Saturday, 14 May 2016

2016 GUILIN BHG. 08 (Liu Sanjie Park)

April 2016 

GUANGXI, CHINA
Guilin & Yangshuo

Bahagian 8: Guilin (2)
LIU SANJIE PARK, ZHENGYANG SHOPPING STREET & MIRAGE GUILIN SHOW

HARI KETIGA (3)

Part 25: Liu Sanjie Park

Lawatan seterusnya adalah ke Liu Sanjie Park.

Perjalanan ke Liu Sanjie Park di Guilin
Salah sebuah tasik di Guilin.
Liu Sanjie adalah sebuah lagenda terkenal di daerah Guilin dan Taman Liu Sanjie dibina berdasarkan kepada kisah lagenda tersebut. Sebuah filem juga pernah dibuat mengenai Liu Sanjie pada tahun 1961. Filem tersebut sangat berjaya sehingga menyebabkan lagenda Liu Sanjie menjadi terkenal ke seluruh negara China.

Pintu masuk ke Liu Sanjie Park di Guilin.
Ramai pengunjung ke sini pada hari ini kerana cuti umum di China.
Masuk ke Taman Liu Sanjie
Ada sebatang Pokok Banyan besar yang ditanam betul-betul di dalam pintu masuk ke taman. Ada banyak reben-reben merah yang digantung pada pokok ini. Kami diberitahu pokok Banyan dianggap sebagai pokok bertuah. Oleh yang demikian, pasangan-pasangan yang ingin berkahwin akan datang berdoa di bawah pokok Banyan sambil menggantungkan reben merah yang tertulis pengharapan tentang perkahwinan mereka.

Pokok Banyan di pintu masuk ke Liu Sanjie Park.
Reben-reben merah yang digantung pada pokok Banyan ini tertulis pengharapan dari pasangan-pasangan yang ingin berkahwin.
Wedding Ball di bawah Pokok Banyan.

RUMAH ZHUANG

Tidak jauh dari Pokok Banyan yang besar tadi, kami dapat melihat replika rumah tradisional Kaum Zhuang. Rumah mereka lazimnya terdiri dari tiga tingkat. Tingkat paling bawah dikhususkan untuk menyimpan binatang ternakan manakala keluarga Zhuang akan tinggal di tingkat tengah.

Tingkat paling atas pula dikhususkan untuk anak-anak gadis dalam keluarga yang telah mencapai usia perkahwinan. Bila orang kampung lalu di tepi rumah ini dan melihat ada perempuan yang menghuni tingkat paling atas, mereka secara automatik akan tahu yang keluarga tersebut mempunyai anak perempuan yang boleh dilamar untuk berkahwin dengan anak lelaki mereka. 

Rumah tradisional Zhuang dibina dalam tiga tingkat.
Anak-anak perempuan yang telah dewasa dan cukup umur untuk berkahwin akan tinggal di tingkat paling atas.
Tingkat bawah yang ditutup dengan kayu ini adalah kandang untuk binatang ternakan.
Peralatan-peralatan tradisional yang digunakan oleh orang Zhuang juga diletakkan di depan rumah ini.
Bronze Drum yang dimainkan dalam perayaan-perayaan kaum Zhuang.
Sebahagian besar penduduk Zhuang tradisional hidup sebagai petani yang menanam padi dan mereka sangat bergantung kepada hujan untuk mengairi tanaman mereka. Bila orang Zhuang mendengar katak berbunyi, mereka tahu yang hujan akan turun. 

Disebabkan bunyi katak membawa petanda yang baik, orang-orang Zhuang menganggap katak sebagai jelmaan Dewa Guruh. Bagi menghormati tradisi ini, sebuah patung katak yang besar didirikan di tengah-tengah tasik di Taman Liu Sanjie ini

Patung katak di tengah tasik

KISAH LIU SANJIE

Liu Sanjie bermaksud "Anak Perempuan Ketiga Keluarga Liu". Menurut ceritanya, dia adalah seorang gadis cantik yang mempunyai suara yang sangat merdu di zaman Dinasti Tang. Liu Sanjie bercinta dengan seorang pemuda yang juga pandai menyanyi seperti beliau sendiri.

Ada kisah Liu Sanjie diceritakan di sini, tapi semuanya dalam Tulisan Cina. Mujurlah ada Francis yang menerangkan kisah ini kepada kami.
Kisah Liu Sanjie.
Mengikut lagendanya, Liu Sanjie sangat cantik dan pandai menyanyi.
Seorang pembesar yang jahat jatuh cinta kepada Liu Sanjie dan memaksa Liu Sanjie berkahwin dengannya. Liu Sanjie mengajak pembesar tersebut beradu nyanyian dengannya dan beliau sedia berkahwin dengan pembesar tersebut sekiranya pembesar dapat mengalahkannya.

Seperti yang diduga, pembesar tewas dalam pertandingan tersebut. Namun demikian, beliau tidak berpuas hati dan mengarahkan orang-orangnya menculik Liu Sanjie.

Pembesar tewas dalam pertandingan nyanyian dengan Liu Sanjie.
Marah dengan kekalahannya, pembesar mengarahkan orang-orangnya untuk menculik Liu Sanjie.
Liu Sanjie diculik oleh pembesar.
Liu Sanjie walau bagaimanapun, dapat diselamatkan oleh teman lelakinya. Liu Sanjie dan teman lelakinya dikatakan berbalas-balas nyanyian untuk mengesan tempat persembunyian Liu Sanjie.

Selepas diselamatkan, Liu Sanjie dan teman lelakinya berkahwin di bawah pohon Banyan. Kerana itulah orang-orang Zhuang percaya yang pokok Banyan membawa tuah kepada pasangan yang ingin berkahwin.

Liu Sanjie juga dikatakan memberi hadiah Wedding Ball kepada teman lelakinya sebagai hadiah perkahwinan. Dari sinilah adat memberi Wedding Ball sebagai tanda cinta diamalkan oleh kaum Zhuang.


Liu Sanjie berkahwin dengan teman lelakinya di bawah pohon Banyan. Semenjak itu, pokok Banyan dianggap membawa tuah kepada pasangan yang ingin berkahwin.
Demi memastikan mereka dapat bersama selama-lamanya, Liu Sanjie dan teman lelakinya telah terjun ke dalam sungai menjadi ikan.

Tapi betulkah mereka boleh hidup berbahagia selama-lamanya setelah bertukar menjadi ikan di sungai? Sungai di Guilin ni kan banyak Burung Cormorant yang pandai menangkap ikan... Bagaimana sekiranya Liu Sanjie atau pasangannya ditangkap oleh Burung Cormorant ni?...
Terpulanglah kepada kita, sama ada nak menafsirkan pengakhiran cerita ini dikira happy ending macam dalam cerita Hindustan ataupun sad ending seperti dalam cerita Korea.

Liu Sanjie dan temannya terjun ke dalam sungai untuk menjadi ikan.

KAUM MIAO 

Selepas mengenali budaya kaum Zhuang, kita berkenalan pula dengan kaum Miao. Jika kaum Zhuang pandai menyanyi, kaum Miao pula pandai menari dan alat muzik popular mereka adalah Long Drum.

Alat muzik popular kaum Miao yang dinamakan Long Drum.
Kami turut diperkenalkan dengan pakaian tradisional kaum Miao. Wanita-wanita Miao sering memakai perhiasan perak di dada mereka. Ini adalah kerana orang-orang Miao gemar berperang pada masa dahulu dan perhiasan perak yang dipakai oleh kaum wanita dapat membantu memastikan mereka masih mempunyai harta yang dapat dijual sekiranya kalah dalam peperangan dan diusir dari kampung halaman.

Gambar wanita-wanita kaum Miao yang memakai perhiasan perak di dada.
Kemudian, kami dibawa melawat ke repilika rumah pembesar Miao di sini. Rumahnya sama seperti rumah-rumah orang kaya seperti yang selalu kita lihat dalam drama Cina Purba di TV.

Melawat ke rumah pembesar Miao. Seperti rumah-rumah orang kaya dalam cerita Cina Purba di TV, rumah-rumah ini dipagar dengan tembok tinggi bagi tujuan keselamatan.
Mengintai ke dalam dari pintu masuk.
Bangunan rumah utama.
Pemandangan di perkarangan rumah.
Ini juga pemandangan di perkarangan rumah.
Kerusi untuk mengusung pembesar jika dia ingin keluar dari rumah untuk ke mana-mana.
Pemandangan di ruang tamu.
Bilik tidur pembesar.
Perhiasan dada kaum wanita Miao yang digantung di dinding rumah pembesar.
Meninggalkan rumah pembesar.

YAO LONG HAIR SHOW

Seterusnya, kita saksikan pula Yao Long Hair Show. Menjadi tradisi bagi wanita-wanita Yao menyimpan rambut yang panjang. Wanita Yao dikatakan tak pernah memotong rambut mereka sehinggalah mereka berusia 18 tahun untuk menandakan yang mereka telah mencapai usia dewasa.

Kawasan pertunjukan Yao Long Hair Show.
Persembahan muzik tradisional Yao sebelum persembahan Long Hair Show.
Wanita Yao menyimpan sanggul di kepala dan sanggul mereka sangat besar kerana ia terdiri dari tiga bahagian. Bahagian pertama adalah rambut semulajadi mereka yang sememangnya sangat panjang (iaitu rambut yang disimpan sejak usia 18 tahun). Bahagian kedua ialah rambut yang dipotong sewaktu berusia 18 tahun, dan bahagian ketiga pula adalah rambut yang gugur sewaktu disikat. Rambut ini tidak dibuang. Sebaliknya ia dikumpul dan disanggul kembali ke atas kepala.

Ini rambut semulajadi yang disimpan sejak usia 18 tahun.
Perempuan di sebelah kanan tu memegang rambut yang dipotong sewaktu berusia 18 tahun. Walaupun rambut tersebut telah dipotong, ia tidak dibuang. Sebaliknya ia turut dipakai di kepala bersama rambut baru yang tumbuh kemudian.
Wanita Yao sedang menyanggul rambut.
Simple saja pertunjukan Yao Long Hair Show ini. Hanya sekadar melihat perempuan Yao membuka sanggul mereka untuk menunjukkan betapa panjangnya rambut yang disimpan dan seterusnya bagaimana mereka menyanggulnya kembali. 

BERSIAR-SIAR DI TAMAN

Selepas itu, kami terus berjalan-jalan lagi di taman yang cantik dan terjaga rapi ini. Pengunjung ke taman ini juga ramai pada hari ini kerana cuti umum di seluruh negara China sempena Hari Pekerja.

Kincir air tradisional.
Pemandangan dekat kincir air tradisional yang dibuat dari buluh.
Replika padang ragut.
Guilin sangat kaya dengan budaya. Persembahan kebudayaan dapat disaksikan di mana-mana sahaja, termasuklah di Taman Liu Sanjie ini. Tapi kami tidak menonton persembahan ini di sini.

Teater persembahan kebudayaan di Liu Sanjie Park.
Patung Liu Sanjie.
Pemandangan dekat patung Liu Sanjie.
Peta Taman Liu Sanjie
Kemudian kami terserempak pula dengan pertunjukan sabung ayam. Sewaktu melihat pertunjukan sabung ayam ini di Philippines tempohari, Myself menyangka permainan sabung ayam hanya budaya negara-negara di Asia Tenggara. Sungguh, Myself tak sangka yang budaya ini juga ada sampailah ke China.

Pertunjukan sabung ayam.
Ngeri melihat ayam-ayam ni bertarung sebab kedua-duanya memang sangat garang!
Tempayan Rice Wine.
Gerai-gerai cenderamata berdekatan gelanggang sabung ayam.
Dengan bayaran 10 Yuan (RM 6) seorang, kita boleh bergambar dengan artis-artis budaya di taman ini. Kami sebaliknya membayar 80 Yuan (RM 48) dan meminta semua kelapan-lapan artis budaya ni yang berposing beramai-ramai untuk kami. Mungkin disebabkan tak pernah orang buat permintaan begitu kepada mereka, artis-artis ni cukup teruja membuat pelbagai pose untuk kami. 

Dengan bayaran 10 Yuan, kita boleh berposing dengan seorang artis budaya.
Dengan bayaran 80 Yuan, kami meminta artis-artis budaya ini berposing untuk kami.
Menunjukkan gambar yang diambil kepada artis-artis.
Dengan bayaran 20 Yuan (RM 12) seorang pula, mereka yang berminat boleh menyewa pakaian tradisional China di sini untuk bergambar. Ada juga beberapa orang Kakak dalam kumpulan kami yang mengambil kesempatan ini.

Kakak-kakak dalam kumpulan kami yang bergaya ala puteri China. Turut menyertai mereka adalah seorang pelancong wanita Cina dari Malaysia yang turut berposing bersama dengan pasangannya.
Walaupun pakaiannya nampak elaborate, ia sebenarnya hanya disarung dari luar dan diikat ke belakang. Jadi memang tak ada masalah tak ada saiz sewaktu menyarung pakaian ini.
Berposing kenangan sebelum meninggalkan Liu Sanjie Park.

Part 26: Zhengyang Shopping Street 

Disebabkan kami dijadualkan untuk menonton persembahan Guilin Mirage Show yang bermula pada pukul 7.30 malam ini, Francis membawa kami dinner awal pada hari ini. Makan malam disediakan di sebuah restoran Halal di Zhengyang Shopping Street.

Hujan turun lagi sewaktu kami meninggalkan Liu Sanjie Park menuju ke Zhengyang Shopping Street.
Starbucks Coffee di Guilin.
Guilin Emergency Centre
Pemandangan berhampiran Zhengyang Shopping Street.
Zhengyang Shopping Street terletak di tengah-tengah kota Guilin. Ia adalah sebuah pedestrian street di mana kenderaan tak dibenarkan untuk melalui jalan ini.

Zhengyang Shopping Street terletak berdekatan Tasik Rong.
Permulaan Zhengyang Shopping Street berhampiran Tasik Rong.
Zhengyang Shopping Street.
Pelbagai kedai terdapat di Zhengyang Shopping Street ini, dari kedai yang menjual barangan moden sehinggalah ke kedai yang menjual barangan tradisional. Jalan ini juga sesak dengan ramai orang yang berkunjung ke sini kerana ia juga terkenal sebagai tempat untuk makan-makan di Guilin. 

Ada banyak restoran makanan Cina di sini.
Pusat jualan cenderamata yang murah di Zhengyang Shopping Street.
Kedai kacang tradisional di Zhengyang Shopping Street.
Kawasan sekitar Guilin terkenal dengan penghasilan pelbagai jenis kacang. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika di Zhengyang Shopping Street ini ada banyak kedai menjual kuih-kuih kacang yang sedap.

Disebabkan Myself dibesarkan dekat Ipoh yang mempunyai ramai penduduk berketurunan Cina, Myself sering melihat dan memakan kuih-kuih kacang ini masa kecil dulu kerana ia sering dihadiahkan oleh jiran-jiran sewaktu perayaan Tahun Baru Cina. Memang nostalgia melihat kuih-kuih kacang yang sering dilihat dan dimakan masa kita kecil dulu dijual dengan begitu banyak di sini. Bentuk kuih-kuihnya pun sama dengan yang biasa Myself lihat pada masa dulu.


Kedai menjual pakaian.
Sambal-sambal kering juga banyak dijual di Zhengyang Shopping Street ini. Seperti kacang-kacang yang ditumbuk secara tradisional di depan kedai, cili-cili kering ini juga disediakan dengan cara yang sama.
Salah sebuah mercu tanda di Zhengyang Shopping Street.
Perhatikan betul-betul.... Ini kedai kasut sukan New Bailone dan bukan New Balance.
Berjalan ke restoran.
Dinner kami disediakan di sebuah kedai kecil di Zhengyang Shopping Street yang jika diterjemahkan namanya secara langsung ke Bahasa Inggeris bermaksud "The Brand Of Beef Noodles".

Signboard ke restoran Halal.
Kedai dinner kami terletak di lorong restoran ini.
Inilah kedainya.
The Brand Of Beef Noodles.
Pemandangan di dalam restoran.
Pemilik restoran sedang melayan kami. Terlupa nak tanya nama beliau. Pemilik restoran ini berasal dari Utara China.
Membuat Mee Tarik di depan restoran.
Salah seorang tukang masak di restoran.
Pekerja-pekerja di dapur restoran.
Walaupun restoran ini bernama The Brand Of Beef Noodles, kami dihidangkan dengan nasi pada malam ini.

Part 27: Mirage Guilin Show

Sementara menunggu tiba masa untuk menyaksikan Mirage Guilin Show, kami diberi Free Time di Zhengyang Shopping Street. Jadi kami berjalan-jalan menyaksikan jualan dan aktiviti-aktiviti yang berlangsung di sini.

Free Time di Zhengyang Shopping Street.
Promosi pembukaan sebuah kelab di Zhengyang Street.
Street Food
Winnie The Pooh membuat promosi pakaian.
Makanan laut segar.
Lorong ini dipenuhi dengan kedai-kedai souvenir.
Bila tiba masanya, kami berkumpul kembali ke tempat yang ditetapkan untuk pergi ke teater persembahan Mirage Guilin Show. Teater tersebut terletak di kawasan Zhengyang Shopping Street ini juga, kira-kira 200 meter dari restoran tempat kami makan malam tadi.

Berjalan ke Teater Mirage Guilin Show.
Teater Mirage Guilin Show
Pemandangan di depan teater.
Pintu masuk ke ruang persembahan di dalam teater.
Mirage Guilin Show adalah sebuah persembahan akrobatik muzikal. Persembahannya memang hebat, tapi tidaklah sehebat persembahan The Romance of Song Dynasty yang pernah kami lihat di Hangzhou dalam lawatan ke Shanghai dulu.

Jika Romance of Song Dynasty dulu berkisar tentang keagungan pemerintahan Maharaja China, persembahan Mirage Guilin Show memaparkan kebudayaan dan keindahan Guilin. Seperti juga persembahan Romance of Song Dynasty dulu, persembahan akrobatik dan latarbelakang Computer Graphic Image yang digunakan di atas pentas memang memukau.

Aksi yang paling memukau dalam persembahan ini ialah pertunjukan stunt bermotosikal. Memang mendebarkan bila melihat bermula dari sebuah sehinggalah 5 buah motosikal berkuasa tinggi berpusing-pusing dalam jaring sfera di depan kita.

Mula-mula sebuah saja...
Masa ni dah tiga buah motorsikal berpusing-pusing kat dalam sana...
Empat buah motorsikal sekarang...
Akhirnya sampai 5 buah. Paling memeranjatkan bila kita mendapat tahu yang ketua pasukan motorsikal ini adalah seorang wanita.
Kami kemudiannya mendapat tahu yang wanita yang mengetuai pasukan stunt motorsikal ini adalah seorang stuntwoman yang sangat hebat pada satu ketika dulu. Dia dan pasukannya pernah membuat persembahan ke serata dunia sebelum settle down dan membuat persembahan di teater ini.

China mempunyai ramai ahli akrobat, stunt dan gymnast. Mereka telah dilatih membuat aksi stunt dan gimnastik sejak dari kecil lagi. Namun suatu hakikat yang perlu diterima bagi sesiapa yang menceburi bidang ini ialah mereka "tua" terlalu cepat. Sampai ke satu usia yang tertentu, mereka perlu bersara dari pentas. Selalunya selepas bersara, ramai yang memilih membuat persembahan teater seperti di dalam Mirage Guilin Show ini.

Penutup persembahan Mirage Guilin Show.

Part 28: Baigong Hotel

Selepas menonton Mirage Guilin Show yang mengkagumkan itu, barulah kami dibawa untuk check-in ke hotel penginapan kami yang bernama Baigong Hotel.

Pemandangan malam di Guilin.
Kesesakan malam.
Tiba di Baigong Hotel.
Kami mendapat bilik di Tingkat 14. Selain dari bilik-bilik biasa, ada beberapa bilik yang mempunyai tema-tema tertentu seperti Doraemon Suite, Hello Kitty Suite dan pelbagai lagi.

Inilah bilik kami yang berkelok masuk ke dalam.
Kaget bila mendapati yang kami sebenarnya mendapat Honeymoon Suite. Katil dalam bilik ini berbentuk bulat dan kepalanya pula bercengkerang. Tak kisahlah, janji ada tempat nak tidur malam ni...

Hulamak! Dapat bilik Honeymoon Suite la pulak...
Katil yang bulat dan bercengkerang.
Cermin pun bentuk Love lagi...
Pemandangan malam dari bilik hotel. Selamat malam, Guilin!


Bersambung ke Bahagian 9...


CATATAN PERJALANAN GUILIN & YANGSHUO (2016):