Monday, 4 November 2019

2019 KUALA LUMPUR BHG. 01 (HOHO KL)

Oktober 2019

KUALA LUMPUR, MALAYSIA
KL Hop-On Hop-Off

Bahagian 1: Garden Route 1
BUKIT BINTANG & CENTRAL MARKET

Part 1: Melancong Bak Orang Putih Ke Kuala Lumpur

Selepas mengembara Bercuti Bak Orang Putih ke Pulau Pinang, Melaka dan Langkawi, apa kata kita melancong pula ke ibu kota Malaysia ~ Kuala Lumpur? Myself dan Husband sebenarnya dah merancang lama nak berbuat begitu, tetapi macam tak berkesempatan. Kesempatan ini akhirnya datang kepada kami pada weekend panjang sempena cuti perayaan Deepavali 2019.

Selepas seronok melancong ke Pulau Pinang menggunakan bas Penang HOHO di sana, kami juga merancang melancong ke Kuala Lumpur menggunakan bas KL HOHO di sini. Bas ini selalu kami lihat berpeleseran di bandaraya Kuala Lumpur. Jadi mesti seronok kalau kita Melancong Bak Orang Putih di Kuala Lumpur dengan bas ini seperti yang pernah kita buat di oversea, kan?!

KL Hop-On Hop-Off
Peta Laluan Bas KL HOHO
Sesuatu yang menjadi setback dalam cadangan kami nak melancong naik bas HOHO di Kuala Lumpur adalah laluannya yang memang terkenal dengan traffic jam. Memandangkan kita dah lama menjadi penghuni KL, kita memang tahu betapa resahnya perasaan kalau terperangkap dalam traffic jam di tengah bandar. Kalau hujan turun pulak, lagilah merana kita dibuatnya.  Kerana itulah Myself dan Husband memilih untuk melancong ke Kuala Lumpur pada cuti weekend yang panjang seperti ini.

Satu lagi halangan adalah musim hujan monsun yang sedang melanda dan hujannya pulak turun setiap petang amat lebat tanpa belas kasihan. Untuk keriangan yang maksima terpaksalah kita cuba untuk squeeze segala perjalanan di sebelah pagi. Namun kita merancang dan Tuhan yang menentukan... Walau kami berusaha nak mengelak dari terkena hujan, tetap juga kita terkena melancong ke Kuala Lumpur dalam hujan lebat.

Part 2: Bukit Bintang

Program Melancong Bak Orang Putih kami ke Kuala Lumpur dimulakan dengan menaiki MRT ke Stesen Bukit Bintang yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Perasan tak yang Myself menggunakan istilah 'Melancong' dan bukan 'Bercuti' ke Kuala Lumpur? Ini adalah kerana kita melancong secara Day Trip saja dari rumah yang terletak di pinggir KL. Tak cukup bajet kalau nak tempah hotel untuk stay di tengah-tengah KL tu...

Pintu C Stesen MRT Bukit Bintang
Stesen MRT Bukit Bintang terletak di bawah tanah dan mempunyai beberapa buah pintu keluar yang membawa kita ke beberapa arah yang berlainan. Disebabkan kami tak pasti arah sebenar yang perlu dituju, kita main redah saja keluar ikut Pintu C.

Pemandangan berhampiran Pintu C Stesen MRT Bukit Bintang
Bukit Bintang
Walaupun kami mengaku dah jadi orang KL, jarang sangat sebenarnya kami sampai ke Bukit Bintang. Kalau datang pun, selalunya atas sesuatu urusan dan bukanlah untuk berpeleseran. Maklumlah Bukit Bintang ini adalah kawasan yang mahal dan mewah di Kuala Lumpur, memang tak sesuai untuk rakyat marhaen macam kami. Jadi bila sekali-sekala kita sampai ke Bukit Bintang, ibarat terus menjadi macam rusa masuk ke kampung.

Pavilion dan Lot 10 adalah antara shopping mall yang terkemuka di Bukit Bintang
Suhu pagi ini ~ 28'C
Ada 26 buah perhentian bas KL HOHO di sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Bas boleh dinaiki dari mana-mana perhentian. Sekiranya tak terdapat kiosk di perhentian tersebut, tiket boleh dibeli di dalam bas ini sendiri. Bagi perjalanan ini, kami memilih untuk naik dari perhentian permulaannya (Stop No.1) yang terletak betul-betul di hadapan Sungei Wang Plaza di Bukit Bintang. Perhentian ini juga adalah satu-satunya interchange di antara Garden Route dan City Route.

Berjalan menuju ke Sungei Wang Plaza
Restoran makanan Arab banyak terdapat di Bukit Bintang
Tercangak-cangak jugalah mulanya kami mencari perhentian KL HOHO ini sebab kita tak biasa datang ke sini. Tapi mudah saja sebenarnya nak mencarinya kerana ia terletak dekat Stesen Monorel Bukit Bintang, betul-betul berhampiran pintu masuk ke Sungei Wang Plaza.

Stesen Monorel Bukit Bintang
Itu dia perhentiannya di sana...
Kiosk Tiket KL Hop-On Hop Off
Beratur membeli tiket KL HOHO
Ada 2 jenis tiket KL HOHO yang disediakan: Tiket 24 jam dan 48 Jam. Kami membeli tiket 24 jam yang berharga RM25 seorang. Kadar bayaran ini adalah bagi warga Malaysia. Kadar bayaran yang dikenakan bagi warga asing pula lebih mahal ~ RM55 seorang. Tiket 24 jam kami yang dibeli pada pukul 10 pagi hari itu boleh digunakan sehingga pukul 1 tengahari keesokan hari. Menggunakan tiket yang sama dalam tempoh 24 jam ini, kita boleh turun dan naik bas di mana-mana saja perhentian menarik. Tapi kami tidaklah turun di mana-mana, cuma duduk saja di dalam bas ronda-ronda seluruh bandaraya Kuala Lumpur.

Tiket Bas KL HOHO
Duduk menunggu bas tiba
KL HOHO berkhidmat setiap hari bermula dari pukul 9 pagi - 6 petang. Ia bergerak dalam 2 laluan: City Route dan Garden Route. Selang masa perkhidmatan bagi kedua-dua laluan adalah di antara 20-30 minit bergantung kepada keadaan trafik. Selepas mempertimbangkan segala aspek, terutama berkaitan dengan cuaca, kami memilih untuk memulakan program Melancong Ke Kuala Lumpur dengan Garden Route.

KL HOHO City Route
KL HOHO Garden Route
Garden Route
Selain City Route dan Garden Route, ada juga beberapa pakej lain yang ditawarkan oleh KL HOHO seperti di bawah...

Pakej selain City Route dan Garden Route yang ditawarkan oleh KL HOHO
Ramai juga orang yang naik KL HOHO pagi itu. Selain warga asing, ramai juga rakyat Malaysia macam kami. Semuanya macam kami, mengambil kesempatan sempena cuti weekend yang panjang begini.

Pemandangan dalam tingkat atas bas HOHO
Ada dua kategori tempat duduk di dalam bas HOHO: bertutup dan terbuka. Kita bebas untuk memilih duduk di mana saja. Untuk mendapatkan pemandangan yang lebih luas, kami memilih untuk duduk berpanas di tempat yang terbuka di belakang bas di tingkat atas.

Tempat duduk terbuka dalam KL HOHO Garden Route ini terletak di sebelah belakang
Husband berposing dalam bas KL HOHO

Part 3: Pudu Sentral (Puduraya)

Bas KL HOHO berlepas setiap setengah jam. Memandangkan hari ini adalah cuti umum dan tak banyak traffic jam, ia memang bergerak mengikut jadual.


Bergerak meninggalkan Bukit Bintang
Stesen Monorel Bukit Bintang yang ditinggalkan di belakang
Bangunan-bangunan pencakar langit berhampiran Bukit Bintang
Di celah-celah pencakar langit
Jalan yang lengang kerana cuti umum
Menara Kuala Lumpur
Oleh kerana bas HOHO mensasarkan pelancong asing yang berkunjung ke Kuala Lumpur, ada penerangan yang diberi secara live oleh Tourist Guide yang bertugas di dalam bas. Seronok juga kita dapat mendengar penerangan yang diberi sebab kita bukan tahu sangat sejarah tempat yang kita lihat walaupun kita dah lama tinggal di KL. Tapi disebabkan kita memilih duduk di kawasan terbuka atas bas, kadang-kala penerangan yang diberi menerusi speaker agak kurang jelas kedengaran.

Gereja St John
Muzium Telekom
Lukisan pada bangunan
Jalan Tun Perak
Menara Maybank
Pemandangan berhampiran Menara Maybank
LRT
Kenangan zaman muda kembali menjelma bila KL HOHO membawa kita lalu di kawasan Puduraya. Teringat zaman-zaman dulu bila kita selalu naik bas ekspres balik ke kampung dari sini. Bangunan Puduraya ini kini dah bertukar nama menjadi Pudu Sentral. Rupa kat dalamnya juga dah jauh berbeza dengan zaman sewaktu kita naik bas dari sini dulu.

Satu ketika dulu, Puduraya adalah stesen bas ekspres utama bagi Kuala Lumpur. Ada perkhidmatan bas yang beroperasi ke seluruh Semenanjung Malaysia, Singapore dan Hatyai di Thailand dari sini ketika itu. Kalau time dekat Hari Raya, roundabout di depan Puduraya ini memang jam dengan bas yang keluar-masuk. Sistem masa itu juga tak sama macam sistem sekarang di mana penumpang diminta menunggu saja di tingkat atas dan hanya turun ke bawah selepas bas tiba dan bersedia untuk berlepas. Masa itu, bila dah dekat waktu berlepas, penumpang akan berpusu-pusu turun ke bawah terminal, walaupun bas sebenarnya masih belum tiba. Masih ingat lagi betapa lemasnya kita dengan asap bas sewaktu menunggu di bawah sana.

Puduraya kini masih berfungsi sebagai sebuah stesen bas, tetapi untuk perkhidmatan ke kawasan yang berdekatan dengan Kuala Lumpur sahaja. Perkhidmatan bas jarak jauh yang berpusat di sini dulu kebanyakannya telah berpindah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan sana. Kalau dulu kita datang ke sini sebab nak naik bas balik ke kampung, sekarang Myself cuma datang ke sini untuk renew passport sebab ada Pejabat Imigresen di sini.


Puduraya yang kini dikenali sebagai Pudu Sentral
Klinik Pergigian Cahaya Suria berdekatan Pudu Sentral

Part 4: Kota Raya

Kompleks Kota Raya berdekatan dengan Pudu Sentral juga banyak mengimbau kenangan masa silam. Inilah port tempat kita menunggu bas untuk berulang-alik ke ofis sewaktu mula bertapak di Kuala Lumpur dulu.


Kompleks Kota Raya
Kota Raya
Restoran Nando's di seberang Kompleks Kota Raya
Dah lain macam suasana di sini berbanding dengan zaman dulu
KL HOHO mempunyai sebuah perhentian di sini (Stop No.13). Perhentian ini bukan sahaja digunakan untuk penumpang yang nak melawat ke Central Market, tetapi juga ke Petaling Street (Chinatown) yang berhampiran.

Chinatown
Bangunan di Chinatown
Persatuan Perdagangan Getah Selangor Dan Pahang
Satu lagi pemandangan di Chinatown

Part 5: Central Market (Pasar Seni)

Central Market (Pasar Seni) bermula sebagai sebuah pasar basah di zaman British pada tahun 1888. Selepas beroperasi selama hampir 100 tahun pada tahun 1986, ia ditukar menjadi pusat kraftangan dan kesenian seperti yang kita kenali hari ini.


Pasar Seni kini terkenal sebagai sebuah pusat jualan kraftangan dan cenderamata. Sekali-sekala memang seronok datang ke sini melihat pelbagai hasil seni yang tersedia untuk jualan.

Central Market
Pasar Seni (Central Market) bermula sebagai sebuah pasar basah pada tahun 1888.
Lorong di sebelah Pasar Seni kini dinamakan sebagai Kasturi Walk. Sewaktu Pasar Seni masih berfungsi sebagai sebuah pasar basah, laluan ini adalah sebuah lorong kecil yang dikenali sebagai Lorong Hang Kasturi. Ada banyak kedai yang menjual bahan barangan dapur dan makanan kering seperti ikan masin di sini. Myself pernah melihat kedai-kedai ini di sini sewaktu kecil dulu bila berkunjung ke Kuala Lumpur.

Kasturi Walk
Pemandangan di Kasturi Walk
Kedai-kedai di belakang gerai di Kasturi Walk ini dahulu menjual barangan dapur dan makanan kering. Kini semuanya bertukar menjadi restoran dan kedai menjual cenderamata.
Pemandangan ke arah bangunan Pasar Seni dari Kasturi Walk
Pemandangan di dalam Pasar Seni


 Bersambung ke Bahagian 2...