Friday, 13 February 2015

2015 SUMATERA BARAT (2nd VISIT) BHG. 03 (Ngarai Sianok)

Februari 2015 

SUMATERA BARAT, INDONESIA (2nd VISIT)
Padang & Bukittinggi 


Bahagian 3: NGARAI SIANOK & PERJALANAN KE PAGARUYUNG


HARI KETIGA (1)

Part 18: Naik Bendi Di Bukittinggi

Time flies when you're having fun.. Seronok bercuti di Bukittinggi sehingga tak sedar inilah hari terakhir kami di sini.

Pemandangan awal pagi di lobi Hotel The Hills
Pada pagi ini barulah kami perasan yang ada banyak duit siling dibuang ke dalam indoor fountain ini. Mungkin ramai yang berbuat begitu dengan harapan ingin kembali ke Bukittinggi.
Pemandangan yang indah dan segar di Hotel The Hills, Bukittinggi
Sarapan pagi di Hotel The Hills
Alangkah seronoknya kalau setiap hari dapat bersarapan dalam suasana begini...
Sewaktu bersarapan di Hotel The Hills semalam, Myself tak perasan yang kolam renang hotel sebenarnya terletak di sebelah restoran. Kolam renangnya cantik sekali, tapi macam tak ada orang menggunakannnya. Mungkin sebab cuaca sejuk di sini menyebabkan tak ada orang sanggup berenang di pagi hari.

Kolam renang di Hotel The Hills
Kolamnya kecil tetapi cantik
Kerusi untuk bersantai di tepi kolam.
Air kolam renang ini dialirkan dari atas sana.
Pemandangan hotel dari kolam renang.
Program hari ini dimulakan pada pukul 9.00 pagi. Kami perlu check-out keluar dari hotel untuk bermalam di Padang pula. Namun sebelum pergi ke Padang, kami akan berkunjung ke Pagaruyung yang merupakan nadi kebudayaan Minangkabau terlebih dahulu.

Disebabkan kami punya masa lapang yang panjang sebelum bergerak ke Pagaruyung, kami membuat keputusan untuk bersiar-siar dengan Bendi sekeliling kota Bukittinggi. Kota Bukittinggi tidaklah sebesar mana, jadi kami dapat mengelilingi kota ini dengan menaiki Bendi hanya dalam tempoh setengah jam.


Naik Bendi keliling kota.
Berselisih dengan Bendi yang lain.
Jalan-jalan keliling kota.
Suasana pagi di Bukittinggi.
Jambatan Limpapeh di depan sana menghubungkan Kebun Binatang (Zoo) dengan sebuah kota Belanda yang bernama Fort de Kock. Kedua-duanya tidak kami lawati sewaktu berada di sini.
Bendi berkongsi laluan dengan kenderaan-kenderaan lain di Bukittinggi. Memang seram bila Bendi berselisih dengan kereta di jalanraya.
Melintasi pasar yang sibuk di Bukittinggi. Kelihatan petugas Majlis Perbandaran sedang menyiram pokok bunga awam di tengah jalan.
Lagi suasana di pasar yang sibuk di Bukittinggi. Sesuatu yang diperhatikan di sini ialah pasarnya lebih bersih berbanding pasar pagi yang kami lihat di Pulau Jawa.
Melintasi Rumah Kelahiran Bung Hatta di Bukittinggi. Bung Hatta adalah Timbalan Presiden Indonesia yang pertama. Dia berkhidmat di bawah Presiden Soekarno.
Bunga-bunga yang diletakkan di tepi jalan sebagai tanda berkongsi kedukaan atas kematian seorang tokoh tempatan.
Dalam masa hanya setengah jam, kami kembali ke kawasan hotel.

Part 19 : Taman Panorama 

Sebelum meninggalkan Bukittinggi, kami dibawa oleh Muslim ke Taman Panorama untuk menikmati keindahan Ngarai Sianok dari sana. Di Taman ini, kami menggunakan khidmat seorang Local Guide yang bernama Yudi untuk menerangkan pemandangan dan sejarah di sini.

Yudi seorang Guide yang bagus. Memang tak menyesal kami mengambil khidmat beliau di sini.

Pintu masuk ke Taman Panorama.
Pemandangan di Taman Panorama.
Ngarai Sianok yang dianggap sebagai The Grand Canyon of Bukittinggi.
Perkampungan di seberang sana dikenali sebagai Perkampungan Haji Agus Salim. Kata Yudi, rata-rata penduduk di perkampungan tersebut berdarah kacukan Minang dan Belanda kerana kawasan tersebut didiami Orang Belanda pada masa dahulu. Kita boleh menyeberang ke sana menggunakan laluan di bawah sana yang digelar The Great Wall of Bukittinggi yang kononnya macam Tembok Besar China.

Part 20: Lobang Jepang 

Kata Yudi, orang Minangkabau terdiri dari berbagai-bagai suku. Setiap suku mempunyai kisah tersendiri tentang sejarah Minang. Kerana itulah sejarah Minangkabau amat sukar dibukukan kerana mempunyai pelbagai versi tentang sesuatu fakta sejarah. 

Ngarai Sianok yang nampak tenang sebenarnya mempunyai satu rahsia besar. Ia dipenuhi dengan terowong-terowong yang dibina oleh Tentera Jepun sewaktu mereka menjajah Indonesia pada Perang Dunia Kedua.

Bukan sahaja Ngarai Sianok dipenuhi terowong rahsia, malah seluruh kota Bukittinggi juga sebenarnya dibina di atas jajaran terowong-terowong rahsia ini. Kerana ini jugalah pemerintah di Kota Bukittinggi tidak membenarkan bangunan-bangunan tinggi dibina di kota tersebut. Ini kerana kehadiran terowong menyebabkan struktur tanah di bawah bangunan menjadi lemah. Jika berlaku kejadian gempa bumi yang kerap melanda Sumatera Barat, kesan runtuhan bangunan tinggi lebih buruk berbanding dengan bangunan yang rendah.


Ngarai Sianok yang nampak tenang ini sebenarnya mempunyai banyak terowong rahsia yang dibina oleh Tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua.
Jajaran terowong rahsia di pergunungan Bukittinggi ini bersambung sehingga ke pelabuhan di Kota Padang yang terletak 90 km dari sini.
Patung Tentera Jepun dekat laluan menuju ke Lobang Jepang.
Pemandangan jurang di hadapan pintu masuk ke Lobang Jepang.
Kebanyakan terowong rahsia Jepun ini tidak dibuka kepada orang awam atas sebab-sebab keselamatan. Satu-satunya terowong Jepun yang dibuka untuk kunjungan awam adalah Lobang Jepang yang terletak di kawasan Taman Panorama ini.

Lobang Jepang di Taman Panorama, Bukittinggi
Peta Lobang Jepang di Ngarai Sianok, Bukittinggi.
Pengunjung ke Lobang Jepang disarankan untuk menggunakan khidmat Tourist Guide sewaktu melawat terowong sepanjang 1.47 kilometer ini. Ini adalah kerana apabila kita berada di bawah sana, mudah sekali kita akan tersesat kerana suasana yang gelap di dalamnya.

Anak tangga yang perlu dituruni untuk masuk ke Lobang Jepang.
Pada asalnya laluan masuk ke Lobang Jepang kecil sahaja kerana ia lebih berfungsi sebagai lubang pengintaian.
Dari pintu masuk, pengunjung perlu menuruni 132 anak tangga menuju gua datar yang berada 40 meter di bawah permukaan tanah dan 40 meter di atas dasar Ngarai Sianok. Sewaktu ditemui pertama kali pada awal tahun 1950, pintu Lobang Jepang hanya 20 cm dengan kedalaman 64 meter kerana ia berfungsi sebagai lubang pengintaian, bukan pintu masuk.  Bila ia dibuka kepada orang awam pada tahun 1984, mulut lubang tersebut dibuat lebih besar untuk lebih mudah dilalui.

Separuh laluan masuk ini dibina dari simen dan separuh lagi adalah terowong asal yang dibina dari tanah liat. Jika kita berdiri di bahagian terowong yang baru (yang dibuat dari simen), kita akan mendapati suara kita bergema. Manakala jika kita berdiri di bahagian terowong asal, tiada bunyi gema kedengaran kerana bunyi diserap oleh tanah.

Yudi membawa kami berdiri di tengah-tengah tangga di mana di sinilah pertemuan terowong asal yang dibina dari tanah dengan terowong baru yang dibina dari simen.
Ini pemandangan ke atas dari tengah tangga. Dari sini ke atas adalah terowong baru yang dibina dari simen. Asalnya bahagian terowong ini kecil, tetapi kini dibesarkan supaya pengunjung boleh berjalan dengan selesa masuk ke dalam. Suara kita akan bergema jika bercakap di bahagian ini kerana pantulan dari dinding simen.
Ini pula adalah pemandangan ke bawah dari tengah tangga yang merupakan bahagian terowong asal yang dibina dari tanah. Lubang ini juga telah dibesarkan oleh Kerajaan Indonesia untuk membolehkan pengunjung berdiri tegak ketika memasukinya. Suara kita tidak bergema sewaktu melalui bahagian ini kerana bunyi diserap oleh tanah.
Tiba di bahagian bawah terowong.
Jepun menggunakan buruh paksa untuk membina terowong ini. Buruh-buruh ini berasal dari Jawa, Kalimantan dan Sulawesi. Untuk menjaga kerahsiaan, tidak ada orang Bukittinggi yang dikerah mengerjakan lubang ini. Ini juga kerana orang-orang dari luar daerah ini tidak boleh bertutur dalam Bahasa Minang tempatan dan sekiranya mereka melarikan diri, mereka akan mudah untuk dikesan. Orang Bukittinggi sendiri yang dijadikan buruh paksa pula dikerah untuk membina terowong di destinasi lain di Indonesia seperti di Bandung dan Pulau Biak.

Udara di dalam terowong juga sangat sejuk dan lembap. Menurut Yudi, pemerintah tempatan kini telah menetapkan tiada sesiapapun boleh tinggal di dalam terowong ini melebihi 6 jam untuk mengelakkan serangan pneumonia. Local Guide seperti Yudi juga bertanggungjawab untuk memastikan pelawat seperti kami tidak berada di dalam terowong melebihi 2 jam pada satu-satu masa. Bayangkanlah pula buruh-buruh paksa yang tinggal di sini 24 jam sehari dulu. Memang ramai yang mati kerana sakit pneumonia di samping kekurangan zat makanan.


Terowong ini dibina menggunakan tangan dan peralatan-peralatan asas seperti cangkul sahaja. Perhatikan lekuk-lekuk di dinding sebelah kiri yang dibuat untuk menyerap bunyi. Setiap buruh dipaksa bertugas untuk menggali kawasan seluas 4 lekuk tersebut.
Permukaan dinding terowong dibuat tidak merata dan berceruk. Fungsi dari cerukan tersebut adalah agar suara dalam lubang tidak bergema. Jadi jika ada tahanan yang disiksa maka suaranya hanya kedengaran sebatas lorong ini saja. Begitulah tingginya teknologi Jepun sejak dari zaman perang dahulu.

Ruang Mesyuarat ini adalah satu-satunya bahagian terowong yang dibina untuk bergema. Ia bertujuan untuk memudahkan tentera-tentera Jepun yang berkumpul di sini mendengar arahan yang diberi.
Ada 21 lorong kecil yang fungsinya pelbagai seperti ruang menyimpan peluru, ruang mesyuarat, pintu pelarian, ruang penyergapan (serang hendap) serta penjara. Namun yang menyeramkan adalah ruang dapur yang juga difungsikan untuk memotong-motong tahanan yang sudah meninggal dunia sebelum dibuang melalui lubang air ke bawah.

Ada 21 ruang di dalam terowong ini yang mempunyai fungsi yang tersendiri.
Ruang Amunisi ini digunakan untuk menyimpan senjata.
Pemandangan dalam Ruang Amunisi.
Salah sebuah ruang di dalam terowong ini sedang diubahsuai untuk dijadikan Mini Theater.
Sewaktu Jepun menyerah kalah, mereka turut membunuh kesemua buruh-buruh paksa yang bertugas di dalam terowong ini. Kerana itulah juga, sejarah terowong ini tidak diketahui untuk sekian lama kerana tak seorang pun buruh ini hidup untuk menceritakan apa yang dilalui di dalam terowong tersebut. Sejarah terowong ini hanya terungkap apabila seorang bekas tentera Jepun yang pernah bertugas di dalam terowong ini tampil untuk menceritakan aktiviti yang pernah berlaku di dalamnya.

Sejarah terowong ini hanya diketahui bila seorang bekas tentera Jepun yang pernah bertugas di dalamnya menceritakan apa yang pernah berlaku di sini.
Orang Minang juga adalah pelombong yang hebat dan khidmat seorang geologis tempatan turut digunakan oleh tentera Jepun sewaktu membina terowong ini. Ada sebahagian dari terowong ini yang dindingnya bersinar dalam kegelapan kerana dipercayai terdapat batu berlian di sini.

Bahagian dinding ini bersinar kerana terdapat batu berharga di dalamnya.
Pemandangan dekat dinding yang mengandungi batu berlian.
Terdapat ruang penjara di sini yang bukan hanya untuk memenjarakan mereka yang melawan dan tidak mahu bekerja. Penjara ini juga berfungsi untuk memenjarakan perempuan-perempuan tempatan sebagai pemuas nafsu tentera Jepun. Mereka tidak diberi makan berhari-hari sehingga ramai yang menemui maut.

Ruang Penjara.
Ruang Dapur berada tepat di sebelah ruang penjara. Memang meremang bulu roma bila mendengar Yudi memberi penerangan tentang fungsi Dapur ini. Walaupun dinamakan Dapur, ia tidak digunakan untuk memasak makanan. Sebaliknya di sinilah tawanan-tawanan dan buruh-buruh paksa yang telah mati dipotong-potong menjadi bahagian yang kecil sebelum dibuang ke dalam lubang yang terletak di bucu dapur.

Di ruang Dapur inilah tawanan-tawanan dan buruh-buruh paksa yang telah mati dipotong-potong oleh tentera Jepun sebelum dibuang ke lubang di hujung bawah sana.
Lubang di dasar lantai ini terletak 40 meter di atas sungai yang mengalir di dasar Ngarai Sianok. Tubuh mayat dipotong supaya tidak tersangkut bila dibuang di lubang ini. Jasad yang telah dipotong kecil juga dapat mengelakkan ia dari dikenali oleh penduduk kampung di bawah sana.
Lubang ini sebenarnya lebih besar dari yang kelihatan sekarang. Ia telah ditutup sehingga ke saiz ini kerana seorang pelancong asing pernah terjatuh ke Ngarai Sianok dari lubang ini sewaktu mengintai ke dalamnya.
Saiz sebenar lubang tempat membuang mayat. Gambar ini diambil oleh Yudi untuk kami dengan cara memasukkan kamera ke dalam lubang yang kecil tadi.
Tepat di atas lubang membuang mayat tadi adalah lubang yang dinamakan Pintu Pengintaian. Lubang ini sengaja dibuat kecil, semuat saiz tentera Jepun sahaja. Dulu, ada akar kayu diletakkan dalam lubang ini untuk memudahkan tentera Jepun keluar masuk dari lubang ini untuk mengintai aktiviti yang dilaksanakan oleh penduduk kampung di luar sana.

Pintu Pengintaian untuk mengintai aktiviti yang dilaksanakan oleh penduduk kampung.
Kami kemudiannya ditunjukkan pula Pintu Penyergapan. Pintu Penyergapan (Serang Hendap) terletak di hujung lorong terowong yang paling panjang. Lorong ini pula dibina beralun tinggi-rendah dengan satu tujuan ~ jika musuh mengejar, mereka sengaja akan dibawa ke arah Pintu Penyergapan ini. Bahagian lorong yang paling tinggi terletak berhampiran dengan Pintu Penyergapan ini. 

Sewaktu musuh mendaki bahagian yang tinggi ini, pandangan mereka terlindung dari tentera Jepun yang sedia menunggu di Pintu Penyergapan. Bila mereka tiba di "puncak" ini, mereka akan terus berdepan dengan tentera Jepun yang telah bersedia untuk menembak. Selalunya sudah terlewat bagi mangsa untuk berpatah balik bagi menyelamatkan diri ketika itu.

Ruang ini dinamakan Pintu Penyergapan.
Laluan menuju ke Pintu Penyergapan sengaja dibina beralun dan berkelok.
Banyak nyawa yang terkorban di Terowong ini dan kebanyakannya mati dalam keadaan yang mengerikan. Kata Yudi, sepanjang pengalaman beliau menjadi Guide di sini, memang terdapat orang-orang yang diberi keistimewaan oleh Tuhan yang dapat melihat roh-roh yang tidak tenteram berkeliaran di sini. Syukurlah kami tidak diberikan Tuhan keistimewaan itu. Kalau kami termasuk dalam golongan tersebut, mungkin terganggu fikiran mengenangnya sampai balik ke Malaysia.

Kata Yudi, orang-orang yang diberi keistimewaan oleh Tuhan memang dapat melihat roh-roh yang tidak tenang berkeliaran di Terowong ini.
Yudi juga bercerita, sebelum terowong dibuka untuk kunjungan umum, banyak ditemui tulang belulang, tengkorak, senjata dan alat untuk membina terowong ini seperti cangkul. Ada juga ditemui peralatan makanan yang diperbuat dari tempurung kelapa dan buluh. Semuanya kini disimpan di sebuah muzium di Bukittinggi.

Pada waktu dulu, dinding terowong ini juga dipenuhi dengan lukisan-lukisan yang menggambarkan kekejaman Jepun. Namun lukisan-lukisan tersebut kini telah dibersihkan, mungkin untuk menjaga hubungan baik Kerajaan Indonesia dengan Kerajaan Jepun. Lagi pula, Jepun sebenarnya "berjasa" dalam kemerdekaan Indonesia. Tiga ratus tahun lamanya Indonesia dijajah oleh Belanda dan mereka hanya meninggalkan Indonesia selepas ditewaskan oleh tentera Jepun.

Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua setelah bandar Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh tentera Amerika Syarikat. Tidak seperti Malaysia yang kembali menjadi jajahan British selepas Jepun menyerah kalah, Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya serentak dengan penyerahan Jepun. Bak kata Yudi, kalau Jepun tak datang ke Indonesia, pasti mereka akan dijajah Belanda lebih lama lagi.


Lukisan-lukisan yang menggambarkan kekejaman tentera Jepun telah dibersihkan bila terowong ini dibuka kepada orang awam.
Pintu keluar dari Terowong.
Kami diberi pilihan oleh Yudi untuk keluar dari Terowong ini ~ sama ada keluar dari sebuah pintu hujung dan kembali ke pintu masuk Taman Panorama dengan menaiki motorsikal atau berjalan kembali ke pintu masuk Lobang Jepang dan keluar menerusi 132 anak tangga tadi. Kami memilih untuk keluar dari pintu hujung dan kembali ke pintu masuk Taman Panorama dengan menaiki motorsikal.

Pemandangan pintu keluar Lobang Jepang.
Pemandangan dari luar Lobang Jepang. Dari sini kami menaiki motorsikal kembali ke pintu masuk Taman Panorama.
Sebelum meninggalkan Ngarai Sianok, kami sempat meninjau kedai-kedai cenderamata yang banyak terdapat di sana. Antara yang sangat menarik perhatian kami ialah sebuah kedai yang menjual lukisan milik Pak Adjie Agam.

Kedai-kedai cenderamata di Ngarai Sianok
Pak Adjie sedang melukis.
Lukisan yang dijual di kedai Pak Adjie sangat cantik. Ramai orang-orang kenamaan dari Malaysia pernah membeli lukisan Pak Adjie. Pak Adjie juga berkunjung ke Malaysia setiap tahun untuk menyertai pameran lukisan terutamanya di Pulau Pinang.

Lukisan di kedai Pak Adjie Agam
Lukisan yang kami beli di kedai Pak Adjie
Lukisan-lukisan yang dipamerkan di luar kedai Pak Adjie Agam.
Keluarga Pak Adjie semuanya pelukis. Isterinya juga pandai melukis dan seorang anak mereka kini menjadi pelukis di Pulau Bali. 

Part 21: Menuju ke Pagaruyung

MENINGGALKAN BUKITTINGI

Sewaktu meninggalkan Bukittinggi, kami melintasi Royal Denai Hotel. Myself pernah menginap di hotel ini sewaktu kunjungan pertama dulu.

Royal Denai Hotel, Bukittinggi.
Di sinilah Myself dan ibu menginap bersama rombongan kami pada tahun 1997.
Pemandangan sewaktu meninggalkan kota Bukittinggi
Kalungan bunga ucapan tahniah sempena pembukaan sebuah kedai di Bukittinggi.

GELANGGANG LUMBA KUDA 

Masyarakat Minangkabau tak dapat dipisahkan dengan kuda. Di pinggir kota Bukittinggi, kami dapat melihat sebuah gelanggang lumba kuda. Ada beberapa ekor kuda sedang dilatih untuk berlumba di sana ketika itu.

Gelanggang Lumba Kuda di pinggir kota Bukittinggi
Mungkin dari menara inilah, kuda-kuda dilepaskan dalam perlumbaan.
Kata Muslim, perlumbaan kuda di sini diadakan sekitar bulan Jun setiap tahun dan disertai oleh penduduk dari seluruh pelusuk Tanah Minangkabau. Hadiah yang ditawarkan tidaklah begitu lumayan, namun kemegahan sewaktu memenangi pertandingan menjadi pertaruhan sewaktu berlumba.

Kuda meragut rumput di gelanggang
Membawa kuda pulang selepas tamat berlatih.
Pelumba Chariot sedang melatih kuda
Latihan manarik Chariot

SULAMAN HAJAH ROSMAH 

Persinggahan pertama selepas meninggalkan Bukittinggi ialah ke Sulaman Hajah Rosmah. Selain menjual sulaman, butik ini juga turut mengajar seni sulaman. Namun nasib kami kurang baik kerana kelas sulaman tidak berlangsung sewaktu kami berkunjung ke sana.

Perjalanan meninggalkan Bukittinggi
Cuaca sangat baik sepanjang percutian kami di Sumatera Barat
Butik Sulaman Hajah Rosmah.
Pemandangan di Ruangan Jualan Butik Hajah Rosmah
Corak sulaman di sini eksklusif. Kerana itulah harganya agak mahal.
Bengkel sulaman Hajah Rosmah. Kami diberitahu ada di antara pelajar sulaman dari sini yang berasal dari Kelantan dan Terengganu di Malaysia.
Melihat hasil sulaman penuntut Hajah Rosmah dari dekat.
Landskap di Sulaman Hajah Rosmah

TABEK PATAH

Persinggahan seterusnya ialah meninjau perusahaan kopi tempatan di sebuah kampung yang bernama Tabek Patah.

Jalan menuju ke Tabek Patah
Kawasan pertanian yang dilalui dalam perjalanan ke Tabek Patah.
Kerbau membajak sawah
Pemandangan ini mengingatkan kami kepada pengalaman sewaktu melawat India pada tahun 2012.
Satu pemandangan istimewa yang ditemui dalam perjalanan ke Tabek Patah ialah ketika melalui ladang kentang. Pelik juga melihat ada ladang kentang di sini kerana setahu Myself, kentang ni cuma hidup di kawasan sejuk sedangkan area ini taklah sesejuk mana.

Ladang kentang dalam perjalanan ke Tabek Patah
Melihat tanaman kentang dari dekat.
Pemandangan jalan yang telah dilalui sehingga kini dari tepi ladang kentang.
Akhirnya, kami tiba di Tabek Patah. Kawasan ini terletak di atas tanah tinggi dengan pemandangan lurah pertanian yang mengasyikkan.

Tiba di Tabek Patah.
Destinasi kami di Tabek Patah adalah sebuah tempat perusahaan kopi tradisional yang bernama Kiniko Enterprise. Sekali lagi nasib kami kurang baik kerana kilang kopi di sini juga tidak beroperasi pada hari ini. Namun kami tetap dapat meninjau kedai kopi Kiniko yang dibuka pada hari tersebut.

Kiniko Enterprise
Kedai kopi Kiniko Enterprise. Sebenarnya Myself teringin nak mencuba Kopi Luwak. Malangnya Kopi Luwak tak dijual di sini.
Di sini, kami diperkenalkan dengan sejenis kopi tempatan ~ Teh Daun Kopi. Sewaktu Belanda menjajah Indonesia, penduduk Indonesia dipaksa menanam kopi untuk dieksport ke Belanda. Belanda juga sangat kejam kepada penduduk tempatan. Walaupun kopi yang ditanam berkualiti tinggi, penduduk tempatan tidak dibenarkan oleh Belanda untuk merasainya. Oleh itu, penduduk tempatan yang teringin nak minum kopi hanya merendam daun kopi untuk diminum. Dari situlah berasalnya Teh Daun Kopi yang terkenal di sini.
 
Dua teh yang terkenal di sini: Teh Daun Kopi dan Teh Daun Murbey.
Teh Daun Kopi ini berasal dari larangan Belanda supaya penduduk tempatan tidak meminum kopi-kopi yang ditanam untuk dieksport ke Belanda.
Perusahaan Kopi Kiniko ini juga mempunyai pemandangan yang indah di belakangnya.

Landskap di belakang Kopi Kiniko
Pemandangan di belakang Kopi Kiniko
Satu lagi pemandangan indah
Atas saranan Tour Guide kami Muslim, kami mencuba kuih-kuih tempatan yang dijual di sini. Tapi disebabkan kami bukan penggemar kopi, kami tak mencuba kopi yang dijual di sini.

Pemandangan Kedai Kopi Kiniko dari arah belakang
Mencuba makanan tradisional di sini: Cucur Tepung dan Goreng Pisang.
Goreng pisang pun dicurah dengan kuah kacang di sini. Tapi tak kisahlah, sebab rasanya sedap.
Selepas menghabiskan masa beberapa ketika di Tabek Patah, perjalanan kami diteruskan lagi menuju ke Pagaruyung.

Perjalanan dari Tabek Patah menuju ke Pagaruyung
Masjid di Batusangkar dalam perjalanan ke Pagaruyung
Kami bertemu dengan ramai kanak-kanak sekolah dalam perjalanan ke Pagaruyung.


Bersambung ke Bahagian 4 ...