Thursday, 3 April 2014

2014 TOKYO & OSAKA BHG. 01 (Focus Japan)

Mac 2014 

JAPAN (5th Visit)
Tokyo, Mount Fuji, Kyoto & Osaka 

Bahagian 1: FOCUS JAPAN

HARI PERTAMA

Kunjungan kelima ke Negara Matahari Terbit sebenarnya diatur bersekali dengan percutian keluarga ke Hong Kong pada bulan Disember 2013 yang lalu. Percutian ini adalah mengikut pakej percutian berkumpulan Apple Muslim Tour yang bertemakan Focus Japan.

Program percutian 7 Hari/5 Malam ini bertujuan menikmati keindahan Bunga Sakura yang berkembang mekar di Jepun dalam Musim Bunga. Program percutian kami bermula dari Tokyo dan bergerak ke arah selatan sehingga ke Osaka. Penerbangan masuk ke Jepun adalah melalui Lapangan Terbang Narita di Tokyo dan penerbangan pulang pula adalah menerusi Lapangan Terbang Kansai di Osaka.

Kami berlepas ke Jepun pada 26 Mac 2014, kira-kira 3 minggu selepas negara digemparkan dengan berita kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. Memang diakui peristiwa ini menyebabkan Myself agak cemas untuk terbang ke Jepun, lebih-lebih lagi bila memikirkan laluan penerbangan ke Jepun akan melalui laluan yang lebih kurang sama dengan laluan penerbangan ke Beijing. Lebih mencemaskan bila sehari sebelum berlepas, Perdana Menteri telah membuat pengumuman yang mengesahkan perjalanan MH370 berakhir di Lautan Hindi selepas pesawat tersebut membuat Air Turnback di Laut China Selatan.

Namun sebagai orang Islam, kita perlu mempercayai akan Qada' dan Qadar. Segala yang berlaku adalah ketentuan dari Allah dan peristiwa seperti yang dialami oleh MH370 bukanlah satu peristiwa yang biasa berlaku. Lagi pula, hanya Allah yang mengetahui bila dan bagaimana cara kita akan kembali kepadaNya.

Berbekalkan doa dan kepercayaan ini, Myself dan Husband meneruskan program perjalanan kami mengembara ke bumi Jepun..

Tam Tam nak ikut pergi ke Jepun

Part 1: Penerbangan Ke Narita

Penerbangan kami, Malaysia Airlines MH88 dijadualkan berlepas dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Tokyo pada pukul 11.30 malam. Dua hari sebelum itu, Tour Leader dari Apple Holidays telah menghubungi kami untuk memaklumkan aturcara perjalanan. Kami diminta berkumpul di KLIA pada pukul 9.00 malam untuk Group Check-in.

Group Check-in di Kaunter Malaysia Airlines
Kumpulan kami terdiri dari 33 orang peserta. Entah di mana silapnya, kami diberikan tempat duduk yang bertaburan dalam pesawat. Namun mujurlah Tour Leader kami yang begitu perihatin, En Zadil telah mengambil inisiatif menyusun kembali tempat duduk ahli-ahli rombongan mengikut keluarga dan kumpulan kecil masing-masing. Tempat duduk baru telah dimaklumkan oleh En Zadil kepada semua ahli rombongan sewaktu menunggu di pintu perlepasan.

Boarding Pass untuk menaiki pesawat
Pintu perlepasan kami terletak di Bangunan Satelit KLIA. Jadi kami terpaksa menaiki Aerotrain untuk ke sana. 

Walaupun sebelum itu hati agak risau untuk naik kapalterbang, perasaan itu hilang sama-sekali bila sampai di KLIA. Disebabkan musim cuti sekolah, kaunter Group Check-in Malaysia Airlines di KLIA sibuk dengan rombongan-rombongan rakyat Malaysia yang ingin melancong ke luar negara (terutamanya ke negara China) dan juga kumpulan-kumpulan Umrah. Bagi Apple Holidays sendiri, ada 5 kumpulan yang akan berlepas ke Jepun pada malam itu, termasuk kumpulan kami.

Dalam perjalanan nak menaiki Aerotrain, Myself terpandangkan monitor yang memaparkan jadual perlepasan pesawat pada malam itu. Salah satu di antaranya ialah MH318 ke Beijing. Inilah kod baru Malaysia Airlines bagi laluan KL-Beijing, untuk menggantikan MH370 yang masih hilang. Hati juga sayu bila melihat masih ada paparan di skrin monitor yang menyampaikan mesej takziah kepada keluarga dan rakan-rakan penumpang pesawat malang itu. Mudah-mudahan MH370 akan segera ditemui dan peristiwa hitam ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Jadual perlepasan pesawat-pesawat dari KLIA pada malam itu.
Dalam Aerotrain menuju ke gate perlepasan
Ketibaan di Bangunan Satelit KLIA
Sambil menunggu waktu perlepasan, Myself dan Husband mundar-mandir di sekitar Bangunan Satelit KLIA. Maklumlah, bukan mudah nak sampai ke sini. Peluang masuk ke sini hanya akan diperolehi jika kita terbang keluar negara dengan menaiki pesawat yang besar seperti Airbus 380, Boeing 777 ataupun Airbus 330.

Sedang kami mundar-mandir di sana, terpandang pulak akan KLIA Jungle Boardwalk di tengah-tengah Bangunan Satelit ini. Pada mulanya, kami tak perasan pun akan kewujudan KLIA Jungle Boardwalk ini. Kami hanya menyedari akan kewujudannya bila melihat ada sepasang pelancong Jepun keluar dari sana.


Pintu masuk ke KLIA Jungle Boardwalk
KLIA Jungle Boardwalk terletak di tengah-tengah Bangunan Satelit KLIA. Ia benar-benar bagaikan sebuah hutan hujan khatulistiwa yang kecil. Berbeza dengan suasana dalam Bangunan Satelit KLIA yang nyaman dengan penghawa dingin, suasana di hutan kecil ini sangat panas dengan cuaca semulajadi yang ketika itu sangat kering kerana hujan dah lama tidak turun sehingga menyebabkan beberapa kawasan di Selangor dikenakan catuan air.

Suasana hutan hujan khatulistiwa di KLIA Jungle Boardwalk
Bergambar dengan air terjun KLIA Jungle Boardwalk
Pintu perlepasan untuk pesawat kami dibuka seawal pukul 10.30 malam, sejam sebelum waktu perlepasan mengikut jadual. Namun begitu, mungkin disebabkan peristiwa hitam MH370, pemeriksaan sekuriti ke atas penumpang sebelum masuk ke dalam pesawat dilaksanakan dengan amat ketat dan teliti. Hampir semua penumpang, tak kira lelaki ataupun perempuan, terpaksa membuka kasut sewaktu melalui pemeriksaan keselamatan.

Sehingga pukul 11.30 malam (waktu sepatutnya pesawat kami berlepas ke Narita), separuh penumpang masih belum melepasi pemeriksaan sekuriti, termasuklah kami berdua.


Pemeriksaan sekuriti untuk masuk ke pesawat di KLIA amat ketat sehingga banyak pesawat lewat berlepas dari jadual asal. Barisan di sebelah kiri adalah penumpang Malaysia Airlines ke Narita (Tokyo), manakala barisan di sebelah kanan adalah barisan penumpang Malaysia Airlines ke Schipol (Amsterdam).
Sebaik kami masuk ke dalam pesawat, kedengaran pilot pesawat sedang membuat pengumuman memohon maaf atas kelewatan pesawat berlepas disebabkan pemeriksaan sekuriti yang ketat ke atas penumpang. Namun demikian, tak seorang pun penumpang merungut kerana masing-masing sedar bahawa pemeriksaan ketat sebegitu adalah untuk kebaikan semua pihak. Pesawat MH88 akhirnya berlepas dari KLIA ke Narita pada pukul 12.30 pagi, lewat sejam dari jadual.

Sajian lewat malam dalam pesawat kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA
Penerbangan Boeing 777 MH88 ke Narita sangat lancar dan hampir tiada gegaran. Namun begitu, Myself sukar nak tidur nyenyak dalam penerbangan ini.
 
Tidur-tidur ayam dalam pesawat ke Narita.
Disebabkan sukar nak tidur, Myself asyik tengok peta penerbangan. Ketika ini pesawat sedang melintasi Vietnam.
Lampu pesawat dimalapkan hampir sepanjang perjalanan untuk membolehkan penumpang tidur dengan selesa. Gambar ini Myself ambil kerana ketika itu tak boleh tidur dan boring tak tau nak buat apa.
Melintasi Hong Kong dan Macau. Myself dapati paparan pada skrin Boeing 777 Malaysia Airlines sering kurang tajam. Masa travel ke India pada tahun 2012 dulu, kami juga menaiki Boeing 777 seperti ini dan masih ingat lagi paparan pada skrinnya juga tidak tajam.
Terbang melintasi Taiwan
Sarapan pagi dihidangkan kepada penumpang sejam setengah sebelum mendarat. Ada pilihan Nasi Lemak ataupun Omelette.

Lampu pesawat dinyalakan untuk hidangan sarapan pagi
Sajian Nasi Lemak - pilihan Myself
Sajian Omelette - pilihan Husband
Antara cabaran yang kami hadapi dalam penerbangan ini ialah menentukan waktu masuk Solat Subuh. Disebabkan penerbangan ini berlepas pada lewat malam dan memakan masa 6 jam, memang dah sah kami kena solat Subuh dalam pesawat. Cuma masalahnya, bila sebenarnya masuk waktu Subuh?

Subuh menyinsing cuma selepas pesawat terbang melintasi Taiwan. Nasib baik la orang yang duduk kat sebelah tingkap tu tak tutup tingkap, dapat jugaklah kami mengagak bila waktu Subuh masuk.
MH88 tiba di Jepun.
Peramugari Malaysia Airlines berbangsa Jepun ini turut ditugaskan untuk membuat pengumuman dalam Bahasa Jepun selepas Ketua Peramugara membuat pengumuman dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.


Bersambung ke Bhg. 2...


CATATAN PERJALANAN TOKYO & OSAKA (2014):