Wednesday, 23 September 2015

2015 SRI LANKA BHG. 08 (Colombo 2)

September 2015

SRI LANKA
Colombo, Kandy & Nuwara Eliya

Bahagian 8 : Colombo (2)
OLD TOWN HALL, RAJASINGHE GUARD, COLOMBO PORT MONUMENT & GANGARAMAYA TEMPLE

HARI KEEMPAT (2)

Bahagian 33: Old Town Hall

Lawatan seterusnya ialah ke Old Town Hall.


Colombo Old Town Hall
Pasar di sebelah Old Town Hall.
Penjaja di depan pasar berhampiran Old Town Hall
Dari luar, bangunan Colombo Old Town Hall ini kelihatan terbiar dan berhabuk. Tapi bila kita masuk ke dalam, ia sebenarnya adalah sebuah bangunan yang menarik.

Pemandangan bila kita menjenguk ke dalam bangunan Old Town Hall. Pintu di depan itu dulunya adalah pejabat Bomba Colombo.
Penjaga bangunan menyambut kedatangan kami ke sini. Dia membawa kami melawat ke tingkat atas bangunan.

Tangga menuju ke tingkat atas Colombo City Hall.
Mengikut Shane dan Penjaga Bangunan ke tingkat atas.
Pemandangan dari atas tangga.
Di tingkat atas bangunan, kami dibawa ke sebuah bilik yang dulunya digunakan sebagai Bilik Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Dewan Bandaraya Colombo. Ada patung-patung lilin ahli mesyuarat di dalam bilik ini yang sedang duduk bermesyuarat.

Patung lilin Ahli-ahli Majlis Dewan Bandaraya Colombo sedang duduk bermesyuarat.
Pemandangan dekat salah sebuah patung lilin Ahli Majlis Mesyuarat Dewan Bandaraya Colombo.
William Shakespeare?! Adakah dia juga Ahli Majlis Dewan Bandaraya Colombo dulu?
Penjaga bangunan kemudiannya membawa kami ke belakang bilik mesyuarat. Di sini ada koleksi mesin-mesin taip dan mesin penghantaran Kod Morse lama yang telah berhabuk dan tidak lagi digunakan. Pada masa dahulu, mesin-mesin ini adalah alat-alat pejabat yang canggih kerana komputer belum dicipta pada ketika itu.

Mesin-mesin taip dan komunikasi Morse Code ini datang dari Chicago, kata Penjaga Bangunan.
Penjaga bangunan kemudiannya menunjukkan kepada kami satu ciri senibina unik pada bangunan Old Town Hall ini, iaitu tingkapnya yang dibina dalam dua lapisan. Satu lapisan dibina dari kayu, manakala lapisan kedua dibuat dari kaca. Ia boleh dipasang bertukar-ganti mengikut kesesuaian keadaan.

Satu lapisan tingkap ini dibuat dari kayu.
Tingkap kayu tadi boleh ditolak ke bawah untuk disimpan dan lapisan tingkap kedua yang dibuat dari kaca boleh ditarik ke atas untuk menggantikannya jika perlu.
Lapisan tingkap yang kedua yang dibuat dari kaca sedang ditarik ke atas dengan tangan oleh Penjaga Bangunan.
Di sini, kita boleh melihat kedua-dua tingkap serentak.
Di tingkat atas ini juga ada sebuah balkoni kecil di mana kita dapat melihat pemandangan kawasan perdagangan yang dinamakan Pettah dengan jelas. Di sinilah agaknya Datuk Bandar Colombo melihat aktiviti yang berlaku di bandar pada masa dahulu.

Balkoni kecil untuk melihat pemandangan bandar di Colombo City Hall.
Pemandangan kawasan perdagangan Pettah dari balkoni.
Pettah masih merupakan kawasan perdagangan yang sibuk di Colombo. Kalau dibandingkan dengan Kuala Lumpur, inilah "Chow Kit" kepada Colombo.
Colombo bermula sebagai sebuah kota berkubu yang dibina oleh orang Portugis pada awal kurun ke-16 dulu. Kota ini kemudiannya ditakluk oleh Belanda sebelum berpindah ke tangan British. Kota Colombo dulu dikelilingi tembok yang tinggi. Namun kini, tembok tersebut telah runtuh ditelan pembangunan. Namun demikian, daerah di mana kota ini pernah berdiri masih dinamakan "Fort" sehingga ke hari ini.

Bangunan Colombo Old Town Hall ini sebenarnya dibina di penghujung kubu kota. Ia terletak di dalam kubu. Kawasan perdagangan Pettah pada ketika itu terletak betul-betul di luar kota kubu.

Penjaga bangunan menunjukkan kedudukan Old Town Hall pada peta bandar Colombo tahun 1785.
Di sinilah letaknya Old Town Hall yang sedang kami lawati.
Selain pusat pentadbiran bandar, Old Town Hall juga berfungsi sebagai sebuah mahkamah pada masa dulu. Kami ditunjukkan dewan di mana perbicaraan diadakan pada masa itu.

Dewan ini juga berfungsi sebagai sebuah mahkamah pada masa dahulu.
Pemandangan dewan dari atas pentas.
Dari tingkap di dewan ini juga, kita dapat memerhatikan pemandangan sebahagian lagi bandar Colombo.

Pemandangan sebahagian lagi bandar Colombo diperhatikan dari sini.
Ada patung Buddha yang besar jelas diperhatikan dari sini.
Close-up patung Buddha
Sebelum meninggalkan Old Town Hall, kami memberi sedikit Tip kepada Penjaga Bangunan tadi. Dengan tak semena-mena, datang seorang lagi lelaki meminta Tip dari Husband. "Why should I give you tip?", tanya Husband. "I am his officer", kata lelaki tadi. Amboi, begitu pulak? Disebabkan Husband bimbang Tip yang diberi kepada Penjaga Bangunan tadi disapu pulak oleh Pegawainya, Husband turut memberi tip kepada Pegawai tadi. Barulah Pegawai itu pergi.

Tapi sebaik sampai di bawah, Penjaga Bangunan meminta Tip yang lebih dari Husband. Mulalah Husband berdrama... Husband memberitahu Penjaga Bangunan yang kami akan balik ke Kuala Lumpur pada esok hari dan dia masih belum membeli pakaian untuk dihadiahkan kepada Emak dan adik-beradiknya di Malaysia. Kalau dia memberi Tip yang lebih kepada Penjaga Bangunan ni, manalah ada duit nak belikan pakaian-pakaian ni... Kesian kat Emak dan adik-beradiknya nanti tak dapat hadiah pakaian dari Sri Lanka...

Penjaga Bangunan tergelak mendengar cerita Husband. Dia kemudiannya bersalam dengan Husband dan mengucapkan selamat jalan kepada kami. Pandai Husband buat drama... Tapi sebelum beredar, sempat juga Penjaga Bangunan mengutuk kami: "Cheap Malaysia (Malaysia Kedekut)". Tak kisahlah...

Part 34: Rajasinghe Guard 

Shane membawa kami meninggalkan Colombo Old Town Hall ke persinggahan seterusnya, Rajasinghe Guard.

Ini kawasan Islam kat Colombo rasanya.
Colombo mempunyai ramai penduduk beragama Islam. Kita dapat melihat penduduk-penduduk Muslim hampir di seluruh pelusuk Colombo.
Sebuah pasar terbuka di Colombo
Gerai menjual King Coconut.
Bangunan moden yang terdiri dari dua menara di depan sana adalah World Trade Centre. Di situlah letaknya Bursa Saham Colombo.
Bangunan kolonial di Colombo

RAJASINGHE GUARD

Sri Vikrama Rajasinha ialah raja Sri Lanka yang terakhir. Pusat pemerintahannya adalah di bandar Kandy. Baginda memerintah di saat negaranya sedang menghadapi ancaman penjajahan British.

Lebih malang lagi, Perdana Menteri baginda sendiri yang bernama Pilimatalava merancang untuk menggulingkan baginda. Raja memerintahkan supaya Perdana Menteri tersebut dibunuh dan tempatnya digantikan dengan anak saudaranya yang bernama Ehelepola. Bila Ehelepola memberontak dan berpaling tadah kepada British, Raja Sri Vikrama bertindak balas dengan membunuh seluruh ahli keluarganya. Tindakan Raja yang kejam menyebabkan Baginda hilang pengaruh dan sokongan dari rakyat. British akhirnya mengalahkan Raja Sri Vikrama di Kandy tanpa sebarang tentangan.

Raja Sri Vikrama ditangkap oleh British dan dibawa ke Colombo sebelum dibuang negeri ke Vellore di India. Baginda meninggal dunia di Vellore, India pada tahun 1832.

Penjara Raja Sri Vikrama Rajasinha adalah sebuah bilik kecil yang kini terletak di tempat letak kereta Bangunan Ceylinco di Colombo. Namun ia bukanlah bangunan asal kerana keseluruhan kawasan ini musnah dibom oleh pemberontak dalam Perang Saudara Sri Lanka 30 tahun dahulu. Setelah Perang Saudara tamat, ia dibina semula seperti bangunan asal untuk memelihara kesan sejarahnya.

Penjara Raja Sri Vikrama Rajasinha ini kini dikenali sebagai Rajasinghe Guard.
Penjara ini kini terletak di kawasan tempat letak kereta Bangunan Ceylinco di pusat bandar Colombo.
Di bangunan kecil inilah Raja Sri Vikrama Rajasinha, raja terakhir di Sri Lanka dipenjarakan oleh British sebelum dibuang negeri ke Vellore di India.
Raja Sri Vikrama Rajasinha dipenjarakan di sini selama 10 hari sebelum dibuang negeri ke India.
Bilik penjara ini kecil dan di dalamnya kini terdapat potret Raja dan pembesar-pembesar yang terlibat dengan peristiwa pembuangan negeri ini pada ketika itu.
Ini adalah potret King Sri Vikrama Rajasinha dengan permaisurinya, Queen Venkata Rengammal.
Sejarah peristiwa pembuangan negeri King Sri Vikrama Rajasinha.
Sewaktu kami melawat Rajasinghe Guard ini, hujan turun dengan tidak semena-mena. Shane meminta kami berlindung di bawah bangunan sehingga beliau selesai memasang plastik pelindung pada Tuk Tuk dan mengambil kami di bawah Bangunan Ceylinco.

Shane menyediakan plastik pelindung hujan pada Tuk Tuk.

Part 35: Colombo Port Monument

Ada hikmah di sebalik hujan yang turun selepas kami melawat Rajasinghe Guard tadi. Ia memberikan kami pengalaman menaiki Tuk Tuk di dalam hujan.

Jom naik Tuk Tuk lagi...
Tuk Tuk kami telah dipasang dengan plastik pelindung untuk mengelakkan dari kebasahan hujan.
Shane cukup prihatin memastikan kami tidak kebasahan.
Pemandangan dari Tuk Tuk di dalam hujan. Kalau tadi perjalanan kami sedap berangin, bila dah pasang plastik ini, panaslah pulak...
Plastik pelindung dipasang kemas dengan zip.

COLOMBO PORT MONUMENT

Syukur Alhamdulillah, hujan telah berhenti sewaktu kami tiba di Colombo Port Monument. Sesuatu yang kami perhatikan sepanjang percutian kami di Sri Lanka ini ialah walaupun hujan turun dengan kerap di sini, hujannya tak pernah lama dan hanya seketika. Mungkin itu adalah ciri hujan dalam musim peralihan Monsun di negara ini.

Pelabuhan Colombo adalah pelabuhan tersibuk di Asia Selatan dan disebabkan kedudukannya yang strategik di Lautan Hindi, ia turut termasuk di dalam senarai 35 pelabuhan tersibuk di dunia. Pemandangan pelabuhan Colombo dapat dilihat dengan jelas dari Colombo Port Monument.

Colombo Port Monument
Tangga naik ke Colombo Port Monument.
Plak peringatan Colombo Port Monument.
Sejarah pembinaan Colombo Port Monument.
Ada sebuah rumah api dibina di Colombo Port Monument ini. Namun kami tak pasti sama ada rumah api ini masih digunakan atau sebaliknya.
Antara pemandangan yang jelas dilihat dari Colombo Port Monument adalah Stupa Buddha yang dibina oleh Church of Wolvendaal yang kami lawati tadi.
Pelabuhan Colombo sedang diperbesarkan untuk menampung lebih banyak aktiviti perkapalan. Kerja-kerja pembesaran ini telah dimulakan tetapi sedang diberhentikan seketika kerana pembinaannya memberi kesan kepada kawasan pantai persekitaran. Antara kawasan yang menerima kesan dari pembesaran pelabuhan ini ialah pantai di Pegasus Reef Hotel.

Pemandangan pelabuhan Colombo dari Colombo Port Monument
Pelabuhan Colombo termasuk dalam senarai 35 pelabuhan yang tersibuk di dunia.
Projek pembesaran Pelabuhan Colombo sedang diberhentikan buat seketika sehingga kajian mengenai kesan pembesaran pelabuhan ini kepada alam sekitar diselesaikan.
Ada 7 buah meriam yang diletakkan di Port Monument ini. Meriam-meriam ini digunakan pada sambutan Hari Kemerdekaan Sri Lanka yang diadakan setiap tahun. Setiap meriam akan mengeluarkan 3 das tembakan, menjadikan keseluruhan 21 das tembakan pada sambutan tersebut.

Meriam di Colombo Port Monument.

Part 36: Galle Face Green

Hujan telahpun berhenti sepenuhnya, jadi kami meminta Shane membuka penutup plastik pelindung pada Tuk Tuk.

Shane sedang menggulung plastik penutup.
Selepas plastik penutup digulung, barulah pemandangan kita luas kembali...
Bangunan Lama Parlimen ini kini digunakan sebagai Bangunan Presidential Secretariat.
Lotus Tower yang sedang dalam pembinaan di seberang sana akan menjadi bangunan tertinggi di Asia Selatan apabila siap kelak.

GALLE FACE GREEN

Shane membawa kami menyusuri Galle Face Green, sebuah kawasan lapang yang menghadap ke Lautan Hindi di Colombo. Tempat ini adalah kawasan rekreasi penduduk bandaraya Colombo.


Galle Green and World Trade Centre towers in the background, which are the tallest skyscrapers in Sri Lanka finished in 1997.
Galle Face Green. Bangunan menara berkembar di hujung sana adalah World Trade Centre.
http://bamiyan.us/wordpress/wp-content/uploads/2012/11/SL-Oceanside-16-Oct-12-869.jpg
Penjaja-penjaja di Galle Face Green.
Pemandangan Lotus Tower yang sedang dalam pembinaan dari kawasan Galle Face Green.
Kawasan Galle Face Green adalah sebuah Prime Area di Colombo. Jadi kawasan ini juga mempunyai banyak hotel mewah di sini.

Hotel Taj Samudra ini adalah antara hotel mewah yang dibina menghadap ke Galle Face Green.
Pintu masuk ke Taj Samudra Hotel, Colombo.

Part 37 : Tasik Beira

Tasik Beira adalah sebuah tasik yang besar terletak di tengah-tengah bandar Colombo. Seperti Tasik Kandy, ia juga adalah tasik buatan manusia.

Tasik Beira.
Ada banyak perhiasan begini yang diletakkan di sekitar Tasik Beira.
Tasik ini dinamakan oleh orang Portugis pada masa dahulu.
Polis di tepi Tasik Beira di Colombo.
Ini juga adalah sebuah artifak sejarah yang diletakkan sebagai perhiasan di tepi Tasik Beira.

Part 38: Gangaramaya Temple

Persinggahan terakhir dalam Subagaman Tuk Tuk Tour seterusnya adalah ke Gangaramaya Temple. Ia adalah sebuah kuil dan pusat pengajian agama Buddha yang terkenal di Sri Lanka.

Disebabkan tidak ada tempat parking yang sesuai untuk Tuk Tuk kami di kawasan ini, Shane hanya menunggu di luar dan tidak mengikut kami ke dalam.

Gangaramaya Temple
Pemandangan dari luar salah sebuah bangunan di dalam Gangaramaya Temple.
Pintu masuk ke bangunan utama Gangaramaya Temple
Pelawat dikenakan bayaran LKR200 (kira-kira RM6) untuk masuk ke dalam Temple ini. Pengunjung tidak dibenarkan memakai kasut di dalam Temple tetapi tidak seperti kuil-kuil Buddha yang lain di Sri Lanka, pemakaian tudung kepala dibenarkan untuk masuk ke sini.

Pengunjung-pengunjung yang tidak berpakaian sopan juga diberikan jubah untuk menutup bahagian tubuh mereka yang terdedah sebelum dibenarkan masuk ke dalam.

Pelawat dikenakan bayaran LKR200 untuk masuk ke Temple ini. Pemakaian kasut tidak dibenarkan di dalam Temple dan kasut-kasut boleh ditinggalkan di tempat khas di sini.
Pemandangan bumbung bangunan utama Gangaramaya Temple. Bangunan ini direka oleh arkitek terkemuka dari Sri Lanka, Geoffrey Bawa.
Bangunan utama Temple dipenuhi dengan berbagai artifak agama Buddha. Disebabkan kita tak berapa tahu tentang ajaran agama Buddha, banyak benda yang dilihat tidak difahami.

Pemandangan di dalam bangunan utama.
Pelbagai artifak Buddha yang disimpan di Gangaramaya Temple.
Perhiasan gading gajah di dalam Temple.
Patung Buddha menunggang Burung Merak. Burung Merak adalah simbol persahabatan di Sri Lanka.
Gajah pula adalah simbol kebahagiaan di Sri Lanka
Di belakang bangunan utama ini, ada patung-patung Buddha yang dibina bertingkat-tingkat. Ia mengingatkan kami kepada Candi Borobudur yang pernah kami lawati di Indonesia. Tak ada sebarang penerangan yang kami lihat di sini, jadi kami menjangka memang ini adalah replika Candi Borobudur yang juga merupakan sebuah candi Buddha.

Replika Candi Borobudur di belakang Bangunan Utama Gangaramaya Temple.
Susunan patung Buddha begini dapat dilihat di Candi Borobudur. Cuma bezanya, patung-patung Buddha di sini berada dalam keadaan sempurna sedangkan patung-patung di Borobudur, kebanyakannya telah rosak.
Loceng-loceng begini banyak terdapat di kuil-kuil Buddha di Tibet.
Di tengah-tengah bangunan utama ada sebuah bilik kaca yang di dalamnya ada perhiasan yang dibuat dari emas. Dari semasa ke semasa, ada sami Buddha yang akan masuk ke bilik ini untuk berdoa dan memberi restu kepada penganut-penganut Buddha yang datang ke sini.

Bilik kaca di mana penganut-penganut Buddha memohon restu dari sami di sini.
Kami kemudiannya beredar ke Courtyard di Temple ini. Di sana ada sebuah stupa putih yang besar dikelilingi oleh patung-patung Buddha. Ramai penganut Buddha yang bersembahyang di sini.

Courtyard di Gangaramaya Temple
Patung Buddha emas di tepi Stupa.
Penganut-penganut Buddha bersembahyang di depan patung Buddha.
Kami agak janggal melihat ramai rakyat Sri Lanka yang rupa fizikal mereka seperti orang India menyembah Buddha di sini kerana kalau di Malaysia, kebanyakan penganut Buddha adalah terdiri dari kaum Cina.
Di sini juga, kami perhatikan mereka menyalakan api pelita seperti ini untuk bersembahyang dan tidak menggunakan colok.
Pemandangan dekat api sembahan.
Sewaktu meninjau suasana di Courtyard ini, kami disapa oleh seorang Tok Sami yang sangat friendly. Sami ini sungguh gembira bila mendapat tahu yang kami berasal dari Malaysia kerana dia pernah datang ke Malaysia untuk bertugas di sebuah kuil Buddha di Brickfields, Kuala Lumpur. Dari cara dia berinteraksi di kuil ini, kami merasakan mungkin dia seorang Ketua Sami di sini.

Inilah Tok Sami yang friendly yang menegur sapa kami di Courtyard ini.
Tok Sami ini pernah berkunjung ke Malaysia dan tinggal di sebuah kuil Buddha di Brickfields, Kuala Lumpur selama seminggu.
Selepas berbual dengan Tok Sami, kami melangkah pergi untuk meninggalkan Gangaramaya Temple. Dalam perjalanan keluar, kami bertemu pula dengan sekumpulan remaja perempuan berpakaian serba putih yang sebenarnya sedang mempelajari agama Buddha di sini.

Pemandangan sewaktu keluar dari Courtyard untuk meninggalkan Gangaramaya Temple.
Pelajar-pelajar perempuan ini sedang belajar agama Buddha di Gangaramaya Temple.
Cara mereka memakai sari agak unik kerana sari dilipat di luar pinggang seakan membentuk bunga lotus yang dianggap suci dalam agama Buddha.
Pelancong Arab yang baru tiba untuk melawat Gangaramaya Temple.


Bersambung ke Bahagian 9...


CATATAN PERJALANAN SRI LANKA (2015):