Tuesday, 16 April 2013

2013 JORDAN BHG. 2 (Amman)

April 2013

JORDAN
Amman & Petra

Bahagian 2 : Amman (2)

GUA ASHABUL-KAHFI, WADI SYUAIB & LAUT MATI

HARI KEDUA

Part 6: Gua Ashabul-Kahfi

Sesi lawatan bermula pada hari pertama ketika tiba di Amman. Dari Queen Alia Airport, kami dibawa terus ke hotel penginapan. Memandangkan bilik-bilik kami belum dapat disediakan oleh pihak hotel, Abu Sarah mencadangkan supaya kami meninggalkan saja bagasi kami di ruang penyimpanan di hotel dan kami terus menaiki bas untuk memulakan sesi lawatan.

Destinasi pertama kami ialah melawat ke Gua Ashabul Kahfi yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari Amman. 

Pemandangan dalam perjalanan menuju ke Gua Ashabul Kahfi
Kisah Ashabul Kahfi merupakan suatu kisah benar yang tertulis di dalam Al Quran (Surah Al-Kahfi) mengenai beberapa orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua, dan cuma bangun 309 tahun kemudian.

Berjalan menuju ke Gua Ashabul Kahfi dari tempat bas.
Gua ini juga dikenali dengan nama Cave Of The Seven Sleepers.
Taman indah yang dilalui sebelum sampai ke pintu gua.
Mata air di hadapan pintu gua Ashabul Kahfi
Pemuda-pemuda beriman ini hidup pada masa Raja Diqyanus di Rom, beberapa ratus tahun sebelum diutusnya Nabi Isa a.s. Mereka hidup di tengah masyarakat penyembah berhala dengan seorang raja yang zalim. Demi menjaga iman, mereka melarikan diri dari kota, dikejar oleh tentera raja untuk dibunuh. Hingga pada suatu ketika, sampailah mereka di mulut sebuah gua yang kemudian dijadikan tempat persembunyian. Bersama mereka adalah seekor anjing bernama Qitmir yang sentiasa mengekori. Menurut ceritanya, walau berkali-kali dihalau, Qitmir enggan meninggalkan pemuda-pemuda tersebut lalu mereka membenarkan anjing ini ikut bersama. 

Pintu Gua Ashabul Kahfi
Ukiran di luar Gua Ashabul Kahfi. Tak tahu sama ada ukiran ini telah wujud sejak dulu atau dibuat kemudian.
Pintu masuk ke Gua Ashabul Kahfi.
Satu lagi pemandangan di luar Gua Ashabul Kahfi
Allah kemudiannya telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut selama 309 tahun. Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah, badan dan jasad mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur.

Sedang mendengar penerangan yang disampaikan dalam Bahasa Inggeris oleh petugas di Gua Ashabul Kahfi.
Pemandangan di dalam Gua Ashabul Kahfi dari pintu gua.
Menghayati kisah Ashabul Kahfi.
Setelah sampai tempoh yang ditetapkan Allah (309 tahun), mereka dibangunkan oleh cahaya matahari yang menyiram ke dalam gua. Mereka menyangka mereka hanya tidur sepanjang sehari atau separuh hari sahaja.

Dari lubang inilah cahaya masuk ke dalam gua sehingga membangunkan pemuda-pemuda Ashabul Kahfi.
Pemandangan lubang yang seperti chimney
Sebaik bangun dari tidur, mereka terasa lapar. Maka sebahagian dari mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke Bandar bagi mencari sesuatu untuk dimakan. Akhirnya mereka memilih seorang pemuda bernama Tamlikha untuk ke kota membeli makanan. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu, mereka membawa bersama bekalan wang perak.

Walaupun dalam keadaan yang gawat dan susah serta kelaparan, mereka masih berpesan kepada sahabat yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih dan halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah.

Namun Allah telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukkan kekuasaan dan kehebatanNya. Kebetulan semasa pemuda-pemuda Ashabul Kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 309 tahun lamanya, suasana negeri telah banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri telah beriman kepada Allah. Begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya.

Pemuda tersebut merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya yang berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan wakil itu dan mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya adalah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Tamlikha dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama.

Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua Ashabul Kahfi bersama Tamlikha, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda lain sekeliannya dan mendengar kisah mereka. Sejurus kemudian, pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya.


Di sinilah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi tertidur di dalam gua. Setelah mereka benar-benar mati, mereka dikebumikan dalam keranda-keranda batu ini mengikut syariat pada masa itu (Pemuda-pemuda Ashabul Kahfi ini hidup sebelum zaman Nabi Isa lagi).
Tulang-tulang Pemuda Ashabul Kahfi yang disimpan di dalam Gua.
Raja mencadangkan supaya sebuah masjid didirikan di sisi gua itu. Sementara itu ada yang mencadangkan supaya mendirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan. Hal ini diceritakan Allah dalam Surah Al-Kahfi di dalam Al-Quran.

Binaan batu di atas gua ini adalah masjid asal yang didirikan untuk memperingati pemuda-pemuda Ashabul Kahfi.
Pada masa kini, telah dibina sebuah masjid baru bagi menggantikan masjid lama itu.
Pokok zaitun di luar gua.
Taman yang indah di luar Gua Ashabul Kahfi

Part 7: Wadi Syuaib 

Dari Gua Ashabul Kahfi, kami menaiki bas ke Wadi Syuaib yang merupakan kampung kediaman Nabi Syuaib as pada masa dahulu. Nabi Syuaib adalah bapa mertua kepada Nabi Musa AS.


Perjalanan ke Wadi Syuaib
Perkampungan di Wadi Syuaib
Selepas meninggalkan Mesir kerana melarikan diri dari Firaun selepas membunuh seorang pemuda Qibti secara tidak sengaja, Nabi Musa tiba di sini. Dia bertemu dengan anak-anak perempuan Nabi Syuaib yang sedang menunggu giliran dengan sabar untuk mengambil air dari sebuah perigi di sini untuk kambing-kambing gembalaan mereka. 

Sebagai membalas jasa Nabi Musa kerana membantu anak-anak perempuannya mengambil air untuk ternakan mereka, Nabi Syuaib telah menjemput beliau tinggal bersama mereka. Nabi Musa kemudiannya berkahwin dengan anak Nabi Syuaib.

Kawasan Wadi Syuaib
Wadi Syuaib adalah sebuah kawasan bukit batu yang dipenuhi dengan rumput-rumput hijau. Memang tidak sukar membayangkan kehidupan Nabi Syuaib dan anak-anaknya menggembala kambing di sini pada masa dahulu.

Di Wadi Syuaib, kami dibawa menziarahi Makam Nabi Syuaib.

Pemandangan di luar Makam Nabi Syuaib
Mendengar penerangan dari petugas Makam. Penerangan disampaikan dalam Bahasa Arab dan diterjemahkan kepada kami oleh Mutawif Andalusia yang menemani kami sepanjang perjalanan.
Pemandangan di belakang Makam Nabi Syuaib. Amat tenang dan mendamaikan, mungkin kerana kawasan ini pernah didiami oleh Nabi-Nabi Allah pada masa dahulu.

Part 8: Laut Mati 


Destinasi seterusnya, Laut Mati juga mempunyai perkaitan dengan sejarah Nabi-Nabi. Di sinilah letaknya bandar Sodom dan Gomorah yang dihuni oleh kaum Nabi Lut a.s, anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s. Kaum Nabi Lut menentang perintah Allah dengan mengamalkan cara hidup songsang, maka bala diturunkan sebagai balasan di mana Malaikat telah menggenggam tanah bandar mereka tinggal lalu diterbalikkan sehingga memusnahkan semua penghuninya.

Laut Mati kini adalah kawasan paling rendah di muka bumi, lebih 400m di bawah aras laut. Untuk sampai ke sana kita perlu menuruni lurah yang sangat jauh ke dalam.


Peta Amman dan Laut Mati
Kesan perbezaan tekanan ketika menuruni lurah menuju ke Laut Mati mungkin boleh disamakan dengan kesan menaiki gunung yang tinggi. Kesan perbezaan tekanan boleh dirasakan pada badan kita dan suhu di kawasan ini juga jauh lebih panas dari suhu di Amman. Perbezaan suhunya hampir 6 darjah Celcius.

Lurah yang perlu dituruni dengan menaiki bas untuk sampai ke Laut Mati
Perbezaan aras Laut Mediterranean dengan Laut Mati.
Pemandangan sewaktu menuruni lembah menuju ke Laut Mati
Kawasan Laut Mati juga bersempadan dengan negara Israel. Malah Amman dan Jerusalem (nama Arabnya Baitulmaqdis) yang merupakan ibu negara Israel hanya dipisahkan sejauh 50 km. Kata Tourist Guide kami, Abu Sarah kedua-duanya bagaikan bandar kembar. Kalau hujan turun di Amman, hujan jugalah di Jerusalem. Kalau salji turun di Amman, salji jugalah di Jerusalem.

Pemandangan di sempadan Jordan-Israel. Pergunungan di belakang sana terletak dalam negara Israel.
Sempadan Jordan-Israel berhampiran Laut Mati. Bandar Jericho di Tebing Barat Palestine (yang merupakan sebahagian dari Negara Israel kini) sayup kelihatan di kejauhan.
Bagi orang Jordan, negara Israel adalah Tanah Palestine yang dikuasai oleh orang Yahudi. Mereka juga berbangga kerana tentera darat Jordan sangat ditakuti oleh Israel. Dalam Perang Arab-Israel pada tahun 1948 yang menyaksikan banyak tanah dalam Wilayah Arab jatuh ke tangan tentera Israel, hanya wilayah milik Jordan yang tidak dapat dikuasai. 

Perang Arab-Israel juga menyebabkan ramai penduduk Palestine kehilangan rumah dan tempat tinggal. Sebahagian besar mereka melarikan diri ke Jordan untuk membina kehidupan baru. Namun ramai juga di antara mereka yang memilih untuk menetap di Israel (lebih 1 juta orang). Mereka yang memilih untuk tinggal di Israel ini dikenali di kalangan orang Arab sebagai 1948 Arabs.

Sempadan darat Jordan-Israel kini hanya boleh diseberangi menerusi Allenby Bridge yang juga dipanggil King Hussein Bridge.

Jalan ke Allenby / King Hussein Bridge yang menghubungkan Jordan dengan Israel. Di penghujung jalan inilah letaknya bandar Jericho.
Jalan lama ke Baitulmaqdis yang telah ditutup pada masa sekarang.
Pemandangan dekat jalan yang telah ditutup. Gambar diambil dari atas bas.
Resort mewah yang dibina di pinggir Laut Mati
Sebuah lagi resort mewah yang masih dalam pembinaan di pinggir Laut Mati.
Hotel Movenpick di pinggir Laut Mati.
Perjalanan menuju ke Amman Beach di pinggir Laut Mati.
Destinasi Laut Mati kami adalah sebuah pantai awam yang dinamakan Amman Beach.

Bergambar di signboard Amman Beach
Pemandangan di Amman Beach.
Gerai Sand Art di Amman Beach
Laut Mati sebenarnya bagaikan sebuah tasik air masin. Ia mempunyai kepanjangan 56 km dan lebarnya hanya 5 km serta dikongsi oleh Jordan dan Israel. Ia dinamakan Laut Mati kerana airnya yang sangat masin tidak memungkinkan sebarang hidupan seperti ikan atau rumpai laut tumbuh di dalamnya.

Disebabkan kawalan ketat tentera di sebelah Israel, tak sesiapa pun boleh menyeberang laut ini dari Jordan ke Israel atau sebaliknya. Di sepanjang sempadan, banyak terdapat pos-pos kawalan tentera. Atas sebab-sebab keselamatan, kami diminta untuk tidak mengambil gambar tentera atau apa-apa saja milik tentera (contoh: kenderaan, bangunan dsb.)

Negara Israel jelas dapat dipandang dari sini kerana kelebaran Laut Mati cuma 5 km.
Kami makan tengahari di sebuah restoran di Amman Beach. Makanan dihidang secara bufet dengan menunya masakan Arab.

Restoran Amman Beach
Menu pilihan makanan tengahari
Tidak seperti laut lain, ketumpatan air Laut Mati sangat tinggi sehingga menyebabkan apa juga yang berada di dalam laut ini akan terapung. Pengalaman ini Myself rasakan sendiri sewaktu berdiri di dalam laut. Myself tak dapat berdiri lama di dalam Laut Mati kerana terasa air laut ini menolak Myself untuk mengapung di dalam air. Bimbang takut terjatuh ke dalam laut, cepat-cepat Myself naik ke daratan (Maklumlah, kita tak bawak baju spare kalau kebasahan jatuh dalam laut).

Pengunjung ke Laut Mati selalunya akan mencuba pengalaman mengapung di dalam air laut yang masin ini.
Peraturan berenang di Laut Mati
Bagi yang nak mencantikkan kulit, mereka akan melumurkan seluruh badan dengan lumpur dari Laut Mati.
Untuk kemudahan pengunjung, lumpur Laut Mati dikumpulkan di bangsal ini. Tak perlu bersusah-payah mengorek lumpur dari dasar laut.
Air Laut Mati sangat masin. Letakkan saja setitik air laut ke atas lidah, masinnya menyengat sampai ke belakang telinga (Believe me, I've tried!!). Menurut ceritanya kemasinan air di sini 8 kali ganda lebih masin dari air Laut Mediterranean.

Dasar Laut Mati dipenuhi dengan kepingan garam.
Serpihan-serpihan batu garam di Laut Mati
Nampak macam batu, tapi sebenarnya kepingan garam.
Bila batu digentel, maka keluarlah serpihan-serpihan garam.
Tak boleh berdiri lama dalam air Laut Mati kerana ketumpatan air masin ini akan cuba mengapungkan kita. Kalau tak berhati-hati, pasti terjatuh dalam air.
Pengunjung walau bagaimanapun dinasihatkan supaya hanya mengapung diri dan tidak menyelam dalam air kerana air garam ini mungkin mencederakan mata.
Tangan yang sangat melekit selepas direndam dalam air Laut Mati
Tangga untuk naik kembali ke pintu masuk Amman Beach.
Pintu masuk ke Amman Beach dari pantai Laut Mati.
Kolam renang di Amman Beach
Kebun sayur di sempadan Jordan dan Israel/Palestine dalam perjalanan pulang ke Amman.
Banyak kegiatan pertanian dilaksanakan di sempadan Jordan dan Israel/Palestine ini.
Mendaki Lembah Laut Mati untuk kembali ke Amman

Part 9: Noumani Bazar

Kembali ke Amman, kami singgah di sebuah kedai menjual cenderamata bernama Noumani Bazar (No-Money Bazar, kata Abu Sarah berseloroh). Di sini ada pelbagai cenderamata yang menarik, tetapi harganya agak mahal kerana kadar pertukaran matawang Jordan yang tinggi berbanding Ringgit Malaysia.

Noumani Bazzar
Jordan terkenal dengan kosmetik dari Laut Mati. Pelbagai jenama dan jenis kosmetik ditawarkan, dari garam mandian dan sabun sehinggalah pelbagai losyen kulit.

Kosmetik Laut Mati adalah antara cenderamata popular di Jordan


Bersambung Ke Bhg. 3...


CATATAN PERJALANAN JORDAN & UMRAH (2013):