Wednesday, 5 October 2022

2022 TEMERLOH BHG. 02 (Bera)

Ogos 2022

PAHANG, MALAYSIA
Temerloh

Bahagian 2: Bera
BERA WATERFRONT, BANDAR BERA & TASIK BERA

Part 6: Bera Waterfront

Sebuah lagi tempat di kawasan Temerloh di mana kita boleh menikmati keindahan Sungai Pahang adalah di Bera Waterfront yang terletak di bandar Bera, kira-kira setengah jam perjalanan dari bandar Temerloh.

Bera Waterfront
Tempat duduk di Bera Waterfront
Gerai-gerai makanan di Bera Waterfront
Sungai Pahang yang terletak di negeri Pahang merupakan sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia. Di hulu sungai ini terdapat Taman Negara yang dapat dilalui menggunakan rakit dan bot kecil. Teringin juga Myself nak melawat ke Taman Negara tetapi belum ada kesempatan dan tak tahulah sama ada kita cukup fit untuk berkunjung ke sana pada usia sebegini.

Antara bandar di sepanjang sungai ini ialah Jerantut, Temerloh, Maran, Bera dan Pekan. Lembangan Sungai Pahang merangkumi 70% kawasan negeri Pahang dan dua daerah di utara Negeri Sembilan iaitu Jelebu dan sebahagian daerah Jempol.

Tempat untuk bersantai di Bera Waterfront
Jom turun ke bawah sana...
Menikmati keindahan Sungai Pahang
Laluan untuk bersiar-siar
Ada sebuah lagi laluan persiaran di sebelah sana...
I Love Bera
Sungai Pahang
Kalau di hujung tahun, air di sungai sebesar ini boleh naik melimpahi tebing sehingga menyebabkan banjir
Sungai yang bagaikan tidak berpenghujung...
Meninggalkan Bera Waterfront

Part 7: Bandar Bera

Daerah Bera pada mulanya merupakan sebahagian daripada Daerah Temerloh. Bera diisytiharkan menjadi daerah ke-11 di Negeri Pahang secara rasmi pada 1 Januari  1992.  Nama Bera digunakan bersempena Tasik Bera yang juga merupakan tasik semulajadi terbesar di Malaysia.

Poster Perdana Menteri yang merupakan Ahli Parlimen Bera
Jika datang dari arah Temerloh, kita akan dapat melihat Taman Awam Bera yang cantik. Kenderaan tentera yang diletakkan di Laman Perwira yang merupakan sebahagian dari Taman Awam Bera juga cukup menarik perhatian.

Taman Awam Bera
Laluan masuk ke Taman Awam Bera
Laman Perwira
Kenderaan-kenderaan tentera yang diletakkan di Laman Perwira di Taman Awam Bera
Bandar Bera tidak besar tetapi ada beberapa buah bangunan yang cantik dibina di tengah bandar ini.

Majlis Daerah Bera
Hospital Bera
Bandar Bera
Masjid Al Fikri

Part 8: Hotel Mass Bera

Sewaktu di Bera, Myself dan Husband pernah menginap di sebuah hotel yang bernama Hotel Mass. Hotel ini kecil tetapi cantik dan bersih.

Hotel Mass yang terletak di tengah Bandar Bera
Pintu masuk ke Hotel Mass
Kaunter pendaftaran di Hotel Mass
Hotel Mass
Hotel Mass hanya setinggi 3 tingkat. Tak ada kemudahan lif yang disediakan di hotel ini, maka terpaksalah kita mengangkut beg naik tangga ke bilik penginapan.

Naik tangga ke bilik penginapan
Kami memilih bilik yang bertingkap di Hotel Mass. Bilik penginapannya cantik dan selesa. Kebersihannya juga sangat terjaga. Cuma hotel ini sangat simple, tak ada kemudahan fridge disediakan dalam bilik. Kettle pun tak ada, tetapi ada water dispenser yang membekalkan air panas diletakkan di common area di setiap tingkat.

Bilik penginapan kami di Hotel Mass, Bera
Bilik air yang luas dan bersih
Kemudahan shower dengan air panas
Sinki
Balkoni kecil di luar bilik
Pemandangan dari balkoni bilik penginapan kami
Satu lagi pemandangan dari balkoni bilik penginapan kami
Kami menginap di hotel ini selama satu malam. Disebabkan Hotel Mass tidak mempunyai restoran, kami makan di beberapa buah restoran yang terdapat di sekitar hotel. Restoran pertama yang kami cuba adalah Restoran Ayam Berlada yang terletak selang beberapa pintu dari Hotel Mass. Nasi Goreng Ayam yang kami cuba di restoran ini memang sangat sedap.

Restoran Ayam Berlada
Pemandangan di dalam Restoran Ayam Berlada
Nasi Goreng Ayam yang sangat-sangat sedap
Disebabkan hujan turun dengan sangat lebat pada malam itu, Myself dan Husband membuat keputusan untuk dinner di restoran mamak bernama Restoran Ar Robah yang terletak betul-betul di bawah Hotel Mass. Sebaik selepas Solat Maghrib kami berkejar turun ke bawah kerana bimbang kalau-kalau restoran di sekitar bandar Bera ini ditutup awal seperti di Temerloh.

Restoran Ar Robah yang terletak betul-betul di bawah Hotel Mass
Suasana di dalam Restoran Ar Robah
Hujan lebat yang turun di bandar Bera malam itu
Kami cuma memesan Nasi Goreng Kampung dan Mee Goreng Mamak dari Restoran Ar Robah malam itu. Memang tak sangka yang masakan di restoran ini juga sangat sedap.

Mee Goreng Mamak dan Nasi Goreng Kampung yang sangat sedap di Restoran Ar Robah
Disebabkan kami mempunyai banyak perancangan, kami keluar dari hotel seawal pukul 7.30 pagi pada keesokan harinya untuk breakfast. Malangnya tak ada kedai makan berhampiran yang telah dibuka untuk kami breakfast. Atas saranan petugas di Hotel Mass, kami berjalan sehingga ke penghujung jalan kerana katanya ada sebuah restoran Melayu yang membuka perniagaannya pada waktu-waktu begini di sana. Restoran ini bernama Restoran Sina.

Restoran Sina di Bandar Bera
Seperti yang diberitahu kepada kami tadi, restoran ini baru saja memulakan perniagaan pada ketika itu. Pilihan makanan breakfast nya disediakan secara buffet. 

Beberapa pilihan makanan breakfast dah sedia pada ketika itu
Suasana di dalam Restoran Sina
Pilihan breakfast kami yang juga sangat sedap
Selepas mencuba makan di beberapa buah restoran di Temerloh dan Bera, sesuatu yang kami dapat simpulkan ialah makanan-makanan di kawasan ini memang sangat sedap. Bukan sekadar Tempoyak Ikan Patin, semua makanan yang lain juga memang sangat sedap.

Part 9: Tasik Bera

Salah sebuah tarikan sewaktu kami berkunjung ke Bera adalah Tasik Bera. Ingatkan tasik ini berada dekat-dekat pekan Bera, malah inilah antara faktor yang mendorong kami memilih menginap di pekan Bera. Rupa-rupanya ia terletak lebih 40 km dari pekan Bera, dekat-dekat dengan sempadan Negeri Sembilan. Perjalanan ke sana adalah melalui kawasan ladang-ladang kelapa sawit.

Pemandangan ladang sawit yang dilalui dalam perjalanan menuju ke Tasik Bera
Lori sawit
Arah ke Tasik Bera
Tasik Bera yang telah diwartakan sebagai Tapak Konservasi Ramsar turut menjadi lokasi tumpuan pelancong dan pusat kajian saintifik. Penat kita Google mencari maksud Tapak Konservasi Ramsar. Rupa-rupanya Tapak Ramsar adalah Tanah Lembap (Wetlands) yang mempunyai kepentingan antarabangsa, terutamanya sebagai Habitat Unggas Air. Ia adalah suatu perjanjian antarabangsa yang telah ditandatangani oleh 23 buah negara di bandar Ramsar, Iran pada 2 Februari 1971 sebagai rangka kerja memulihara tanah lembap dan potensi alam semula jadinya.    

Malaysia mempunyai 7 buah Tapak Ramsar yang diwartakan. Tapak tersebut adalah Tasik Bera (Pahang); Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai (Johor); Kuching Wetland National Park (Sarawak); Lower Kinabatangan-Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands (Sabah).

Pintu masuk ke Tasik Bera
Semua pelawat ke Tasik Bera perlu membuat pendaftaran di pintu masuk. Tak ada sebarang bayaran masuk yang dikenakan, hanya sekadar mendaftar nama dan menyatakan tujuan kedatangan dalam buku pelawat. Mungkin kami saja yang datang ke Tasik Bera untuk melawat ketika itu. Kebanyakan pengunjung lain mendaftar masuk untuk memancing ikan.

Parking dulu kereta kat luar sini untuk membuat pendaftaran masuk.
Pejabat Pentadbiran Tapak Ramsar Tasik Bera
Pondok pendaftaran pelawat
Peta Tasik Bera
Dari Pintu Pagar ini, kita masih perlu berkereta sejauh kira-kira 5 km untuk sampai ke tasik yang sebenar. Ada jalan tar yang disediakan sehingga sampai ke tasik tetapi laluannya sempit. Disebabkan hujan lebat yang turun pada malam tadi, jalan ini juga penuh dengan ranting-ranting pokok yang terjatuh sewaktu hujan ribut. 

Jalan masuk menuju ke tasik
Masih 2 km lagi...
Jalan yang sempit menuju ke tasik
Banyak ranting dan daun kering bertaburan di tengah jalan dan ada ketikanya menghalang laluan.
Akhirnya kita tiba di Pusat Pelawat Tasik Bera tetapi ia kelihatan seperti telah ditinggalkan dan tidak lagi beroperasi.

Penanda arah
Pusat Pelawat Tasik Bera
Tak tahu sama ada pusat pelawat ini masih beroperasi kerana ia bertutup rapat ketika itu.
Pintu pagar berhampiran Pusat Pelawat
Dekat Pusat Pelawat ini, ada sebuah Jeti Pelancongan dan juga beberapa buah chalet. Jeti Pelancongan ini masih berkeadaan baik tetapi chalet ini juga macam tidak lagi beroperasi. Mungkin kesan dari penangan Covid-19 dulu.

Chalet dan Jeti Pelancongan Tasik Bera
Jom masuk ke dalam Jeti...
Suasana di dalam Jeti
Tempat untuk makan-makan
Tempat untuk menikmati pemandangan
Jom kita ke sana pulak...
Pokok Talang
Banyak kami belajar tentang keistimewaan Pokok Talang ini sewaktu melawat ke Gua Niah di Sarawak dulu.
Tasik Bera dengan keluasan 35 km panjang dan 20 km lebar merupakan tasik air tawar yang terbesar di Malaysia. Ia mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi termasuk pelbagai jenis habitat yang didiami 200 spesies burung, 68 spesies mamalia dan 94 spesies ikan. Tasik ini juga merupakan kawasan perlindungan kepada banyak spesies terancam.

Tasik Bera
Pemancing Ikan
Ada 94 spesies ikan yang tinggal di dalam Tasik Bera
Seperti lain-lain kawasan tanah paya di dunia, sistem saliran Tasik Bera berperanan mengawal banjir dengan mengawal dan menapis aliran air dan seterusnya menyumbang ke arah kesinambungan sumber semula jadi kepada penduduk setempat. Ia juga berperanan sebagai 'tangki karbon' di mana komposisi tanah gambutnya berupaya menyimpan karbon dalam kuantiti yang banyak.

Menyedari hakikat bahawa Tasik Bera mempunyai kepelbagaian biologi, kawasan tanah paya ini telah diwartakan di dalam Ramsar Convention pada bulan November 1994 sebagai tanah lembap berkepentingan antarabangsa yang perlu dipulihara dan dikekalkan.

Tanah gambut di Tasik Bera
Tasik Bera sangat popular di kalangan kaki pancing
Menjala ikan di Tasik Bera
Terletak di barat daya Pahang, air Tasik Bera mengalir ke Sungai Pahang melalui Sungai Bera. Dikelilingi hutan dipterokarp tanah rendah yang kering, persekitaran tasik ini turut meliputi kawasan-kawasan hutan paya gambut. Ekosistem Tasik Bera kaya dengan pelbagai jenis hidupan liar dan tumbuhan dan juga menjadi tempat tinggal Orang Asli suku Semelai di sekitar kawasan tanah lembap.

Hutan dipterokarp yang mengelilingi Tasik Bera
Persekitaran Tasik Bera turut dikelilingi Hutan Paya
Kawasan di sekitar Tasik Bera adalah tanah kediaman tradisi masyarakat Orang Asli dari suku Semelai
Tasik Bera adalah di antara kawasan yang menjadi fokus kajian saintifik dan dilindungi di bawah undang-undang Kerajaan Malaysia dan antarabangsa. Berdasarkan maklumat yang diberi, Kerajaan Negeri Pahang telah mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Denmark dan Wetlands International Asia Pacific dalam melaksanakan kajian di tasik ini. Tak pasti sama ada kajian ini telah selesai atau masih diteruskan pada masa sekarang.

Kawasan pinggiran Tasik Bera berhampiran Jeti Pelancongan
Bergambar di Jeti Pelancongan
Tempat tambatan bot
Tangga turun ke bawah
Pemandangan indah di Tasik Bera
Pemandangan jeti dari sisi
Daun-daun pandanus di Tasik Bera
Kalau tak memancing di Tasik Bera, tak ada aktiviti lain yang boleh dibuat di sini selain menikmati suasana dan keindahannya.

Waktu terbaik untuk melawat Tasik Bera bergantung kepada musim hujan dan kering yang berlaku di sini. Tasik ini akan menjadi lubuk pemancing yang baik selepas hujan lebat. Kebetulan hujan turun dengan lebat malam tadi di kawasan Bera, oleh itu kami dapat melihat beberapa buah bot pemancing ikan di tengah tasik pada pagi itu.

Pada musim kering yang berlaku di antara bulan Februari-April dan Jun-Ogos, tasik ini dizahirkan oleh pemandangan air yang didominasi daun-daun pandanus yang mengelilingi terusan-terusan sempit yang menghala ke tasik. Pelbagai spesis paku-pakis, anggerik dan tumbuhan menumpang dapat dilihat di batang dan dahan pokok, sementara batang-batang rotan berduri berlingkar di lantai hutan. Berdozen periuk kera berwarna hijau dan merah tumbuh di rumpunan reed dan hutan tebal di tengah tasik.

Dah puas menikmati pemandangan tasik, kami mula melangkah pergi. Sedih juga melihat chalet yang ditinggalkan di kawasan ini. Kalau ada usaha untuk mempromosi tempat ini sebagai sebuah pusat pelancongan, pasti ia akan meriah kembali. Kawasan Tasik Bera yang kaya dari segi biologi dengan kepelbagaian, menjanjikan peluang yang banyak untuk aktiviti jungle trekking dan pemerhatian alam semula jadi.

Memulakan langkah pulang
Mungkin bangunan ini adalah pusat pengurusan chalet pada masa dahulu
Chalet yang ditinggalkan
Laluan bertangga untuk kembali ke tempat parking
Posing dulu sebelum pergi
Chalet yang nampaknya masih berkeadaan baik
Tempat parking kereta di sana


Bersambung ke Bahagian 3...


No comments: