Friday, 23 February 2018

2019 KERALA BHG. 09 (Dhoby Khana)

Februari 2018

KERALA, INDIA
Kochi & Kerala Backwaters

Bahagian 9: Mattancherry (1)
DHOBY KHANA & MATTANCHERRY DUTCH PALACE

HARI KEEMPAT (1)

Part 30: Perjalanan Ke Mattancherry

Hari Keempat kami di Kochi adalah juga hari terakhir kami di Kerala. Oleh kerana penerbangan pulang kami adalah di sebelah malam, pada pagi terakhir ini kami dibawa melawat ke Mattancherry yang terletak bersebelahan dengan Fort Kochi yang kami kunjungi semalam.

Menuju ke Mattancherry
Empat jejaka di depan Stesen Lissie
Pusat Bandar Kochi
The Chennai Silks
Tengok betul-betul.... Ini Josco Jewellers, bukan Aeon Jusco.
Cotton India dan British Suit Gallery
Manyavar
Iklan sebuah hospital swasta di Kochi
Pemandu motorsikal di Kochi wajib memakai topi keledar, tetapi tidak pembonceng di belakang.
Kren gergasi di Cochin Shipyard
Ada banyak kapal Tentera Laut India di sini pagi ini.
Menyeberang jambatan menuju ke Willingdon Island
Pintu masuk ke Pangkalan Tentera Laut India yang terletak di Willingdon Island
Pemandangan di Willingdon Island dalam perjalanan ke Mattancherry
Risau melihat sampah yang dibuang di landasan keretapi. Tak tergelincirkah nanti keretapi lalu di sini?
Nampaknya memang pembonceng motorsikal di Kochi tak wajib memakai topi keledar.
Mattancherry Harbour Bridge
Sebelum sampai ke Mattancherry, Roji membawa kami terlebih dahulu singgah sekali lagi di Fort Kochi kerana kami ingin melihat dobi tradisional di sana.

Bandar Fort Kochi
Cochin Fisheries Harbour
Bas besar masuk ke simpang
Rumah penduduk yang mewah di Fort Kochi

Part 31: Dhoby Khana

Pusat dobi tradisional yang kami lawati di Fort Kochi bernama Dhoby Khana. Ia diasaskan oleh pemerintah Belanda pada masa dahulu untuk mencuci pakaian seragam tentera Belanda. Pekerja asal di Dhoby Khana adalah dari keturunan Vannar yang dibawa masuk oleh Belanda ke sini dari Tamil Nadu pada tahun 1720.

Pintu masuk ke Dhoby Khana
Lukisan di Pintu Masuk ke Dhoby Khana
Bangunan pertama yang dilihat di Dhoby Khana adalah Ironing Shed di mana kerja-kerja menggosok pakaian dilaksanakan.
Bangunan Dhoby Khana yang dilihat pada hari ini dibuka pada tahun 1975.
Sejarah Dhoby Khana
Berkunjung ke sini mengingatkan Myself kepada kenangan silam. Dobi seperti ini pernah wujud di Malaysia sehingga ke tahun 1970-an, dan seperti juga di sini ia diusahakan oleh pendatang dari Tamil Nadu yang dibawa oleh British ke Malaysia. Sewaktu kecil dulu, Myself pernah melihat dobi seperti ini beroperasi di tepi Sungai Kinta di bandaraya Ipoh. 

Legacy Tukang Dobi ini masih ada di Malaysia. Tempat-tempat yang bernama Kg. Dobi adalah tempat mereka bekerja dulu. Di Pulau Pinang dan Singapura yang lebih British berbanding tempat-tempat lain di Malaysia, ia dinamakan Dhoby Ghaut.


Washing Shed
Di sinilah pencucian pakaian secara manual masih dilaksanakan.
Kerja mencuci pakaian di Dhoby Khana dibuat di dalam bilik-bilik kecil yang dinamakan Washing Shed. Pencucian dilakukan dengan tangan semata-mata, sambil pekerja berdiri di dalam kolam-kolam air. Bau bahan kimia peluntur yang digunakan untuk mencuci pakaian yang berwarna putih menusuk ke dalam hidung bila kita berdiri di sini. Memang kasihan melihat pekerja dobi yang menggunakan bahan kimia peluntur ini secara langsung tanpa sebarang perlindungan.

Bau klorox yang digunakan untuk mencuci pakaian putih menusuk hidung di sini
Pekerja di sini terdiri dari lelaki dan wanita
Memerah kain sari yang telah dicuci
Menggonyoh pakaian untuk dicuci
Membanting-banting cadar untuk mengeringkannya.
Kebanyakan pekerja di sini terdiri dari golongan miskin yang tidak berpelajaran. Mereka gemar menonton filem sebagai hiburan kerana ia memberikan gambaran kebahagiaan yang ingin mereka kecapi. Tidak hairanlah sekeliling Dhoby Khana ditampal dengan poster-poster artis terkenal seperti Rajanikanth untuk memberi semangat kepada mereka.

Ada banyak poster artis terkenal India ditampal di seluruh kawasan Dhoby Khana
Poster pembakar semangat untuk pekerja dobi
Selepas melihat kerja-kerja pencucian, kita melawat pula ke tempat jemuran pakaian yang telah dicuci. Ada banyak penyidai yang semuanya dibuat dari tali-tali sabut yang dipintal di sini. Sesuatu yang menarik dilihat di sini ialah tak ada penyepit baju digunakan. Baju-baju disidai dengan cara menyelitkan mereka di celah-celah pintalan tali ini.

Tempat jemuran di Dhoby Khana
Bila melihat jemuran di sini jelas sekali yang pelanggan Dhoby Khana banyak terdiri dari hotel dan hospital.
Makcik Pekerja memberi pose istimewa untuk diambil gambar oleh Kakak Ipar. Kakak Ipar sebenarnya mengekor Makcik ini untuk melihat bagaimana dia nak menjemur cadar besar yang dibawanya. Tapi Makcik ni ingat Kakak Ipar nak ambil gambar dia, tu yang posing habis tu.
Tak ada penyepit baju digunakan di sini. Semua pakaian dijemur dengan cara menyelitkannya di celah-celah pintalan tali sabut jemuran.
Kagum melihat langsir yang tebal dan berat juga dicuci dengan tangan di sini.
Pelancong-pelancong yang datang berkunjung ke Dhoby Khana
Husband berposing di tengah jemuran
Berlagak macam dia yang menjemur semua pakaian itu.
Ramai pelancong asing, khususnya dari Barat yang berkunjung ke sini.
Kain-kain yang besar macam cadar cuma dibentang di atas tanah begini untuk mengeringkannya.
Putih suci pakaian ini setelah dicuci
Dhoby Khana
Lepas melihat kerja pencucian dan penjemuran, kita melihat pula proses menggosok pakaian. Sekali lagi kita terkagum bila mendapati seterika-seterika antik macam yang digunakan oleh Opah kita di kampung dulu masih digunakan di sini. Seterika-seterika yang berat ini tidak menggunakan elektrik, sebaliknya ia diisi dengan sabut-sabut kelapa yang dibakar di dalamnya untuk memanaskan seterika tersebut.

Ironing Shed
Di sinilah proses menggosok pakaian dilaksanakan
Kerja-kerja menggosok di sini dibuat menggunakan seterika elektrik dan juga seterika antik.
Seterika antik yang masih digunakan di Dhoby Khana. Kepanasan seterika yang diisi dengan sabut kelapa yang dibakar ini boleh bertahan sehingga berjam-jam lamanya.
Kuat betul Makcik Pekerja ini berdiri menggosok berjam-jam dengan menggunakan seterika antik yang berat itu.
Melipat pakaian yang telah digosok
Takut kita tengok rupa wayar elektrik seterika yang dipakai oleh Pakcik ini. Tak langsung menepati piawaian keselamatan.
Pemandangan dekat seterika antik
Dhoby Khana boleh dilawati dengan percuma, tetapi ada tabung yang disediakan untuk pengunjung memberi sumbangan untuk kebajikan pekerja di sini. Disebabkan insaf melihat betapa sukarnya pekerja di sini membanting tulang demi mencari sesuap nasi, kita turut menyumbang beberapa Rupee kepada tabung ini. Mudah-mudahan sumbangan yang kecil ini boleh memberi manfaat yang besar kepada mereka semua.

Tabung untuk sumbangan kebajikan pekerja

Part 32: Mattancherry Dutch Palace

Selepas melawat Dhoby Khana, barulah kita beredar ke Mattancherry. Kawasan ini terkenal sebagai kawasan yang didiami oleh kaum Yahudi pada zaman penjajahan dulu.

Bergerak menuju ke Mattancherry
Tarikan-tarikan pelancongan di sekitar Mattancherry
Pemandangan di Mattancherry
Ada banyak kedai menjual cenderamata yang menarik di Mattancherry
Setibanya di Mattancherry, kami terus melawat Mattancherry Dutch Palace. Istana ini sebenarnya dibina oleh Orang Portugis untuk Raja Kochi yang bernama Veera Kerala Varma pada tahun 1545, sebagai gantirugi kerana memusnahkan sebuah Kuil Hindu di sini. Portugis turut membina sebuah kuil baru untuk Dewi Bhagavathy, yang disembah oleh keluarga Veera Kerala Varma. Walaupun istana ini dibina oleh Portugis, ia telah diubahsuai oleh Orang Belanda sehingga memberikan nama 'Dutch Palace' kepada istana ini.

Pintu masuk ke Mattancherry Dutch Palace
Istana ini ditutup setiap Hari Jumaat
Pemandangan ke perkarangan istana dari pintu masuk
Papan kenyataan di Mattancherry Dutch Palace
Mattancherry Dutch Palace juga telah diisytiharkan sebagai Monumen Bersejarah oleh Kerajaan India.
Kanak-kanak bermain bola di perkarangan Mattancherry Dutch Palace
Dari luar, bangunan istana ini nampak macam tak menarik
Nun dan rakan-rakan
Rombongan kanak-kanak sekolah yang datang melawat ke Mattancherry Dutch Palace
Ukiran gajah di bumbung istana
Pintu masuk ke istana terletak di atas tangga sana
Mattancherry Dutch Palace kini berfungsi sebagai sebuah muzium. Di dalamnya terdapat pameran mengenai Raja-raja Kochi yang pernah memerintah pada masa dahulu.

Kita lihat dulu istana dari arah sini sebelum naik ke atas.
Kuil yang dibina oleh Orang Portugis bagi menggantikan kuil yang telah mereka musnahkan terletak di tingkat bawah.
Kuil ini tidak dibuka kepada pelawat.
Jom kita masuk ke istana...
Ukiran pada tangga
Waktu operasi muzium
Tiket masuk INR5 (RM 0.30) dikenakan untuk masuk melawat ke dalam muzium. Murah sungguh ni!
Tiket perlu dibeli di sini
Keterangan tentang Muzium Mattancherry Palace
Boleh baca sejarah muzium ini di sini.
Bumbung Mattancherry Dutch Palace penuh dengan ukiran-ukiran kayu seperti ini
Jika Neuschwanstein Castle yang kita lawati di Germany dulu penuh dengan lukisan-lukisan hebat adegan dari opera, dinding di Mattancherry Dutch Palace pula penuh dengan lukisan-lukisan hebat kisah dari Hikayat Ramayana. Sayang sekali fotografi tak dibenarkan dalam istana (macam juga di Neuschwanstein Castle). Jadi tak dapatlah kita nak tunjukkan lukisan-lukisan hebat itu di sini.

Namun macam biasa, demi nak mengabadikan kenangan melawat ke dalam istana, terpaksalah kita Google gambar kat internet. Tapi istana ini memang macam closely guarded secret, tak banyak gambar yang terlepas kat internet. Penat menggoogle, hanya 3 keping saja yang dijumpa. Mana taknya, dalam istana ini ada pengawal di setiap penjuru, memang susah untuk sesiapa juga nak curi-curi ambil gambar.

Pemandangan dalam Mattancherry Dutch Palace (Sumber: Internet)
Lukisan-lukisan pada dinding dalam istana masih kelihatan hebat walau telah dimamah usia. (Sumber: Internet).
Salah seorang Raja Kochi yang pernah tinggal di istana ini.
Tak banyak masa diperlukan untuk melawat Muzium Mattancherry Palace bagi orang biasa seperti kita kerana ia tidaklah begitu besar. Untuk mengelakkan kesesakan, pihak pengurusan muzium juga menyediakan laluan sehala dalam istana untuk semua pelawat.

Ramai pengunjung baru tiba sewaktu kami keluar dari istana
Tangga masuk ke istana juga dibahagi kepada dua laluan berasingan untuk pengunjung masuk dan keluar
Merah-merah Mak Ngah pada hari ini!
Kedai cenderamata di depan Mattancherry Dutch Palace


 Bersambung ke Bhg. 10...


CATATAN PERJALANAN KERALA (2018):