Monday, 15 April 2013

2013 JORDAN BHG. 1 (KL - Amman)

April 2013

JORDAN
Amman & Petra

Bahagian 1: Amman (1)
MENJEJAK KAKI DI BUMI JORDAN

Selepas menunaikan ibadah Haji ke Tanah Suci pada tahun 2005/6, timbul pula keinginan di hati kami untuk menunaikan umrah ke sana selepas lebih 6 tahun berlalu. Walau bagaimanapun, memandangkan ini akan menjadi kunjungan keempat ke Tanah Suci bagi Myself (dan kali ketiga bagi Husband), kami merancang untuk mengambil pakej Umrah dan Ziarah.

Bertepatan dengan semangat umrah, kami memilih mengikut pakej Umrah dengan ziarah ke negara Jordan. Jordan menjadi pilihan kami kerana ia bumi Anbia' dan program lawatan yang ditawarkan banyak meliputi peninggalan nabi-nabi terdahulu di sana. 

Perjalanan membuat Umrah berbeza dengan percutian biasa kerana ia perjalanan rohani. Banyak persiapan yang perlu dibuat, lebih kurang macam persediaan nak buat Haji dulu. Untuk mendapatkan visa umrah, kita perlu mengambil suntikan Menangitis dan selepas itu perlu pula mengikuti kursus umrah yang dianjurkan oleh Travel Agent untuk memastikan perjalanan Umrah kita kelak tidak sia-sia.

Penantian Visa Umrah juga mendebarkan kerana ia hanya dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi pada saat-saat akhir sebelum berangkat. Kadang-kadang permohonan visa ditolak atas pelbagai sebab yang tidak diduga. Sebab itulah sewaktu dimaklumkan permohonan visa kami lulus seminggu sebelum berlepas, hati rasa sangat bersyukur. Teringat kata Ustaz sewaktu kami membuat Haji dulu ~ hanya orang yang dijemput sebagai tetamu Allah sahaja yang akan sampai ke Tanah Suci. Jika kedatangan kita terhalang atas sebarang sebab (termasuk kerana tak dapat visa), bukan Kerajaan Arab Saudi yang sebenarnya menolak kedatangan kita. Sebaliknya ia kerana kita tak dijemput oleh Allah swt menjadi tetamuNya. 

Pakej perjalanan Umrah juga biasanya memakan masa paling kurang 12 hari termasuk perjalanan pergi-balik. Untuk pakej Umrah pilihan kami, ia memakan masa 15 hari termasuk persinggahan 4 hari di negara Jordan.

HARI PERTAMA

Part 1: Kasihan Tam Tam Kena Tinggal

Antara perkara yang merunsingkan kami sebelum berlepas menunaikan Umrah adalah siapa nak menjaga kucing kesayangan kami, Tam Tam. Dalam percutian sebelum ini yang biasanya tak lebih 5 hari, Tam Tam akan ditinggalkan saja di rumah dengan bekalan makanan dan minuman yang mencukupi.

Memandangkan kami akan berpergian selama 15 hari, kami tak tergamak pulak nak tinggalkan Tam Tam bersendirian di rumah untuk tempoh sepanjang itu. Kami juga tak selesa nak tinggalkan Tam Tam di Kedai Pet yang biasa kami belikan makanan untuknya kerana selain dari kucing, kedai tersebut juga mempunyai khidmat boarding untuk anjing. Kasihan kat Tam Tam nanti kena tidur dekat anjing!

Namun jika niat pengembaraan kita baik, ada pertolongan diberikan Tuhan. Sebulan sebelum kami dijadualkan bertolak, kami terjumpa sebuah Kedai Pet yang baru dibuka tidak jauh dari rumah kami. Pemilik kedai ini orang Islam, makanya ia tidak menawarkan khidmat boarding untuk anjing. Yang lebih best, di kedai ini juga terdapat seorang doktor haiwan sepenuh masa. Jadi, kalau Tam Tam ditakdirkan jatuh sakit, ia boleh terus dirawat oleh doktor tersebut.

Kedai Pet di mana Tam Tam kami tinggalkan selama 15 hari.
Oleh kerana jadual penerbangan kami dari Kuala Lumpur ke Amman berlepas pada sebelah malam, pada sebelah paginya kami membawa Tam Tam untuk boarding di kedai tersebut. Tam Tam bagaikan tahu yang tuannya nak pergi menunaikan Umrah. Sedikitpun dia tak memprotes sewaktu dia dimasukkan ke dalam sangkar di kedai ini untuk ditinggalkan. Maka, senanglah hati kami meninggalkan kucing comel ini di sana.

Tam Tam tak langsung memprotes sewaktu ditinggalkan.
Tam Tam menggesel muka dengan manja kepada sangkarnya, seolah-olah memberitahu tuannya supaya jangan bimbang meninggalkannya di sini.

Part 2: Perjalanan Ke Amman 

Penerbangan Royal Jordanian kami dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur ke Amman dengan membuat satu persinggahan di Bangkok pada pukul 10.10 malam. Walau bagaimanapun, seawal jam 6.00 petang kami telah tiba di KLIA.

Makan di McDonald's sambil menunggu waktu check-in.
Perjalanan Umrah kami turut disertai oleh seorang ibu saudara, Wan Yah. Oleh kerana ini merupakan kali pertama Wan Yah pergi ke Tanah Suci, ramai ahli keluarganya yang datang menghantar beliau ke KLIA.

Wan Yah tiba di KLIA
Kumpulan kecil kami ke Tanah Suci
Bergambar kenangan sebelum berlepas ke Jordan
Ahli keluarga Wan Yah yang datang menghantar ke KLIA
Menolak bagasi untuk check-in.
Kumpulan Umrah kami mempunyai 24 orang ahli yang datang dari seluruh negara. Kami bertemu buat pertama kali sewaktu check-in di KLIA.

Kumpulan Umrah kami sedang diberi taklimat perjalanan oleh wakil dari pengendali pakej umrah dari Syarikat Andalusia.
Penerbangan Royal Jordanian yang kami naiki berlepas dari KLIA ke Amman tepat pada pukul 10.10 malam. Bagi Myself dan Husband, ini kali pertama menggunakan khidmat penerbangan ini dan kali ketiga menggunakan khidmat syarikat penerbangan Arab selepas Emirates dan Saudi Arabian Airlines.

Pemandangan di dalam pesawat Royal Jordanian dari KL ke Amman
Orang-orang Jordan tinggi-tinggi belaka, maka tempat barang dalam pesawat ini juga cukup tinggi. Bagi Myself yang dikategorikan tinggi di Malaysia, rupa-rupanya masih pendek mengikut standard orang Jordan ~ masih terpaksa mengjengket dan meminta bantuan dari peramugari untuk meletakkan beg kat tempat letak barang di atas!

Tempat barangnya cukup tinggi, terpaksa minta bantuan dari peramugari untuk meletakkan beg di atas sana.
Walaupun pihak Andalusia telah menyusun tempat duduk mengikut kumpulan keluarga, atas sebab-sebab tertentu, kami diberikan tempat duduk secara rawak. Namun syukurlah tempat duduk kami masih dalam satu blok. Jadi pandai-pandailah kami mengatur semula tempat duduk kami dalam pesawat sebelum berlepas.

Proses mengatur tempat duduk dalam pesawat.
Perjalanan pertama pesawat kami adalah dari Kuala Lumpur ke Bangkok yang memakan masa kira-kira 2 jam untuk menurunkan sebahagian penumpang dan mengambil penumpang baru.

Peta penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bangkok.
Sajian penerbangan dalam perjalanan dari KL ke Bangkok
Pihak Royal Jordanian juga turut membuat pertukaran krew pesawat di sini. Penumpang-penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Jordan seperti kami diminta untuk terus menunggu di dalam pesawat.

Krew pencuci bertugas membersihkan pesawat sewaktu persinggahan sebentar di Bangkok 
Selepas berhenti selama sejam di Bangkok, penerbangan diteruskan ke Amman dengan perjalanan terus selama 9 jam. Penerbangan agak lancar walaupun ketika melalui Teluk Benggala yang terkenal sering bergelora.

Penerbangan tanpa henti dari Bangkok ke Amman selama 9 jam.
Sajian penerbangan dari Bangkok ke Amman.
Wajah keletihan selepas terbang lebih 7 jam di udara.
Akhirnya, pesawat kami tiba di Amman

Part 3: Tiba Di Amman 

Kami tiba di Lapangan Terbang di Amman yang dinamakan Queen Alia International Airport (QAIA) pada pukul 5 pagi (waktu di Jordan). Perbezaan masa Jordan dengan Malaysia adalah selama 5 jam di mana waktu di Jordan lebih lewat berbanding waktu di Malaysia. 

Pada pandangan Myself, pengurusan khidmat penumpang di lapangan terbang ini kurang cekap jika dibandingkan dengan KLIA. Umpamanya ada seorang makcik ahli kumpulan kami yang menggunakan kerusi roda terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bantuan untuk dikeluarkan dari pesawat. Kalau di KLIA, pasti telah ada pekerja yang menunggu di luar pesawat untuk memberi bantuan sebaik pesawat tiba.

Pesawat Royal Jordanian yang menerbangkan kami dari KL ke Amman.
Ketibaan di Queen Alia International Airport, Amman.
Menunggu di luar pintu ketibaan.
Tempat mengambil bagasi di QAIA.
Keluar saja dari Lapangan Terbang, cuaca sejuk 8 darjah Celcius menanti kami. Ketika itu, musim sejuk baru saja berakhir di Jordan dan negara ini sedang mengalami musim bunga. Cuaca yang sangat sejuk membuatkan mulut kami berasap bila bercakap.

Menolak beg keluar dari Airport di Amman
Bas yang kami naiki sepanjang perjalanan kami di Jordan.
Pemandangan dari bas sewaktu meninggalkan lapangan terbang untuk menuju ke kota Amman.
Pemandu pelancong kami di Jordan adalah seorang rakyat tempatan bernama Majdi. Dia lebih mesra dengan panggilan Abu Sarah kerana anak sulungnya bernama Sarah, mengikut budaya masyarakat Arab.

Pemandu pelancong kami di Jordan, Majdi yang lebih mesra dengan panggilan Abu Sarah.
Abu Sarah adalah seorang pemandu pelancong yang sangat berpengalaman. Keramahan dan celotehnya sepanjang perjalanan amat menyenangkan. Selain Bahasa Arab yang merupakan bahasa ibundanya, dia juga fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Russia.

Oleh kerana banyak berinteraksi dengan pelancong dari Malaysia, dia juga tahu banyak perkataan dalam Bahasa Melayu yang diselang-selikan dalam penerangannya kepada kami. 

Part 4: Inilah Jordan 

Keluar saja dari perkarangan Airport, Myself terpegun melihat keindahan negara Jordan. Sebelum tiba di sini, Myself menyangka Jordan adalah sebuah negara yang penuh dengan padang pasir. Tak sangka rupa-rupanya pemandangan musim bunga di Jordan sangat indah dengan dipenuhi padang rumput yang tumbuh di celah-celah gunung batu.

Pemandangan indah musim bunga di Jordan dalam perjalanan dari Airport ke bandaraya Amman.
Banyak kehijauan yang dilihat di kota Amman pada musim bunga seperti ini.
Tidak seperti negara Timur Tengah lain yang kaya dengan hasil minyak, Jordan adalah sebuah negara pertanian. Penduduknya berjumlah 6 juta orang dan separuh daripadanya tinggal di Amman. 97% penduduk Jordan beragama Islam manakala baki 3% lagi beragama Kristian dari mazhab Orthodoks. 

Negara ini juga mengalami 4 musim. Pada bulan April seperti ketika kami di sana, Jordan mengalami musim bunga. Salji  turun di musim dingin di negara ini, tetapi tidak cukup tebal untuk bermain ski. Menurut Abu Sarah, satu-satunya tempat di Timur Tengah di mana anda boleh bermain ski di musim sejuk adalah di kawasan pergunungan di negara Lebanon.

Disebabkan iklimnya yang nyaman di musim selain musim panas, Jordan menjadi tumpuan untuk orang-orang Arab di Timur Tengah datang bercuti. Namun fenomena kebangkitan rakyat menentang pemimpin mereka di beberapa negara Arab yang berjiran (yang dinamakan Arab Spring) sedikit sebanyak menjejaskan sektor pelancongan di Jordan. 

Nama asal ibu negara Jordan, Amman adalah Philadelphia yang dinamakan sempena seorang maharaja Rom yang bernama Philadelphus. Ia adalah sebuah kota yang sangat tua dan bersejarah. Sebagai perbandingan bak kata Abu Sarah, kota Philadelphia di USA wujud sejak 200 tahun dahulu, tetapi Philadelphia (Amman) di Jordan telah wujud 2,000 tahun yang lampau.

Sebahagian besar Amman dibina di atas gunung-gunung batu yang tinggi dan curam
Walaupun Amman adalah sebuah bandaraya yang moden, tidak banyak bangunan tinggi di sini. Bangunan-bangunan di bandaraya ini juga dibina dari batu-batu putih yang hampir seragam.

Jalan raya yang curam begini banyak terdapat di Amman dan seluruh Jordan
Pemandangan di pusat bandar Amman
Kesibukan di bandaraya Amman
Tak banyak lampu isyarat diperhatikan di Amman. Sebaliknya terdapat banyak roundabout begini di pusat bandar Amman.
Bangunan-bangunan moden di Amman.
Sebuah lagi roundabout di kota Amman.
Hotel Sheraton di Amman
Matawang Jordan dinamakan Jordan Dinar dan kadar tukarannya dengan Ringgit Malaysia sangat tinggi di mana JD 1 = RM 5.

Muka hadapan Jordanian Dinar
Muka belakang Jordanian Dinar
Matawang Jordan Dinar juga sukar diperolehi di Malaysia. Oleh yang demikian, kami terpaksa menukarkan dulu duit Ringgit kepada US Dollar di Malaysia. Setibanya di Amman, barulah kami tukarkan US Dollar yang dibawa kepada Jordan Dinar. 

Namun dari pemerhatian kami, kedai-kedai di kawasan pelancongan juga menerima US Dollar dalam urusan jual beli. Malah di tempat-tempat yang sering mendapat kunjungan pelancong dari Malaysia, Ringgit Malaysia turut diterima.

Part 5: Hotel Ocean, Amman 


Dari Airport, kami terus saja dibawa ke hotel penginapan kami yang bernama Hotel Ocean. Ia adalah sebuah hotel kecil yang terletak di salah sebuah kawasan mewah di Amman.

Hotel Ocean di Amman
Satu lagi pemandangan di depan Hotel Ocean
Kompleks membeli belah mewah bertentangan dengan Hotel Ocean di Amman
Jalan yang dipenuhi dengan butik-butik mewah berhampiran Hotel Ocean (Pemandangan dari depan hotel)
Masjid berhampiran Hotel Ocean
Butik-butik perniagaan mewah berhampiran Ocean Hotel. Jalan raya kelihatan lengang kerana gambar ini diambil pada awal pagi.
Pemandangan di lobi Hotel Ocean.
Menunggu check-in ke hotel.
Potret pemerintah Jordan, King Abdullah dan isteri, Queen Rania di lobi Ocean Hotel.
Kami menginap di Ocean Hotel selama 2 malam. Sepanjang tempoh tersebut, sarapan pagi dan makan malam disediakan di restoran hotel.


Pemandangan restoran di Ocean Hotel.
Suasana sarapan pagi di Ocean Hotel.
Sarapan pagi di Ocean Hotel.
Contoh sarapan pagi di hotel kami di Jordan.
Satu lagi pilihan makanan untuk sarapan pagi di hotel.
Air sangat berharga di Jordan. Selalunya air minuman tidak termasuk dalam pakej makanan di restoran-restoran di Jordan (termasuklah ketika makan di hotel) dan perlu dibeli secara berasingan. Harga air mineral dalam botol 1 liter dijual dengan harga sekitar JD2 - JD2.50 (RM10 - RM 12.50). Oleh kerana harganya yang mahal, setiap kali kami membeli air mineral ia pasti akan diminum sampai ke titisan yang terakhir.

Sebotol air minuman bersaiz 1 liter di Jordan dijual dengan harga di antara RM10-RM12.50.


Bersambung ke Bhg. 2...


CATATAN PERJALANAN JORDAN & UMRAH (2013):