Monday, 19 February 2018

2018 KERALA BHG. 07 (Fort Kochi 1)

Februari 2018

KERALA, INDIA
Kochi & Kerala Backwaters

Bahagian 7: Fort Kochi (1)
FORT KOCHI, MAHATHMA GANDHI BEACH, DUTCH CEMETERY & ST FRANCIS CHURCH

HARI KETIGA (2)

Part 21: Menuju Ke Fort Kochi

Selepas Makan Tengahari di Hotel PGS Vedanta, kami memulakan lawatan ke Fort Kochi yang terletak kira-kira 40 minit perjalanan dengan berkereta dari hotel.

Memulakan perjalanan ke Fort Kochi
Dalam perjalanan ke Fort Kochi, kami dapat melihat banyak bas awam di jalan raya. Bas ini terdiri dari dua kategori: Milik Kerajaan dan Milik Swasta. Bas Milik Kerajaan berwarna putih manakala bas Milik Swasta pula berwarna selain dari warna putih. Apa yang Myself perhatikan, kedua-dua kategori bas ini tidak berbeza. Tidak seperti di Malaysia, bas-bas ini tidak dilengkapi dengan air-cond. Tingkapnya terbuka luas dan hanya terdapat kanvas yang digulung di atas tingkap sebagai perlindungan untuk pengguna bila berlaku hari hujan. Dari segi tambang pula, dah pasti tiket Bas Kerajaan lebih murah.

Bas awam di Kochi
Bas putih di belakang adalah Milik Kerajaan manakala Bas Biru di hadapan pula adalah Milik Swasta
Centre Square adalah sebuah shopping centre di tengah bandar Kochi
Pintu masuk ke Centre Square
Butik pakaian di Kochi
Stesen Maharajas College ini juga adalah sebuah lagi stesen akhir bagi perkhidmatan Kochi Metro buat masa ini. Kerja-kerja pembinaan sambungan Kochi Metro sedang giat dilaksanakan dari stesen ini.
Marine Drive juga adalah sebuah tarikan pelancongan di Kochi, tapi kami tak sempat berkunjung ke sana.
Tuk Tuk di Kochi juga sering dipasang dengan kain begini untuk perlindungan penumpang dari panas dan hujan
Bas swasta di Kochi
Seperti Bas Kerajaan, Bas Swasta juga tidak dilengkapi dengan air cond.
Laluan Kochi Metro sebelah sini hanya berakhir di Stesen Maharajas College ini buat masa sekarang.
Pembinaan sambungan laluan Kochi Metro sedang giat dilaksanakan.
Jalan utama yang menghubungkan Kochi dengan Fort Kochi dinamakan M.G. Road. M.G. Road adalah sebenarnya singkatan kepada 'Mahatma Gandhi Road'. M.G. Road dianggap sebagai 'Bukit Bintang' bagi Kochi. Di sepanjang jalan ini terdapat pelbagai kedai dan pusat perniagaan yang dikategorikan sebagai mewah di sini.

M.G. Road
Bangunan Lembaga Sabut di Kochi. Kelapa adalah komoditi utama bagi Wilayah Kerala.
Salah sebuah bangunan komersil di M.G. Road
Ada banyak Pondok Polis Trafik seperti ini di Kochi. Tapi semuanya nampak tenggelam dengan iklan-iklan penaja seperti pada pondok polis ini.
Kochi juga adalah pusat pembinaan kapal yang terbesar di India. Industri pembinaan kapal ini berpusat di Cochin Shipyard yang terletak dalam perjalanan di antara pusat bandar Kochi dan Fort Kochi. Antara kapal yang dibina di Cochin Shipyard adalah kapal tangki dan kapal-kapal perang milik Tentera Laut India. Selain dari itu, Cochin Shipyard juga adalah sebuah pusat latihan Kejuruteraan Marin yang terkenal di dunia.

Cochin Shipyard
Kompleks Cochin Shipyard ini sangat besar kerana ia adalah limbungan perkapalan yang terbesar di India.
Pintu masuk ke Cochin Shipyard
Pemandangan Cochin Shipyard dari luar
Shipyard Supermarket dalam kompleks Cochin Shipyard
Kedai Ubat Koperasi Cochin Shipyard ini juga dibuka kepada orang awam selain dari pekerja di sini.
Pemandangan limbungan pembinaan kapal Cochin Shipyard
Pemandangan sebuah kapal yang sedang dalam pembinaan di Cochin Shipyard.
Pangkalan Indian Navy yang terletak bertentangan dengan Cochin Shipyard.
Kapal milik Tentera Laut India
Pemandangan Cochin Shipyard (kanan) dan Pangkalan Tentera Laut India (kiri) dari atas jambatan dalam perjalanan menuju ke Fort Kochi

WILLINGDON ISLAND

Kawasan yang dilalui selepas melintasi jambatan dari Kochi ini dinamakan Willingdon Island. Ia adalah pulau buatan manusia yang terbesar di India yang dibina pada tahun 1936 dan dinamakan sempena Lord Willingdon, seorang British Viceroy di India. Pulau ini kini menempatkan sebuah pangkalan Tentera Laut India yang besar dan Central Institute of Fisheries.

Willingdon Island terletak di pertengahan jalan menuju ke Fort Kochi
Pintu masuk ke Pangkalan Tentera Laut India di Willingdon Island
Pemandangan di Willingdon Island
Landasan Keretapi
Pemandangan di tepi landasan keretapi, tapi tak ada pulak keretapi yang lalu ketika itu.
Sekolah Latihan Penerbangan untuk Tentera Laut India
Flight Safety Begins With Training
Lintasan keretapi
Pondok Polis Trafik yang juga dipenuhi iklan dari syarikat swasta.
Thoppumpady Bridge menuju ke Fort Kochi
Dari Willingdon Island, kami dibawa menaiki sebuah lagi jambatan yang bernama Thoppumpady Bridge untuk menuju ke Fort Kochi. Sewaktu menaiki jambatan ini, kita dapat melihat Mattancherry Harbor Bridge yang dibina pada tahun 1940 oleh seorang jurutera British yang bernama Sir Robert Charles Bristow. Jambatan ini mempunyai 16 spans dan dibina menggunakan kayu dan besi. Bahagian tengah jambatan ini boleh dinaikkan untuk membolehkan kapal-kapal yang tinggi lalu di bawahnya.

Mattancherry Harbour Bridge
Bahagian tengah Jambatan Mattancherry ini boleh dinaikkan untuk membolehkan kapal lalu di bawahnya.
Water body yang mengelilingi Willingdon Island ini adalah sebenarnya Lake Vembanad

Part 22: Fort Kochi

Selepas 40 minit berkereta dari Kochi, kami tiba di Fort Kochi. Fort Kochi adalah kawasan bersejarah kerana di sinilah penjajah-penjajah Eropah yang datang dari Portugal, Belanda dan British bertapak pada masa dahulu. Peninggalan-peninggalan penjajah ini juga masih dapat dilihat sehingga ke hari ini.

Fort Kochi
St Sebastian's Church
Pondok Polis Trafik
Pusat Bandar Fort Kochi
Saudi Junction
Semua jalan di Fort Kochi kecil-kecil belaka.
Fort Kochi Jail
Veli Ground
Disebabkan Malaysia berkongsi sejarah penjajahan yang rapat dengan India, ada tempat-tempat di Fort Kochi ini yang suasananya macam kawasan bersejarah di Pulau Pinang.
Menuju ke tepi pantai

Part 23: Mahathma Gandhi Beach

Persinggahan pertama kami di Fort Kochi adalah Mahathma Gandhi Beach yang juga dikenali sebagai Fort Kochi Beach. Walaupun dinamakan 'Beach', Mahathma Gandhi Beach bukanlah tempat untuk bermandi-manda. Tak ada pasir pantai di sini. Ia sebaliknya adalah sebuah kawasan peranginan di tepi laut yang menghadap ke Laut Arab.

Fort Kochi Beach
Nama rasmi bagi Fort Kochi Beach ialah Mahathma Gandhi Beach.
Laut Arab
Pemandangan di kawasan pantai
Mahathma Gandhi Beach adalah kawasan peranginan di tepi laut dan bukan tempat untuk bermandi-manda.
Melihat kapal dagang yang lalu.
Berehat di tepi pantai. Tapi mentari sangat terik pada masa ini.
Pinggiran laut di Mahathma Gandhi Beach dipasang dengan batu-batu besar untuk mengelakkan hakisan.
Bot Nelayan
Kedai-kedai menjual cenderamata
Bergambar kenangan dengan Laut Arab
Boleh jalan sampai ke hujung sana kalau nak berbuat begitu. Tapi kami berhenti setakat di sini sahaja kerana cuaca yang panas terik ketika itu.
Mengambil gambar di Mahathma Gandhi Beach
Berjalan kembali menuju ke kereta
Tempat-tempat peranginan
Walaupun cuaca panas terik, tiupan angin di tepi pantai sangat menyegarkan.
Hakisan
Laluan masuk utama ke Mahathma Gandhi Beach juga sedang mengalami hakisan.
Pejalan kaki yang runtuh disebabkan oleh hakisan

Part 24: Dutch Cemetery

Betul-betul bersebelahan dengan Mahathma Gandhi Beach adalah sebuah kawasan perkuburan bersejarah yang dinamakan Dutch Cemetery. Di dalamnya terdapat 104 buah kubur penjajah Belanda dan British yang telah meninggal dunia dan dikebumikan di sini. 

Berjalan menuju ke Dutch Cemetery yang terletak betul-betul bersebelahan dengan Mahathma Gandhi Beach.
Tanah perkuburan ini dikelilingi tembok dan tidak dibuka kepada orang awam. Tapi kita masih boleh mengintai suasana di dalamnya dari tepi tembok ini.

Dutch Cemetery
Pintu masuk ke Dutch Cemetery
Tembok yang mengelilingi Dutch Cemetery
Mengintai di sebalik tembok Dutch Cemetery. Bukan hanya penjajah Belanda yang dikebumikan di sini, penjajah British juga dikebumikan di dalamnya.
Tanah perkuburan ini dibuka pada tahun 1724. Orang yang terakhir dikebumikan di sini adalah Captain Joseph Ethelbert Winckler pada tahun 1913.

Part 25: St Francis Church

Persinggahan seterusnya adalah ke sebuah gereja lama yang bernama St Francis Church. Bangunan gereja asalnya dibina oleh Orang Portugis pada tahun 1503. Namun kemudian, ia diambilalih oleh Orang Belanda dan Orang British sewaktu mereka menjajah India.

Menuju ke St Francis Church
Dah tiba ke St Francis Church
St Francis Church juga dikenali sebagai Vasco Da Gama Church kerana di sinilah penjelajah Portugis yang merintis laluan laut untuk Orang Eropah ke Timur itu dikebumikan setelah beliau meninggal dunia pada tahun 1524. Gereja ini juga adalah gereja yang pertama dibina oleh Orang Eropah di India, tetapi ia bukanlah Gereja Kristian yang pertama dibina di negara itu kerana ajaran Kristian telah bertapak di India jauh lebih lama sebelum kedatangan Orang Portugis ke sini.

Beratus-ratus tahun sebelum kedatangan Portugis ke India, seorang Apostle Kristian yang bernama St Thomas telah tiba di Cranganore dan mengembangkan ajaran Kristian dari situ. Ajaran ini walau bagaimanapun tidak disenangi oleh Orang Portugis kerana sangat berbeza dengan amalan Kristian mereka di Eropah. Mereka cuba mengubah ajaran Kristian yang dianuti oleh Orang India tempatan tetapi kurang berjaya. Sehingga ke hari ini, masih terdapat ramai penganut Kristian di India yang mengamalkan ajaran yang dibawa oleh St Thomas. Ajaran ini dikenali sebagai Syriac Christian Church.

St Francis Church
Pintu masuk ke St Francis Church
Bangunan Gereja St Francis yang pertama dibina dari kayu pada tahun 1503 dan dinamakan sebagai St Bartholomew. Bangunan kayu ini telah digantikan dengan sebuah bangunan batu oleh paderi Portugis pada tahun 1516 dan namanya ditukar kepada St Anthony. Pada tahun 1663, Cochin ditawan oleh Orang Belanda dan gereja ini ditukarkan dari Gereja Roman Katholik kepada Gereja Protestant. Semua artifak bersejarah yang ada di dalam gereja telah dibuang oleh Orang Belanda bila mereka menguasai gereja ini. Akhirnya, gereja ini ditukar menjadi sebuah Gereja Anglican dan dinamakan sebagai St Francis Church selepas Cochin ditawan pula oleh Orang British. Gereja ini kekal dinamakan St Francis Church sehingga ke hari ini.

Pemandangan di perkarangan St Francis Church
Tugu Peringatan Perang Dunia Pertama yang dibina oleh Orang British di perkarangan St Francis Church pada tahun 1920.
Pada tugu peringatan ini tertera nama tentera British yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama di Cochin.
St Francis Church kini telah diisytiharkan sebagai sebuah Monumen Bersejarah oleh Kerajaan India.
Papan keterangan tentang sejarah St Francis Church
Sejarah St Francis Church boleh dibaca di sini.
Pintu gerbang untuk masuk ke dalam bangunan gereja.
Pintu gerbang ini telah diubahsuai pada tahun 1779
Pemandangan bumbung bangunan gereja dari luar
Jam yang dipasang di luar bangunan gereja. Nampaknya jam ini tak lagi berfungsi.
Roda yang diletakkan di bumbung luar gereja.
Roda ini sebenarnya adalah mekanisma yang digunakan untuk membunyikan loceng gereja pada masa dahulu.
Pemandangan Inner Courtyard di sebalik pintu gerbang masuk ke gereja.
Ada beberapa kerusi untuk berehat yang diletakkan di Inner Courtyard di gereja ini. Pada dinding di courtyard ini juga tertera beberapa batu nisan lama dari perkuburan Orang Portugis dan Orang Belanda yang dikebumikan di perkarangan gereja ini pada masa dahulu.

Salah sebuah kerusi rehat yang ditempatkan di courtyard dalaman gereja. Di belakang kerusi ini tertera beberapa batu nisan lama yang dikumpulkan di sini.
Batu-batu nisan ini diambil dari perkuburan Portugis dan Belanda yang terdapat di gereja ini pada masa dahulu. Tulisan pada batu-batu nisan ini banyak yang tak dapat lagi dibaca kerana telah dimamah usia.
Tak seperti gereja-gereja bersejarah lain yang pernah kami lawati, kita perlu membuka kasut untuk masuk ke dalam gereja ini. Jelas sekali yang penguasa terakhir gereja ini yang merupakan Orang British tetap menghormati adat Orang India tempatan ketika itu di mana kasut perlu dibuka sebelum masuk ke rumah dan ke tempat-tempat suci.

Kasut perlu dibuka untuk masuk ke dalam gereja
Pemandangan ke dalam gereja
Corak di lantai gereja
Sebuah plak peringatan lama untuk seseorang yang disemadikan di gereja ini.
Kerusi di dalam gereja.
Jika anda melawat ke dalam gereja ini, anda pasti perasan akan kain-kain lebar dan panjang yang dipasang pada bahagian siling gereja. Kalau kita tak mengetahui tentang sejarah bangunan ini, kita pasti menganggap ia adalah sebahagian dari hiasan gereja.

Kain yang panjang dan lebar yang dipasang pada siling gereja ini dinamakan sebagai pankhas.
Kain-kain ini adalah sebenarnya kipas tradisional yang dinamakan sebagai pankhas. Sewaktu upacara sembahyang diadakan di gereja ini pada masa dahulu, kain-kain ini ditarik dan dilepaskan oleh petugas-petugas yang berdiri di tepi gereja untuk menyejukkan suasana. Maklumlah, pada masa itu air-cond dan kipas elektrik masih belum dicipta seperti sekarang.

Pankhas ini berfungsi seperti kipas. Ia diikat pada tali yang ditarik dan dilepaskan oleh petugas yang berdiri di tepi gereja sepanjang masa upacara dijalankan.
Altar Gereja
Petugas gereja sedang melaksanakan kerja-kerja pembersihan.
Tingkap Gereja
The Creed dan The Lord's Prayer yang diletakkan di belakang Altar Gereja.
Tempat paderi berkhutbah
Semua perabot dan perhiasan di dalam gereja ini dipasang sewaktu pemerintahan Belanda dan British dahulu. Perhiasan peninggalan Portugis tak ada lagi di sini.
Chandelier
Satu tarikan bersejarah yang masih dapat dilihat di gereja ini ialah Vasco Da Gama Tomb yang merupakan bekas tempat persemadian Vasco Da Gama.

Vasco Da Gama Tomb
Di sinilah Vasco Da Gama disemadikan selama 15 tahun sebelum mayatnya dibawa balik ke Portugal untuk disemadikan semula di sana.
Selepas menemui laluan laut dari Eropah ke Timur, Vasco Da Gama sering berulang-alik ke India. Malangnya beliau telah diserang Malaria pada kunjungannya yang ketiga ke India dan meninggal dunia pada 24 Disember 1524. Vasco Da Gama telah dikebumikan di St Francis Church dan mayatnya bersemadi di sini selama 15 tahun sebelum dibawa pulang ke Portugal pada tahun 1539 untuk disemadikan semula di Monastery of Jeronimos di Lisbon.

Vasco Da Gama
Kisah persemadian Vasco Da Gama di St Francis Church.
Plak peringatan untuk seorang Belanda yang diletakkan pada dinding berhampiran Vasco Da Gama Tomb. Dia mati disebabkan penyakit kerana pada plak ini tertera gambar tengkorak. Fakta ini kami pelajari sewaktu melawat ke sebuah gereja Belanda di Sri Lanka dulu.
Plak peringatan untuk seorang Hakim British yang diletakkan pada dinding gereja.
Plak ini ditempatkan di sini oleh rakan-rakan Hakim.
Pemandangan sisi bangunan St Francis Church


 Bersambung ke Bhg. 8...


CATATAN PERJALANAN KERALA (2018):