Wednesday, 22 November 1995

1995 MEDAN, INDONESIA (1st VISIT)

Bermula Cerita Perjalanan... 

Kata pepatah, jauh perjalanan luas pandangan. Setelah sekian lama "berkecimpung" dalam traveling, terbuka hati untuk mencatatkan semua pengalaman yang dilalui. Bukan untuk bermegah, sekadar mencoret kenangan dan pengalaman dalam perjalanan-perjalanan yang dilalui.

Kali pertama mengembara adalah bersama ibu yang tercinta ke Medan, Indonesia. Malah beliau adalah orang yang bertanggungjawab menanam minat untuk mengembara di dalam diri ini.

Myself mula memasuki alam pekerjaan pada tahun 1994. Dengan duit yang dikumpul setahun kemudian, Myself menyuarakan hasrat untuk melancong ke luar negara. Bila disuarakan saja hasrat kepada ibu, beliau memberitahu rakan-rakannya sedang mengatur satu rombongan ke Medan.

Maka, bersama ibu, bermulalah perjalanan yang pertama.. 

Mei 1995

SUMATERA UTARA, INDONESIA
Medan & Lake Toba (1st Visit)


Peta Medan & Lake Toba

DARI IPOH KE DANAU TOBA 

Pengembaraan pertama bermula dari Lapangan Terbang Ipoh dengan menaiki Pelangi Airways (kini syarikat penerbangan ini tidak lagi beroperasi) terus ke Lapangan Terbang Polonia di Medan, Indonesia. Penerbangan dengan pesawat Fokker yang memakan masa 1 jam masih terpahat di hati kerana itulah kali pertama terbang keluar negara.

Lapangan Terbang Polonia
Menurut tourist guide kami, airport di Medan dinamakan Polonia kerana kawasan lapangan terbang ini adalah kawasan penjajah Belanda bermain sukan Polo. 

Dari airport, rombongan kami sebanyak 2 bas bergerak ke Danau Toba. Perjalanan ke Danau Toba mengambil masa 4 jam melalui jalan bengkang-bengkok. Dalam perjalanan, pelbagai lagenda mengenai Danau Toba diceritakan oleh tourist guide. 

Antara yang masih diingati adalah bagaimana Danau yang besar ini terjadi. Menurut cerita guide kami, Danau Toba pada mulanya adalah sebuah gunung berapi yang besar. Sewaktu ia meletus pada masa dahulu, air dari sungai sekitar berkocak dan tertumpah masuk ke dalam kawah gunung berapi lalu membentuk Danau Toba.

Pemandangan Danau Toba yang menyambut ketibaan kami.

PULAU SAMOSIR DAN BERASTAGI

Sewaktu di Medan, Indonesia kami menginap di Hotel Niagara dan pastinya Myself berkongsi bilik dengan Ibu. Masih ingat lagi yang cuaca di sana amat sejuk. Bilik hotel kami tak dilengkapi dengan air-cond pun. Malam sebelumnya sewaktu kami tiba, pekerja hotel tolong adjust TV untuk kami. Dia menunjukkan dengan bangganya siaran TV3 dari Malaysia boleh diterima di hotel tersebut.

Hotel Niagara di Parapat
Selepas bersarapan di hotel, kami menaiki feri ke Pulau Samosir yang terletak di tengah-tengah Danau Toba. Menurut guide kami, keluasan Pulau Samosir adalah 2.5 kali ganda pulau Singapura.

Feri ke Pulau Samosir
Kawasan sekitar Pulau Samosir didiami oleh penduduk berketurunan Batak. Di Pulau Samosir, kami dibawa melawat ke kawasan Istana Batak di kampung Tomok. Antara tempat yang dilawati adalah sebuah tempat pengadilan kuno yng mana menurut cerita guide kami, darah dari orang yang dihukum mati akan diberi sebagai persembahan kepada raja (kalau tak silap, begitulah ceritanya..)

Tempat Pengadilan Batak Kuno di Tomok, Pulau Samosir.
Selepas melawat Pulau Samosir, kami meninggalkan Parapat menuju ke Berastagi yang terletak di atas gunung. Dalam perjalanan ke sana kami singgah di Simarjarunjung untuk minum teh halia.

Tempat minum teh halia di Simarjarunjung.
Destinasi seterusnya ialah Air Terjun Sipiso-piso.

Air Terjun Sipiso-piso
Di sekitar kawasan ini ada banyak perkampungan Orang Batak. Kebanyakan mereka beragama Kristian tetapi pengaruh animesme masih kuat di kalangan mereka. Sentiasa terdapat kubur di kawasan ladang mereka. Kata Guide kami, kalau orang Batak mati, mereka akan dikuburkan di ladang mereka sendiri kerana roh mereka dipercayai akan menjaga ladang. Mereka juga percaya, kalau mereka dikuburkan di tempat yang tinggi ~ lagi tinggi lagi baik ~ lebih mudah untuk mereka masuk ke syurga.

Hotel penginapan kami di Berastagi ialah Sinabung Resort.

Sinabung Resort.

BERASTAGI DAN MEDAN

Lawatan hari ketiga adalah di sekitar Berastagi dan Medan. Seperti yang dijanjikan, kami dibawa ke sebuah kawasan yang dinamakan Gundaling di mana dari sana, kami dapat melihat dengan jelas Gunung Berapi Sibayak dan Sinabung. Dari segi ketinggian, Gunung Sinabung adalah lebih tinggi berbanding Sibayak.

Pemandangan Gunung Berapi Sinabung Dari Gundaling.
Ini adalah kali pertama Myself melihat gunung berapi yang masih hidup. Masih ingat betapa seramnya perasaan ketika itu. Di sekitar kawasan Gundaling juga ada Pasar Buah. Tapi bukan buah saja yang dijual di situ, terdapat juga berbagai barangan cenderamata.

Selepas tengahari, kami meninggalkan kawasan Danau Toba menuju ke bandar Medan. Di Medan, ahli rombongan menginap di Hotel Garuda Plaza.

Pada petang itu, aktiviti adalah bebas.

HARI KEEMPAT

Hari Keempat adalah hari terakhir program lawatan kami. Kami dibawa ke Istana Maimoon yang terletak di tengah bandar Medan. Istana ini agak istimewa kepada ahli rombongan kerana Kesultanan Perak dikatakan berasal dari sini dan semua ahli rombongan adalah terdiri dari orang-orang Perak belaka.

Istana Maimoon di Medan. Kesultanan Perak dikatakan bermula dari sini.
Selepas puas melawat istana, kami bersedia untuk terbang balik ke Ipoh. Namun sebelum itu, makan tengahari dahulu di Restoran Cendana di Medan. Masih teringat keenakan masakan daging rendangnya sehingga sekarang.

Begitulah berakhirnya cerita perjalanan diri yang pertama. Kata Confucius, "Journey of a thousand miles begins with a single step". Setiap perjalanan yang beribu batu bermula dengan sebuah langkah kecil. Inilah langkah yang pertama itu.. 


CATATAN PERJALANAN LAIN (INDONESIA)