Thursday 19 September 2024

2024 PANGKOR BHG. 06 (Night Tour 2)

Ogos 2024

PERAK, MALAYSIA
Pulau Pangkor

Bahagian 6: Pangkor Night Tour 2
KOTA BELANDA, BATU BERSURAT & MASJID SERIBU SELAWAT

HARI PERTAMA (6)

Part 14: Kota Belanda

Pulau Pangkor bukan sahaja pulau yang terkenal dengan keindahan alam. Ia adalah juga pulau yang bersejarah. Pada malam ini, Mr. Kobu membawa kami melawat ke sebuah monumen bersejarah di pulau ini yang dinamakan sebagai Kota Belanda.

Perjalanan menuju ke Kota Belanda
Selamat Datang Ke Pulau Pangkor
Kota Belanda di Pulau Pangkor dibina oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada tahun 1670 untuk menyimpan bijih timah yang diperolehi dari negeri Perak. Pada tahun 1690, rakyat tempatan yang tidak bersetuju dengan cara Belanda mendapatkan bijih timah tersebut telah membinasakan kota ini.
 
Kota Belanda
Walaupun hari telah malam ketika itu, Kota Belanda masih boleh dilawati dengan mudah kerana ia disinari dengan limpahan lampu yang terang.

Meriam di Kota Belanda
Suasana malam di Kota Belanda
Selepas tahun 1779, Kota Belanda tidak lagi digunakan kerana Belanda menumpukan kepada perdagangan rempah di Maluku, Indonesia. Belanda juga berhadapan dengan Perang Napoleon di Eropah. Pada 1824, Belanda dan Inggeris secara rasmi membahagikan wilayah penguasaan masing-masing di Nusantara menerusi Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.

Taman di depan Kota Belanda
Ada keterangan tentang Kota Belanda di sini tetapi tulisannya macam dah tak boleh lagi dibaca.
Taman ini ditata cantik dan kemas
Pemandangan menghala ke kedai souvenir yang ditutup pada malam hari begini.
Berjalan menuju ke Kota Belanda yang sebenar
Keterangan tentang Kota Belanda di sebelah sini pun dah tak boleh dibaca lagi.
Pemandangan Kota Belanda yang sebenar
Selepas dimusnahkan, pada tahun 1749 Belanda telah membinanya semula dan menempatkan seramai 80 orang pengawalnya di sini.  Ada 9 buah lubang tingkap di kota ini yang menandakan terdapat 9 buah meriam yang pernah ditempatkan di sini.

Melawat masuk ke dalam kota...
Suasana di dalam kota
Ada 9 buah tingkap yang pernah menempatkan 9 buah meriam di dalam kota ini
Suasana malam di dalam Kota Belanda
Walaupun keseluruhan kompleks Kota Belanda dilimpahi cahaya lampu yang terang dan terdapat rumah-rumah penduduk di sekitarnya, seram juga kita berjalan malam-malam di sini. Maklum sajalah, kota ini adalah sebuah tapak sejarah. Tapak sejarah memang selalu dikaitkan dengan cerita-cerita seram. Namun syukurlah kerana tidak ada sebarang cerita seram yang kami alami sewaktu berkunjung ke sini.
 
Pemandangan menghala ke pintu masuk dari dalam kota
Replika Rumah Gabenor Belanda
Melihat replika Rumah Gabenor Belanda dengan lebih dekat
Pulau Pangkor juga adalah tempat di mana Perjanjian Pangkor ditandatangani. Perjanjian ini ditandatangani pada 20 Januari 1874 di antara Gabenor Negeri-Negeri Selat Andrew Clarke dari pihak Inggeris dan Raja Muda Abdullah yang berkuasa di Hilir Perak bersama pembesar-pembesar yang menyokong baginda yang terdiri dari Bendahara, Temenggung, Orang Kaya Menteri, Shahbandar, Raja Mahkota, Laksamana dan Dato' Sagor. Perjanjian ini memberi kebenaran untuk Inggeris mencampuri urusan negeri Perak. Ini adalah satu kesilapan yang telah dilakukan oleh Raja Abdullah dan membuka kepada campur tangan Inggeris secara rasmi dalam urusan negeri-negeri Melayu. Perjanjian ini telah ditandatangani di atas kapal HMS Pluto yang berlabuh di Selat Dinding, iaitu di kawasan perairan di antara Lumut dan Pulau Pangkor.

Pemandangan Kota Belanda dari luar
Pemandangan dari sudut di sebelah sini
Meninggalkan Kota Belanda
Mengikut Perjanjian Pangkor, Raja Abdullah telah diiktiraf Inggeris sebagai Sultan Perak dan Sir James W.W. Birch menjadi Residen Inggeris yang pertama di Perak. Campur tangan Residen Inggeris telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang Melayu, khasnya golongan istana yang berasa kehilangan kuasa. Kesannya, orang Melayu Perak mula bertindak. Mereka berpakat membunuh Birch. Pembunuhan tersebut dilakukan pada tahun 1875 di Pasir Salak. Kejadian ini mengakibatnya beberapa siri peperangan di antara Orang Melayu Perak dengan pihak Inggeris sehingga tahun 1876.

Banyak pihak yang kesemuanya orang Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditangkap dan dihukum bunuh. Di antaranya termasuklah Dato' Maharaja Lela, Dato' Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan lain-lain. Sultan Abdullah pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles.

Dengan kejayaan membantutkan penentangan Melayu, Inggeris berjaya mengukuhkan kedudukannya di negeri Perak dan kemudiannya membuka lebih banyak lombong bijih timah di Perak dan ladang-ladang getah. Perak bersama-sama Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang kemudiannya dikenali sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu di bawah pemerintahan British.

Berjalan keluar dari Kota Belanda

Part 15: Batu Bersurat

Dari Kota Belanda, kami dibawa pula melawat ke Batu Bersurat Pangkor yang juga mempunyai perkaitan dengan sejarah pendudukan Belanda di pulau ini.

Selamat Datang Ke Batu Bersurat Pangkor
Batu Bersurat Pangkor
Batu Bersurat Pangkor terletak tidak jauh dari Kota Belanda. Pada batu ini terpahat gambar harimau yang sedang membaham seorang budak. Dua bulatan berbentuk daun dan juga perkataan-perkataan Belanda serta Inggeris yang berbunyi “If Carlo 1743” tercatat di batu ini. 1743 adalah tahun yang dicatatkan sebagai tahun pendudukan semula Belanda di  Pulau Pangkor selepas diusir oleh penduduk yang diketuai oleh Panglima Kulup sekitar 1690-an.

Pandangan lebih dekat Batu Bersurat Pangkor
Lain-lain pahatan yang ada pada batu ini mungkin merupakan nama-nama pemahat seperti yang dinyatakan secara huruf ringkas seperti ‘IK’, ‘R.O’, ‘BVH’, ‘PVL’, ‘VM’, ‘PP’ dan VOC yang merujuk kepada nama singkatan untuk Verenidge Oon Stindische Company iaitu Syarikat Hindia Timur Belanda. 

Ada beberapa versi cerita mengenai pahatan gambar harimau pada batu ini. Menurut versi pertama sumber penduduk tempatan, gambar ini dipahat oleh orang Belanda sebagai tanda peringatan pada anak seorang pembesar Belanda yang hilang ketika sedang bermain-main berhampiran dengan batu tersebut pada tahun 1743. Orang Belanda percaya bahawa budak tersebut telah dimakan oleh binatang buas.

Dalam versi kedua pula, Orang Bugis dan orang Melayu telah menculik dan membunuh anak pembesar Belanda untuk membalas dendam di atas kekejaman Belanda melayan penduduk tempatan. Apabila askar Belanda mencari budak tersebut, penduduk tempatan telah mereka cerita dengan menyatakan mereka nampak harimau telah melarikan budak itu. Namun, penduduk Pulau Pangkor yang lain percaya bukan harimau yang melarikan budak tersebut tetapi pembesar Melayu yang tidak berpuas hati dan ingin membebaskan Pangkor dari Belanda. Oleh sebab itulah askar Belanda melukis gambar harimau yang melambangkan ‘orang Melayu’. Batu ini juga dikenali sebagai ‘Tiger Rock’ kerana adanya gambar harimau tersebut.

Versi ketiga pula menceritakan Orang Belanda mengatakan anak kepada pembesar Belanda hilang dan dipercayai dibaham harimau. Walau bagaimanapun mengikut sumber penduduk tempatan, kisah ini merupakan rekaan semata-mata oleh Belanda untuk menutup malu yang sebenarnya anak pembesar Belanda dilarikan oleh lanun.

Gambar Harimau dan simbol VOC pada Batu Bersurat Pangkor
Pantai berhampiran Batu Bersurat Pangkor
Bubu Ikan

Part 16: Masjid 1000 Selawat

Destinasi terakhir dalam Pangkor Night Tour kami adalah Masjid 1000 Selawat yang terletak di Kampung Telok Gadong. Masjid ini mula dibina pada 7 Mac 2014 dengan kos bernilai RM11.7 juta dan siap sepenuhnya dalam bulan Oktober 2016. Ia telah dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah pada 8 Jun 2017.

Masjid 1000 Selawat
Nama rasmi masjid ini adalah Masjid Al Badar 1000 Selawat
Masjid ini paling bagus dilawat di malam hari kerana ia dihiasi dengan lampu-lampu indah yang bertukar-tukar warna.

Selepas melawat masjid ini dari luar, jom kita masuk melawat ke dalam pulak...

Laluan masuk ke masjid
Pintu utama masjid
Pemandangan menghala ke darat dari depan masjid
Jom masuk ke dalam...
Masjid ini diberi sebagai nama Masjid Al-Badr Seribu Selawat kerana dinding-dinding masjid ini dipenuhi dengan ukiran 1,000 selawat. Apa yang uniknya berkenaan dengan masjid ini lagi adalah kedudukannya yang dibina di atas laut. Selain itu, ia turut mengetengahkan identiti negeri Perak pada setiap geometri hiasan dalaman pada dindingnya. 

Pemandangan di dalam bangunan masjid
Kita lihat suasana di dalam masjid ini...
 
Masjid ini mampu menempatkan 1,000 jemaah pada satu-satu masa. Hiasan kaligrafi pada masjid ini juga telah mendapat pengesahan dari Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti Negeri Perak.

Pemandangan ruang solat utama
Permaidani yang cantik
Kubah masjid yang cantik
Kelas pengajian agama sedang berlangsung
Balkoni masjid yang menghadap ke laut
Dinding kaca menghala ke ruang solat utama
Pemandangan dari balkoni masjid
Suasana balkoni masjid yang menghadap ke laut
Bangunan lama di tepi masjid
Kita lihat lagi pemandangan di sekeliling sebelum melangkah keluar dari masjid...

Masjid ini memang cantik. Tak jemu-jemu kita melihatnya walau dipandang dari luar. Ada juga tempat rehat yang disediakan di luar masjid untuk menikmati keindahan ini.

Pembinaan Masjid Al-Badr Seribu Selawat di Pulau Pangkor bukan sahaja menjadi tempat ibadat tetapi juga menjadi satu monumen baru yang ditekankan dalam seni bina pembinaan masjid. Secara tidak langsung, ia turut menjadi satu tarikan pelancongan di Pulau Pangkor. Lebih istimewa lagi, Masjid 1000 Selawat ini adalah juga masjid terapung yang pertama dibina di negeri Perak.

Meninggalkan masjid
Pemandangan menara masjid
Menuju ke daratan
Kenangan di tepi masjid

Part 17: Dinner Di Teluk Nipah

Sewaktu Mr. Kobu membawa kami balik ke Teluk Nipah, kami meminta beliau menurunkan kami di tepi jalan besar untuk membolehkan kami dinner di kedai-kedai di sana. Walaupun Pangkor terkenal dengan sajian ikan bakar, kami tetap memilih makan goreng-gorengan malam itu.

Gerai pilihan untuk dinner malam ini
Pemandangan dari meja makan kami
Dinner
Selepas makan, kami bersiar-siar dulu di sepanjang jalan Teluk Nipah sebelum pulang ke hotel. Memang bagus pilihan kami untuk menginap di kawasan Teluk Nipah kerana ada banyak gerai makanan yang tidak jauh dari hotel di sini.

Kemeriahan malam di Teluk Nipah
Pelbagai pilihan seafood untuk snacks
Kedai Duty Free
Lorong menuju ke Suria Beach Resort
Tiba di Suria Beach Resort


Bersambung ke Bahagian 7...


No comments: