SELANGOR, MALAYSIA
Sekinchan & Kuala Selangor
Bahagian 1: Interlude
BERCUTI KE KUALA SELANGOR
Part 1: Pengalaman Family Masa PKP
(Cerita Cikgu Di Sekolah Rendah)
Di satu kesempatan selepas perjalanan merentas negeri dibenarkan dalam tempoh PKP Pemulihan, Myself dan Husband pulang melawat kampung halaman di Perak. Cantik sungguh pemandangan pergunungan dekat-dekat kampung halaman kita... Macam pemandangan kat Guilin di China dulu. Ahh, bilakah agaknya kita kan dapat berjalan-jalan di oversea lagi?!
Sewaktu di kampung, Myself bertemu dengan Kakak dan Abang Ipar yang bertugas sebagai guru. Kedua mereka mengajar di sekolah rendah yang boleh dikategorikan sebagai sekolah luar bandar. Seronok mendengar cerita pengalaman mereka selepas sekolah rendah dibuka semula. Kalau di entry Alor Setar yang lepas Myself bercerita tentang pengalaman diri sendiri di masa PKP, sebelum bercerita tentang trip yang seterusnya kali ini, Myself nak coretkan pula pengalaman keluarga menghadapi PKP sebagai kenangan.
Kata Kakak dan Abang Ipar, kepenatan guru di sekolah dalam PKP Pemulihan sama macam kepenatan Frontliner sewaktu di kemuncak Covid dulu. Mana tidaknya, seawal pukul 7.15 pagi, para guru mesti dah hadir ke sekolah untuk mengawal kemasukan murid. Setiap murid akan diperiksa suhu mereka. Jika suhu didapati tinggi dan ibu bapa berada dekat sekolah, pelajar akan diminta dibawa pulang ke rumah. Kalau tidak, murid akan dihantar ke Bilik Isolasi. Selepas setengah jam, suhu akan diperiksa semula. Manalah tahu, kot-kot suhu tinggi tadi disebabkan penat berbasikal atau berjalan kaki ke sekolah. Kalau masih tinggi, pihak sekolah akan menghubungi ibu bapa ataupun Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan selanjutnya. Pemeriksaan suhu juga akan dibuat sekali lagi selepas tamat waktu sekolah dan Guru Bertugas perlu menunggu sehingga pelajar terakhir meninggalkan sekolah bagi memastikan mereka tetap mengikut SOP.
Pemeriksaan suhu badan sebelum masuk ke sekolah (Gambar dari internet) |
Duduk jarak-jarak di dalam kelas (Gambar dari internet) |
Selepas 4 bulan bercuti, Kakak kata dah ramai murid yang terlupa terus pelajaran yang dulu. Misalnya Kakak mengajar Bahasa Inggeris. Bila ditanya: "What day is today?" semua anak muridnya menggaru kepala dah lupa nama-nama hari dalam English. Maklumlah budak-budak di luar bandar tak banyak exposure macam budak-budak di KL atau bandar besar yang lain. Kalau lama tinggalkan sekolah, begitulah jadinya. Satu lagi cerita Kakak ialah disebabkan SOP Covid, laluan sehala disediakan untuk murid-murid pergi ke tandas di sekolah. Penat Cikgu menunggu dalam kelas, murid tak balik-balik dari tandas. Kena jalan jauh, kata mereka. Padahal taklah sejauh mana.
Murid-murid juga tak dibenarkan makan di kantin sekolah pada waktu rehat. Jadi salah satu tugas guru adalah mengambil order makanan dari murid untuk waktu rehat sewaktu di awal kelas. Menu makanan disediakan oleh pihak kantin. Bila makanan sampai ke meja pulak, ada saja komplen yang diterima. Kena melayan komplen murid-murid seperti ayam tak ada, nasi tak cukup dan sebagainya. Selepas makan, kena pastikan murid membuang bekas sisa makanan di tempat yang disediakan dan membasuh tangan bersih-bersih. Disebabkan kena melayan murid, Cikgu sendiri tak boleh makan masa rehat. Terpaksalah makan masa break yang lain. Kesian, kan?
Murid makan di kelas (Gambar dari internet) |
Polis melawat sekolah (Gambar dari internet) |
Myself dan Husband ada juga bertanya kepada Kakak dan Abang Ipar tentang pengalaman mereka membuat kelas secara online. Kata mereka, memang sukar bagi pelajar sekolah rendah di luar bandar. Selalunya akses internet murid-murid adalah menggunakan telefon ibu mereka. Kalau ibu membawa telefon ke tempat kerja, tak adalah akses internet untuk mereka. Satu keluarga juga selalunya hanya memiliki sebuah komputer saja. Kena berebut adik-beradik pulak kalau nak mengikut kelas online.
Kakak dan Abang Ipar berpandangan kelas online hanya sesuai untuk pelajar di sekolah menengah. Murid-murid yang di sekolah rendah, terutama di luar bandar yang tak banyak pendedahan kepada teknologi memang sukar nak mengikut kelas online ini. Suasana di rumah pun banyak distraction benda lain yang lebih menarik, sukar bagi mereka nak memberi tumpuan kepada guru yang di dalam komputer. Kerana itulah pengajaran secara bersemuka sebenarnya lebih baik bagi mereka. Teringat juga cerita dari Anak Bongsu Kakak yang belajar di Tingkatan 6. Masa awal kelas online dibuat ada kawan-kawannya yang berlengging tak berbaju mengikut kelas online dari rumah. Maklumlah mereka tak sedar apa yang sebenarnya sedang berlaku secara online!
Sebelum PKP dulu, Myself dan Husband sempat bercuti bersama Kakak & Family ke Sumatera Barat. Tak apalah, lepas Covid reda nanti, kita jalan lagi ke tempat lain pulak.
Part 2: Cuti-cuti Kuala Selangor
Okey, sekarang kita sambung cerita travel kita lagi... Kaki memang gatal sangat nak berjalan setelah sekian lama terkurung di rumah. Kalau nak tunggu adanya vaksin, entah bilalah kita kan dapat berjalan lagi. Tambahan pula, kenalah bagi support kepada industri pelancongan negara, kan? Kalau bukan kita, siapa lagi? (Saja cari reason nak pergi berjalan sebenarnya..) Jadi untuk memulakan pengembaraan percutian sebenar dalam PKP Pemulihan ini, kami membuat keputusan untuk melancong ke sebuah destinasi yang dekat dengan Kuala Lumpur. Destinasi pilihan kami adalah Kuala Selangor yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari KL ~ Dekat jerrr...
Peta Pelancongan di Kuala Selangor |
Dah lama sebenarnya Myself bercita-cita nak pergi ke Kuala Selangor. Tapi cita-cita ini selalu saja tak tercapai sebab memanjang dikaburi cita-cita lain pergi travel oversea. Setiap kali ada peluang pergi oversea, yang itu jugalah yang dipilih, ke bawah habis Kuala Selangor dalam list tempat yang kita nak pergi. Alasan yang diberi, Kuala Selangor ni dekat jerr... bila-bila masa boleh pergi (...tapi tetap tak sampai-sampai. Hahahahh!!!) Tanpa disangka, Sang Kuman Covid mengubah segalanya. Bila dalam PKP ini kita tak boleh nak travel ke oversea, Kuala Selangor yang selama ini berada di spot paling corot dalam list terus naik ke spot No.1.
Macam biasa, kami memang suka bercuti macam Orang Putih. Nak bercuti ke Kuala Selangor yang cuma sejam perjalanan dengan kereta dari KL ini pun, tetap nak bercuti macam Orang Putih. Nak ada Driver dan Tourist Guide. Maka untuk merealisasikan Percutian Bak Orang Putih ke Kuala Selangor ini, kita tempahlah sebuah pakej dari Klook.
Macam biasa, kami memang suka bercuti macam Orang Putih. Nak bercuti ke Kuala Selangor yang cuma sejam perjalanan dengan kereta dari KL ini pun, tetap nak bercuti macam Orang Putih. Nak ada Driver dan Tourist Guide. Maka untuk merealisasikan Percutian Bak Orang Putih ke Kuala Selangor ini, kita tempahlah sebuah pakej dari Klook.
Bersambung ke Bahagian 2...
CATATAN PERJALANAN KUALA SELANGOR (2020):
- Bahagian 01: Interlude (Bercuti Ke Kuala Selangor)
- Bahagian 02: KL - Kuala Selangor (Perjalanan Ke Kuala Selangor)
- Bahagian 03: Sekinchan 1 (Jeti Sg Labu & Pantai Redang)
- Bahagian 04: Sekinchan 2 (Ah Ma House & Sawah Padi Sekinchan)
- Bahagian 05: Sekinchan 3 (Kilang Beras Rakyat Sekinchan)
- Bahagian 06: Kuala Selangor 1 (Padi Box & Bukit Malawati)
- Bahagian 07: Kuala Selangor 2 (Eagle Feeding, Kelip-Kelip & Blue Tears)