Sunday, 6 April 2014

2014 TOKYO & OSAKA BHG. 04 (Disneysea 2)

Mac 2014

JAPAN (5th Visit)
Tokyo, Mount Fuji, Kyoto & Osaka 

Bahagian 4 : Tokyo (3)

TOKYO DISNEYSEA (2)

HARI KETIGA (2)

Dalam entry ini kita masih bercerita tentang pengalaman kami melawat ke Tokyo Disneysea..

MYSTERIOUS ISLAND 

Selepas Mediterranean Harbor, kami melawat pula ke Mysterious Island. Seksyen ini dibina berdasarkan kisah pengembaraan karya Jules Vernes ke perut bumi.

Mysterious Island terletak di sebalik Mount Prometheus. Untuk ke sana, kami terpaksa melalui terowong di bawah Mount Prometheus yang berasap-asap dan sedia untuk meletup bila-bila masa.. (Dramatik sungguh bunyinya...)


Terowong yang memisahkan Mediterraean Harbor dengan Mysterious Island. Terowong ini terletak di bawah Mount Prometheus.
Di sebalik gunung sana, terbentang sebuah dunia yang sungguh berbeza. Pemandangannya bagaikan berada di perut bumi.

Pemandangan keseluruhan Mysterious Island di Tokyo Disneysea.
Di Mysterious Island ini terdapat 2 buah ride: Journey Into The Center Of The Earth yang merupakan sebuah roller coaster dan 20,000 Leagues Under The Sea yang merupakan sebuah dark ride. Kami berminat nak mencuba ride 20,000 Leagues Under The Sea yang membawa kita konon-kononnya mengembara ke dasar lautan dengan menaiki kapal selam. Walau bagaimanapun, hasrat ini terbantut sebab Waiting Time bagi ride ini ialah 2 jam.

Ride yang ingin kami cuba ialah 20,000 Leagues Under The Sea yang terletak di bawah struktur bangunan bulat di seberang sana. Barisan untuk menaiki ride ini bermula dari tempat gambar ini diambil dan melingkar-lingkar sampai ke tempat ride di bawah seberang sana.
Disebabkan tak jadi mencuba 20,000 Leagues Under The Sea, kami cuma bersiar-siar di Mysterious Island.

Kaki Gunung Prometheus di Mysterious Island sengaja dibuat berasap-asap bagaikan penuh dengan lava panas yang nak meletus bila-bila masa.
Untuk memahami perhiasan-perhiasan di Mysterious Island ini, anda perlu mengetahui kisah Journey To The Center Of The Earth, sebuah kisah fiksyen sains yang ditulis oleh pengarang Perancis, Jules Vernes. Dalam cerita ini, seorang professor berbangsa German Otto Lidenbrock dan pasukannya telah meneroka terowong-terowong gunung berapi yang bersambung-sambung sehingga ke pusat bumi. Dalam pengembaraan ini, mereka telah mengalami pelbagai adventure seperti bertemu dengan haiwan-haiwan pra-sejarah dan pelbagai mara bahaya sehingga mereka selamat kembali ke permukaan bumi.

Kenderaan yang digunakan oleh Professor Otto dan pasukannya yang tersangkut di Gunung Prometheus.
Lagoon di tengah-tengah Mysterious Island ini juga dibina bagaikan sebuah kawah gunung berapi. Airnya membuak-buak dan sekali-sekala memancut tinggi ke udara.

Air di lagoon Mysterious Island yang sentiasa membuak-buak, bagaikan lava di dalam kawah gunung berapi.
Sesekali, air yang membuak-buak ini memancut tinggi ke udara.
Bot-bot seperti ini berfungsi seperti keretapi Disney Railroad di Disneyland yang mengelilingi seluruh taman.
Restoran bawah tanah di Mysterious Island
Minnie Mouse yang tersesat di Mysterious Island

MERMAID LAGOON 

Seksyen seterusnya yang dikunjungi adalah Mermaid Lagoon. Tema Mermaid Lagoon adalah kisah The Little Mermaid karya Hans Christian Andersen mengenai ikan duyung bernama Ariel yang teringin menjadi manusia dan hidup di darat.

Untuk pergi ke Mermaid Lagoon dari Mysterious Island, kami perlu melalui sebuah lagi terowong di bawah Mount Prometheus yang pemandangannya mengingatkan kami kepada As-Siq di Petra, Jordan dahulu.
Mermaid Lagoon dibina bagaikan negara dasar laut yang diperintah oleh ayah Ariel, King Triton.

Mermaid Lagoon dibina bagaikan negara di dasar laut yang diperintah oleh King Triton.
Ukiran King Triton sedang bersiar-siar dengan kenderaan diraja yang ditarik oleh 2 ekor ikan lumba-lumba menghiasi pintu masuk ke negara dasar laut ini.
Royal Proclamation dari King Triton yang mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke kerajaan baginda.
Tidak seperti seksyen-seksyen lain di Disneysea yang bercirikan outdoor, Mermaid Lagoon dibina bercirikan indoor. Sebaik masuk ke dalam, kami terpegun melihat suasananya yang benar-benar bagaikan negara di dasar laut. Yang paling menarik bagi Myself ialah siling Mermaid Lagoon yang dibuat bagaikan riak-riak air yang dipandang dari dasar laut.

Negara dasar laut yang diperintah oleh King Triton ini sangat meriah dengan pengunjung.
Cantik, kan? Beginilah agaknya perasaan dan pemandangan ikan-ikan yang kita bela dalam akuarium di rumah tu.
Siling di Mermaid Lagoon dibina bagai riak-riak air yang dipandang dari dasar lautan.
Permainan-permainan di Mermaid Lagoon banyak yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak.
Di Mermaid Lagoon ini, kami berpeluang menonton teater yang bertajuk Under The Sea. Ia adalah persembahan muzikal yang hebat mengenai si ikan duyung Ariel yang teringin nak menjadi manusia dan hidup di darat. Namun begitu, kami terpaksa beratur 55 minit untuk menyaksikan persembahan ini.

Pemandangan di luar teater persembahan Under The Sea
Beratur untuk menyaksikan persembahan Under The Sea
Orang Jepun memang kuat beratur, tak lenguh pun walau kena berdiri hampir sejam. Dalam line ini cuma kami berdua saja rasanya yang bukan orang Jepun dan cuma kami berdua saja yang duduk di lantai kerana tak larat lagi berdiri sewaktu tengah berbaris.
Penonton sebenarnya tak dibenarkan mengambil gambar sewaktu persembahan berlangsung. Tapi kami tetap ambil gambar untuk kenangan (konon-kononnya tak faham arahan sebab diberi dalam Bahasa Jepun.. )

Kami cukup kagum melihat teknik yang digunakan dalam persembahan ini yang membolehkan Ariel dan rakan-rakannya berenang-renang di atas kepala penonton. Namun begitu, kami tak faham langsung perbualan Ariel dengan rakan-rakannya kerana mereka bercakap dalam Bahasa Jepun. Mujurlah lagu-lagu yang dipersembahkan dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris. Kalau tidak, lagilah kami ternganga...

Teater Under The Sea ini berbentuk bulat. Pentas persembahan terletak di tengah-tengah dan penonton duduk mengelilingi pentas.
Persembahan dimulakan bila Ariel keluar dari bawah pentas.
Ariel dan rakan-rakannya "berenang-renang" di atas kepala penonton.
Ursula ~ si ahli sihir jahat yang meminta suara Ariel yang merdu sebagai pertukaran bagi hasrat Ariel untuk menjadi manusia.
Ariel terkulai selepas suara merdunya ditarik keluar oleh Ursula.
Selepas menonton persembahan Under The Sea, kami sempat berkunjung ke kedai cenderamata di Mermaid Lagoon ini. Ia sangat unik kerana dibina bagaikan seekor ikan paus yang sedang mengantuk, sesuai dengan namanya Sleepy Whale Shoppe. Mata ikan paus ini pun kadang-kadang terbuka dan kadang-kadang tertutup...

Ikan paus mengantuk di Mermaid Lagoon.
Bila matanya terbuka, ikan paus ini menjeling seolah-olah marah kepada manusia di sekeliling yang mengganggu tidurnya.
Pemandangan di dalam Sleepy Whale Shoppe, lengkap dengan tulang dan anak tekak ikan paus.
Ikan Pak Guard di pintu masuk kedai ni pun terkebil-kebil menahan mengantuk.

ARABIAN COAST

Selepas Mermaid Lagoon, kami berkunjung pula ke Arabian Coast yang terletak bersebelahan. Seksyen ini dibina berilhamkan cerita Aladdin dari Hikayat 1001 Malam.

Pemandangan Arabian Coast dari Mermaid Lagoon
Pintu masuk ke Arabian Coast
Bangunan berkubah ini menempatkan Caravan Carousel, sebuah merry-go-round yang unik. Pengunjung boleh memilih untuk naik merry-go-round di tingkat atas ataupun bawah.
Jin turut menjadi haiwan tunggangan di Caravan Carousel.
Sewaktu di Arabian Coast juga, kami berhasrat nak menonton persembahan Aladdin di Magic Lamp Theater. Namun kami dapati barisan masuknya sangat panjang, dengan Waiting Time 100 minit.

Ada Fastpass yang disediakan oleh pihak Disney untuk persembahan ini, tapi waktu masuknya ialah pukul 2.30 petang ~ sama masa dengan pertunjukan utama Disneysea, The Legend Of Mythica yang ingin kami tonton. Jadi terbantutlah juga hasrat nak menonton persembahan ini.

Magic Lamp Theater ~ tempat persembahan Aladdin diadakan.
Untuk mengubat hati, kami hanya berjalan-jalan di sekitar Agrabah Marketplace. Kalau anda pernah menonton filem Aladdin versi Disney, di sinilah Aladdin bertemu dengan cinta hatinya, Princess Jasmine.

Agrabah Marketplace
Unta di Agrabah Marketplace
Satu lagi pemandangan kesibukan di Agrabah Marketplace
Petugas yang memakai pakaian Arab ini mengingatkan Myself kepada watak Marjina dalam filem Ali Baba arahan P. Ramlee.
Makan tengahari tidak disediakan kepada kami sewaktu di Disneyland dan kami terpaksa mencari makan sendiri. Tidak seperti di Hong Kong dulu, Disney Resort di Tokyo tidak mempunyai restoran makanan halal. Jadi terpaksalah kami memilih-milih makanan yang boleh dimakan.

Ketika melintasi Casbah Food Court di Arabian Coast ini, kami terpandang salah sebuah menunya Nan Bread With Shrimp Curry yang Insyaallah Halal dimakan. Namun begitu, barisan masuk ke Food Court ini panjang sekali sehingga kami membuat keputusan untuk cuba mencari makanan di restoran lain.

Barisan masuk ke Casbah Food Court yang terletak di sebelah kanan gambar ini begitu panjang sekali!
Pemandangan di dalam Casbah Food Court yang Myself ambil dari luar tingkap.
Sewaktu meninjau-ninjau mencari tempat makan lain, kami terserempak dengan pintu masuk ke ride yang bernama Sindbad's Storybook Voyage. Waktu menunggunya cuma 20 minit. Jadi kami membuat keputusan untuk masuk ke dalam ride ini.

Konsep ride Sindbad's Storybook Voyage ini adalah sama seperti It's A Small World yang pernah kami naiki di Hong Kong Disneyland. Ia menceritakan pengembaraan seorang pelayar miskin bernama Sindbad yang menjadi kaya-raya selepas berjaya menempuh pelbagai halangan dan mara bahaya dalam pelayarannya.

Bangunan yang menempatkan Sindbad Storybook Voyage di Agrabah Marketplace
Barisan masuk ke Sindbad Storybook Voyage
Lukisan-lukisan mengenai pelayaran Sindbad menghiasi dinding sewaktu beratur untuk masuk ke ride.
Inilah Hero kita ~ Sindbad yang berwajah Jepun.
Ride ini bukan saja mengingatkan Myself kepada It's A Small World di Hong Kong Disneyland, tetapi juga Pirates Of The Caribbean yang pernah dinaiki sewaktu berkunjung ke Tokyo Disneyland pada tahun 2009.
Pemandangan di dalam ride Sindbad Storybook Voyage
Jin yang ditemui Sindbad dalam pelayarannya. Jin ini ditewaskan oleh Sindbad menggunakan bulu burung sakti.
Burung Garuda yang juga ditemui oleh Sindbad dalam pelayarannya.
Sindbad sentiasa ditemani oleh anak harimau yang comel bernama Chandu dalam pelayarannya.
Wajah comel Chandu
Kapal Sindbad belayar di bawah bulan purnama
Dalam salah sebuah pelayarannya, Sindbad telah singgah di atas sebuah pulau. Rupa-rupanya pulau tersebut adalah ikan paus yang sangat besar.
Sambutan untuk Sindbad selepas dia selamat kembali ke pelabuhan asal.
Misi mencari makanan Halal diteruskan selepas menaiki Sindbad Storybook Voyage. Kami memutuskan untuk mencuba mencari makanan di seksyen Lost River Delta yang terletak bersebelahan dengan Arabian Coast..

Jasmine's Flying Carpets yang kami temui dalam perjalanan ke Lost River Delta.

LOST RIVER DELTA 

Lost River Delta dibina dengan mengambil ilham dari kisah pengembaraan Indiana Jones.

Pemandangan Lost River Delta dari Arabian Coast
Di sini ada sebuah restoran masakan Mexico, tetapi kami tak nampak sebarang makanan yang halal dimakan berdasarkan kepada menu yang tertera.

Restoran Yucatan Base Camp Grill. Mengikut menu yang tertera di pintu masuk, hidangan utamanya adalah Smoked Pork and Chicken.
Di Lost River Delta ini ada sebuah roller coaster yang kelihatan dahsyat bernama Raging Spirits. Kami cuma menengok saja orang lain naik roller coaster ini, tak teringin pun nak mencuba..

Barisan pengunjung yang ingin menaiki Raging Spirits
Pusingan lipat roller coaster ini dari dekat
Roller coaster Raging Spirits ini lain dari yang lain kerana ia juga melalui api yang menyala dalam laluannya.
Di Lost River Delta ini juga ada sebuah gerai menjual kepak ayam goreng. Baunya sangat menyelerakan menyebabkan kami semakin lapar. Kami kemudiannya membuat keputusan untuk balik sahaja ke Mediterranean Harbor kerana di sana ada sebuah bakery. Pasti ada roti yang boleh dimakan di sana untuk lunch kami.