ARAB SAUDI
Makkah & Madinah
Bahagian 2: MAKKAH AL-MUKARRAMAH
Part 11: Dari Madinah Ke Makkah
Selepas dua setengah hari di Madinah, tibalah masa untuk berangkat ke Makkah. Kita perlu berihram untuk masuk Makkah kerana wajib bagi pengunjung ke Makkah seperti kita untuk menunaikan Umrah sebaik masuk ke kota Makkah.
Bas kami bertolak ke Makkah pada pukul 3.00 petang. Jadi, sebagai persediaan, semua jemaah diminta siap-siap memakai pakaian ihram ketika dari hotel di Madinah lagi.
Untuk memudahkan urusan perjalanan ke Makkah, bagasi perlu diletakkan di lobi hotel seawal jam 10 pagi lagi. |
Bersiap untuk menunaikan Umrah. Ketika ini masih di lobi hotel di Madinah. |
Bagasi untuk dibawa ke Makkah dimasukkan ke dalam bas. |
Perjalanan dari Madinah ke Makkah juga dijangka mengambil masa 6 jam. Dalam perjalanan, bas berhenti di Masjid Bir Ali yang merupakan Miqat Umrah bagi mereka yang datang menunaikan Umrah dari arah Madinah.
Disebabkan Masjid Bir Ali penuh sesak, pemandu bas enggan berhenti di sini. Jadi kami cuma memasang niat di dalam bas sahaja sebelum meneruskan perjalanan ke Makkah.
Sebuah lagi stesen minyak yang disinggahi dalam perjalanan dari Madinah ke Makkah |
Pemandangan perjalanan dari Madinah ke Makkah |
Bayangkan .. inilah gurun yang ditempuhi oleh Rasullullah saw sewaktu baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah. Ketika itu baginda hanya bergerak menaiki unta sahaja. |
Part 12: Wadi Qudaid
Dalam perjalanan, bas membuat persinggahan di sebuah tempat bernama Wadi Qudaid. Menurut Mutawwif kami, persinggahan di sini adalah sunnah Nabi kerana baginda turut berbuat demikian ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah.
Ketika itu, Nabi Muhammad dan sahabatnya Abu Bakar telah singgah di rumah seorang perempuan tua. Walaupun dia serba kekurangan, wanita itu tetap melayan Nabi dengan menghidangkan susu kambing. Wanita itu juga telah memerhatikan keberkatan pada Nabi sehingga akhirnya dia turut memeluk Islam di hadapan Rasullullah saw.
Wadi Qudaid kini dipenuhi dengan kedai makan. Disebabkan kami tidak singgah di Bir Ali sewaktu memasang niat Umrah, Mutawwif mencadangkan supaya kami membuat Solat Sunat Ihram di sini.
Pemandangan di Wadi Qudaid |
Satu lagi pemandangan di Wadi Qudaid |
Ruang solat wanita di Surau Wadi Qudaid di mana kami menunaikan Solat Sunat Ihram. |
Ruang solat lelaki di Surau Wadi Qudaid |
Kami juga makan malam di Wadi Qudaid. Makanan adalah hidangan tipikal Arab. Tak perlu membayar kerana harga makanan telah termasuk dalam pakej umrah.
Pemandangan dalam restoran waktu makan malam di Wadi Qudaid. |
Ketika ini angin bertiup sangat kencang dari tingkap di belakang tu sampai nak terbang pinggan plastik yang diberi. Selepas tuan restoran menutup tingkap barulah kami dapat makan dengan selesa. |
Makanan yang disajikan dihidang dalam dulang dan dikongsi 5 orang. Walaupun nampak sangat simple, makanannya sangat sedap. |
Kami menunggu di Wadi Qudaid sehingga masuk waktu Maghrib.
Pemandangan di Wadi Qudaid ketika Maghrib menjelang |
Wadi Qudaid lebih meriah di waktu malam |
Kedai menjual popcorn di Wadi Qudaid |
Di Wadi Qudaid juga, kami dapat melihat keindahan sewaktu matahari terbenam di padang pasir.
Pemandangan indah matahari terbenam di padang pasir. |
Tidak seperti di Malaysia di mana pemandangan matahari terbenam boleh dilihat untuk suatu jangkamasa tertentu, matahari akan terbenam dalam masa hanya 1-2 minit di padang pasir. |
Part 13: Menunaikan Umrah Di Makkah
Kami tiba di Makkah pada pukul 9 malam. Ketika memasuki kota Makkah, bas terpaksa bergerak perlahan menuju ke hotel kerana terpaksa mengharungi lautan manusia yang baru sahaja pulang dari menunaikan Solat Isyak di Masjidil Haram.
Antara pemandangan pertama yang diperhatikan sewaktu tiba di kota Makkah adalah Menara Zam Zam yang merupakan menara jam tertinggi di dunia sekarang. |
Pemandangan di Jalan Ibrahim Al-Khalil berhampiran hotel ketika kami tiba di Makkah. |
Sebaik meletakkan beg di bilik, kami diminta untuk berkumpul semula di lobi hotel pada pukul 10.30 malam untuk meneruskan Umrah. Umrah perlu diselesaikan dengan segera, tanpa mengira pukul berapa kita sampai di Makkah kerana kita berada dalam keadaan ihram ketika itu. Sewaktu dalam ihram, banyak pantang-larang yang perlu diikuti yang mana jika terlanggar perlu membayar dam sebagai penalti. Sekiranya peraturan ini tidak diikuti, kita akan sentiasa berkeadaan berdosa.
Ihram sebenarnya menguji bagaimana kita boleh mengawal diri untuk mendapatkan keredhaan Allah. Mengikut pengalaman Myself, jika kita dah berada di Makkah dan menunaikan umrah, dalam masa minimum kira-kira 2 jam kita dah boleh terlepas dari pantang-larang ihram. Berbeza dengan ketika menunaikan Haji, paling segera kita boleh melepaskan diri adalah minimum 3 hari. Oleh yang demikian, memang sukar nak menjaga pantang larang ihram bagi mereka yang tidak mempunyai kawalan diri. Kerana itulah Umrah perlu diselesaikan dengan segera untuk mengelak dari kemungkinan berdosa.
Berbeza dengan Haji, Rukun Umrah hanya 5 perkara: (1) Berniat di Miqat (ini kami lakukan di Bir Ali sewaktu datang dari Madinah), (2) Tawaf di Kaabah, (3) Saei di antara Bukit Safa dan Marwah, (4) Tahallul (bergunting selepas Saei menandakan bebas dari pantang larang ihram) dan (5) Tertib (kena lakukan semua perkara Umrah mengikut sequence).
TAWAF DI KAABAH
Bagi yang pertama kali tiba di Makkah, pemandangan melihat Kaabah sangat mengujakan.
Inilah Kaabah ~ kiblat orang Islam setiap kali menunaikan Solat. |
Sewaktu kami tiba di Makkah pada bulan April, waktu kemuncak Umrah telah selesai. Jadi kami boleh bertawaf dengan agak selesa di sekeliling Kaabah.
Jika kita melakukan Tawaf kerana Umrah, Tawaf tersebut perlu diikuti dengan Saei. Tapi jika kita sekadar membuat Tawaf Sunat, tidak perlu lakukan Saei selepas itu.
Melakukan Tawaf Sunat lebih baik dari bersolat sunat di Masjidil Haram. Ini adalah kerana Solat Sunat boleh dilakukan di mana-mana sahaja tetapi Tawaf hanya boleh dibuat di sini sahaja dan tidak di tempat-tempat lain. Di samping itu, kawalan diri ketika melakukan Tawaf sebenarnya tidak semudah kawalan diri sewaktu melakukan Solat Sunat. Ada peraturan-peraturan tertentu yang perlu diikuti ketika bertawaf dan cukup mudah peraturan tersebut dilanggar jika tidak berhati-hati disebabkan keadaan orang yang bertawaf di sekeliling Kaabah itu sendiri.
Antara perkara yang paling sukar dijaga (terutama ketika Tawaf Haji) adalah menjaga air sembahyang. Dulu, pengikut mazhab Syafie seperti kita diajar bertaklik kepada mazhab lain untuk menjaga air sembahyang sewaktu bertawaf. Kini kita tak perlu lagi berbuat begitu kerana ulama Mazhab Syafie telah sepakat mengenai keadaan yang dikatakan Darurat sewaktu bertawaf.
Selepas bertawaf, kita disunatkan untuk melakukan Solat Sunat di belakang Makam Ibrahim. Tempat di antara pintu Kaabah dan Makam Ibrahim adalah juga tempat makbul doa. Jadi, nak mendapatkan tempat yang strategik untuk bersolat dan berdoa di sini bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan.
Makam Ibrahim adalah sebuah batu ajaib yang dikurniakan Allah kepada Nabi Ibrahim as sewaktu beliau mendirikan Kaabah bersama anaknya Nabi Ismail. Ketika itu, batu ini berfungsi bagai sebuah lif hidraulik yang boleh meninggi dan merendahkan Nabi Ibrahim mengikut keperluan. Pada masa kini, batu itu kelihatan seperti sebuah batu biasa yang mempunyai kesan tapak kaki Nabi Ibrahim di atasnya.
Pandangan lebih dekat antara Multazam dan Makam Ibrahim. |
Setelah Kaabah selesai didirikan, Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim menyeru manusia untuk datang menunaikan Umrah dan Haji. Adalah dikatakan arah pertama yang diseru oleh Nabi Ibrahim ialah di sebelah Timur. Kerana itulah paling ramai orang yang mengerjakan Haji dan Umrah sehingga kini datang dari arah Timur (Malaysia, Indonesia, India, Pakistan dsb).
Satu lagi tempat yang makbul doa di Kaabah adalah di bawah Pancuran Emas di Hijir Ismail. Dari pengalaman Myself, untuk masuk ke kawasan ini lebih sukar dan mencabar. Kerana itu jugalah sukar nak ambil gambar di sana kerana risiko kamera akan jatuh jika berbuat begitu sangat tinggi di sini.
SAEI DI ANTARA SAFA DAN MARWAH
Saei adalah rukun Umrah yang perlu diikuti selepas bertawaf di keliling Kaabah. Ia dijadikan manasik (perbuatan Wajib) Umrah dan Haji kerana memperingati ketaatan dan ketakwaan seorang wanita yang bernama Siti Hajar.
Siti Hajar adalah isteri kedua Nabi Ibrahim a.s. Dia telah ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di Lembah Bakkah (nama asal Makkah) bersama anaknya yang masih kecil (i.e. Nabi Ismail) atas perintah Allah swt. Demi mencari air untuk anaknya, Siti Hajar telah berlari ulang-alik di antara 2 bukit yang tinggi bernama Bukit Safa dan Bukit Marwah. Berkat ketakwaan beliau, akhirnya Allah mengurniakan air zam zam untuk kedua beranak ini. Air ini tidak pernah kering sehinggalah ke hari ini.
Saei dimulakan dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. Perjalanan dari Safa ke Marwah dikira satu perjalanan dan perjalanan dari Marwah kembali ke Safa juga dikira satu perjalanan. Jarak di antara kedua bukit ini ialah 500 meter. Maka, bila kita mengerjakan Saei bermakna kita telah berjalan dan berlari-lari anak sejauh 3.5 km.
Sesiapa yang dah pernah membuat Saei pasti tahu betapa tinggi dan curamnya kedua-dua bukit Safa dan Marwah. Myself akui disebabkan usia yang telah meningkat sekarang, perjalanan Saei kali ini tidak semudah sewaktu 3 perjalanan Umrah/Haji sebelum ini.
Batu yang masih dikekalkan di Bukit Safa |
Tempat bersaie dari Bukit Safa menuju ke Marwah |
Bila sampai di tempat lampu hijau di depan sana, sunat berlari-lari anak. |
Pada pusingan pertama dan kedua, kami masih gagah nak berlari-lari anak di sini. Tapi bila masuk ke pusingan ketiga dan seterusnya, pada usia ini memang dah pancit untuk berlari-lari anak di sini. |
Satu lagi pandangan dari puncak Bukit Marwah. Perhatikan betapa tinggi puncak bukit ini sebab kita tak nampak laluan Saei di bawah sana dari sini. |
Laluan pusingan seterusnya dari Bukit Marwah ke Bukit Safa. Di bawah lampu hijau sana disunatkan berlari-lari anak sekali lagi. |
Sampai kembali ke Bukit Safa |
Tidak seperti Tawaf, Saei tiada pantang larang selain dari melalui kawasan yang ditetapkan dan dilakukan dalam 7 pusingan. Malah kita juga tak diwajibkan berada dalam keadaan wuduk sewaktu melakukan Saei. Kalau penat, boleh berhenti minum air dan sambung saja Saei dari tempat kita berhenti. Ini berbeza dengan tawaf kerana jika kita berhenti rehat sebelum habis satu pusingan, batal pusingan tersebut dan kena dimulakan semula pusingan yang terbatal itu.
Kami selesai mengerjakan Umrah pada pukul 2 pagi. Waktu Subuh di Makkah masuk pada pukul 4.42 pagi. Kami benar-benar dalam dilemma.. Perjalanan balik ke hotel dengan berjalan kaki memakan masa 20 minit. Dan berdasarkan keadaan di Makkah ketika itu, kami perlu datang ke Masjid 1 jam 30 minit lebih awal sebelum masuk waktu untuk membolehkan kita bersolat dengan selesa. Ini bermakna kami perlu datang kembali ke Masjid pukul 3 pagi, sedangkan kami tak mendapat rehat yang cukup pada malam itu.
Nak menunggu saja di Masjid sampai pukul 4.42 pagi pulak, rasanya memang tak terdaya dengan keadaan badan yang sangat letih dengan perjalanan jauh dari Madinah dan disambung dengan ibadah Umrah. Bimbang diri jatuh sakit dan tak dapat beribadah di Masjidil Haram pada hari-hari mendatang, kami akhirnya membuat keputusan balik ke hotel dan bersolat Subuh di sana saja pada pagi itu..
Bersambung ke Bhg. 3..
CATATAN PERJALANAN JORDAN & UMRAH (2013):
- Jordan Bhg. 1 (Menjejak Kaki Di Bumi Jordan)
- Jordan Bhg. 2 (Gua Asyabul-Kahfi, Wadi Syuaib & Laut Mati)
- Jordan Bhg. 3 (Petra & Muktah)
- Jordan Bhg. 4 (Lembah Jordan, Ajlun & Jerash)
- Umrah Bhg. 1 (Madinah Al-Munawwarah)
- Umrah Bhg. 2 (Makkah Al-Mukarramah)
- Umrah Bhg. 3 (Ziarah Kota Makkah)
- Umrah Bhg. 4 (Makkah-->Jeddah-->Amman-->Kuala Lumpur)