Sunday, 21 February 2016

2016 PHILIPPINES BHG. 08 (Bamboo Organ Church)

Februari 2016

PHILIPPINES
Manila, Villa Escudero & Tagaytay

Bahagian 8: Tagaytay Ridge Tour (1)
BAMBOO ORGAN CHURCH & SARAO MOTORS

HARI KETIGA (1)

Part 21 : Hari Ketiga Di Manila

Hari ketiga di Philippines dimulakan dengan sarapan pagi di Cafe Ilang-Ilang, Manila Hotel.

Suasana pagi di Cafe Ilang-Ilang, Manila Hotel.
Ada Chef sedang bertugas di Halal Kitchen pada pagi ini.
Selepas bersarapan, kita mengambil angin pagi lagi di Manila Bay dengan harapan dapat melihat sekali lagi ikan melompat-lompat di sana seperti semalam. 

Pintu keluar dari Cafe Ilang-Ilang menuju ke Manila Bay.
Ruang makan di bahagian luar Cafe Ilang-Ilang.
Ramai juga pengunjung yang berenang di Swimming Pool pagi ini.
Kerusi santai menghadap ke Swimming Pool.
Suasana pagi ketiga di Manila Bay.
Malangnya, tak ada ikan yang melompat-lompat pada pagi ini. Namun kami disajikan dengan satu lagi pemandangan yang tak kurang hebatnya ~ melihat ikan berkumpul beramai-ramai di permukaan air di Manila Bay.

Nampak tak ikan yang berkumpul beramai-ramai di bawah tu?
Apa dia orang buat berkumpul beramai-ramai di sini pagi ini?
Kemudian kami berjalan menyusuri jeti sehingga ke hujung. Ada sebuah kapal besar berlabuh di sini pagi ini. Kapal ini tidak ada sewaktu kami datang pagi semalam.

Berjalan menyusuri jeti sehingga ke penghujung.
Cuaca juga sangat baik pagi ini.
Kapal besar ini tak ada kat sini pagi semalam.

Part 22: Manila Hotel Tour

Program Tour kami pada pagi ini, melawat Tagaytay Ridge bermula lewat sikit ~ pada pukul 10 pagi. Dengan bantuan Jane malam tadi, kami telah membooking Manila Hotel Tour pada pukul 9 pagi ini untuk mengisi masa.

Manila Hotel adalah sebuah hotel yang bersejarah. Jadi pihak hotel memang menyediakan Tour Dalaman kepada mana-mana pengunjung yang berminat dengan sejarahnya. Kami bukanlah berminat sangat dengan sejarah hotel ini, tapi seronok juga nak tahu apa istimewanya hotel ini.

Selepas melapor diri di Concierge Hotel, kami ditemui oleh seorang staf yang bernama Miss Lovely (memang ini nama betul dia!) yang akan membawa kami membuat Tour ini. Terus saja kami dibawa ke Arkib Hotel ini.

Arkib Manila Hotel ini boleh dikunjungi atas permintaan.
Miss Lovely yang memakai uniform zaman Spanish pada pagi ini.
Tahukah anda bahawa Manila Hotel adalah destinasi perkhidmatan mel udara merentasi Pasifik yang pertama di dunia? Surat pertama yang dihantar menggunakan perkhidmatan ini adalah sepucuk surat dari Presiden Amerika Syarikat, Franklin Roosevelt kepada Presiden Filipina, Manuel L. Quezon pada 29 November, 1935.

Kapalterbang yang membawa surat ini mendarat di atas laut, 20 ela dari Manila Hotel. Bak kata Husband, memang mahal perkhidmatan ini kerana kapalterbang tersebut hanya membawa sepucuk surat yang diterbangkan khas dari Amerika ke Filipina!

Model pesawat yang pertama sekali digunakan bagi penghantaran mel udara merentas Laut Pasifik. Ia membawa sepucuk surat dari Presiden Amerika Syarikat kepada Presiden Filipina ketika itu.
Seperti Hotel Hilton Bosphorus yang menjadi penginapan kami di Istanbul dulu, Manila Hotel juga menjadi pilihan ramai pembesar dan selebriti untuk tinggal di sini sewaktu berkunjung ke Manila. Antara yang pernah menginap di sini adalah Sultan Brunei, Presiden Bill Clinton, Putera Charles dari Britain, supermodel Linda Evagelista serta artis terkemuka seperti Michael Jackson, Liza Minelli dan Ricky Martin.

Tapi tak pula diceritakan kepada kami yang kumpulan popular British, The Beatles pun pernah menginap di sini. Namun kunjungan Beatles mungkin sesuatu yang tak ingin diingati oleh Manila Hotel. Ini adalah kerana selepas kumpulan ini membuat persembahan di Manila pada tahun 1966, mereka telah dijemput oleh Imelda Marcos untuk bersarapan pagi dengannya di Presidential Palace. Jemputan ini sebenarnya telah ditolak oleh Pengurus mereka kerana ahli-ahli Beatles ingin berehat saja di Manila Hotel selepas penat membuat persembahan.

Bila Beatles tidak muncul di Presidential Palace, Imelda Marcos menjadi berang. Dia menarik balik perlindungan dan keistimewaan yang diberikan kepada Beatles selama kunjungan mereka ke Manila. Menyedari yang Imelda marah kepada mereka, rombongan Beatles meninggalkan Manila dengan tergesa-gesa. Disebabkan semua keistimewaan yang diberi telah ditarik balik, mereka terpaksa mencari sendiri teksi dari Manila Hotel untuk ke Lapangan Terbang. Sewaktu di Airport juga, mereka dicemuh dan diserang oleh polis dan pengawal keselamatan di sana kerana dikatakan menghina Presiden.

Walaupun akhirnya kumpulan Beatles dan rombongan dapat meninggalkan Filipina dengan selamat, peristiwa ini membuatkan mereka membuat keputusan enggan membuat sebarang Tour lagi, terutamanya di negara-negara Asia. Malah mereka turut membatalkan konsert di India yang sepatutnya menjadi destinasi Tour mereka yang seterusnya selepas Filipina.

Miss Lovely menunjukkan gambar-gambar pemimpin dan selebriti yang pernah menginap di Manila Hotel.
Tun Mahathir pun pernah menginap di Manila Hotel.
Imelda Marcos sangat gemar mengadakan function di Manila Hotel.
Jaket di belakang sana dihadiahkan oleh peninju terkenal Filipina, Manny Pacquaio kepada pemilik Manila Hotel.
Satu lagi tempat yang biasanya ditunjukkan kepada pelawat dalam Manila Hotel Tour ini adalah MacArthur's Suite yang menjadi tempat penginapan jeneral perang Amerika, Douglas MacArthur pada masa dulu. Namun demikian, kawasan ini ditutup untuk kunjungan kerana sedang diubahsuai. 

Oleh yang demikian, Miss Lovely menawarkan untuk membawa kami melawat ke beberapa tempat di Manila Hotel yang selalunya tak dapat dikunjungi oleh penginap biasa. Bilik pertama yang ditunjukkan kepada kami ialah Fiesta Pavillion yang boleh memuatkan 2,500 pengunjung pada sesuatu masa.

Menuju ke Fiesta Pavillion
Bilik Fiesta Pavillion yang boleh memuatkan 2,500 tetamu.
Kemudian kami ditunjukkan pula Maynila Ballroom. Di sinilah sebahagian acara pertandingan Miss Universe 1994 diadakan. Pertandingan ini dimenangi oleh Miss India, Sushmita Sen yang kini telah menjadi seorang aktres Bollywood terkenal.

Menuju ke Maynila Ballroom.
Pemandangan di dalam Maynila Ballroom.
Di sinilah sebahagian acara pertandingan Miss Universe 1994 diadakan.
Mengikut Miss Lovely meninggalkan Maynila Ballroom.
Destinasi terakhir dalam Manila Hotel Tour ini adalah restoran yang bernama Champagne Room. Ia adalah restoran termahal di hotel ini yang dibuka hanya untuk dinner. Pengunjung yang ingin makan di sini juga perlu mematuhi kod pakaian yang ditetapkan. Pengunjung lelaki perlu memakai suit manakala yang perempuan pula perlu dressing habis-habisan.

Champagne Room adalah restoran eksklusif yang mahal di Manila Hotel.
Champagne Room hanya dibuka untuk dinner sahaja.
Pemandangan keseluruhan Restoran Champagne Room.
Daun pokok ini dibuat dari tin Coca-Cola yang dikitar semula.

Part 23: Menuju ke Tagaytay

Kami tidak bersendirian dalam lawatan kami ke Tagaytay (disebut Ta-gai-tai). Sebaliknya turut bersama kami dalam lawatan hari ini adalah sepasang couple dari Australia yang telah agak berusia, Steve dan Norlene. Mereka berasal dari Sydney dan telah berkunjung ke Kuala Lumpur sebelum datang ke Manila. Sebagai rakyat Malaysia, bangga juga melihat Norlene memakai skirt yang dibuat dari kain batik yang pastinya dibeli dalam kunjungannya ke Kuala Lumpur sebelum ini.

Jane juga tidak menyertai lawatan kami ke Tagaytay pada pagi ini. Tourist guide kami pada hari ini sebaliknya adalah Janine, seorang wanita yang kecil molek dan sering dibuli oleh Norlene yang agak tegas orangnya.

Menuju ke lebuhraya untuk ke Tagaytay.
Kuil Cina ini masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada umum.
Pemandangan Sungai Pasig yang agak kotor dengan sampah di sini.
Ada banyak Hotel Casino di Manila dan Hotel Midas ini adalah salah sebuah di antaranya.
Sebelum masuk ke lebuhraya, Janine menunjukkan kepada kami sebuah kawasan paya yang dinamakan Las Piñas - Paraneque Critical Habitat. Kawasan paya ini adalah sebuah protected area yang menjadi tempat persinggahan migratory birds yang terbang ke selatan dan utara mengikut musim.

Las Piñas - Paraneque Critical Habitat Area
Kawasan ini dilindungi Kerajaan Filipina kerana ia adalah tempat persinggahan burung-burung yang berhijrah ke utara dan selatan mengikut musim.
Seperti perjalanan ke Villa Escudero semalam, sebahagian perjalanan ke Tagaytay adalah menggunakan Lebuhraya SLEX (South Luzon Expressway). Cuma bezanya kali ini, kami akan keluar dari lebuhraya ini di Las Piñas.

Lebuhraya SLEX.
Menuju ke Las Piñas.
Pemandangan dari lebuhraya.
Kawasan setinggan yang sangat besar dilihat dari lebuhraya.
Pemandangan dekat kawasan setinggan.
Tidak seperti perjalanan ke Villa Escudero semalam juga, perjalanan ke Tagaytay banyak melalui kawasan-kawasan penduduk miskin di Filipina.

Part 24: Bamboo Organ Church

Persinggahan pertama kami dalam lawatan Tagaytay Ridge Tour ini adalah sebuah bandar yang bernama Las Piñas (disebut: Las Pin-yas). Di sinilah letaknya sebuah tarikan pelancongan yang popular di Filipina, Bamboo Organ Church.

Las Piñas
Las Piñas telah diisytiharkan sebagai sebuah bandar bersejarah oleh Kerajaan Filipina.
Perusahaan kitar semula plastik terpakai di Las Piñas.
Seperti namanya, Bamboo Organ adalah sebuah organ muzik yang dibina hampir sepenuhnya dari buluh. Bamboo Organ ini ditempatkan di dalam sebuah gereja di Las Piñas yang sebenarnya bernama St. Joseph Parish Church. Namun disebabkan populariti Bamboo Organ ini, gereja ini kini lebih dikenali sebagai Bamboo Organ Church.

Bamboo Organ Church
Nama sebenar gereja ini yang dibina pada zaman Spanish lagi ialah St. Joseph Parish Church.
Di luar bangunan gereja ada sebuah patung batu Father Diego Cera, seorang paderi berbangsa Sepanyol yang sangat berjasa kepada gereja ini. Dia adalah orang yang bertanggungjawab membina semula gereja ini menggunakan batu dan juga mencipta Bamboo Organ yang menjadikan gereja ini sangat terkenal di Philippines.

Patung Father Diego Cera
Patung Father Diego Cera ini digambarkan sedang membina Bamboo Organ bersama beberapa budak lelaki tempatan.
Sejarah Father Diego Cera
Bangunan St. Joseph Academy yang bersambung dengan gereja ini masih berfungsi sebagai sebuah sekolah menengah sehingga ke hari ini.
Muzium Bamboo Organ Church tidak dibuka pada hari ini kerana cuti umum.
Dah puas meninjau-ninjau di luar, kita masuk melawat ke dalam gereja pula.

Pemandangan lebih dekat bangunan gereja. Bendera-bendera kuning yang dipasang pada gereja ini adalah sempena International Bamboo Organ Festival yang dianjurkan oleh gereja ini.
Pintu masuk ke gereja.
Pemandangan di dalam gereja.
Bamboo Organ di dalam gereja ini dibina pada tahun 1824 dan masih berfungsi dengan baik pada hari ini. Disebabkan nilai sejarahnya, ia telah diisytiharkan sebagai National Treasure of Philippines. Malang sekali, tak ada sesiapa pun bermain alat muzik ini sewaktu kami berada di sini.

Organ ini pernah mengalami kerosakan untuk suatu jangka masa dahulu dan telah dihantar ke Germany untuk diperbaiki. Oleh kerana saiznya yang besar, terpaksalah ia dibuka kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil untuk memudahkan proses penghantaran ke Germany. Di samping itu, langkah-langkah tambahan juga terpaksa diambil untuk menjaga bahagian-bahagian buluh yang terlibat dari mengalami kerosakan disebabkan perbezaan iklim di antara Philippines dan Germany.

Bamboo Organ diletakkan di bahagian atas gereja.
Bamboo Organ tidaklah dibuat sepenuhnya dari batang buluh. Hanya 90% sahaja dari organ ini yang dibuat dari buluh.
Kerusi-kerusi di dalam gereja ini juga dibuat dari buluh.
Altar di Bamboo Organ Church
Penganut-penganut Katholik sedang bersembahyang di dalam gereja.
Seperti juga gereja-gereja lain yang kami lawati di Philippines ini, Bamboo Organ Church juga mempunyai sebuah ruang yang menempatkan artifak-artifak keagamaan yang kebanyakannya berbentuk patung-patung Kristian. Ini adalah ciri gereja Katholik walau di mana-mana saja.

Ruang yang menempatkan artifak-artifak Kristian di Bamboo Organ Church.
Ini patung-patung saints.
Father Diego Cera agaknya.
Patung Jesus Christ.
Selepas melawat ke Bamboo Church ini, kami beredar pula ke sebuah lagi destinasi lawatan kami, Jeepney Factory yang terletak tidak begitu jauh dari sini.

Pasangan dari Australia, Steve dan Norlene yang turut bersama kami dalam lawatan ke Tagaytay. Bangga melihat Norlene memakai baju batik Malaysia di Philippines.
Kenderaan yang membawa kami ke Tagaytay.
Meninggalkan Bamboo Organ Church

Part 25: Sarao Motors

Jeepney sangat sinonim dengan Filipina kerana kenderaan ini hanya terdapat di negara ini. Kenderaan ini mula wujud apabila tentera Amerika meninggalkan Filipina selepas tamat Perang Dunia Kedua. Disebabkan masalah logistik, beratus-ratus kenderaan jeep yang digunakan oleh tentera Amerika ini telah ditinggalkan di Filipina.

Kenderaan jeep ini telah diubahsuai oleh penduduk tempatan di Filipina dengan menambah tempat duduk di bahagian belakang dan kini menjadi pengangkutan awam yang sangat popular di seluruh negara. Untuk menambah identitinya, Jeepney juga dihias dengan pelbagai corak dan warna.

Pengangkutan Jeepney di Las Piñas
Untuk mengenali Jeepney dengan lebih dekat, kami dibawa melawat ke Sarao Motors yang terletak di Las Piñas. Ia adalah salah sebuah syarikat pemasangan Jeepney terbesar di Filipina.

Sarao Motors
Jeepney-jeepney yang telah siap dipasang di Sarao Motors.
Sarao Motors dibuka untuk kunjungan pelawat setiap hari tetapi disebabkan hari itu adalah Tahun Baru Cina yang juga merupakan cuti umum di Filipina, ia kelihatan sunyi dan sepi kerana ramai pekerjanya bercuti.

Bengkel pembuatan Jeepney Sarao Motors.
Jeepney keluaran Sarao Motors yang digunakan dalam pertandingan Miss Universe 1994.
Pemandangan di tempat pemandu Jeepney.
Pemandangan di tempat duduk di belakang.
Pemandangan keseluruhan dalam Jeepney.
Lukisan hiasan pada Jeepney
Tak ada Guided Tours di sini. Jadi kami hanya berjalan-jalan sendiri saja di sekitar kawasan bengkel dengan ditemani Janine.

Tempat pelupusan sampah yang sangat besar di belakang Sarao Motors.
Sarao Motors ini terletak dekat dengan Airport agaknya. Sentiasa kelihatan kapalterbang yang hendak mendarat dari sini.
Bergambar kenangan dengan sebuah Jeepney antik.
Hanya ada beberapa orang pekerja sahaja yang bertugas hari ini kerana cuti Tahun Baru Cina.
Jeepney yang separa siap.
Steve dan Norlene mengintai ke dalam sebuah Jeepney mewah.
Fabrik tempat duduk Jeepney.
Enjin-enjin Jeepney

Part 26: Meneruskan Perjalanan

Selepas melawat Las Piñas, kami meneruskan perjalanan ke Tagaytay yang masih sejauh kira-kira sejam perjalanan dari situ. Tagaytay terletak 709 meter di atas aras laut. Walaupun perjalanan ke sana mendaki gunung, jalannya tidaklah bengkang-bengkok sangat.

Pekan Bacoor yang dilalui dalam perjalanan ke Tagaytay.
Satu lagi pemandangan di pekan Bacoor.
Tricycle
Arah ke Tagaytay.
Lembu ternakan
Jalan menuju ke Tagaytay
Mendaki gunung sekarang.
Pemandangan Tasik Taal ini menandakan kita dah hampir tiba di Tagaytay.

Bersambung ke Bhg. 9...


CATATAN PERJALANAN PHILIPPINES 2016: