Saturday, 4 February 2017

2017 BRUNEI (2nd VISIT) BHG. 04 (Masjid Hassanil Bolkiah)

Januari 2017

BRUNEI DARUSSALAM (2nd Visit)
Bandar Seri Begawan

Bahagian 4: Bandar Tour (1)
MASJID HASSANIL BOLKIAH & BANDAR SERI BEGAWAN

HARI KEDUA (3)

Part 9: Restoran Millenium

Tepat pukul 12 tengahari, Bandar Tour kami yang diatur oleh Royal Brunei Holidays bermula. Kami dijemput di hotel oleh Tour Guide kami yang bernama Hafizul. Tak seperti semalam dan pagi tadi, Tour kali ini menggunakan bas besar yang tak dapat naik sehingga ke depan lobi hotel. Jadi kami terpaksa berjalan mendapatkan bas yang parking di tepi jalan besar.

Berkumpul di bawah lobi hotel untuk memulakan Bandar Tour
Bas yang membawa kami membuat Bandar Tour
Tour Guide kami, Hafizul
Memulakan Bandar Tour
Sebelum memulakan Tour, Hafizul membawa kami makan tengahari di Restoran Millenium.

Kawasan Gadong
Masjid Hassanil Bolkiah yang akan kami kunjungi selepas makan tengahari.
Bulatan terbesar di Brunei yang terletak berhampiran Masjid Hassanil Bolkiah.
Perjalanan menuju ke Restoran Millenium
Kata Hafizul, jarang sekali dia membawa pelancong dari Malaysia makan di restoran ini yang menghidangkan buffet makanan antarabangsa. Selalunya pelancong dari Malaysia akan dibawa makan di restoran tempatan. Tapi disebabkan ketika itu cuti umum di Brunei dan banyak restoran ditutup, dia membawa kami makan di sini.

Restoran Millenium terletak di atas tangga sana.
Mengikut Hafizul ke Restoran Millenium
Bila ada ahli rombongan yang ragu nak makan di sini kerana makanan yang dihidangkan adalah buffet antarabangsa, Hafizul memberitahu yang semua restoran di Brunei termasuk Restoran Millenium ini menyediakan makanan Halal. Di Brunei cuma ada satu sahaja restoran yang menghidangkan makanan tidak halal dan restoran ini ditandakan dengan begitu jelas.

Walaupun umumnya restoran di Brunei menyediakan makanan halal belaka, pihak berkuasa di negara ini masih melaksanakan pemeriksaan yang kerap untuk memastikan makanan yang dihidangkan benar-benar berasal dari sumber yang Halal.

Pintu masuk ke Restoran Millenium
Pemandangan di dalam Restoran Millenium dengan hiasan sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Satu lagi suasana di dalam Restoran Millenium
Pelbagai pilihan makanan disediakan di dalam buffet Restoran Millenium. Ada pilihan makanan tempatan Brunei dan juga makanan Western.

Buffet di Restoran Millenium
Waitress di Restoran Millenium
Kumpulan kami menikmati makanan tengahari
Kalau dibandingkan dengan masakan di Malaysia, masakan tempatan Brunei agak tawar dan kurang perisa. Namun begitu, kami cukup puas hati dengan makanan yang disediakan di Restoran Millenium ini. Servisnya pun bagus. Kami kemudiannya mendapat tahu yang restoran ini sebenarnya dimiliki oleh seorang kerabat diraja Brunei.

Part 10: Masjid Jame' Asr Hassanil Bolkiah

Persinggahan seterusnya selepas makan tengahari ialah ke Masjid Jame' Asr Hassanil Bolkiah yang terletak di sebuah kawasan yang bernama Kiarong. Ia dibina pada tahun 1988 dengan kos USD 700 juta dan dibuka secara rasmi pada tahun 1994 sempena jubli perak pemerintahan Sultan Hassanal Bolkiah.

Pintu masuk utama ke Masjid Jame' Asr Hassanil Bolkiah
Masjid ini mempunyai 29 buah kubah keseluruhannya kerana pembinanya, Sultan Hassanal Bolkiah adalah pemerintah Brunei yang ke-29. Sebaik masjid ini siap dibina dan dibuka kepada orang awam, baginda Sultan Hassanal Bolkiah sendiri membacakan khutbah Jumaat di dalamnya.

Kubah yang terbesar adalah tempat solat lelaki manakala khutbah yang lebih kecil adalah tempat solat wanita. Jumlah kubah keseluruhan di masjid ini adalah sebanyak 29 buah.
Bas kami berhenti berhampiran pintu solat wanita.

Pintu solat wanita terletak di sini.
Kami menunaikan solat jamak Zohor dan Asar di masjid ini. Ruang solat bagi wanita terletak di tingkat atas. Tinggi juga tangga yang terpaksa didaki untuk mendapatkan ruang solat dari tempat berwuduk.

Pemandangan dalam bangunan masjid ini sangat cantik. Chandelier, marmar dan permaidani yang dipasang di ruang solatnya sangat cantik. Walau bagaimanapun ia tak dapat ditunjukkan di blog ini kerana terdapat larangan menangkap gambar di dalam bangunan masjid. Kami juga diingatkan supaya tidak mencuri menangkap gambar kerana ada banyak CCTV yang dipasang di dalam masjid. 

Group Photo
Selepas bersolat, kami mengambil kesempatan bersiar-siar di perkarangan masjid. Landskap di masjid ini juga sangat menarik. 

Kasut perlu dibuka dan disimpan di walkway ini pada setiap waktu Solat Jumaat. Ada selipar yang disediakan untuk dipakai jemaah dari sini sehingga ke bangunan masjid.
Hafizul memberitahu, di masjid ini juga ada larangan bermain Pokemon Go. Sebelum larangan ini digunakan, memang ramai pengunjung yang datang ke sini kerana masjid ini adalah sebuah PokeStop. Sayangnya mereka datang ke masjid hanya untuk bermain Pokemon dan bukan untuk beribadat. Maka kerana itulah undang-undang melarang permainan Pokemon di masjid diperkenalkan.

Part 11: Brunei Sepintas Lalu

Selepas bersolat, kami dibawa berkeliling Bandar Seri Begawan sambil diperkenalkan dengan beberapa mercu tanda utama. Sambil itu, kami juga diberi penerangan tentang negara Brunei.

Brunei secara umumnya terbahagi kepada 4 buah daerah: Brunei-Muara, Belait, Tutong dan Temburong.

Peta negara Brunei

HASIL MINYAK

Brunei sangat kaya dengan hasil minyak. Namun hanya ada sebuah sahaja syarikat minyak di Brunei : Shell. Disebabkan negara ini adalah penghasil minyak, harga minyak sangat murah di sini di mana diesel dijual pada sekitar harga BND 0.30 (RM 0.90) seliter dan petrol pula pada sekitar harga BND 0.50 (RM 1.50) seliter. Harga ini jauh lebih murah dari harga sebotol air mineral yang rata-ratanya dijual pada harga BND1 (RM3) sebotol 500 ml.

Shell adalah satu-satunya syarikat minyak yang terdapat di Brunei
Tidak seperti di Malaysia, harga minyak di stesen-stesen minyak di Brunei tidak selaras. Pemilik-pemilik stesen boleh menetapkan sendiri harga minyak di stesen mereka. Minyak juga tidak boleh dijual kepada kereta-kereta asing. Oleh yang demikian, kereta-kereta yang masuk ke Brunei dari Sabah dan Sarawak perlu membawa sendiri bekalan minyak masing-masing jika berhasrat nak memandu di Brunei.

Harga minyak di sebuah stesen minyak di Brunei
Hasil minyak juga menyebabkan tiada cukai dikenakan kepada rakyat Brunei dan juga warga asing yang bekerja di Brunei. Namun demikian, mendapatkan kerakyatan Brunei bagi orang asing adalah sangat sukar. Suatu cara untuk mendapatkan taraf kerakyatan adalah melalui perkahwinan dengan rakyat Brunei. Namun demikian, seorang wanita asing yang berkahwin dengan rakyat Brunei hanya boleh mendapat taraf kerakyatan selepas 2 tahun manakala seorang lelaki asing yang berkahwin dengan rakyat Brunei pula hanya boleh mendapatkan taraf kerakyatan ini selepas 20 tahun. Satu-satunya cara lain untuk mendapatkan taraf kerakyatan Brunei adalah dengan membuat sumbangan yang besar kepada negara Brunei.

Kami juga diberitahu ada 6 buah telaga minyak baru telah ditemui di Brunei. 2 buah darinya terletak di laut dan 4 lagi di daratan. Rezab minyak ini dijangka dapat bertahan sehingga 70 tahun akan datang. 

Sebuah kawasan industri di Brunei
Namun begitu, Brunei sedang berusaha untuk mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak. Satu sektor ekonomi yang sedang giat dibangunkan adalah pelancongan. Sultan Brunei juga telah mengeluarkan titah supaya pokok getah dipelihara di negara ini.

Banyak kawasan hijau seperti ini diperhatikan di kawasan Bandar Seri Begawan
Brunei juga sangat mementingkan pemeliharaan alam sekitar. 70% dari negara Brunei masih diliputi hutan. Di negara ini juga terdapat peraturan di mana setiap pokok yang ditebang perlu digantikan dengan penanaman 4 batang pokok lain.

UNDANG-UNDANG SYARIAH

Undang-undang Syariah diperkenalkan di Brunei pada tahun 2012. Walau bagaimanapun, hanya hukuman sebat yang telah dilaksanakan pada masa sekarang. Hukuman potong tangan masih belum dilaksanakan sehingga kini kerana pelaksanaan Hukum Hudud sebenarnya melibatkan banyak proses dan memandangkan hukuman ini hanya dimulakan pada 5 tahun yang lalu, ia masih belum mencapai tahap tersebut.

Pelaksanaan Undang-undang Syariah sebenarnya telah menjadikan Brunei lebih aman dari kegiatan jenayah. Semenjak undang-undang ini diperkenalkan, arak tidak lagi dijual di seluruh negara Brunei Darussalam.

Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Syariah
Bangunan Mahkamah
Sebelum ini, polis dan mahkamah Brunei agak sibuk kerana sentiasa terdapat kegiatan gangster dan pergaduhan yang berpunca dari pekerja-pekerja asing (terutamanya dari Thailand dan Vietnam) yang mabuk selepas minum arak. Bila arak diharamkan di Brunei, kedua-dua kumpulan ini yang sangat gemar minum arak mula meninggalkan Brunei. Secara tidak langsung, kegiatan gangsterism dan pergaduhan ini juga terhapus dengan perlahan-lahan.

Balai Polis di Brunei
Hari bekerja di Brunei juga agak pelik berbanding di tempat-tempat lain. Cuti kelepasan hujung minggu di sini adalah hari Jumaat dan Ahad. Pejabat-pejabat Kerajaan dibuka separuh hari pada hari Sabtu.

Semua pejabat dan perniagaan ditutup dari pukul 12 tengahari sehingga 2 petang pada hari Jumaat. Kehadiran Solat Jumaat diwajibkan bagi semua lelaki Muslim. Denda BND 300 (RM 1,200) akan dikenakan bagi mereka yang ditangkap tidak menunaikan solat Jumaat.

Kedai makanan juga dilarang dibuka pada siang hari sepanjang bulan Ramadan. Peraturan ini juga terpakai bagi orang bukan Islam yang bermastautin di Brunei.

Gereja St. Andrew ini adalah satu-satunya gereja yang terdapat di Brunei.
Walaupun Islam adalah agama rasmi di Brunei, terdapat juga rumah-rumah ibadat agama lain tetapi bilangan mereka tidak banyak. Misalnya hanya terdapat sebuah sahaja gereja Kristian dan sebuah Tokong Cina di Bandar Seri Begawan.

Oleh kerana Sultan Brunei tak mahu rakyatnya berhutang, perkhidmatan bekalan air dan elektrik perlu dibayar menggunakan sistem pre-paid. Bekalan air dan elektriknya juga murah kerana terdapat subsidi dari kerajaan.

PENDIDIKAN DI BRUNEI

Tak seperti di Kuala Lumpur, agak susah nak melihat sekolah di tengah-tengah bandar di Bandar Seri Begawan kerana kebanyakan sekolah dibina di perkampungan dan kawasan-kawasan perumahan. Yuran sekolah rendah di Brunei adalah BND5 (RM15) setahun manakala yuran sekolah menengah pula adalah BND15 (RM45) setahun. Yuran pengajian di kolej pula adalah BND30 (RM150) setahun manakala yuran pengajian di universiti pula adalah BND230 (RM690) setahun. Kerajaan Brunei menyediakan biasiswa bagi rakyatnya yang menuntut di luar negara.

Sekolah Menengah Agama Hassanal Bolkiah
Sekolah ini dibuka untuk penuntut lelaki sahaja
Kejatuhan harga minyak dunia juga memberi kesan kepada Brunei. Ramai rakyat asing yang tamat kontrak kerja terpaksa meninggalkan negara ini. Rakyat Brunei yang pulang belajar dari luar negara juga sukar mendapat pekerjaan dalam masa yang mencabar ini. Namun demikian, mereka bernasib baik kerana Kerajaan Brunei memberikan Elaun Sara Hidup sebanyak BND 480 (RM 1,440) sebulan bagi rakyatnya yang grad dari oversea dan tidak mendapat pekerjaan. Elaun ini bagaimanapun tidak diberi kepada rakyatnya yang grad dari universiti tempatan di Brunei kerana mereka lebih mudah mendapat kerja berbanding rakyatnya yang grad dari oversea.

Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
Kami diberitahu yang Brunei kini mempunyai tiga buah universiti: Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Di samping itu terdapat juga beberapa buah pusat pengajian tinggi lain yang bertaraf kolej.

Arah ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali

PERKHIDMATAN KESIHATAN

Hospital Kerajaan terbesar di Brunei adalah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (Hospital RIPAS) yang terletak di Bandar Seri Begawan. Rakyat Brunei hanya perlu membayar BND1 sahaja untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Sekiranya hospital di Brunei tidak dapat merawat pesakit berkenaan, mereka akan dihantar untuk mendapatkan rawatan lanjut di Kuala Lumpur, Singapura dan juga ke United Kingdom.

Hospital RIPAS
Bil rawatan pesakit yang dihantar mendapatkan rawatan lanjut di luar negara ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Brunei. Malah pengiring kepada pesakit juga turut diberi penginapan percuma dan elaun menjaga pesakit sewaktu di luar negara.

Part 12: Bandar Seri Begawan

Ibu negara Brunei Darussalam adalah Bandar Seri Begawan. Ia terletak di daerah Brunei-Muara. Kebanyakan pusat tarikan pelancongan di Brunei juga berpusat di sini.

Peta tarikan pelancongan di Bandar Seri Begawan
Bandar Seri Begawan bermula di kawasan yang kini dikenali sebagai Kampung Ayer di Sungai Brunei. Pusat bandar bagi Bandar Seri Begawan masih berpusat di kawasan ini.

Sungai Brunei
Bangunan kayu ini adalah Istana Darussalam yang merupakan kediaman Sultan Brunei pada masa dahulu. Di sinilah Sultan Hassanal Bolkiah dilahirkan. Namun istana ini tidak dibuka kepada orang awam.
Peraturan di negara Brunei Darussalam menetapkan bangunan yang dibina di negara ini tidak boleh melebihi ketinggian masjid. Oleh yang demikian, tidak terdapat bangunan pencakar langit di ibu negara Brunei ini.

Kami diberitahu, satu-satunya bangunan yang melebihi ketinggian masjid di Brunei adalah sebuah bangunan yang kini digunakan oleh sebuah persatuan guru. Sebagai menghormati peraturan ini, tingkat paling tinggi bangunan ini digunakan sebagai surau.

Kompleks Yayasan ini adalah Shopping Mall moden yang pertama dibina di Brunei.
Pemandangan Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien yang dilihat di celah Yayasan Mall
Seperti juga di Dubai dulu, ada peraturan di Brunei yang mewajibkan supaya pemandu kenderaan memberhentikan kenderaan masing-masing bagi membolehkan pejalan kaki melintas jalan. Saman boleh dikenakan kepada pemandu yang melanggar peraturan ini.

Pemandu kenderaan wajib berhenti untuk membolehkan pejalan kaki melintas jalan.
Lintasan pejalan kaki di depan Kompleks Yayasan
Sebuah pejabat kerajaan di Bandar Seri Begawan
Pusat Sejarah Brunei
Pemandangan umum di Bandar Seri Begawan
Bangunan-bangunan British seperti bangunan ini masih dikekalkan di Bandar Seri Begawan
Padang Omar Ali Saifuddien
Pintu masuk ke Padang Omar Ali Saifuddien. Di sinilah sambutan Hari Kebangsaan Brunei disambut setiap tahun.
Bangunan Maya Puri
Semua nama kedai dan bangunan turut ditulis dalam Tulisan Jawi.
Teck Guan Plaza
Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka
Radio Televisyen Brunei
Ada banyak kenderaan parking di luar Gereja St. Andrew kerana hari ini adalah hari Ahad dan penganut Kristian sedang bersembahyang di sini.
Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang dinamakan sempena isteri Sultan Hassanal Bolkiah.
Perkuburan Pengawal Istana


Bersambung ke Bahagian 5...


CATATAN PERJALANAN BRUNEI (2nd VISIT) (2017):