedai ini ada sebuah papan kenyataan yang dilekatkan dengan origami (seni lipatan kertas) pengunjung-pengunjung yang pernah datang ke sini dari seluruh dunia.

Kedai cenderamata di Fuji Visitor Center
Papan kenyataan di kedai cenderamata yang dipenuhi origami.
Origami Gunung Fuji yang dibuat oleh pengunjung-pengunjung dari seluruh dunia.
Gunung Fuji adalah sebenarnya sebuah gunung berapi yang masih aktif. Di sekitar gunung ini, terdapat 25 buah kawah gunung berapi yang masih aktif. Bayangkanlah bencana yang menimpa jika kesemua mereka meletus serentak.

Fuji Visitor Center juga mempunyai sebuah platform pemerhatian Gunung Fuji di bangunan ini.

Platform pemerhatian di Gunung Fuji
Pemandangan Gunung Fuji dari platform pemerhatian. Kemuncak Gunung Fuji sentiasa diliputi salji, termasuk di musim panas.
Ada papan tanda yang melarang haiwan peliharaan di sini. Macam mana anjing yang memakai baju ini boleh terlepas ke sini?

Part 13: Lake Kawaguchi 

Dari Fuji Visitor Center, kami sepatutnya dibawa mendaki Gunung Fuji sehingga ke 5th Station. Walau bagaimanapun, disebabkan ada kejadian tanah runtuh, kenderaan hanya boleh naik sehingga ke 1st. Station sahaja yang mana pemandangannya lebih kurang sama dengan pemandangan di Fuji Visitor Center.

Ramai ahli rombongan yang kecewa tak dapat pergi ke 5th Station, tapi kami berdua tidaklah ralat sangat sebab kami pernah berkunjung ke sana dalam lawatan pada tahun 2009 dulu.

Bagi menggantikan lawatan ke 5th. Station, kami dibawa melawat ke Tasik Kawaguchi. Kami berdua pernah berkunjung ke sini dulu, tapi seronok juga mengulang melawat tempat ini.

Tasik Kawaguchi
Tasik Kawaguchi adalah tasik terbesar di antara 5 tasik yang terdapat di kaki Gunung Fuji.
Antara aktiviti rekreasi air yang terdapat di Tasik Kawaguchi
Memancing di Tasik Kawaguchi. Hotel Mifujien di mana kami menginap pada tahun 2009 dulu kelihatan di seberang tasik dari sini.
Pemandangan bandar Kawaguchi dari pinggir tasik
Sewaktu lawatan ke sini pada tahun 2009, kami makan tengahari di restoran di dalam bangunan ini.

Part 14: Peace Park 

Lawatan seterusnya adalah ke Gotemba Heiwa Koen yang lebih dikenali dengan nama Peace Park.


Perjalanan ke Peace Park
Pemandangan bandar Gotenba dalam perjalanan ke Peace Park
Pokok-pokok sakura yang masih belum berbunga lagi.
Kawasan perkampungan berhampiran Gotenba
Kawasan pertanian
Peace Park adalah antara lokasi terbaik di Jepun bagi melihat bunga sakura. Namun malangnya, sewaktu kami sampai di sana, pokok-pokok sakura belum berbunga lagi.

Outer Gate ke Peace Park
Dari Outer Gate, pengunjung perlu berjalan mendaki bukit yang curam sehingga ke Inner Gate.
Stupa putih di belakang sana dikatakan mengandungi abu mayat Buddha yang dihadiahkan oleh Kerajaan India kepada Kerajaan Jepun.
Inner Gate di Peace Park
Peace Park mempunyai 2 buah taman. Sebuah taman terletak di bahagian bawah di depan Temple manakala sebuah lagi terletak di atas sebuah bukit.

Taman Peace Park di bahagian bawah
Kolam di taman bahagian bawah
Kuil ini menyimpan patung-patung anjing penjaga kuil Buddha yang dihadiahkan oleh negara-negara Buddha seluruh Asia.
Pemandangan dari taman atas yang terletak di atas bukit
Pemandangan Gunung Fuji dari taman di atas bukit. Di sini ada sedikit pokok sakura yang telah berbunga.

Part 15: Gotenba Kameya Restaurant 

Selepas melawat Peace Park, kami dibawa kembali ke Gotenba untuk makan tengahari di Gotenba Kameya Restoran. Nampak gayanya semua agen pelancongan di Gunung Fuji ini mengatur rombongan mereka makan tengahari di restoran ini. Jadi rombongan-rombongan pelancong disaji di sini mengikut giliran mereka tiba di sini.

Gotenba Kameya Restaurant
Kedai buah dan bahan makanan tradisional Jepun di sebelah restoran
Rombongan kami agak terlewat tiba berbanding kumpulan-kumpulan lain. Maka terpaksalah kami menunggu seketika.

Rombongan-rombongan pelancong disaji mengikut giliran ketibaan di Restoran Gotenba Kameya
Sambil menunggu, kami mengambil peluang meninjau kedai menjual bahan-bahan makanan tradisional Jepun berhampiran.

Gerai buah-buahan di sebelah restoran
Kedai menjual bahan-bahan makanan tradisional
Makan tengahari di Restoran Gotenba Kameya disediakan secara bento.

Makan tengahari disediakan secara bento.
Makanan selepas bento dibuka.
Pihak restoran juga bermurah hati menyediakan ruang untuk kumpulan kami bersolat. Lepas dah bersolat, mudahlah kami meneruskan perjalanan seterusnya.

Mengambil kesempatan meninjau kedai cenderamata di dalam Restoran Gotenba Kameya sambil menunggu ahli-ahli rombongan yang lain selesai bersolat.