Saturday, 19 September 2015

2015 SRI LANKA BHG. 04 (Kandy)

September 2015

SRI LANKA
Colombo, Kandy & Nuwara Eliya

Bahagian 4: Kandy (2)
KANDY CITY TOUR

HARI KEDUA (1) 

Part 8: Earl's Regent Hotel, Kandy


Hotel penginapan kami di Kandy ialah Earl's Regent Hotel. Ia adalah sebuah hotel baru yang dibuka pada tahun 2014.

Jalan masuk ke Earl's Regent Hotel.
Pemandangan depan Earl's Regent Hotel
Tiang di depan Earl's Regent Hotel yang dibuat berbentuk gajah.
Tiang ini dibuat berbentuk gajah kerana penganut Buddha di Sri Lanka percaya bahawa gajah melambangkan kebahagiaan.
Tempat letak kenderaan di Earl's Regent Hotel
Pintu masuk ke lobi Earl's Regent Hotel, Kandy
Lobi hotel
Kaunter pendaftaran di Earl's Regent Hotel
Petugas hotel ini memakai sari yang juga merupakan pakaian tradisional wanita di Sri Lanka. Cuma cara pemakaian sari ini sedikit berbeza di Sri Lanka kerana kain sari ini dilipat keluar di bahagian pinggang pemakai.
Waktu Solat Subuh di Sri Lanka masuk seawal pukul 4.45 pagi dan matahari terbit pada pukul 6.00 pagi (seakan waktu di negeri Sabah). Waktu sarapan pula bermula seawal pukul 6.30 pagi di Earl's Regent Hotel. Sebelum keluar bersarapan pada pagi itu, kami bersiar-siar dulu di sekitar perkarangan hotel.

Cuaca sedikit sejuk pada hari ini kerana hujan lebat turun pada awal pagi tadi.
Pemandangan dari balkoni bilik kami.
Satu lagi pemandangan dari balkoni bilik kami.
Landskap kecil berhampiran kolam renang dan restoran yang dihiasi dengan patung gajah.
Pemandangan dekat patung gajah yang menghiasi landskap hotel.
Pemandangan ke bahagian hadapan hotel dari blok bilik penginapan.
Pemandangan kolam renang di awal pagi
Restoran sarapan pagi
Buffet sarapan pagi.
Hebat sungguh cara Chef ini memasak sosej untuk sarapan pagi.
Restoran ini masih belum ramai pengunjung kerana hari masih awal pagi.
Kuih Putu Mayam dipanggil String Hoppers di Sri Lanka. Ada 2 jenis String Hoppers di sini: yang dibuat dari beras putih dan yang dibuat dari beras merah.
Sarapan pagi Myself.
Hujan turun dengan begitu lebat sekali lagi sewaktu kami tengah bersarapan. Namun syukurlah ia berhenti sebelum waktu kami memulakan lawatan.

Part 9: Halloluwa Foot Bridge

Lawatan kami yang pertama di Kandy adalah ke sebuah jambatan gantung yang dinamakan Halloluwa Foot Bridge. Ia terletak tidak jauh dari Hotel Earl's Regent.

Halloluwa Foot Bridge
Jambatan gantung ini dibina merentasi Sungai Mahaveli yang merupakan sungai terpanjang di Sri Lanka. Dari jauh ia kelihatan seperti Jambatan Tamparuli di Sabah.

Pemandangan dekat Halloluwa Foot Bridge.
Terence membawa kami menyeberangi jambatan ini sehingga ke seberang sungai dan kembali untuk merasai pengalaman menggunakan jambatan tersebut. Seram juga naik jambatan ini kerana ia bergoyang-goyang bila kita memijak ke atasnya. Namun disebabkan banyak elemen moden yang digunakan dalam pembinaan jambatan ini, perasaannya tidaklah seseram sewaktu melintas jambatan gantung di Poring, Sabah dulu.

Mengikut Terence menyeberang jambatan ke seberang sungai.
Bergambar kenangan di atas jambatan.
Penduduk tempatan menggunakan jambatan ini untuk berulang-alik menyeberang Sungai Mahaveli. Memang seram bila kita terpaksa menyisih ke tepi sewaktu berselisih dengan mereka di atas jambatan.


Penduduk tempatan menggunakan jambatan ini untuk berulang-alik menyeberang Sungai Mahaveli.
Pemandangan Earl's Regent Hotel dari atas jambatan.
Pengalaman yang lebih menyeramkan adalah bila berselisih dengan anjing yang turut menggunakan jambatan ini untuk menyeberang sungai.
Pernah tak anda menonton filem Indiana Jones and the Temple of Doom? Jika pernah, pasti anda ingat akan adegan ini...

Aksi dari filem Indiana Jones and the Temple of Doom.
Di sinilah lokasi penggambaran filem Indiana Jones ini dibuat. Namun begitu mereka tidaklah menggunakan jambatan sedia ada ini. Mereka sebaliknya membina sebuah jambatan baru khusus bagi kegunaan penggambaran filem ini ketika itu.

Di sinilah penggambaran filem Indiana Jones and the Temple of Doom dibuat pada tahun 1983.
Tak ada buaya di sini, kata Terence. Yang ada hanyalah biawak air.
Kabel pemegang jambatan.
Tangga batu di hujung jambatan. Kami memang banyak kali melihat rakyat Sri Lanka yang berjalan dengan berkaki ayam sahaja seperti Pakcik ini.
Batu peringatan pembinaan jambatan. Ia dibina oleh penjajah British pada tahun 1939 dulu.

Part 10: Amith Gems

Sri Lanka terkenal sebagai negara pengeluar batu-batu permata. Untuk mempelajari dengan lebih dekat perusahaan batu permata di Sri Lanka, kami dibawa berkunjung ke Amith Gems.

Kubur perang British yang dilalui dalam perjalanan menuju ke Amith Gems.
Pemandangan sebahagian bandar Kandy yang dilalui dalam perjalanan ke Amith Gems.


SACRED TEMPLE OF TOOTH RELIC

Dalam perjalanan ke Amith Gems, kami melintasi Sacred Temple of Tooth Relic (Sri Dalada Maligawa). Kuil ini bukan sahaja mercu tanda utama di Kandy, bahkan tempat suci utama bagi seluruh penganut Buddha kerana beberapa batang gigi Gautama Buddha disimpan di kuil ini.


Sacred Temple of Tooth Relic
Menurut ceritanya, gigi Buddha ini diambil dari tempat pembakaran mayat Buddha. Disebabkan kepercayaan bahawa sesiapa yang menyimpan gigi ini akan menjadi lebih berkuasa, ia menjadi rebutan raja-raja di India dan Sri Lanka pada masa dahulu. Menurut ceritanya juga, gigi ini dibawa ke sini dengan cara disembunyi di dalam sanggul rambut seorang puteri Raja Orissa.

Pemandangan dekat Sacred Temple of Tooth Relic.
Gigi Buddha ini hanya dipertontonkan kepada orang awam setiap 5 tahun sekali dalam perayaan yang dinamakan Esala Perahara. Menurut Terence, perayaan ini baru saja berakhir 2 minggu sebelum kedatangan kami ke Sri Lanka.

Pada mulanya, kami menyangka pemandu pelancong kami si Terence ini beragama Kristian disebabkan namanya dan ada salib yang digantung di depan kereta kami. Tetapi setelah diselidik, rupa-rupanya Terence ini beragama Buddha. Salib pada kereta itu rupanya digantung oleh pemilik syarikat tempat Terence bekerja yang merupakan seorang penganut Roman Katholik. Sebelum menjadi pemandu pelancong sepenuh masa, Terence pernah bertugas dengan Ground Crew Sri Lankan Airlines.


Salib yang digantung di depan kereta ini menyebabkan kami menyangka Terence beragama Kristian. Rupa-rupanya dia beragama Buddha.

AMITH GEMS

Setibanya di Amith Gems, kami disambut oleh seorang petugas di sana yang bernama Hemachandra.


Tiba di Amith Gems
Bangunan Amith Gems
Kami kemudiannya dibawa oleh Hemachandra ke Gem Museum yang terletak di di tingkat atas bangunan ini.

Muzium Batu Permata di Amith Gems
Lorong menuju ke muzium
Di muzium ini, kami menonton sebuah video penerangan mengenai aktiviti perlombongan batu permata di Sri Lanka. Dari penerangan yang diberi, kami dapati aktiviti perlombongan ini masih dilakukan secara tradisional di negara ini.

Bilik tayangan video di Amith Gems.
Menonton video penerangan mengenai aktiviti perlombongan batu permata di Sri Lanka.
Beginilah gambaran bagaimana lombong batu permata digali di Sri Lanka.
Lilin dipasang di dasar lombong untuk memastikan terdapat bekalan oksigen yang mencukupi di dalamnya. Sekiranya lilin tidak menyala, ia menandakan bekalan oksigen telah berkurangan dan pelombong perlu keluar dari lombong dengan segera.
Kaedah komunikasi tradisional dengan menggunakan batang kayu yang lompong di tengahnya masih digunakan dalam industri perlombongan di Sri Lanka.
Tanah yang dibawa keluar dari lombong dibersihkan untuk mengasingkan batu permata dari tanah tersebut.
Kadang-kala kaedah mendulang di sungai turut digunakan untuk membersihkan tanah batu permata.
Selepas pertunjukan video tamat, kami dibawa ke ruang pameran batu permata pula.

Aktiviti perlombongan batu permata di Sri Lanka berpusat di sebuah bandar yang bernama Ratnapura di selatan negara tersebut.
Batu-batu permata juga turut dikenalpasti berdasarkan bentuk mereka seperti kiub, kon, orthorhombus dan pelbagai bentuk lagi.... macam yang kita belajar dalam kelas matematik di sekolah dulu tu...
Ini susunan batu permata mengikut tahap kekerasan mereka. Batu yang paling keras ialah berlian dan yang paling lembut adalah talc (yang digunakan untuk membuat bedak talkum tu lah...).
Beginilah bentuk batu permata bila dikeluarkan dari perut bumi.
Lepas melawat ke sini barulah kita tahu yang Beryl juga adalah sejenis batu permata... Selama ini kita cuma tahu yang Beryl adalah sejenis cokelat je....
Selepas itu, kami dipertunjukkan pula demonstrasi menggilap batu permata.

Demonstrasi menggilap batu permata.
Mesin menggilap batu permata.
Bilik rekabentuk barang kemas. Tapi tak ada pekerja bertugas pada masa itu.
Di akhir lawatan, kami dibawa ke Bilik Pameran Jualan permata. Kasihan kat Hemachandra... beriya dia melayan kami tadi, tapi kami tak beli apa-apa pun di sini...

Bilik pameran jualan di Amith Gems.
Rantai-rantai ini berharga purata kira-kira USD 5,000 (lebih RM 20,000) seutas. Memang tak mampu nak beli.

Part 11: Kandy

Kandy yang merupakan ibukota Central Province adalah juga bandaraya yang kedua terbesar di Sri Lanka selepas Colombo. Ia dibina mengelilingi Tasik Kandy.


Pemandangan di pinggir bandar Kandy.
Restoran KFC di Kandy.
Polis trafik
Pelajar-pelajar sekolah sedang beratur mengunjungi sebuah ekspo di Kandy.
Pemandangan di bandar Kandy
Bas berwarna merah ini adalah pengangkutan awam yang dimiliki oleh Kerajaan.
Bas selain dari yang berwarna merah seperti ini adalah pengangkutan awam milik swasta.
Pemandangan di pusat bandar Kandy.

TASIK KANDY

Tasik Kandy adalah sebuah tasik buatan manusia yang terletak di tengah bandar Kandy. Ia dibina oleh pemerintah Kandy yang terakhir yang bernama Sri Vikrama Rajasinha pada tahun 1807. 

Menurut ceritanya, ramai pemerintah tempatan yang membantah cadangan raja untuk membina tasik ini. Namun bantahan ini tidak dihiraukan oleh Raja, malah baginda bertindak membunuh mereka yang menentang cadangannya dengan cara mengikat mereka pada batang kayu yang ditenggelamkan di dasar tasik.


Balai Polis Kandy.
Menara Jam Kandy
Pemandangan berdekatan Tasik Kandy
Bulatan berdekatan Tasik Kandy.
Tugu Jeneral Perang Sri Lanka berdekatan Tasik Kandy
Ramai orang beriadah di tepi tasik ini.
Demonstrasi oleh pelajar di tepi Tasik Kandy.
Bangunan Queen's Hotel yang merupakan bekas kediaman Gabenor British pada masa dahulu.
Jalan raya di tepi Tasik Kandy.
Tempat menyewa bot di tepi Tasik Kandy.
Pemandangan Tasik Kandy.

Part 12: Upper Lake Drive

Terence membawa kami ke Upper Lake Drive yang terletak di atas sebuah bukit untuk menikmati keindahan pemandangan bandar Kandy.


Penjara Lama Kandy
Perjalanan menuju ke Upper Lake Drive
Royal Palace Park
Keindahan bandar dan Tasik Kandy sangat terserlah dari Upper Lake Drive. Tidak hairanlah kawasan pemerhatian di sini dipenuhi dengan pelancong.

Keindahan pemandangan bandar Kandy dari Upper Lake Drive.
Satu lagi sudut pemandangan bandar Kandy dari Upper Lake Drive.
Close-up pemandangan bandar Kandy dari Upper Lake Drive. Bangunan berwarna merah di bucu kiri sebelah atas gambar ini adalah Masjid Kandy.
Satu pemandangan yang menarik perhatian pengunjung ke sini ialah Sacred Temple of Tooth Relic yang sebenarnya dibina di pinggir Tasik Kandy. Terence tidak membawa kami melawat ke sana kerana ada peraturan yang menetapkan pengunjung ke kuil ini tidak boleh memakai penutup kepala (termasuklah tudung kepala) sebagai tanda hormat. Takkanlah pulak kita nak membuka tudung kepala untuk masuk ke rumah ibadat agama lain, kan?

Sacred Temple of Tooth Relic di tepi Tasik Kandy.
Kawalan masuk ke kuil ini juga sangat ketat kerana tempat suci Buddha yang utama di Sri Lanka ini pernah dibom sewaktu Perang Saudara yang berlarutan selama 30 tahun dulu.
Lagi pula menurut Terence, tidak banyak yang boleh dilihat di dalam kuil tersebut. Gigi Buddha yang disimpan di situ hanya boleh dilihat oleh orang awam setiap 5 tahun sekali dan sekiranya setakat nak melihat patung Buddha di dalamnya, di mana-mana tempat di Sri Lanka ini pun ada patung Buddha. Malah di Upper Lake Drive ini sendiri pun ada sebuah patung Buddha di sini.

Patung Buddha di Upper Lake Drive.
Patung Buddha ini unik kerana ia sedang bermeditasi sambil dinaungi oleh seekor ular tedung.
Beriya kami menangkap gambar plak di bawah patung Buddha ini kerana menyangka ia menceritakan kisah Buddha dengan Ular Tedung ini. Bila dirujuk kepada Terence, rupa-rupanya plak ini hanyalah peringatan pembukaan rasmi patung ini pada tahun 2002 dulu.
Ini pulak pemandangan sebuah lagi patung Buddha yang dibina di atas puncak bukit paling tinggi di Kandy, di seberang sana tasik.
Close-up gambar patung Buddha di puncak bukit di seberang sana.
Bendera simbol agama Buddha ini dikibarkan di merata-rata tempat kerana Buddha adalah agama rasmi di Sri Lanka.
Kedai menjual topeng tradisional di Upper Lake Drive.

Part 13: Rajanima Craft

Lawatan seterusnya adalah ke sebuah pusat perusahaan kraf kayu milik Kerajaan yang bernama Rajanima Craft. Pusat ini terletak tidak jauh dari Upper Lake Drive. Lawatan ke sini sangat menarik kerana banyak pengetahuan baru yang ditimba di sini...


Pintu masuk ke Rajanima Craft. Bengkel perusahaan dan pusat jualannya terletak jauh di bawah sana.
Pintu masuk ke bengkel perusahaan kayu Rajanima Craft.
Pemandangan di dalam bengkel kayu.
"Rajanima" bermaksud "Royal Creations". Perusahaan kraf kayu ini berasal dari kerja-kerja kesenian di istana raja di Sri Lanka. Di sini kami diberi penerangan oleh kakitangan yang bertugas tentang kayu-kayu tempatan Sri Lanka.

Mendengar penerangan tentang kayu-kayu tempatan Sri Lanka.
Kayu-kayu yang sering digunakan dalam pertukangan kayu di Sri Lanka.
Patung gajah hitam ini dibuat dari kayu Ebony. Walaupun kecil, ia sangat berat.(Seriously, berat! Tak padan dengan saiz sekecil itu).
Ebony adalah sejenis kayu yang sangat berat. Ia akan tenggelam jika diletakkan di dalam air.
Kami kemudiannya diajar tentang warna-warna tradisional yang dihasilkan dari kayu sendiri. Untuk memudahkan kita menghayati penggunaan warna ini, kita ditunjukkan dengan topeng tradisional Sri Lanka. Topeng-topeng tradisional ini sangat berwarna-warni dan digunakan dalam tarian-tarian tradisional di Sri Lanka.

Topeng tradisional Sri Lanka yang berwarna-warni.
Walaupun topeng ini mempunyai pelbagai warna, semua warna ini dihasilkan hanya dari sejenis kayu sahaja. Kayu ini dinamakan Rainbow Wood dan mari kita lihat proses penghasilan warna ini....

Semua warna pada topeng ini dihasilkan dari Rainbow Wood ini sahaja.
Mula-mula, kayu Rainbow Wood ini dikikis untuk mendapatkan serbuk yang halus.
Kemudian, serbuk kayu ini dicampurkan dengan air panas.
Campuran Rainbow Wood dengan air panas menghasilkan cat yang berwarna merah ini.
Cat merah ini kemudiannya dikacau dengan sejenis batang logam.
Cat merah yang dikacau dengan batang logam tadi menghasilkan cat yang berwarna hitam.
Bila cat hitam tadi diperahkan limau ke dalamnya, ia bertukar menjadi cat kuning.
Bila cat kuning dikacau dengan sejenis kayu (dah lupa kayu apa), ia bertukar pulak menjadi cat berwarna ungu.
... Begitulah cara cat-cat yang digunakan pada topeng tadi dihasilkan secara semulajadi. Magic, kan?

Topeng-topeng tradisional yang berwarna-warni
Selepas demonstrasi membuat warna tadi, kami meninjau-ninjau aktiviti yang dilaksanakan di bengkel kayu ini.

Bedhead Panel ini ditempah oleh seorang pembeli dari Dubai. Ia diwarnakan menggunakan warna-warna dari Rainbow Wood tadi.
Meja ini menunggu penghantaran ke USA.
Yang ini pulak akan dihantar ke Kochin, India.
Pekerja ini sudah bertugas 20 tahun di sini. Dia adalah generasi kedua pekerja di sini.
Sedang menyiapkan ukiran gajah.
Meja ini pula dijual ke England
Ukiran gajah moden di Rajanima Craft
Walaupun kerja mengecat sedang giat dijalankan di bengkel ini, tidak ada bau cat yang menusuk ke hidung. Ini adalah kerana cat yang digunakan dibuat secara natural dari Rainbow Wood tadi.

Selepas puas meninjau kerja-kerja kraf kayu di bengkel, kami beralih pula ke ruang pameran jualan di sini. Banyak sungguh hasil kraf kayu yang dijual di sini, dari yang bersaiz kecil sampailah ke saiz yang besar. Harganya juga berbagai kategori, dari yang murah sehinggalah ke yang paling mahal.

Ruang pameran jualan di Rajanima Craft ini didominasi oleh patung-patung gajah.
Ukiran gajah pelbagai saiz di Rajanima Craft.
Sudut jualan topeng dan peralatan muzik tradisional.
Pelbagai topeng yang menarik.
Gendang seperti yang kami lihat dalam Kandyan Cultural Show semalam.
Topeng Merak yang rupanya agak scary ini melambangkan persahabatan.
Kami membeli beberapa cenderamata yang menarik di sini sebelum meninggalkan Rajanima Craft.

Tangga yang terpaksa didaki untuk meninggalkan Rajanima Craft.

Part 14: Gunatilake Batiks

Memang terperanjat bila diberitahu yang persinggahan kami seterusnya adalah pusat perusahaan batik. Tak sangka kan di Sri Lanka juga ada perusahaan batik? 

Pusat perusahaan batik ini bernama Gunatilake Batiks dan ia terletak bersebelahan dengan Rajanima Craft tadi.

Gunatilake Batiks.
Pusat batik ini juga terletak jauh di bawah sana dari jalan raya, sama seperti Rajinima Craft juga.
Pekerja pencanting batik di Gunatilake Batiks.
Di pusat batik ini kami dilayan oleh seorang petugas wanita yang bernama Devi. Dia menerangkan kepada kami proses penghasilan batik di sini.

Cara penghasilan batik di sini tidak berbeza langsung dengan yang di negara kita. Ini adalah kerana menurut sejarahnya, seni perusahaan batik di Sri Lanka diperkenalkan oleh Orang Melayu yang berhijrah ke sini di zaman pemerintahan British dahulu.

Devi memberi penerangan tentang peralatan mencanting batik.
Peringkat-peringkat penghasilan batik.
Melihat pekerja mencanting batik.
Sesuatu yang berbeza kami perhatikan dalam perusahaan Batik di Sri Lanka dengan yang ada di negara kita ialah corak batik yang dihasilkan. Oleh kerana pelukis batik di Malaysia umumnya beragama Islam, corak-corak batik yang dihasilkan adalah berbentuk abstrak ataupun tumbuhan yang digayakan. Corak batik di Sri Lanka pula banyak menggambarkan makhluk bernyawa (khususnya gambar gajah).

Lukisan batik perayaan Esala Perahara ini mengambil masa 3 bulan untuk disiapkan.
Satu lagi ciri lukisan batik Sri Lanka adalah penggunaan tompok-tompok putih seperti di dalam gambar ini.
Seperti kebiasaan, selepas melihat bagaimana sesuatu kraf dihasilkan, kita akan dibawa ke ruang pameran jualan. Barang-barang jualan di sini sama saja dengan barang-barang jualan batik di Malaysia. Harganya juga boleh tahan cukup mahal.

Ruang pameran jualan di Gunatilake Batiks.
Inilah satu-satunya gambar dalam ruang pameran jualan kerana fotografi sebenarnya tidak dibenarkan di sini.


Bersambung ke Bahagian 5 ....