Friday 4 April 2014

2014 TOKYO & OSAKA BHG. 02 (Tokyo)

Mac 2014 

JAPAN (5th Visit)
Tokyo, Mount Fuji, Kyoto & Osaka 

Bahagian 2 : Tokyo (1)
TOKYO CITY TOUR

HARI KEDUA

Part 2 : Tiba di Narita 

Pesawat kami tiba di Narita pada pukul 7.20 pagi. Pendaratan di Narita juga berlangsung dengan cukup lancar dan baik sekali sehingga Mat Salleh yang duduk di sebelah kami bertepuk tangan. Nampaknya ada juga orang lain selain Myself yang takut naik kapal terbang. Anyway, Bravo Malaysia Airlines! Pilot anda memang hebat!

Setibanya di Airport Narita, perkara pertama yang dilakukan ialah menghantar pesanan menerusi telefon kepada keluarga dan rakan-rakan di Malaysia untuk memberitahu yang kami telah selamat sampai di Jepun. Maklumlah, berita kehilangan pesawat MH370 masih hangat, jadi ramai yang risau bila ada keluarga dan rakan-rakan menaiki kapalterbang pada masa-masa ini.

Pada masa dulu, telefon dari Malaysia tidak boleh digunakan di Jepun kerana sistem yang digunakan berbeza. Kalau nak menghubungi keluarga dan rakan-rakan di Malaysia perlu menggunakan telefon awam yang mempunyai perkhidmatan talian antarabangsa atau kita perlu menyewa telefon bimbit yang menggunakan sistem Jepun di Airport. Mujur juga sekarang ni dah ada smartphone. Smartphone yang dilengkapi dengan perkhidmatan 3G boleh digunakan di Jepun tanpa sebarang masalah.

Ketibaan di Narita Airport.
Lapangan Terbang Narita adalah antara lapangan terbang paling sibuk di dunia.
Tidak seperti dahulu, pelancong dari Malaysia tidak perlu lagi memohon visa lebih awal dari Kedutaan Jepun untuk masuk ke negara ini. Rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan Visa On Arrival yang hanya dilekatkan di passport kita sewaktu melalui pemeriksaan imigresen.  

Husband bergambar dengan Tour Leader kami, En Zadil di tempat Tuntutan Bagasi
Sedang leka mengambil gambar di Tempat Tuntutan Bagasi ini, kami dihampiri oleh seorang pegawai sekuriti airport. Rupa-rupanya kawasan ini adalah tempat larangan mengambil gambar. Sorry!!
Kaunter perkhidmatan Airport Limousine di Narita. Walaupun namanya Limousine, ia sebenarnya adalah perkhidmatan bas shuttle ke beberapa buah hotel terkemuka di Tokyo. Myself pernah menggunakan perkhidmatan Airport Limousine ini ketika datang ke Jepun atas urusan kerja dahulu.
Perkhidmatan bas Airport Limousine
Cuaca sejuk dengan suhu 11 darjah Celcius menggamit kami di Narita. Cuaca juga semakin sejuk dengan hujan yang mencurah di luar sana.

Disebabkan ada 5 rombongan anjuran Apple Holidays yang tiba serentak di sini, berderet-deret bas menunggu kami di luar Airport. Tapi dalam 5 rombongan tersebut, hanya kami sahaja yang merupakan kumpulan Muslim.

Dalam Tour Bus di Narita Airport
Tourist Guide kami sepanjang percutian ini adalah Wan Abdul Aziz, seorang rakyat Malaysia yang telah bermastautin selama 15 tahun di negara Jepun. Dia sangat fasih berbahasa Jepun dan sebenarnya tinggal di Sapporo yang terletak di Pulau Hokkaido di utara Jepun. Wan sering berulang-alik ke Tokyo untuk berkhidmat sebagai Tourist Guide kepada kumpulan pelancong Muslim yang berkunjung ke Jepun, bukan sahaja dari Malaysia malah juga dari Indonesia.

Tourist Guide kami di Tokyo - Wan Abdul Aziz

Part 3: Asakusa Temple

Satu kemestian bagi pelancong ke Tokyo adalah melawat ke Asakusa Temple. Perjalanan dari Airport Narita ke sana adalah selama kira-kira 2 jam. Perjalanan kami ke sana agak terganggu disebabkan hujan lebat yang turun sepanjang hari.

Hujan turun dengan lebat sepanjang hari pertama kami tiba di Jepun.
Kami juga diberitahu bahawa seperti di Malaysia, ketika itu juga adalah musim cuti sekolah di Jepun.

Sepanjang percutian kami di Jepun, kami sentiasa berdepan dengan kesesakan jalan raya kerana orang-orang tempatan juga turut berkunjung ke tempat-tempat tarikan pelancong yang kami kunjungi sempena musim cuti sekolah.
Wan sentiasa membawa bendera ikan koi ini untuk memudahkan pergerakan kami secara berkumpulan.
Hampir semua jalan yang kami lalui nampaknya sedang mengalami kesesakan.
Walaupun ketika itu Musim Bunga, kami tak nampak pun sebarang bunga yang menarik sepanjang perjalanan. Yang jelas cuma bangunan-bangunan pencakar langit yang memenuhi pusat bandar Tokyo.

Pemandangan bandaraya Tokyo di dalam hujan
Satu lagi pemandangan sewaktu bas merentasi pusat bandar Tokyo
Disebabkan rombongan kami adalah Muslim Tour, kami tak menghabiskan masa yang lama di Asakusa Temple seperti dalam lawatan-lawatan kami yang terdahulu. Masa yang diberi cuma 45 minit, sekadar cukup untuk melihat suasana di sekitar Temple. Hujan lebat juga sangat membataskan pergerakan kami.

Berjalan masuk ke perkarangan Asakusa Temple menerusi Nitenmon Gate
Jika dalam kunjungan dulu Temple ini penuh sesak, ia kelihatan sunyi sekali pada masa itu kerana hujan lebat.
Pintu masuk ke bangunan utama Asakusa Temple
Tempat penganut Buddha membersihkan diri sebelum masuk ke dalam Temple
Pokok Sakura di Asakusa Temple ini masih belum berbunga lagi disebabkan cuaca di sini belum cukup panas.
Suasana di depan bangunan utama Asakusa Temple setelah hujan sedikit reda.
Disebabkan masa yang diberi juga sangat terhad, kami tak berpeluang membeli-belah di Nakamise Street yang terletak di sebelah Temple. Kami pernah bershopping sakan di sini dalam kunjungan terdahulu dan kedai-kedai di sini memang sangat menarik. Oleh yang demikian, kami agak bersimpati dengan ahli rombongan yang pertama kali berkunjung ke sini kerana tak berkesempatan bershopping di sini.

Nakamise Street yang terletak bersebelahan Asakusa Temple
Antara kraftangan yang dijual di Nakamise Street
Tanglung besar di Nitenmon Gate di mana kami diminta berkumpul setelah tamat tempoh lawatan untuk dibawa ke destinasi seterusnya
Disebabkan kawasan Temple sesak dengan ramai pengunjung, bas kami terpaksa parking agak jauh dari situ. Dalam perjalanan untuk mendapatkan bas, kami dapat melihat bangunan Tokyo Skytree yang mempunyai rekabentuk yang sangat unik.

Pemandangan bangunan Tokyo Skytree sewaktu berjalan kaki mendapatkan bas. Bangunan ini adalah sebuah menara telekomunikasi yang terletak tidak jauh dari Asakusa Temple.

Part 4: Ginza

RESTORAN HOKKAIDO 

Destinasi kami seterusnya ialah Ginza yang merupakan pusat membeli-belah mewah di bandaraya Tokyo. Setibanya di sana, kami dibawa ke sebuah restoran Jepun yang bernama Hokkaido untuk makan tengahari.

Restoran Hokkaido terletak di tingkat 5 bangunan kaca ini.
Pemandangan di hadapan bangunan yang menempatkan Restoran Hokkaido
Pemandangan di dalam Restoran Hokkaido
Pemandangan bandaraya Tokyo dari Restoran Hokkaido
Bergambar di pintu masuk ke Restoran Hokkaido

BERSIAR-SIAR DI GINZA 

Selepas makan, kami diberi masa untuk bersiar-siar dan membeli-belah di jalan utama Ginza. Jalan ini dipenuhi pelbagai butik mewah dengan jenama-jenama yang terkenal di seluruh dunia.

Pemandangan di kawasan Ginza
Ini adalah pondok polis yang dinamakan Koban. Walaupun Jepun mempunyai kadar jenayah yang rendah, pondok-pondok Koban ini banyak terdapat di serata tempat di bandaraya-bandaraya Jepun. Rekabentuk Koban ini juga selalunya unik dan menarik.
Salah sebuah laluan masuk ke stesen keretapi Ginza yang terletak di bawah tanah.
Suhu ketika ini 12 darjah Celcius dan berangin. Sangat sejuk sekali!
Bergambar lagi di signboard ini seperti yang pernah dibuat dalam lawatan terdahulu.
Butik Louis Vuitton di Ginza
Butik Cartier
Sebuah bangunan yang menarik di Ginza
Sewaktu di Ginza juga, kami berkesempatan menyaksikan sebuah parking automatik yang terletak di dalam sebuah bangunan di sini.

Pemandu kereta akan memandu masuk ke bangunan ini untuk parking kereta. Selepas beliau menekan butang di tepi pintu lif, turntable di bawah kereta ini akan berpusing secara automatik menghala ke pintu lif.
Selepas pintu lif dibuka, pemandu ini memandu keretanya masuk ke dalam lif dan keluar dari kereta tersebut. Selepas pintu lif ditutup, kereta akan diangkut secara automatik ke ruang parking di dalam bangunan ini.

Part 5: Tokyo Mosque 

Kami kemudian dibawa berkunjung ke Masjid Tokyo yang terletak berhampiran kawasan Shinjuku untuk menunaikan solat jamak Zohor dan Asar. Bagi Myself, ini adalah kali pertama berkunjung ke sebuah masjid di Jepun.

IMPERIAL PALACE

Dalam perjalanan ke Tokyo Mosque, kami melintasi kawasan Imperial Palace. Bas tidak berhenti di sini, jadi kami hanya menikmati keindahan sebahagian taman Imperial Palace dari atas bas.

Pemandangan indah taman luar Imperial Palace
Pelawat yang berkunjung ke taman Imperial Palace. Hanya sebahagian kecil sahaja taman ini yang dibuka untuk lawatan umum.

MASJID TOKYO   

Masjid Tokyo dibina atas sumbangan kewangan dari masyarakat Islam di Tokyo. Pada mulanya, sumbangan-sumbangan ini datang dari para pelajar Islam di Tokyo. Kemudian, sumbangan lebih besar bagi pembinaannya datang dari Kerajaan Turki. Maka tidak hairanlah jika senibina Masjid ini bercirikan senibina Turki.


Pemandangan di luar Masjid Tokyo. Untuk masuk ke dalam masjid, kita perlu menaiki tangga marmar di sebelah kanan gambar ini.


Senibina masjid ini bercirikan Turki kerana penyumbang terbesar bagi pembinaannya adalah dari Kerajaan Turki
Pemandangan di dalam masjid
Ruang solat wanitanya kecil dan terletak di tingkat atas

Part 6: Restoran Maharaja 

Matahari di Tokyo terbenam sekitar pukul 6 petang sewaktu kami berada di sana. Selepas semua ahli rombongan selesai bersolat di Masjid Tokyo, kami dibawa kembali ke Ginza untuk makan malam.

Dalam perjalanan ke Ginza, bas kami berselisih dengan sebuah lori yang sarat membawa sisa-sisa ikan. Kami diberitahu sisa ikan ini berasal dari Tsukiji Market, sebuah pasar borong makanan laut yang terletak berhampiran. Sisa ikan ini akan diproses untuk dijadikan baja.

Berselisih dengan lori yang membawa sisa-sisa ikan dari Pasar Tsukiji berhampiran.
Pemandangan malam di Ginza berbeza dengan pemandangan di sebelah siang. Ketika kami tiba, jam menunjukkan hampir pukul 8 malam, tetapi kedai-kedai di sini telah mula ditutup dan menamatkan perniagaan masing-masing.

Kami diberitahu butik-butik di Ginza ini lebih merupakan "Show Boutique". Kerana itulah waktu perniagaannya singkat berbanding kedai biasa. Jika anda boleh membuka butik di Ginza, ia memberi gambaran bahawa barangan anda adalah barangan mewah yang berkualiti tinggi.

Pemandangan malam di Ginza
Makan malam kami disediakan di sebuah restoran India yang bernama Restoran Maharaja. Roti Nan dan kari yang disediakan sangat enak dan menyelerakan.

Pemandangan di pintu masuk ke Restoran Maharaja di Ginza
Restoran ini mempunyai sijil pengiktirafan Halal dari sebuah pertubuhan Islam di Jepun.
Pemandangan di dalam restoran
Sajian makan malam kami
Kami diberitahu sebenarnya terdapat 3 buah restoran makanan Malaysia di Tokyo. Namun demikian, kesemuanya bersaiz kecil dan tak dapat menampung bilangan ahli kumpulan yang ramai seperti kumpulan kami. Kerana itulah Apple Holidays tidak dapat membawa kami makan di sana.

TOKYO DOME HOTEL 

Selepas makan, kami dibawa ke hotel penginapan kami yang bernama Tokyo Dome Hotel untuk beristirahat.

Ketibaan di Tokyo Dome Hotel
Sewaktu menunggu Tour Leader dan Tourist Guide menguruskan penginapan kami, sebuah lagi rombongan Apple Holidays tiba untuk turut menginap di sini.

Rombongan Apple Holidays yang lain tiba di hotel.
Disebabkan bangunan hotel ini setinggi 45 tingkat, ada lif khusus yang disediakan untuk ke tingkat-tingkat tertentu. Disebabkan kami tak faham bahasa Jepun dan sukar berkomunikasi dengan pekerja hotel, kami dan beberapa ahli rombongan lain tersilap menaiki lif menyebabkan kami terpaksa naik sehingga ke tingkat 45 di mana satu upacara perkahwinan sedang diadakan.

Kami kemudiannya dibantu oleh beberapa tetamu majlis tersebut untuk menukar lif di tingkat 30 untuk ke bilik penginapan kami yang terletak di tingkat 33. Mereka juga tak pandai berbahasa Inggeris, tapi kami masih boleh berkomunikasi menggunakan bahasa ayam dan itik.

Pemandangan bandaraya Tokyo di waktu malam dari bilik hotel kami yang terletak di tingkat 33.
Oleh kerana hotel ini bertaraf 5 bintang, biliknya sangat cantik dan selesa. Selepas bersolat, kami tak dapat lagi menahan rasa letih selepas tidak tidur dengan sempurna hampir 2 hari. Terus saja tertidur di atas katil hotel ini yang cukup empuk...

Bilik penginapan kami di Tokyo Dome Hotel


Thursday 3 April 2014

2014 TOKYO & OSAKA BHG. 01 (Focus Japan)

Mac 2014 

JAPAN (5th Visit)
Tokyo, Mount Fuji, Kyoto & Osaka 

Bahagian 1: FOCUS JAPAN

HARI PERTAMA

Kunjungan kelima ke Negara Matahari Terbit sebenarnya diatur bersekali dengan percutian keluarga ke Hong Kong pada bulan Disember 2013 yang lalu. Percutian ini adalah mengikut pakej percutian berkumpulan Apple Muslim Tour yang bertemakan Focus Japan.

Program percutian 7 Hari/5 Malam ini bertujuan menikmati keindahan Bunga Sakura yang berkembang mekar di Jepun dalam Musim Bunga. Program percutian kami bermula dari Tokyo dan bergerak ke arah selatan sehingga ke Osaka. Penerbangan masuk ke Jepun adalah melalui Lapangan Terbang Narita di Tokyo dan penerbangan pulang pula adalah menerusi Lapangan Terbang Kansai di Osaka.

Kami berlepas ke Jepun pada 26 Mac 2014, kira-kira 3 minggu selepas negara digemparkan dengan berita kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. Memang diakui peristiwa ini menyebabkan Myself agak cemas untuk terbang ke Jepun, lebih-lebih lagi bila memikirkan laluan penerbangan ke Jepun akan melalui laluan yang lebih kurang sama dengan laluan penerbangan ke Beijing. Lebih mencemaskan bila sehari sebelum berlepas, Perdana Menteri telah membuat pengumuman yang mengesahkan perjalanan MH370 berakhir di Lautan Hindi selepas pesawat tersebut membuat Air Turnback di Laut China Selatan.

Namun sebagai orang Islam, kita perlu mempercayai akan Qada' dan Qadar. Segala yang berlaku adalah ketentuan dari Allah dan peristiwa seperti yang dialami oleh MH370 bukanlah satu peristiwa yang biasa berlaku. Lagi pula, hanya Allah yang mengetahui bila dan bagaimana cara kita akan kembali kepadaNya.

Berbekalkan doa dan kepercayaan ini, Myself dan Husband meneruskan program perjalanan kami mengembara ke bumi Jepun..

Tam Tam nak ikut pergi ke Jepun

Part 1: Penerbangan Ke Narita

Penerbangan kami, Malaysia Airlines MH88 dijadualkan berlepas dari KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Tokyo pada pukul 11.30 malam. Dua hari sebelum itu, Tour Leader dari Apple Holidays telah menghubungi kami untuk memaklumkan aturcara perjalanan. Kami diminta berkumpul di KLIA pada pukul 9.00 malam untuk Group Check-in.

Group Check-in di Kaunter Malaysia Airlines
Kumpulan kami terdiri dari 33 orang peserta. Entah di mana silapnya, kami diberikan tempat duduk yang bertaburan dalam pesawat. Namun mujurlah Tour Leader kami yang begitu perihatin, En Zadil telah mengambil inisiatif menyusun kembali tempat duduk ahli-ahli rombongan mengikut keluarga dan kumpulan kecil masing-masing. Tempat duduk baru telah dimaklumkan oleh En Zadil kepada semua ahli rombongan sewaktu menunggu di pintu perlepasan.

Boarding Pass untuk menaiki pesawat
Pintu perlepasan kami terletak di Bangunan Satelit KLIA. Jadi kami terpaksa menaiki Aerotrain untuk ke sana. 

Walaupun sebelum itu hati agak risau untuk naik kapalterbang, perasaan itu hilang sama-sekali bila sampai di KLIA. Disebabkan musim cuti sekolah, kaunter Group Check-in Malaysia Airlines di KLIA sibuk dengan rombongan-rombongan rakyat Malaysia yang ingin melancong ke luar negara (terutamanya ke negara China) dan juga kumpulan-kumpulan Umrah. Bagi Apple Holidays sendiri, ada 5 kumpulan yang akan berlepas ke Jepun pada malam itu, termasuk kumpulan kami.

Dalam perjalanan nak menaiki Aerotrain, Myself terpandangkan monitor yang memaparkan jadual perlepasan pesawat pada malam itu. Salah satu di antaranya ialah MH318 ke Beijing. Inilah kod baru Malaysia Airlines bagi laluan KL-Beijing, untuk menggantikan MH370 yang masih hilang. Hati juga sayu bila melihat masih ada paparan di skrin monitor yang menyampaikan mesej takziah kepada keluarga dan rakan-rakan penumpang pesawat malang itu. Mudah-mudahan MH370 akan segera ditemui dan peristiwa hitam ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Jadual perlepasan pesawat-pesawat dari KLIA pada malam itu.
Dalam Aerotrain menuju ke gate perlepasan
Ketibaan di Bangunan Satelit KLIA
Sambil menunggu waktu perlepasan, Myself dan Husband mundar-mandir di sekitar Bangunan Satelit KLIA. Maklumlah, bukan mudah nak sampai ke sini. Peluang masuk ke sini hanya akan diperolehi jika kita terbang keluar negara dengan menaiki pesawat yang besar seperti Airbus 380, Boeing 777 ataupun Airbus 330.

Sedang kami mundar-mandir di sana, terpandang pulak akan KLIA Jungle Boardwalk di tengah-tengah Bangunan Satelit ini. Pada mulanya, kami tak perasan pun akan kewujudan KLIA Jungle Boardwalk ini. Kami hanya menyedari akan kewujudannya bila melihat ada sepasang pelancong Jepun keluar dari sana.


Pintu masuk ke KLIA Jungle Boardwalk
KLIA Jungle Boardwalk terletak di tengah-tengah Bangunan Satelit KLIA. Ia benar-benar bagaikan sebuah hutan hujan khatulistiwa yang kecil. Berbeza dengan suasana dalam Bangunan Satelit KLIA yang nyaman dengan penghawa dingin, suasana di hutan kecil ini sangat panas dengan cuaca semulajadi yang ketika itu sangat kering kerana hujan dah lama tidak turun sehingga menyebabkan beberapa kawasan di Selangor dikenakan catuan air.

Suasana hutan hujan khatulistiwa di KLIA Jungle Boardwalk
Bergambar dengan air terjun KLIA Jungle Boardwalk
Pintu perlepasan untuk pesawat kami dibuka seawal pukul 10.30 malam, sejam sebelum waktu perlepasan mengikut jadual. Namun begitu, mungkin disebabkan peristiwa hitam MH370, pemeriksaan sekuriti ke atas penumpang sebelum masuk ke dalam pesawat dilaksanakan dengan amat ketat dan teliti. Hampir semua penumpang, tak kira lelaki ataupun perempuan, terpaksa membuka kasut sewaktu melalui pemeriksaan keselamatan.

Sehingga pukul 11.30 malam (waktu sepatutnya pesawat kami berlepas ke Narita), separuh penumpang masih belum melepasi pemeriksaan sekuriti, termasuklah kami berdua.


Pemeriksaan sekuriti untuk masuk ke pesawat di KLIA amat ketat sehingga banyak pesawat lewat berlepas dari jadual asal. Barisan di sebelah kiri adalah penumpang Malaysia Airlines ke Narita (Tokyo), manakala barisan di sebelah kanan adalah barisan penumpang Malaysia Airlines ke Schipol (Amsterdam).
Sebaik kami masuk ke dalam pesawat, kedengaran pilot pesawat sedang membuat pengumuman memohon maaf atas kelewatan pesawat berlepas disebabkan pemeriksaan sekuriti yang ketat ke atas penumpang. Namun demikian, tak seorang pun penumpang merungut kerana masing-masing sedar bahawa pemeriksaan ketat sebegitu adalah untuk kebaikan semua pihak. Pesawat MH88 akhirnya berlepas dari KLIA ke Narita pada pukul 12.30 pagi, lewat sejam dari jadual.

Sajian lewat malam dalam pesawat kira-kira sejam selepas berlepas dari KLIA
Penerbangan Boeing 777 MH88 ke Narita sangat lancar dan hampir tiada gegaran. Namun begitu, Myself sukar nak tidur nyenyak dalam penerbangan ini.
 
Tidur-tidur ayam dalam pesawat ke Narita.
Disebabkan sukar nak tidur, Myself asyik tengok peta penerbangan. Ketika ini pesawat sedang melintasi Vietnam.
Lampu pesawat dimalapkan hampir sepanjang perjalanan untuk membolehkan penumpang tidur dengan selesa. Gambar ini Myself ambil kerana ketika itu tak boleh tidur dan boring tak tau nak buat apa.
Melintasi Hong Kong dan Macau. Myself dapati paparan pada skrin Boeing 777 Malaysia Airlines sering kurang tajam. Masa travel ke India pada tahun 2012 dulu, kami juga menaiki Boeing 777 seperti ini dan masih ingat lagi paparan pada skrinnya juga tidak tajam.
Terbang melintasi Taiwan
Sarapan pagi dihidangkan kepada penumpang sejam setengah sebelum mendarat. Ada pilihan Nasi Lemak ataupun Omelette.

Lampu pesawat dinyalakan untuk hidangan sarapan pagi
Sajian Nasi Lemak - pilihan Myself
Sajian Omelette - pilihan Husband
Antara cabaran yang kami hadapi dalam penerbangan ini ialah menentukan waktu masuk Solat Subuh. Disebabkan penerbangan ini berlepas pada lewat malam dan memakan masa 6 jam, memang dah sah kami kena solat Subuh dalam pesawat. Cuma masalahnya, bila sebenarnya masuk waktu Subuh?

Subuh menyinsing cuma selepas pesawat terbang melintasi Taiwan. Nasib baik la orang yang duduk kat sebelah tingkap tu tak tutup tingkap, dapat jugaklah kami mengagak bila waktu Subuh masuk.
MH88 tiba di Jepun.
Peramugari Malaysia Airlines berbangsa Jepun ini turut ditugaskan untuk membuat pengumuman dalam Bahasa Jepun selepas Ketua Peramugara membuat pengumuman dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.


Bersambung ke Bhg. 2...


CATATAN PERJALANAN TOKYO & OSAKA (2014):