Thursday, 13 October 2022

2022 TEMERLOH BHG. 06 (Kuala Gandah 2)

 Ogos 2022

PAHANG, MALAYSIA
Temerloh

Bahagian 6: Lanchang 4
PUSAT KONSERVASI GAJAH KEBANGSAAN
KUALA GANDAH (2)

Part 14: Pertunjukan Gajah @ Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah

Gajah-gajah yang dibawa ke Kuala Gandah adalah selalunya gajah-gajah yang diselamatkan dari habitat asal mereka. Setiap gajah akan diletakkan di bawah jagaan seorang gembala yang digelar Mahout. Setiap pagi Mahout akan memeriksa kesihatan gajah masing-masing. Gajah yang sakit akan dibawa untuk menerima rawatan dari doktor haiwan. Gajah yang sihat pula akan dibawa melakukan rutin latihan harian yang sangat diperlukan oleh Sang Gajah.

Pertunjukan Gajah di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah
Pertunjukan ini lebih bersifat informatif. Penonton akan diperkenalkan dengan ciri-ciri fizikal gajah dan tabiat mereka.
Setiap gajah yang dibawa ke Kuala Gandah akan diberi nama. Selalunya mereka dinamakan sempena kawasan di mana mereka ditemui. 

Sanum
Gajah adalah haiwan yang sangat gemarkan air. Pada hari tertentu bergantung kepada cuaca dan keadaan sungai, ada pertunjukan gajah mandi di Kuala Gandah. Malangnya disebabkan cuaca tidak mengizinkan pada hari ini, pertunjukan gajah mandi tidak dapat diadakan. Maka gajah-gajah ini cuma dimandikan dengan pancutan air di atas pentas sahaja.

Gajah bersedia untuk mandi
Disebabkan mereka tak dapat mandi sungai hari ini, mereka dimandikan dengan pancutan air sahaja pada hari ini
Tergolek-golek seronok dapat mandi
Kita pun tumpang gembira melihat gajah berseronok begitu...
Gembala gajah yang digelar Mahout
Kita tengok aksi Sang Gajah berseronok sewaktu mandi...

Semua gajah di Kuala Gandah dipakaikan dengan tali di leher mereka. Dah lupa pulak apa nama tali ini. Tali ini berfungsi sebagai alat keselamatan sewaktu Mahout menggembala gajah. Walaupun gajah-gajah di Kuala Gandah telah dijinakkan, ada masanya naluri haiwan liar mereka tetap menerpa. Jika ini berlaku, Mahout akan berpaut kepada tali ini untuk tujuan keselamatan.

Tali yang dipasang kepada tengkuk gajah
Lasah seronok dapat mandi
Sanum adalah ketua kawanan gajah yang membuat persembahan pada hari ini. Gajah betina boleh dibezakan dengan gajah jantan kerana mereka tidak mempunyai gading.

Lasah
Lasah adalah satu-satunya gajah yang memiliki gading dalam kawanan ini disebabkan ia adalah gajah jantan.
Dah selesai mandi
Sanum dibawa ke depan pentas
Sewaktu dia masih kecil, Sanum telah kehilangan ekornya selepas diserang oleh harimau di dalam hutan. Sewaktu ditemui, Sanum memang cedera teruk seluruh badan selepas berlawan dengan harimau. Gajah yang tercedera ini telah diselamatkan dan dibawa ke sini untuk menerima rawatan. Dengan kecederaan yang dialami, petugas di Kuala Gandah ketika itu tidak yakin Sanum boleh diselamatkan. Ternyata Sanum memang seekor Wirawati kerana dapat melalui saat sukar tersebut sehingga dapat berdiri megah di depan penonton hari ini.

Berat ekor gajah dewasa adalah 10 kg, iaitu sama beratnya dengan sebuah basikal. Walaupun ekor merupakan anggota badan gajah yang terkecil tetapi penting untuk gajah. Ekor gajah digunakan untuk menghalau lalat. Lalat mampu untuk bertelur di bawah kulit gajah dan ini menyebabkan gajah merasa tidak selesa dan jatuh sakit. 

Sanum menunjukkan ekornya yang putus diserang harimau
Bayangkan betapa ganasnya harimau yang menyerang Sanum dulu sehingga boleh memutuskan ekor Sanum.
Gajah memerlukan 150 kg makanan setiap hari dan membuang 100 kg sisa melalui perkumuhan. Ia juga memerlukan 100-150 liter air minuman setiap hari yang menyamai air minuman untuk 75 orang manusia. Gajah tidak boleh hidup lebih dari 24 jam sehari tanpa air. Disebabkan fakta inilah habitat gajah sentiasa terletak berhampiran sungai atau sumber air.

Seekor demi seekor gajah dimandikan
Seperti manusia, sambil mandi sambil itulah gajah membuang
Kemudian kita berkenalan pula dengan gajah yang bernama Siti yang berasal dari Kelantan (Negeri Cik Siti Wan Kembang).

Siti Gajah
Siti diperkenalkan kepada penonton
Menurut keterangan yang diberi, gajah-gajah ini telah dilatih untuk mengenal arahan lisan dari Mahout masing-masing. Kata seorang Mahout yang kami interview selepas persembahan ini, arahan-arahan kepada gajah banyak menggunakan Bahasa Siam. Maklumlah, teknik menjinak gajah banyak dimajukan di Thailand sana.
 
Siti menghulurkan kaki untuk memudahkan Mahout memanjat naik ke belakangnya.
Satu-satunya gajah jantan dalam kawanan ini bernama Lasah. Ia diselamatkan dari kawasan Felda Lasah di Sungai Siput, Perak. Gajah yang diselamatkan oleh Jabatan Perhilitan akan dirawat dan diajar kemahiran asas untuk membolehkan mereka dilepaskan kembali ke dalam hutan. Cuma gajah yang cacat atau dirasakan tidak mampu meneruskan kehidupan kembali di dalam hutan yang dikekalkan di Pusat Konservasi ini.

Namun ini tidaklah bermakna gajah-gajah yang dikekalkan di Pusat Konservasi ini tidak mempunyai kegunaan. Mereka akan dilatih dan digunakan dalam operasi menangkap gajah liar. Gajah-gajah jinak dari Kuala Gandah ini akan digunakan untuk memujuk dan menenangkan gajah-gajah liar untuk dipindahkan ke tempat lain. Dalam operasi menangkap dan memindahkan gajah liar, dua ekor gajah jinak dari Kuala Gandah akan membantu mengawal gajah tersebut dengan berjalan mengiring di sebelah kiri dan kanan gajah liar ini sepanjang perjalanan.

Lasah menunjukkan kemahirannya mencapai tebu yang digantung tinggi. Ada kalanya gajah kena mencapai pucuk tumbuhan yang tinggi begini untuk makan di dalam hutan.
Gajah yang terakhir pula bernama Timur. Timur menunjukkan kepada penonton bagaimana gajah tidur. Gajah akan mula tidur sewaktu berdiri. Bila dah pasti keadaan sekeliling selamat, barulah mereka akan berbaring untuk terus tidur.

Timur menunjukkan bagaimana gajah akan mula tidur dalam posisi berdiri
Selepas dah rasa selamat barulah gajah mula membaringkan diri
Posisi gajah tidur berbaring
Bangun kembali selepas tidur
Kemudian tibalah acara yang dinanti-nanti... memberi gajah makan. Ada beberapa baldi tebu percuma disediakan untuk penonton memberi makan kepada gajah. Kalau tak cukup, penonton boleh membeli tebu tambahan yang dijual di tepi pentas untuk diberi kepada gajah pada harga RM5 seikat.

Gajah bergerak ke depan untuk diberi makan oleh pengunjung
Tebu percuma yang disediakan untuk penonton memberi gajah makan. Ada beberapa buah baldi tebu disediakan.
Tebu tambahan turut dijual kepada penonton yang nak memberi gajah makan pada harga RM5 seikat
Selepas memberi gajah makan, penonton diperkenalkan pula dengan seekor anak gajah yang memakai kaki palsu yang bernama Elly. Elly yang berasal dari Jeli di Kelantan berusia 4 tahun. Kaki Elly kudung setelah terkena jerat yang dipasang oleh pemburu haram. Kesian sungguh kita melihatnya.

Anak gajah bernama Elly yang memakai kaki palsu
Kaki Elly kudung setelah terkena jerat yang dipasang pemburu haram
Elly bertuah kerana telah diselamatkan oleh kakitangan Jabatan Perhilitan dan dibawa ke Kuala Gandah untuk dirawat. Kaki palsu Elly yang berharga RM 10,000 ini direka oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dan ditaja oleh Exim Bank. Disebabkan Elly semakin membesar, kaki palsu ini perlu ditukar setiap 6 bulan. Memang kejam pemburu haram yang menyebabkan Elly menjadi kudung begini. Penonton turut ditunjukkan bagaimana Elly kini dah pandai memakai kaki palsu ini sendiri.

Elly dah pandai memakai kaki palsu sendiri
Waktu perarakan gajah masuk untuk membuat pertunjukan
Pertunjukan Gajah tamat selepas Elly menunjukkan kemahirannya memakai kaki palsu. Kami keluar dari pentas persembahan. Di laluan keluar gajah, dapat dilihat tahi gajah. Bila gajah makan, 70% makanan yang dimakan tidak dicernakan dan dibuang kembali keluar dari badan. Kerana itulah tahi gajah penuh dengan fiber tumbuhan. Kalau di Pinnawala Elephant Orphanage di Sri Lanka dulu, tahi gajah ini dikutip dan diproses menjadi kertas. Mungkin disebabkan sensitiviti di Malaysia, tahi gajah di Kuala Gandah ini cuma dibersihkan dan dibuang.

Tahi gajah di laluan keluar gajah dari tempat persembahan
70% tahi gajah terdiri dari fiber kerana perut gajah tidak dapat mencerna keseluruhan makanan yang dimakan.

Part 15: Kandang Anak Gajah @ Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah

Kandang Anak Gajah terletak betul-betul di sebelah tempat pertunjukan gajah. Star attraction di sini dah pasti anak gajah bernama Elly yang memakai kaki palsu itu.

Elly
Elly dan peminat
Elly yang jinak dan manja
Di sini sempat juga kami berbual dengan Mahout yang menjaga Elly. Beliau bercerita tentang pengalamannya memperkenalkan kaki palsu kepada Elly. Kata Mahout memang sukar pada mulanya nak memakaikan kaki palsu kepada Elly. Sebelum kaki palsu ini dipasang, kaki Elly dipakaikan dengan stokin bola yang ketat untuk memberi feeling kepada Elly yang sesuatu akan dipakaikan kepada kakinya. Berkat kesungguhan dan kesabaran, akhirnya Elly dapat menerima dan membiasakan diri memakai kaki palsu.

Kaki palsu Elly
Husband bersama Mahout yang menjaga Elly
Elly sedang melayan peminat
Pengunjung juga dibenarkan untuk memberi makan kepada anak gajah di sini. Tidak seperti di Deerland di mana kuantiti makanan yang diberi kepada rusa dikawal untuk kesihatan, makanan boleh sentiasa diberi kepada gajah. Maklum sajalah, kan gajah memerlukan 150 kg makanan setiap hari!

Anak-anak gajah
Memberi makanan kepada anak gajah
Gerai yang menjual tebu untuk makanan anak gajah
Pusat Konservasi Gajah ini ditutup pada pukul 4.15 petang. Disebabkan masih ada sedikit masa lagi, marilah kita melawat ke kandang gajah dewasa pulak. Dalam perjalanan ke sana kita jenguk lagi sungai tempat pemandian gajah di kawasan anak gajah ini.

Sungai tempat gajah mandi
Dari ramp inilah gajah-gajah dibawa turun ke sungai untuk mandi
Memang teringat kenangan melihat gajah mandi di Sri Lanka dulu sewaktu berada di sini.

Part 16: Kandang Gajah Dewasa @ Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah

Kandang Gajah Dewasa terletak di sebelah sana. Untuk ke sana, kita perlu melintas kembali kawasan kafetaria.

Berjalan ke tempat gajah dewasa
Dari apa yang Myself baca, ada 32 ekor gajah dipelihara di pusat konservasi gajah ini. Tapi tak semua dapat dilihat oleh pengunjung. Maklumlah gajah-gajah kat sini adalah gajah liar. Demi keselamatan pengunjung, hanya beberapa ekor sahaja yang boleh dilihat, tapi cukuplah untuk kita mengenali haiwan yang bernama gajah ini dengan lebih dekat.

Kawasan Latihan Gajah
Walaupun ini kawasan gajah dewasa, ada juga anak gajah yang dipelihara di sini. 
Daripada apa yang Myself perhatikan juga, lebih banyak anak gajah yang ditunjuk kepada pengunjung berbanding gajah dewasa. Mungkin sebab anak-anak gajah lebih friendly dengan manusia berbanding gajah dewasa.

Di kawasan gajah dewasa ini, kita cuma boleh melihat Kawasan Latihan Gajah. Gajah adalah haiwan yang sentiasa perlu bergerak untuk kesihatan. Maka kawasan ini disediakan untuk gajah-gajah dewasa di pusat konservasi ini membuat excercise harian.

Kawasan Latihan Gajah
Mana gajahnya?
Kat situ ada gajah
Pagar elektrik yang dipasang di sekeliling Kawasan Latihan Gajah
Ada beberapa ekor gajah dewasa di sini ketika itu dan kita boleh bermesra dengan mereka. Cara nak bermesra mestilah dengan memberi mereka makan. Kita juga dinasihatkan supaya jangan mengacah-ngacah gajah sewaktu memberi makanan untuk mengelakkan mereka menjadi marah. Gajah juga mempunyai ingatan yang kuat. Kalau kita acah-acah bagi makan dan membuat mereka marah, muka kita akan tersemat dalam memori gajah. Kalau kita datang lagi ke sini pada masa akan datang, terus kita akan kena mark dengan gajah-gajah ini sebagai manusia yang kejam. Tak mustahil mereka akan mengamuk dan menyerang bila nampak muka kita lain kali.

Gajah yang berada di pusat konservasi ini (dan juga di seluruh Malaysia) adalah Gajah Asia. Walaupun besar bagak begini, Gajah Asia adalah lebih kecil berbanding Gajah Afrika. Gajah Asia dan Gajah Afrika boleh dibezakan dengan mudah berdasarkan bentuk telinga mereka. Telinga Gajah Asia lebih kecil berbanding telinga Gajah Afrika.
 
Beza Gajah Asia (kiri) berbanding Gajah Afrika
Dulu ada aktiviti menunggang gajah di Kuala Gandah. Tapi aktiviti ini telah lama diberhentikan untuk menjaga kebajikan gajah. Dah puas melihat gajah, marilah kita pulang. Lagi pun pusat ini akan ditutup sekejap lagi....

Fakta tentang gajah
Pemandangan gajah dari belakang
Tahi gajah
Jom kita balik...
Berjalan balik ke pintu masuk
Kasihanilah Gajah...
Last pose dengan Gajah



No comments: