Friday, 8 November 2019

2019 KUALA LUMPUR BHG. 05 (City Route 1)

Oktober 2019

KUALA LUMPUR, MALAYSIA
KL Hop-On Hop-Off

Bahagian 5: City Route 1
CITY ROUTE, KLCC & MATIC

Part 19: Jalan-Jalan Cari Makan 

Hari dah tengahari sewaktu kami tiba kembali ke Sungei Wang Plaza. Kami bercadang untuk makan tengahari dulu sebelum meneruskan Melancong Ke Kuala Lumpur dengan KL HOHO City Route pulak.

Sungei Wang Plaza
Bukit Bintang memang posh area di Kuala Lumpur. Tempat-tempat makan yang ada di sini pun posh juga. Untuk kemudahan dan menjimatkan masa (dan juga menjimatkan duit), kami membuat keputusan untuk makan tengahari di restoran fast food yang ada di dalam Sungei Wang Plaza saja.

Perhiasan sempena Hari Deepavali di Sungei Wang Plaza
Kollam yang dibuat dari beras berwarna ini adalah perhiasan tipikal sempena perayaan Deepavali di Malaysia
Orang Hindu menganggap Kollam ini adalah sedekah kepada haiwan seperti semut dan tikus bila mereka datang untuk memakan beras ini.
Sebaik masuk ke dalam kami bertemu dengan sebuah restoran KFC. Maka di situ sajalah kami makan pada tengahari itu.

Restoran KFC di Sungei Wang Plaza

Part 20: KL HOHO City Route

Lepas kenyang perut makan tengahari, kami meneruskan pengembaraan kami dengan KL HOHO City Route pulak. Seperti namanya, laluan ini membawa kita mengelilingi pusat bandar Kuala Lumpur.

Kembali ke perhentian KL HOHO di Bukit Bintang
KL HOHO City Route
Tak seperti bas Garden Route tadi,  bahagian terbuka bas City Route ini terletak di sebelah depan. Disebabkan ketika itu dah remang tengahari, mulanya kami nak duduk di bahagian dalam yang ada air-cond itu saja. Tapi lepas duduk seketika, macam tak best pulak. Tetap seronok nak duduk di bahagian yang terbuka itu.

Ruang bertutup dalam bas KL HOHO
Penumpang yang menunggu bas Garden Route tiba
Tetap seronok duduk di ruang open-air ini.
Bila bas mula bergerak, ia tidaklah sepanas seperti yang disangka. Ini adalah kerana walaupun kita duduk di bahagian terbuka, bayang-bayang bangunan tinggi di kiri kanan jalan serta jambatan monorel dan LRT di tengah-tengah jalan yang dilalui memberi perlindungan kepada kita dari kepanasan matahari. Tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa bila bas bergerak juga sangat menyegarkan.

KL HOHO City Route mula bergerak
Meninggalkan Bukit Bintang
Tak tahu apa nama bangunan yang berpintal kat depan tu.
Dari Bukit Bintang, KL HOHO City Route membawa kita meneroka bahagian utara bandaraya Kuala Lumpur dekat kawasan Jalan Ipoh.

Sungai Batu
Dah banyak laluan pejalan kaki seperti ini dibina di Kuala Lumpur
Kalau dulu-dulu, laluan pejalan kaki seperti ini cuma banyak terdapat di Hong Kong
Panggung Wayang Federal yang masih bertahan di Kuala Lumpur
Bangunan Perkim
Pintu masuk ke Bangunan Perkim
Sunway Putra Mall yang terletak bertentangan dengan Putra World Trade Centre (PWTC)
Perhentian KL HOHO (Stop No.3) di depan Hotel Seri Pacific dekat dengan PWTC
Susah nak ambil gambar PWTC ini dari sini.
Kemudian kita dibawa pula melihat beberapa landmark yang menarik di Jalan Tun Razak.

Kucing kami Tam Tam pernah menerima rawatan di Hospital Veterinar ini kerana sakit gigi. Kesian kat Tam Tam kena tinggal dalam wad selama 4 hari dulu untuk buat operation cabut gigi.
Stesen LRT Titiwangsa
Pemandangan KLCC dari Jalan Tun Razak
KL HOHO lalu di tepi Istana Budaya. Istana Budaya adalah salah sebuah di antara 10 panggung teater yang tercanggih di dunia dan menjadi panggung teater pertama di Asia yang dilengkapi dengan peralatan pentas yang terkini, meletakkannya setaraf dengan Royal Albert Hall di London.

Istana Budaya
Bangunan utama Istana Budaya direkabentuk dengan berilhamkan Sirih Junjung yang digunakan dalam majlis perkahwinan dan sambutan tetamu tradisional Melayu.

Bangunan Istana Budaya yang dibina berilhamkan Sirih Junjung
Di sebelah Istana Budaya, kita dapat pula melihat Balai Seni Negara dan Pusat Darah Negara.

Balai Seni Negara
Pusat Darah Negara
Menyusuri sebahagian Jalan Tun Razak
Hospital Pusrawi
Kemudian kita dapat melihat sebuah lagi bangunan yang menarik ~ Perpustakaan Negara Malaysia. Jika Istana Budaya direkabentuk dengan berilhamkan Sirih Junjung, Perpustakaan Negara Malaysia pula direkabentuk dengan berilhamkan Tengkolok Tradisional Melayu.

Perpustakaan Negara Malaysia
Sebahagian bangunan moden di Jalan Tun Razak berhampiran Institut Jantung Negara

Part 21: Jalan Ampang

Dari Jalan Tun Razak, kita membelok masuk ke Jalan Ampang untuk menuju ke ikon terkenal di Kuala Lumpur, KLCC.

Menuju ke Jalan Ampang
Jalan Ampang adalah di antara kawasan yang mempunyai paling banyak bangunan pencakar langit di bandaraya Kuala Lumpur
Bangunan-bangunan pencakar langit
Menyusuri Jalan Ampang
Hotel Intercontinental
Kun Yam Thong Temple
Pintu masuk ke Kun Yam Thong Temple
Menara Berkembar Petronas yang dah mula menjengah
Pusat membeli-belah Avenue K di Jalan Ampang
Avenue K terletak bertentangan dengan KLCC. Ia dihubungkan dengan KLCC menerusi Stesen LRT KLCC yang terletak di bawah tanah.

Part 22: Kuala Lumpur City Centre (KLCC)

Memang tak sah melawat ke Kuala Lumpur kalau kita tak berkunjung ke KLCC yang terkenal dengan bangunan Menara Berkembar Petronas itu.

Menara Berkembar Petronas di KLCC
Menara Berkembar Petronas mempunyai sebuah pusat membeli-belah setinggi 6 tingkat di bawahnya. Pusat membeli-belah ini dinamakan Suria KLCC.

Pintu masuk ke Suria KLCC
Pemandangan di dalam Suria KLCC
Bumbung Suria KLCC
Dengan ketinggian 452 meter, Menara Berkembar Petronas pernah menjadi bangunan yang tertinggi di dunia dari tahun 1998 sehingga 2004 sebelum ditewaskan oleh Bangunan Taipei 101 di Taiwan. Gelaran bangunan tertinggi di dunia ini kini walau bagaimanapun telah dirampas dari Taipei 101 oleh bangunan Burj Khalifa di Dubai.

Bangunan ini direkabentuk oleh seorang arkitek dari Argentina yang bernama Cesar Pilar berdasarkan elemen kesenian Islam. Dibina dari konkrit, besi dan kaca, pembinaan bangunan ini memakan masa 7 tahun untuk disiapkan.

Menara Berkembar Petronas ini telah direkabentuk oleh seorang arkitek dari Argentina berdasarkan elemen kesenian Islam.
KL HOHO membuat persinggahan yang agak lama di sini kerana KLCC adalah sebuah tarikan pelancongan utama di Kuala Lumpur.

Perhentian bas di depan KLCC ini ditaja oleh Petrosains Discovery Centre yang terletak di dalam bangunan Suria KLCC
Binaan atom di atas perhentian bas ini dinamakan Oktana
Keterangan tentang Oktana
Perhentian KL HOHO (Stop No.5) di depan KLCC
Bas GoKL ini adalah bas awam percuma yang berkhidmat di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur
KLCC juga mempunyai sebuah taman yang besar di belakangnya tetapi kita tak nampaklah taman tersebut dari sebelah sini. Taman ini mempunyai pancutan air yang cantik dan kolam mandi kanak-kanak yang sangat popular di kalangan pengunjung.

Bangunan yang di seberang sana itu adalah Menara Public Bank
Kita selit juga dalam entry ini gambar Taman KLCC yang pernah kita ambil dulu...

KLCC memang menjadi tumpuan pelancong sepanjang masa. Pada cuti hujung minggu begini, ia juga menjadi tumpuan rakyat asing yang bekerja mencari rezeki di Malaysia.

Kawasan landskap di depan KLCC
Perhentian KL HOHO (Stop No.5) di depan KLCC
Pengunjung-pengunjung ke KLCC
Ramai pelancong yang datang hari ini
Meneruskan perjalanan
KL Tower mengintai di kejauhan

Part 23: Malaysia Tourism Information Centre (MATIC)

Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (Malaysia Tourism Information Centre atau MATIC) terletak tidak jauh dari KLCC. Ia menjadi tumpuan pengunjung asing yang ingin mendapatkan maklumat tentang aktiviti pelancongan di Malaysia.

Restoran Nasi Kandar Pelita
Bangunan MATIC yang cantik dan bersejarah ini pada asalnya adalah rumah kediaman Eu Tong Seng, seorang pelombong bijih timah dan pengusaha ladang getah yang kaya-raya. Senibina bangunan ini menggambarkan era kolonial sewaktu pembinaannya.

Pusat Penerangan Pelancongan (MATIC)
Perhentian KL HOHO (Stop No.6) di hadapan MATIC
Melihat suasana di sini sekarang, sukar nak membayangkan yang rumah ini dulu terletak di tengah-tengah dusun rambutan. Ia pernah digunakan sebagai pejabat pentadbiran tentera British dan tentera Jepun di zaman perang dulu.

Selepas kemerdekaan, bangunan ini telah diubahsuai dan digunakan sebagai pejabat kerajaan. Persidangan pertama Dewan Rakyat Malaya telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman di dalam bangunan ini pada 12 September 1959. Pelbagai aktiviti persembahan kebudayaan sering diadakan di MATIC kini untuk memperkenalkan budaya kita kepada pelancong asing.

Pintu masuk ke MATIC
Bangunan MATIC pernah digunakan untuk persidangan Dewan Rakyat Malaya yang pertama pada tahun 1959 sebelum Bangunan Parlimen dibina.


 Bersambung ke Bahagian 6...


CATATAN PERJALANAN KUALA LUMPUR (2019):