Friday, 13 April 2018

2018 PENANG BHG. 01 (KL - Penang)

April 2018

PENANG, MALAYSIA
George Town

Bahagian 1: PERJALANAN KE PULAU PINANG

Part 1: Percutian Bak Orang Putih Ke Pulau Pinang

Satu ketika dulu, tuntutan kerja sering membuat Myself melakukan perjalanan ke seluruh negara. Pelbagai tempat di Malaysia telah dikunjungi dari Perlis sehinggalah ke Sabah. Kerana itulah juga Myself akan memilih untuk berkunjung ke luar negara setiap kali pergi bercuti, konon-kononnya untuk melarikan diri dari bayang-bayang kerja.

Bila tuntutan kerja tak lagi memaksa kita untuk berbuat begitu, timbul pula rasa rindu untuk berkunjung semula ke tempat-tempat yang pernah dikunjungi. Maka Myself mula merancang untuk turut bercuti di dalam negara sambil-sambil kita bercuti ke luar negara. Tapi bila dah namanya bercuti, naklah bercuti macam cara yang biasa kita buat di oversea. Maka, apa kata kita Cuti-Cuti Malaysia mengikut style Orang Putih? Kita mulakanlah Percutian Bak Orang Putih di Malaysia ini dengan melawat ke Pulau Pinang (disebut: Penang dalam Bahasa Orang Putih).

Peta Pulau Pinang
Bila dah kata nak bercuti macam Orang Putih, tak acilah bawak kereta pulak ke Penang. Dan disebabkan kita dah selalu terbang ke Penang, apa kata kita cuba bercuti dengan tren pulak? Perkhidmatan Tren Elektrik yang dinamakan ETS (Electric Train Service) dari Kuala Lumpur ke Butterworth dah lama dilancarkan oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM), tapi kita tak pernah pun mencuba lagi perkhidmatan ini. Jadi kita bercuti ke Penang dengan menggunakan tren sajalah kali ini.

Bila dah tak bawak kereta macam mana pula nak bergerak di Penang nanti? Stesen Keretapi Butterworth terletak tak jauh dari Terminal Feri. Kita gunakan feri untuk menyeberang dari Butterworth ke Penang. Di Penang nanti, kita gunakan saja khidmat bas Hop On Hop Off (HOHO) untuk melawat ke tempat-tempat menarik di sana. Kita dah pernah naik bas HOHO di London, Singapore, Istanbul dan Dubai. Jadi kenapa tak boleh gunakan bas HOHO di Penang pula, bukan?

Iklan Bas Hop On Hop Off Penang
Cuma untuk mudah menggunakan HOHO, terpaksalah kita cari hotel yang terletak berdekatan dengan laluan bas HOHO ini. Setelah meriki-riki laluan perjalanan bas HOHO ini, kami membuat keputusan untuk menginap berdekatan dengan starting point perkhidmatannya yang terletak di Persiaran Gurney (Gurney Drive) di George Town. Cuma masalahnya, Persiaran Gurney adalah kawasan mewah di Penang dan hotel-hotel di sini mahal sewanya. Tak macam Orang Putih yang menerima gaji dalam USD, GBP atau AUD, kita dibayar gaji dalam MYR. Kat sinilah kita rasa tercabar sikit bila nak bercuti bak Orang Putih ni. Tapi jangan gusar, dengan bantuan booking engine Expedia di Internet, kita masih dapat mencari bilik hotel pada kadar yang mampu sewa di sini.

Bila semua aturan dah dibuat, tibalah masa untuk kita memulakan Percutian Bak Orang Putih Di Malaysia ini ke destinasi pertama kita... Penang.

HARI PERTAMA (1)

Part 2: Naik ETS Ke Butterworth

Hujan turun di awal pagi sewaktu kami menggunakan khidmat Grab menuju ke KL Sentral. Syukurlah kami nak naik tren pagi ini dan bukannya kapal terbang. Tak macam kapal terbang yang ada kemungkinan delay dalam cuaca buruk, jadual perjalanan tren tidaklah affected sangat dengan keadaan cuaca (kecuali kalau berlaku banjir besar dalam laluannya).

Hujan yang turun di awal pagi
Tren kami ke Butterworth dijadualkan berlepas dari KL Sentral pada pukul 9.00 pagi. Tapi seawal jam 7.30 pagi, kami dah tiba di KL Sentral. Terus saja kami menuju ke Stesen Tren Antara Bandar KTM yang terletak di hujung KL Sentral.

Tiba di KL Sentral.
Suasana di awal pagi Sabtu di KL Sentral yang merupakan hub pengangkutan keretapi bagi Kuala Lumpur.
Sambil menunggu waktu tren tiba, kami breakfast dulu di Restoran KFC yang berhampiran dengan pintu masuk ke Platform Tren.

Restoran KFC di KL Sentral
Pemandangan dalam restoran KFC
Breakfast
Selepas breakfast, kita bergerak ke ruang menunggu yang disediakan di depan Pintu Perlepasan Stesen KTM. Ramai nampaknya orang yang nak menaiki tren bersama kami pagi ini.

Pintu Perlepasan bagi Tren Antara Bandar (Intercity) KTM
Ruang Menunggu untuk penumpang Perkhidmatan Tren Antara Bandar KTM
Pemandangan dari tempat duduk kami di Ruang Menunggu
Tren kami, ETS 9102 ke Butterworth dijangka berlepas mengikut jadual pada pukul 9.00 pagi ini.
Tiket Tren kami yang dibeli secara Online dari website KTMB
Platform Perlepasan Tren yang sebenar di KL Sentral sedang ditutup untuk kerja-kerja naiktaraf pada ketika ini. Oleh yang demikian, semua Tren Antara Bandar termasuk tren kami terpaksa berlepas dari platform sementara di Stesen Komuter KL Sentral. Bila tiba masa untuk berlepas, semua penumpang dibawa oleh petugas KTM ke Platform Perlepasan Sementara di Stesen Komuter KL Sentral di mana tren dah sedia menunggu.

Petugas KTM yang membawa kami ke Platform Perlepasan Sementara bila tiba waktu untuk berlepas.
Oleh kerana platform sebenar sedang ditutup untuk kerja-kerja naiktaraf, semua Tren Antara Bandar KTM menggunakan platform perlepasan sementara di Stesen Komuter KTM ini.
Laluan ke Platform Perlepasan
Turun ke bawah untuk mendapatkan tren
Petugas-petugas di Platform akan membantu untuk menunjukkan arah koc kita seperti yang tertera pada tiket.
Berjalan menuju ke koc kami
Kaunter Jualan Makanan di koc yang terletak di tengah-tengah tren.
Begitu happy masuk ke dalam tren.
Husband pun happy masuk ke dalam tren.
Kami mendapat tempat duduk paling hujung di dalam koc kami. Tempat duduknya cukup selesa dengan legroom yang sangat luas. Sebesar-besar tingkap di sebelah pun, semuanya kami punya tanpa berkongsi dengan orang lain.

Tempat duduk kami di dalam tren.
Pemandangan di dalam tren
Pintu antara koc yang terletak di depan tempat duduk kami. Kalau nak buka pintu seperti nak ke tandas atau keluar dari tren, perlu tekan butang pada pintu.
Tekan butang ini untuk membuka pintu
Pemandangan ruang di antara koc bila pintu terbuka.
Tren kami berlepas dari KL Sentral menuju ke Butterworth tepat pada pukul 9.00 pagi. Perjalanan adalah menuju ke utara Semenanjung Malaysia dan dijangka memakan masa 4 jam untuk sampai ke Butterworth.

Bergerak menuju ke Butterworth.
Tiba di Stesen Kuala Lumpur selepas beberapa minit bergerak dari KL Sentral. Sebelum KL Sentral siap dibina, ini adalah stesen keretapi utama bagi Kuala Lumpur.
Stesen Kuala Lumpur juga nampaknya sedang dinaiktaraf. Stesen ini kini sangat popular dengan pengguna perkhidmatan Tren Komuter yang pejabat mereka terletak di sekitar stesen ini.
Terdapat 3 kelas perkhidmatan ETS dalam setiap laluan: Platinum, Gold dan Silver. Tren Platinum adalah tren yang paling laju kerana ia hanya membuat perhentian di beberapa stesen utama sahaja dalam laluannya, manakala tren yang paling perlahan adalah Tren Silver yang membuat perhentian di setiap stesen dalam laluan. Tren yang kami naiki menuju ke Butterworth pada pagi ini adalah Tren Platinum (yang semestinya juga tren yang paling mahal tiketnya).

Persinggahan seterusnya bagi ETS Platinum ke Butterworth ini selepas meninggalkan Stesen Kuala Lumpur adalah ~ eihh, kampung halaman kita - Batu Gajah.
Kerja-kerja menaiktaraf landasan keretapi.
Pemeriksa Tiket dah datang...
Pemeriksaan Tiket Penumpang
Pemandangan di Sungai Buloh yang masih dianggap sebahagian dari kota Kuala Lumpur.
Landasan keretapi di Malaysia banyak dibina selari dengan jalan raya.
Disebabkan tiketnya mahal, perkhidmatan ETS Platinum sangat istimewa kerana ia adalah satu-satunya tren yang memberikan sajian kepada penumpang. 

Troli sajian dah tiba.
Sajian Rel
Kandungan Kotak Sajian Rel
Pemandangan ladang kelapa sawit di tepi landasan keretapi.
Kelapa Sawit adalah komoditi utama Malaysia
Perkhidmatan ETS Platinum hanya membuat perhentian di beberapa buah stesen sahaja dalam laluannya.
Pemandangan tipikal dalam laluan tren menuju ke utara Semenanjung Malaysia
Bila naik tren begini, barulah kita sedar betapa banyaknya sungai yang terdapat di Malaysia. Sekejap-sekejap ada saja sungai yang dilintasi oleh tren.
Air-cond dalam ETS Platinum SANGAT sejuk. Mujurlah kita bawa jaket masuk ke dalam tren. Ada juga Myself lihat beberapa penumpang yang memakai winter jacket dalam tren. Mesti mereka ni dah selalu berulang-alik naik tren ini sampai siap sedia membawa winter jacket begitu!

Air-cond dalam tren sangat sejuk. Walau kita pakai jaket dalam tren, kesejukannya tetap terasa sehingga tiba di Butterworth.
Ketika ini, tren sedang bergerak dengan kelajuan 132 km/jam. Kelajuan maksima yang diperhatikan dalam perjalanan ke Butterworth adalah 140 km/jam.
Kawasan paya
Anak sungai
Gerabak keretapi lama
Ini macam dah pemandangan dekat-dekat kampung kita...
Selepas 2 jam perjalanan, tren kami membuat persinggahan di Batu Gajah. Patutlah Kakak kita suka sangat naik tren dari Batu Gajah datang ke Kuala Lumpur ~ 2 jam je dah sampai. Kalau naik kereta menggunakan Lebuhraya Utara Selatan tu, selalunya perjalanan akan mengambil masa 2 jam 30 minit. Tren walau bagaimanapun tak berhenti lama di sini, hanya beberapa minit sahaja.

Kampung halamanku...
Stesen Batu Gajah
Persinggahan seterusnya ~ Ipoh
Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Batu Gajah
Pemandangan kampung halaman dari dalam tren.
Stesen keretapi lama Batu Gajah.
Meneruskan perjalanan menuju ke Ipoh.
Sungai lagi!
Tak lama selepas meninggalkan Stesen Batu Gajah, kami tiba di Stesen Ipoh. Ipoh adalah sebuah bandar besar yang merupakan ibu negeri Perak. Jadi tren membuat persinggahan lebih panjang di sini kerana ramai penumpang yang turun dan naik dari sini.

Kawasan perumahan di pinggir bandar Ipoh
Menghampiri Stesen Ipoh
Terdapat banyak Kuil Hindu di tepi landasan keretapi di Malaysia. Ini adalah kerana mengikut sejarahnya, landasan keretapi di Malaysia dibangunkan oleh penjajah British dengan menggunakan buruh-buruh kasar yang dibawa masuk dari India.
Pemandangan sewaktu tren membuat persinggahan di Stesen Keretapi Ipoh
Disebabkan "iklim" dalam tren sangat sejuk dan tren membuat persinggahan agak lama di Ipoh, ramai yang mengambil kesempatan keluar sekejap di stesen ini untuk memanaskan badan.
Gurdwara Sikh berhampiran Stesen Ipoh
Persinggahan berikutnya selepas Ipoh adalah Kuala Kangsar
Pemandangan tren-tren yang sedang parking di Stesen Ipoh
Petugas Tren sedang membuat pemeriksaan tiket penumpang yang naik di Stesen Ipoh.
Tren bergerak meninggalkan Ipoh menuju ke Bandar Diraja Perak, Kuala Kangsar. Kawasan di sekitar Ipoh terkenal dengan kuari marmar di gunung-gunung batu kapurnya. Oleh yang demikian, pemandangan di antara Ipoh dengan Kuala Kangsar dipenuhi dengan gunung-gunung batu kapur.

Gunung-gunung batu kapur memenuhi pemandangan di antara Ipoh dan Kuala Kangsar.
Double Tracking
Lagi pemandangan gunung batu kapur
Kilang simen berhampiran Sungai Siput
Kilang simen ini dimiliki oleh Syarikat Perak Hanjoong
Padang rumput
Kawasan perindustrian
Stesen Sungai Siput. ETS Platinum tidak membuat persinggahan di sini. Kita tumpang lalu saja...
Kolam ternakan ikan
Kelapa sawit
Tasik
Kawasan penternakan ikan air tawar
Menghampiri pekan Sungai Siput
Sungai Siput
Pemandangan tipikal di tepi landasan keretapi
Bukit-bukau
Menghampiri bandar Kuala Kangsar
Jambatan Victoria yang bersejarah ini adalah jambatan keretapi lama yang dibina oleh Orang British berhampiran bandar Kuala Kangsar.
Walau matahari dah mula terik memancar ketika ini, ia masih tak dapat mengatasi kesejukan dalam tren ETS Platinum ini.
Tiba di Stesen Kuala Kangsar (disebut: Kuale Kangsor dalam dialek tempatan)
Stesen Kuala Kangsar dibina menggunakan senibina Melayu Islam yang cantik.
Menunggu giliran nak menggunakan tandas di samping memanaskan badan. Ruang di antara koc dalam tren ini kurang sikit sejuknya berbanding tempat duduk di dalam tren.
Meninggalkan bandar Kuala Kangsar
Sekarang apa kata kita lihat-lihat pula kemudahan yang disediakan dalam Tren ETS ini. Di samping tempat duduk yang selesa dan "iklim" yang sejuk macam winter kat oversea itu, ini adalah kemudahan-kemudahan lain yang terdapat dalam tren...

Pemandangan ruang di antara koc.
Tempat simpanan bagi bagasi yang besar disediakan di satu hujung setiap tren.
Kaunter jualan makanan segera juga disediakan di dalam tren
Petugas di kaunter jualan makanan
Bila dah tiba waktu makan tengahari begini, ramailah penumpang yang berkunjung ke sini.
Antara makanan yang disediakan dalam tren. Boleh lawan menu Air Asia ni...
Sandwich
Makanan-makanan ini boleh dipanaskan atas permintaan.
Tandas
Tandas dalam tren ini lebih besar dan selesa berbanding tandas kapal terbang.
Sinki dalam tandas
Surau juga disediakan dalam tren. Tak dapat nak menjenguk ke dalam sebab pintunya berkunci. Kena minta kunci kat petugas tren kot kalau nak menggunakannya.
Hidangan makanan tengahari yang kami beli dalam perjalanan menuju ke Butterworth.
Stesen persinggahan ETS Platinum yang seterusnya selepas Kuala Kangsar adalah Taiping (disebut: Teppen dalam dialek tempatan). Satu pengalaman istimewa di seksyen laluan ini adalah tren akan melalui 2 buah terowong yang dibina ke dalam pergunungan di sini.

Bayang-bayang kami pada tingkap sewaktu tren melalui terowong dalam pergunungan.
Pemandangan selepas melepasi terowong
Memang nikmat dapat minum minuman panas dalam suasana yang sejuk begini.
Tiba di Stesen Taiping
Bagi yang masih belum tahu (dan juga untuk mereka yang dah terlupa subjek Geografi Malaysia di sekolah dulu), Taiping adalah bandar paling lembap di Malaysia di mana hujan turun hampir setiap hari di sini. Oleh yang demikian, satu aktiviti popular di kalangan penduduk berketurunan Cina yang gemar berjudi di sini ialah membuat pertaruhan bila waktu sebenar hujan akan turun setiap hari.

Taiping juga terkenal sebagai sebuah bandar pelancongan di Negeri Perak dengan tarikan seperti Taman Tasik Taiping, Bukit Larut, Muzium Taiping dan Zoo Taiping. Menurut ceritanya Night Safari di Zoo Taiping lebih hebat berbanding Night Safari di Zoo Negara Kuala Lumpur.


Stesen berikutnya selepas Stesen Taiping adalah Parit Buntar
Tren dah menjadi lengang selepas meninggalkan Taiping kerana ramai penumpang dah turun dari tren.
Meninggalkan Stesen Taiping
Sedang menuju ke Parit Buntar
Ladang Kelapa Sawit
Ladang Pisang
Jambatan di kejauhan
Pemandangan selepas meninggalkan Taiping
Pemandangan istimewa selepas meninggalkan Taiping dalam perjalanan menuju ke Parit Buntar pula adalah Tasik Bukit Merah. Tasik ini adalah sebenarnya sebuah tasik buatan yang terbentuk melalui pembinaan Empangan Bukit Merah pada tahun 1906. Sejak dari zaman British lagi, laluan tren ke utara dibina merentasi tasik ini. Sayang kita lalu di sini di waktu hampir tengahari. Menurut ceritanya pemandangan di sini sangat menakjubkan di waktu senja.

Tasik Bukit Merah
Pemandangan di Tasik Bukit Merah
Tasik ini adalah sebenarnya sebuah empangan yang dibina di zaman British dulu
Bukit Merah Laketown Resort dibina di tepi tasik ini.
Menurut ceritanya pemandangan di tasik ini paling indah pada waktu matahari terbenam.
Pinggiran Tasik Bukit Merah
Meninggalkan Tasik Bukit Merah
Selepas meninggalkan Tasik Bukit Merah, kita masuk pula ke kawasan Kerian yang terletak di utara Negeri Perak yang merupakan salah sebuah kawasan Jelapang Padi utama di Malaysia. Kalau dah digelar Jelapang Padi, memanglah kawasan ini penuh dengan pemandangan sawah padi.

Kita masuk ke daerah Kerian pula sekarang...
Daerah Kerian adalah salah sebuah Jelapang Padi di Malaysia.
Tengah buat penanaman semula padi agaknya di sini.
Sawah padi
Pemandangan sawah padi dan kebun kelapa sawit
Kawasan penanaman padi di sini masih kecil jika dibandingkan dengan Jelapang Padi di Negeri Kedah.
Pengairan sawah padi di sini disalurkan dari Tasik Bukit Merah
Tapak semaian
Sawah padi saujana mata memandang
Pemandangan sawah padi yang indah
Nurseri pokok dan bunga-bungaan
Pemandangan ladang kelapa sawit dah menggantikan sawah padi sekarang.
Kawasan perindustrian
Menghampiri Stesen Parit Buntar
Sebahagian pekan Parit Buntar
Tiba di Stesen Parit Buntar
Pemandangan di Stesen Parit Buntar
Parit Buntar adalah stesen persinggahan terakhir ETS Platinum dalam negeri Perak. Dalam dialek Perak, Parit Buntar dipanggil Paghit Buntor, manakala ia dipanggil Parit Buntaq dalam dialek Penang. Walaupun Parit Buntar terletak dalam Negeri Perak, sebahagian besar penduduknya menggunakan dialek Penang dalam pertuturan sehari-hari.

Nak masuk ke Negeri Pulau Pinang sekarang...
Hmm, sungai apa ni?
Hampir tiba ke Bukit Mertajam
Kawasan perkuburan berhampiran Bukit Mertajam
Bagi pembaca dari luar Malaysia (dan pembaca dari Malaysia sendiri yang dah lupa subjek Geografi di sekolah dulu), Negeri Pulau Pinang di Malaysia terdiri dari dua bahagian sebenarnya: Seberang Perai yang terletak di tanah besar Semenanjung Malaysia dan Pulau Pinang (yang lebih popular dengan panggilan Penang). Pada zaman British dahulu, Seberang Perai dikenali sebagai Province Wellesley.  Bandar Bukit Mertajam dan Butterworth terletak di Seberang Perai. Ibu negeri Pulau Pinang yang bernama George Town pula terletak di bahagian pulau.

Pemandangan rupa bumi di Seberang Perai lebih pamah berbanding di Negeri Perak
Bandar Bukit Mertajam dah mula kelihatan
Tiba di Stesen Bukit Mertajam
Pemandangan di Stesen Bukit Mertajam
Bila tren meninggalkan Bukit Mertajam, itu bermakna kita dah hampir tiba ke destinasi akhir kita, Butterworth. Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth adalah kira-kira 350 km.

Pokok Nyiur yang melambai menandakan kita dah tiba ke kawasan di tepi laut.
Kemunculan loji-loji perindustrian juga menandakan kita dah semakin hampir dengan Butterworth.
Loji petrokimia ni agaknya.
Talian elektrik voltan tinggi.
Dah nampak laut di sana tu...
Kawasan Perindustrian Prai
Jambatan Pulau Pinang dah nampak di kejauhan sana.
Butterworth


Bersambung ke Bhg.2 ...


CATATAN PERJALANAN PENANG (2018):